Wednesday, June 29, 2011

The Running Kid @ Marathon

Usai menonton telemovie Korea bertajuk MARATHON di TV Al Hijrah tadi sambil menyiapkan beberapa episod skrip terkini, saya merenung diri sendiri...Apakah aku juga ibu yang begitu...

Marathon mengisahkan seorang ibu dan anak lelaki OKUnya (Autisma) yang begitu akrab.  Betapa sabarnya seorang ibu mendidik anak autismanya menjadi seorang pelumba marathon.  Betapa gigihnya dia memperkenalkan setiap perkataan dan perkara baru kepada anaknya yang sentiasa hidup dalam dunianya sendiri.  Betapa bangganya dia apabila anaknya dapat menyertai perlumbaan marathon yang kebanyakannya disertai oleh pelumba profesional yang pastinya dikalangan orang normal.  Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk anak istimewanya itu sehingga mengabaikan perhatian terhadap seorang lagi anaknya sehingga anak itu merasa tersisih.  Pada satu tahap, dia disedarkan oleh jurulatih anaknya, bahawa sebenarnya dia yang memerlukan anak OKUnya itu, bukan anaknya yang memerlukan dia.  Anaknya terkurung dalam dunia yang dicipta oleh ibunya yang terlalu menyayangi menyebabkan dia menjadi over protective.

Persamaannya di sini-saya percaya, ibu-ibu yang mempunyai anak OKU akan sanggup melakukan apa sahaja untuk melindungi anak itu dari perkara-perkara yang boleh menyakiti anaknya sehingga kadang-kadang anak itu tidak mampu untuk melakukan perkara yang sepatutnya boleh dilakukan.  saya sendiri mengakui akan hal ini terjadi kepada kami.  Tetapi satu perkara yang tidak mampu saya ikuti ialah ketabahan ibu ini mendidik anaknya sehingga berjaya menjadi pelumba marathon setaraf profesional.

Kalaulah masa itu boleh diputar kembali, saya ingin menjadi seperti ibu ini, bermula semula dari awal, melakukan yang terbaik untuk permata istimewa kami Nadia Ammira Nadzli...Namun semua itu adalah mustahil sama sekali.  

Friday, June 24, 2011

Sekadar renungan

Setelah kita meninggal dunia, nama kita ialah MAYAT...
Semasa kita diusung ke kuburan, nama kita ialah JENAZAH...
Setelah dikebumikan, nama kita ialah  AL MARHUM/AL MARHUMAH...

Permata hatiku

Merekalah penawar segala duka.  Kasih yang tiada sempadannya...
NADIA AMMIRA NADZLI BT MOHAMAD KHOLID (17 thn)

AIMAN HAZZIQ NADZLI B MOHAMAD KHOLID (14 thn)
IMAN THURAYA NADZLI BT MOHAMAD KHOLID (2THN)

Tekak orang melayu

Bila umur sudah menjengah angka 40, macam-macam perubahan mula terjadi pada tubuh kita.  Jika semasa muda belia dulu bentuk badan dan 'komposisi lemak' tidak begitu dihiraukan.  Makan lah sebanyak mana pun, tetap boleh maintain.  Tapi sekarang, makan lebih sedikit, sudah ada 'spare tyre' yang amat liat untuk 'diusir'...Mulalah mencari pelbagai alternatif untuk 'maintain' apa yang pernah dimiliki dahulu.

Sejarah ahli keluarga yang mempunyai penyakit kencing manis dan pernah mengidap kencing manis semasa mengandungkan anak ke 3, menyebabkan saya mengambil inisiatif untuk mengunjungi "wellness clinic' Pejabat Kesihatan Daerah CH.  Tambahan pula, terdapat satu luka di jari kaki yang sudah hampir 2 minggu tidak mahu sembuh hanya kerana melecet terkena tali selipar.  Pelbagai soalan perlu dijawab, diukur ketinggian, berat badan, BMI dan darah diambil untuk menentukan tahap gula dan kolestrol.  Alhamdulillah, semuanya dalam kategori baik KECUALI kandungan kolestrol dan lemak yang sedikit tinggi dari tahap normal (kalau lemak, memang boleh diterima memandangkan dapat dilihat dengan 'mata kasar').  Mujur kandungan gula pada kadar yang baik, dan bermakna saya tiada kencing manis.  Alhamdulillah.

Soal siasat terperinci dijalankan untuk mengetahui mengapa kadar kolestrol tinggi dari yang sepatutnya.  Antaranya ialah kekerapan melakukan senaman.  Jawapan saya senang sahaja- saya hanya buat senaman melalui kerja rumah yang dilakukan tidak putus-putus dari pagi ke malam.  Malas hendak ke gym atau berjogging dan sebagainya kerana masalah anak yang masih kecil dan cuaca yang tidak menentu di tanah tinggi ini (sebenarnya alasan orang yang memang tak nak buat senaman....).  Cik misi hanya tersenyum sinis.  "Biasalah tu, puan."  jawabnya ringkas dan bersahaja.

Satu lagi soalan yang pastinya akan ditanya oleh semua pengamal kesihatan - bagaimana cara memasak?  Adakah digoreng, dimasak dengan santan, dikukus atau dipanggang.  saya hanya memandang cik misi berbangsa melayu itu dengan senyum lebar.  
"Orang melayu mana yang tak makan makanan goreng atau dimasak dengan santan?"  Soal saya semula.     
"Betul tu puan.  Saya pun macam tu juga.  Belasah apa yang ada depan mata."  Cik misi menjawab selamba.
"Dah namanya tekak orang melayu."  Saya menambah lagi.

Akibatnya, saya perlu datang lagi untuk diambil darah bagi ujian lanjut kadar kolestrol 'baik' dan 'jahat' dalam darah.  Aduh....saja cari penyakit.... 

Thursday, June 23, 2011

Renungan bersama...

"Kadang kala Allah sembunyikan Matahari, didatangkan hujan, petir dan kilat.  Kita menangis, marah atau tertanya-tanya ke mana menghilangnya sinar mentari.  Rupa-rupanya Allah hendak menghadiahkan kita pelangi nan indah"

HATI SEORANG IBU – INDAHNYA KURNIAANMU (MAJALAH MIDI BIL 102 , 1 DIS 2010)

Tika hati sedang sebal dengan suami, tangan membelek-belek majalah MIDI yang baru ku kenali beberapa bulan lalu. Hanya sekadar untuk melepaskan rasa, beberapa ayat dalam ruangan Santapan Rohani secara tiba-tiba mengetuk pintu hati ini. Lantas aku beristigfar, memohon keampunan Ilahi atas sifat diri yang tidak tahu bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan selama ini. Aku telah lengkap segalanya, menjadi seorang anak, isteri dan ibu kepada tiga orang cahaya mata. Pastinya Allah akan menguji setiap insan dan ujian itu berbeza-beza. Lantas aku teringatkan ayat "Allah menurunkan ujian kepada hambanya sesuai dengan kemampuan kita menerimanya dan maknanya Allah sangat sayangkan kita" yang sering menjadi penyejuk hatiku dikala merenung cabaran yang terbentang di hadapan mata. Cabaran yang dibentangkan oleh Allah di hadapan kami sertai dengan nikmat yang bukan kepalang banyaknya.
Tatkala melihat anak-anak gadis remaja seawal usia 13 tahun, berpeleseran di pusat membeli belah atau beramai-ramai berjalan ke sekolah menuntut ilmu, hati ku pastinya terusik. Lantas teringatkan anak gadis istimewaku di rumah. Walaupun sudah berusia 16 tahun, dunianya hanyalah rumah dan pusat latihan insan istimewa yang dihadirinya saban hari. Selalu aku berangan-angan dan bertanya pada suami, "kalau Along tu normal, agaknya dia belajar di sekolah mana ya sekarang? Jenuhlah kita berulang-alik setiap minggu 'menziarahi' anak-anak di asrama." Pastinya hanya dijawab dengan jelingan oleh suamiku.
Mengimbas kembali kenangan jerih perih membesarkan Along, aku pasrah. Telah banyak yang kami lalui dan pastinya masih banyak lagi cabaran yang menanti di hadapan. Semakin membesar, semakin susah mengendalikannya. Kesabaran bukan hanya perlu di tahap 100%, tetapi mungkin 500%. Dia juga sudah mempunyai hati dan perasaan, tidak suka dipandang dan menjadi bahan perbicaraan. Dunia kami semakin terbatas. Hendak ke mana-mana perlu memikirkan keselesaan dan kemudahan untuk Along. Tempat yang sesak bukan lagi menjadi destinasi. Hatta hendak ke taman-taman rekreasi pun perlu memilih yang betul-betul sesuai, apatah lagi hendak bersantai-santai di restoran makanan segera. Kadang-kadang kasihan melihatkan adik-adiknya yang mahu duduk bersantai-santai di restoran makanan segera, menikmati makanan sambil melayari internet percuma dan berbual-bual kosong dengan kami. Kalaupun berkesempatan, pastinya dalam keadaan tergesa-gesa takut 'angin' Alongnya tiba-tiba berubah. Kadang-kadang, sambil menikmati makanan pun, Along boleh mengamuk dengan tiba-tiba jika tidak kena gayanya.
Aku amat bersyukur kerana dikurniakan suami yang amat memahami dan banyak membantu juga anak-anak lain yang dapat menerima Along seadanya. Walaupun kadang-kadang kami bergaduh kerana Along, aku menerimanya dengan hati terbuka kerana perlu akur, suamiku lebih rapat dengan Along dan Along juga lebih selesa bermanja dengan ayahnya berbanding mama yang lebih garang. Kehamilanku yang ketiga selepas hampir dua belas tahun tidak mengandung menyebabkan aku tidak terdaya menguruskan Along. Suamilah yang menguruskannya dalam segala segi baik makan minum, mandi, berpakaian dan sebagainya sehinggalah sekarang. Sering aku mengingatkan suami, ingatlah Along sebagai darah dagingnya sendiri. Yang pastinya suamiku amat menyayangi Along sehinggakan setiap kali Along diserang sawan, suamiku akan menangis melihat kesakitan yang ditanggungnya. Sesungguhnya Along amat bertuah mendapat seorang ayah yang begitu baik dan penyanyang, meminggirkan kepentingan diri hanya untuk anak istimewanya.
Pernah aku berangan, yang pastinya tidak akan menjadi kenyataan, jikalau masa itu boleh diputar kembali, satu sahaja yang aku ingin lakukan-melahirkan semula Along supaya dia dapat menjadi seperti insan normal yang lain. Angan-angan seorang ibu yang terlalu ingin melihat anaknya seperti insan lain, tertawa riang, bermain, berlari dan bergaduh dengan adik-adik, mengadu dan bercerita dengan ayah ibunya seperti keluarga lain. Jika dikenang-kenangkan angan-angan itu pasti mengundang senyum dan kadang-kadang mengugurkan air mataku. Apa yang tidak kami lakukan dalam usaha untuk memulihkan Along, baik secara moden atau tradisional. Berulang alik ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan menjadi rutin hidup kami. Jika anak lain, untuk memeriksa kesihatan gigi, hanya perlu ke klinik gigi, lakukan pemeriksaan dan segalanya selesai. Tidak bagi Along. Untuk melakukan pemeriksaan gigi sahaja, perlu dimasukkan ke wad, dibius dan barulah pemeriksaan dan rawatan boleh dilakukan. Istimewanya anakku ini. Segalanya istimewa.
Ibubapa mana yang tidak marahkan anak. Anak-anakku yang normal juga biasa aku marahi jika tingkah mereka tidak kena. Tapi Along, jika dimarahi, apalah yang difahami. Aku juga punya tahap kesabaran sebagai seorang manusia. Pernah aku marah dan pukul Along bagaikan orang hilang akal bila dia melakukan perkara yang membuatkan darahku mencanak ke kepala. Tapi apa gunanya. Dia tidak mengerti mana yang betul, mana yang salah, mana yang boleh, mana yang tidak. Setiap kali lepas marah atau memukulnya, aku pasti akan menyesal sendiri. Tangis yang aku telan sendiri, menyesali perlakuan burukku itu.
Saban malam, yang sering bermain difikiranku sebelum memejamkan mata ialah, bagaimana jika kami tiada lagi di dunia ini. Siapa yang akan menjaga Along. Sanggupkan adik-adiknya atau saudara mara kami mengambil alih tugas kami membesarkan Along atau di pusat kebajikan manakah Along akan ditempatkan selepas kami tiada nanti. Umur itu ketentuan Ilahi. Aku sering membayangkan yang buruk dan pastinya air mata akan mengalir mengenangkan semua itu. Pernah aku memanjatkan doa pada Ilahi, jika ingin mengambil nyawa kami, ambillah nyawa Along terlebih dahulu atau ambillah nyawa kami semua bersama, kerana sebagai ibu aku tidak sanggup melihat anak-anakku terutamnya Along menderita selepas kami tiada. Suamiku sering menegurku tentang perkara itu. Betul katanya, Allah itu maha mengetahui. Dia adalah perancang yang terbaik dan pastinya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah berusaha selagi kudrat kami ada dan memohon agar Allah sentiasa memberikan kami kekuatan untuk menempuh apa jua yang mendatang. Apa jua yang diberikanNya adalah yang terbaik untuk kami dan kami terimanya dengan redha. Walaupun Along umpama 'racun' dalam hidup kami tapi dia jugalah penawarnya dan pastinya setelah Allah mengurniakan Along, Dia juga mengurniakan anak-anak lain yang baik, cerdik dan cantik seperti Alongnya kepada kami. Lengkap hidupku dengan permata hatiku yang amat aku sayangi dan moga Allah mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepadaku untuk masa-masa mendatang.


Ketika mula menulis 'Dalam Kehadiran Sofiah'



Bukan mudah sebenarnya – mula menulis kisah inspirasi yang berkaitan besar dengan diri sendiri. Ketika itu ada rasa yang membuak – ratap yang tidak kedengaran apabila melihat dan merasai sendiri nasib OKU yang sentiasa dekat. Malah hingga takat mahu menghadiahkan naskah novel Dalam Kehadiran Sofiah (DKS) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila siap kelak. Novel DKS bermula dengan sebuah cerpen – kisah bercuti sekeluarga ke Bukit Fraser yang indah tetapi diwarnai dengan kerenah Sofiah seperti selalu. Merasai pandangan sisi lain dari orang sekeliling dan kesibukan suami menyiapkan novelnya yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena Jubli Emas DBP – 'Kabus di Perbukitan.'
Keluarga kami memang sangat serasi dengan tanah tinggi. Mulanya memilih tinggal di Kuala Kubu Bharu yang hijau dan nyaman – dengan hembusan angin dingin dari perbukitan, sesuai dengan namanya, KKB – kiri kanan bukit. Ketika itu hampir setiap kali berpeluang, kami akan ke Bukit Freaser. Menginap di banglo lama, yang sunyi dan jauh. Kicau burung migrasi dan laungan siamang yang beralun-alunlah menjadi teman.
Bercuti dengan anak istimewa – OKU ini rapi persediaannya. Makan sejam sebelum bertolak – nati pening dan muntah bila melalui jalan bengkang bengkok. Sentiasa peka dengan raut wajahnya, jika bibir putih pucat – berhentilah dahulu. Beri ruang udara segar untuk dia menyelesakan diri. Paling penting, pampers mesti sentiasa kering. Pampers penuh boleh menyebabkan ruam bila duduk terlalu lama dalam kereta. Dan apabila mendesak menguruskan dirinya – jangan peduli sekeliling – hatta pandangan pada sisi lain. Aku hanya mampu bercerita sependek perenggan ini walhal hakikatnya banyak lagi aksara yang tak mampu ditaip di sini. Namun setelah novel ini siap dan berada di pasaran, hasrat mahu menghadiahkan senaskah pada menteri terpendam begitu sahaja. Aku fikir, beliau pasti akan mendapatkannya sendiri di kedai-kedai buku. Bukankah menteri sepatutnya membaca?

    

Wednesday, June 22, 2011

Blog baru, semangat baru

Setelah sekian lama memendam hasrat untuk 'menghidupkan' semula blog sedia ada, baru kini berkesempatan melakukannya.  Namun atas masalah teknikal, blog lama tidak dapat di'update' lagi sebab sudah terlalu lama terbiar (dari anak dua hingga sekarang sudah 3 anak...).

Bagi saya, dunia yang hanya bermain dihujung jari kita, sukar untuk diterokai kerana kurangnya minat.   IT memang bukan bidang kemahiran saya dan amat kurang minat untuk meneroka.  Tapi setakat asas yang perlu, boleh lah...agar tidak ditertawakan anak sekarang yang begitu 'celik IT'.

Kebosanan melayari "muka buku' menyebabkan saya beralih ke dunia blog.  Banyak yang ingin dikongsi-idea,  isu-isu semasa, hobi (yang pastinya bidang kraft), resepi masakan dan pelbagai lagi.  Moga akan dipermudahkan perkongsian ini dan memberi manafaat kepada semua.  InsyaAllah.

Baru peringat 'warm up'.  Akan terus berceritera lagi...