Saturday, January 14, 2012

Quran Explorer

Quran Explorer

Baru terjumpa di blog Kak Raudah Roslan (isteri Prof Kamil- Rumah Kecil Di Jabal Ohud). Tidak payah sebenarnya jika kita sendiri yang mahukannya...Moga Allah permudahkan...

Sunday, January 1, 2012

Scone Kismis

Resepi Scones kismis seperti yang dijanjikan :

(Untuk menghasilkan 8-10 biji scones)

200gm tepung naik sendiri atau tepung high protien
1/2 sudu teh garam
150 ml susu segar (suhu bilik) --bergantung juga kepada kelembutan doh
3 sudu besar gula castor
50 gm butter (suhu bilik)
Kismis (basuh dan keringkan dengan tisu dapur)

Cara-caranya :

Gaulkan tepung dan garam hingga sebati.  Masukkan butter dan gaul dengan hujung jari hingga menjadi serbuk roti.  Masukkan gula dan susu.  Gaul lembut hingga sebati.  Doh menjadi lembut tetapi tidak melekat.  Uli dengan lembut.  Semakin kurang kita menguli doh, semakin lembut scones yang akan terhasil (the less is better).  Jika doh masih lembik atau melekat, masukkan sedikit tepung.  Masukkan kismis.  Tabur sedikit tepung atas permukaan tempat mencanai.  canai doh setebal 1 inci.  Tekap dengan acuan bulat dan susun dalam dulang pembakar (jarakkan susunan dan TIDAK perlu menyapu dulang dengan minyak).  Bakar dengan suhu lebih kurang 160 darjah celcius selama 15 minit atau sehingga kuning keemasan.  Selepas masak, terus masukkan dalam bekas dan ditutup dengan kain bersih.  Ini untuk memastikan scones terus lembut.

Masa penyediaan lebih kurang 20 minit sahaja.  Amat sesuai untuk minum petang dan dimakan bersama jem, butter atau krim putar atau dimakan begitu sahaja (gambar scones boleh rujuk kepada entri sebelum ini).

Selamat mencuba...

(memasak adalah satu seni atas kretiviti  dan gerak hati sendiri.  Mungkin resepi yang diberikan akan memberikan hasil yang berbeza bagi setiap orang...)

my homemade scones...

Hujan yang turun sepanjang hari menjadikan perut mudah lapar.  Anak-anak asyik menjengah ke dapur mencari apa yang boleh dimakan.  Tambahan pula hari ini hati agak 'pedih' (baca entri saya sebelum ini) dan terapi terbaik bagi saya ialah memasak dan menjahit.  Selesai membuat entri di bawah saya terus ke dapur menyediakan laksa penang untuk juadah makan tengahari.  Sudah jemu dengan nasi...Selesai semuanya,saya menyudahkan pula jahitan apron yang terbengkalai semalam.  Alhamdulillah, kali pertama buat, menjadi juga.  Dan untuk juadah minum petang, inilah dia scone kismis.  Sudah beberapa kali mencubanya, Alhamdulillah kali ini lebih cantik jadinya.  Scone enak dimakan panas-panas bersama jem dan butter.  Dilawan pula dengan kopi o panas.  Suami dan anak-anak menikmati penuh selera,tambahan pula si Iman Thuraya yang dari awal paling sibuk menjadi pembantu mama...akan saya kongsi resepinya nanti...


Published with Blogger-droid v2.0.1

Hatiku menangis lagi...

Luka yang satu ini tidak pernah sembuh. Setiap kali menulis berkenaan anak syurga ini, aku akan menulis dengan air mata. Setiap kali mengenangkan hal anak syurga ini, aku akan menangis dan menelan air mata sendiri. Sudah berbelas tahun dia dilahirkan namum masih ada yang memandang sepi kehadirannya. Dia tidak pernah minta dilahirkan ke dunia dengan keadaan begini dan kami juga tidak pernah mengimpikan akan mendapat anugerah ini. Tapi Allah itu maha kaya, dia menganugerahkan kami dengan ahli syurga ini dan kami terima dengan redha. Tapi, tidakkah orang lain, terutamanya darah daging sendiri melihat dengan mata hati, kenapa anak ini dianugerahkan kepada kita semua?

Isu ini umpama 'isu lapuk', sudah lama, sudah tidak relevan. Tapi bagiku, apa sahaja isu berkaitan anakku ini, tidak pernah lapuk, tidak pernah tidak relevan. Apa sahaja yang dilakukan kepadanya hatta pandangan hujung mata orang lain sekalipun, akan kembali kepadaku sebagai ibunya. Anak yang menjadi permata hati, racun dan penawar dalan hidupku ini tidak pernah mengerti atau memahami pandangan dan penerimaan orang lain terhadapnya, tetapi tidak bagi aku. Jijik sangat kah anakku ini sehingga hendak bersentuh, bersalam sekalipun tidak mahu. Apatah lagi jika melihat air liur yang sentiasa meleleh itu. Anak syurga itu juga punya hati dan perasaan, mahu diterima seperti anak normal lain yang disanjung, disayang, disebut sepanjang masa.

Luka aku yang satu ini tidak pernah dan tidak akan sembuh mungkin. Melihat dari pandangan mata, susun kata mereka juga sudah mampu membuat luka lama itu berdarah kembali. Jika ingin 'bersaudara' denganku, sepatutnya terimalah juga anakku ini seadanya dia...

Tidak mengapa anakku. Biar apapun pandangan dan penerimaan mereka, kau tetap ada ibumu ini. Kau tetap ada ayah, adik-adik dan saudara mara lain yang dapat menerima keadaan mu. Biarpun begitu keadaanmu, kau sudah pasti tempatmu di syurga nanti....

Bersabarlah hati...Allah sentiasa bersama orang yang sabar dan redha...


Selamat tinggal 2011...selamat datang 2012

Begitu cepat masa berlalu. Rasanya baru sahaja memasuki tahun 2011, tetapi kini beberapa minit lagi 2012 pula akan menjelma. Masa memang tidak pernah berhenti berdetik, makin hari makin pantas. Sedar-sedar sudah berpindah setahun lagi.




2011...hemmm...mulai 1 Januari 2011 hingga kini 31 Disember 2011, terlalu banyak ceritanya. setiap hari yang dilalui adalah satu cerita. Ada cerita yang indah, cerita manis, cerita lucu, cerita sedih dan 1001 macam cerita lagi. Jika setiap hari dicatat atau dikarang, pastinya sudah menjadi satu novel atau travelog kehidupan. Ada cerita yang indah untuk dikenang, namun ada juga cerita yang ingin dipadamkan terus dari ingatan. Namun semua itu adalah rencah kehidupan yang telah diatur oleh Allah SWT dengan indah dan cantik sekali. Cuma kita sebagai hambanya terkadang lupa untuk bersyukur dengan segala yang diberi samada baik atau buruk.

2012...walaubagaimanapun keadaannya ia akan tetap datang. Entah apa pula yang akan dilalui selepas ini. Sebagai manusia, kita pasti berharap untuk yang terbaik sahaja. Kita merancang, Allah SWT juga telah merancang dan perancangan Allah SWT adalah yang paling sempurna. Semoga perancangan Allah SWT dan perancangan kita bersatu. Moga 2012 menjanjikan sesuatu yang baik untuk kita semua, namun jika yang tidak indah juga yang menjelma, tetaplah bersyukur kerana itu tandanya Allah SWT sayangkan kita, mahu menguji kita lagi untuk menjadi hambaNya yang lebih kuat, tabah dan sentiasa bersyukur dengan nikmatnya...

Jika semasa 'muda' dahulu, setiap kali menyambut tahun baru, pasti akan memasang azam tahun baru. Seperti kebiasaannya, azamn hanya 'panas' di awal tahun. Masa berlalu, azam semakin menyejuk dan akhirnya membeku. Azam tinggal azam. Kini, saya tidak pernah lagi menetapkan azam. Setiap kali ingin melakukan sesuatu perubahan atau inginkan sesuatu, bila-bila masa sahaja boleh buat, tidak semestinya perlu menunggu ketibaan tahun baru untuk membuat azam. Setiap hari saya berazam untuk menjadi yang lebih baik dari semalam. Bagi saya itu sudah memadai.

Pastinya saya juga mengharapkan 2012 menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Mahukan yang terbaik untuk diri sendiri, suami, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan. Mahu yang terbaik sahaja tidak memadai jika tidak disusuli dengan kerja keras. Moga kita juga akan terus kuat dan tabah mengharungi apa juga yang mendatang...

***entri ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. dimulakan pada tahun 2011 dan siap pada tahun 2012...hihihi...