Thursday, March 29, 2012

Hobi baru...

Sehari dua ini rasa bersemangat nak menghidupkan kembali rumah kecil ini dengan pelbagai entri.  Alhamdulillah...

Kali ini saya ingin kongsikan hasil dari hobi baru, menjahit beg dan purse.  Bila sekali sudah mula, memang seronok dan macam-macam yang hendak dibuat.  Memandangkan tanah tinggi ini tiada kedai yang menjual kain secara khusus (memang tiada kedai yang jual kain ela pun), saya terpaksa mendapatkan bekalan kain dari Ipoh atau Kuala Lumpur.  Masalahnya bukan selalu berkesempatan untuk berkunjung ke kedai kain.  Sesekali dapat berkunjung, jenuh memilih mana yang berkenan.

Paten-paten beg ini biasanya saya cari di internet.  Tanya sahaja pakcik google, semua dia tunjuk.   Banyak blog-blog yang berkongsi tutorial percuma untuk membuat beg dan sebagainya.  Pilih  saja mana yang suka.  Jom jamu mata.  Kalau nak tempah pun boleh...hihihi

beg telekung yang saya guna sendiri

clutch dan mini envelope purse...sudah dijual

simple tote bag untuk bawa ke tuisyen atau mengaji.  Sudah dijual

clutch yang saya guna sendiri.  Guna kain mahal, sayang nak jual

simple bag, juga untuk kegunaan sendiri.  Senang nak sumbat segala barang dan ipad.  Galas di bahu atau selempang.  Mudah untuk bergerak

Beg dari kain cudroy.  Cubaan pertama, sudah 'disambar' oleh jiran

bahagian dalam bag, dengan magnetic button
  Sejak ada hobi baru ini, kerja-kerja penulisan 'terhenti' seketika (kecuali mengadap muka buku dan blog)...

Wednesday, March 28, 2012

RED VELVET CAKE

Membuat kek bukanlah bidang saya.  Kebiasaannya samada kurang menjadi atau tidak menjadi langsung. Begitulah setiap kali cubaan membuat kek atau biskut, saya pasti akan kecewa.  Sebab itulah saya jarang sekali membuat kek atau biskut.  Takut kecewa...Satu-satunya kek yang saya agak 'mahir' ialah kek lobak merah...

Di tanah tinggi ini, tiada kedai kek melayu.  Sebelum ini, jika sesekali teringin makan kek saya hanya akan tuju ke Secret Recipie.  Saya akan nikmati kek kejunya sepuas hati.  Tapi kini kedainya sudah ditutup.  Tidak tahu apa alasannya.

saya bukanlah peminat kek, hanya yang betul-betul sedap boleh masuk ke tekak ini...

 23 hb Mac 2012 baru-baru ini adalah hari jadi Iman Thuraya yang ke 3.  Apalah yang dia faham akan sambutan majlis hari jadi, tiup kek, dapat hadiah dan sebagainya.  Tambahan pula ketika ini hanya dia seorang di rumah.  Abang dan kakak di asrama.  Hanya mama juga yang perlu mengingatkan babah iman akan tarikh itu (biasalah, lelaki...).  Hanya sekadar ucapan tanpa sebarang sambutan.  Juga doa dari seorang ibu agar anaknya menjadi anak yang solehah, cemerlang di dunia dan akhirat.


Sudah lama saya teringin hendak mencuba Red Velvet Cake yang sering saya lihat di blog air tangan cik siti (antara blog kepercayaan saya untuk mencari resepi yang betul-betul boleh menjadi).   Masa inilah hendak mencuba bakat terpendam.  Manalah tahu kalau kali ini menjadi pula kek saya (besar sungguh harapannya).  Rupanya mahal juga kos bahan-bahannya terutama cream cheese.  Hendak cuba dan Iman Thuraya punya pasal, saya pejamkan mata dan hampir lima puluh ringgit dikeluarkan untuk kek ini.  Kalau tak jadi saya bersumpah, inilah kali terakhir saya membuat kek...hihihi

Semangat sudah ada, kudratnya pula tiada.  Dua hari projek red velvet tertangguh.  Akhirnya saya kuatkan hati dan semangat, keluarkan mixer dari kotak (yang sudah bertahun tidak digunakan) dan terus  membancuh kek sebelum memasak makan tengahari.  Saya tahu, jika saya bertangguh lagi pastinya red velvet hanya jadi sejarah dan bahan-bahan terutama cream cheese akan luput begitu sahaja dan menjadi santapan tong sampah (sudah terjadi beberapa kali). 

Semangat yang berkobar-kobar tidak cukup tanpa ilmu pengetahuan dan praktikal.  Kek sudah siap dibakar, tapi masalahnya adalah untuk menyiapkan dekorasi kek.  Dahlah tangan ini memang 'keras tangan'.  Hentam sajalah sebab bahan-bahan dekorasi sudah siap.  Saya gelak sendiri melihat deko kek. Mujurlah Iman belum pandai menilai, kalau tidak mungkin dia juga akan gelak guling-guling melihat deko kek hari jadinya...

Apapun, 'don't judge the book by it's cover'.  Itulah kek saya.  Biarpun 'buruk' penampilan, tapi rasanya hampir menepati piawai. 

Saya kongsikan hasil tangan yang tak menjadi ini.  Untuk resepinya, scroll pada blog kegemaran saya dan klik pada blog air tangan cik siti.  Saya tiru bulat-bulat resepinya (terima kasih cik siti).

Satu yang saya pinta, jangan gelakkan saya ya...

kek yang sudah siap dilapisi cream frosting.  Pening bagaimana hendak salut kek dengan cream cheese frosting...

bahan paling mudah didapati di sini untuk hiasan, strawberry...jangan lihat hiasan di atasnya...hancur...

Apalah yang difikir oleh Iman ya...

Apapun Iman tetap kata...kek mama terbaikkk....

Rasanya saya masih mahu cuba membuat kek ini lain kali.  Belum serik lagi.



Thursday, March 22, 2012

Aura seorang guru

Sewaktu kecil, jika ditanya besar nanti nak jadi apa, jawab saya dua sahaja.  Nak jadi doktor atau cikgu.  Itu lah dua pekerjaan yang amat saya 'kagumi' sekali.  Main pondok-pondok pun, dua karekter itulah yang sering 'dilakonkan'.  Saya menjadi cikgu atau doktor dan adik-adik yang menjadi 'mangsa' sebagai anak murid atau pesakit.  Hari demi hari berlalu, dari tadika ke sekolah rendah.  Dari sekolah rendah ke peringkat menengah, cita-cita itu tetap kukuh digenggam dan berusaha gigih untuk dicapai.  Selepas keputusan Sijil Rendah Pelajaran (PMR sekarang) saya berjaya masuk ke kelas aliran sains tulen.  Guru Biologi ketika itu, Cikgu Bajuri seorang guru lepasan salah sebuah universiti di Indonesia dapat mengesan minat saya dalam bidang perubatan.  Dia lah yang memberi galakan dan semangat hinggakan memberi saya buku-buku rujukan sains dan perubatan untuk ditelaah.  Saya mengikut sahaja dan memang ternyata saya 'score' subjek biologi.  Cita-cita untuk menjadi seorang doktor makin mudah dirasakan dan cita-cita untuk menjadi seorang guru makin dilupakan.  Malangnya saya bukanlah seorang yang berani dengan jarum, darah dan pisau.  Untuk 'membedah' seekor katak di makmal sains umpama hendak membedah perut sendiri.  Amat tidak sampai hati sekali.  Macam mana lah nak jadi doktor!  Entah apa yang tidak kena (atau memang sudah takdir Allah swt) saya tidak mendapat  kredit dalam matapelajaran Matematik Tambahan dan English (sedangkan sebelumnya tidak pernah begitu).  Hancur berkecai cita-cita hendak melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.  Perjuangan diteruskan ke menara gading tanpa memikirkan lagi apa pekerjaan selepas itu.  Yang penting ialah mendapat diploma dahulu dan seterusnya ijazah.  Jika berkemampuan, akan diteruskan hingga ke peringkat doktor falsafah.  Program diploma yang saya ambil bukanlah program yang 'glamor' seperti Diploma Sains Komputer pada waktu itu.  Kami, mahasiswa program Diploma Pembangunan Manusia tidak begitu dipandang.  Tak mengapa. Yang penting ilmu yang dituntut dah pendedahan-pendedahan yang diterima sepanjang bergelar mahasiswa.  Sewaktu di tahun akhir pengajian peringkat diploma, kertas kerja berkumpulan yang merupakan syarat wajib untuk lulus bertajuk Penubuhan Pusat Tuisyen (lebih kurang begitulah tajuknya).  Kami berempat dalam satu kumpulan bertungkus lumus selama satu semester menyiapkan kertas kerja tersebut dan Alhamdulillah kumpulan kami berjaya.  Selepas tamat pengajian diploma, saya dan beberapa orang rakan yang baru bergraduat terlibat dalam program tuisyen percuma untuk anak-anak peneroka di tempat kami. Seronok juga rupanya jadi cikgu.  Cita-cita yang hampir saya lupakan kini tumbuh semula.  Dari situ saya memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.  Saya memohon untuk melanjutkan pengajian ke program Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di universiti yang sama.  Namun memang nasib tidak menyebelahi saya.  Biarpun rayuan demi rayuan dibuat, saya gagal mandapat tempat dalam bidang yang saya minati itu.  Akhirnya perjuangan diteruskan dalam program Bacelor Sains Pembangunan Manusia.  Bagi saya cita-cita untuk menjadi guru terhenti setakat itu sahaja.  Tiga tahun berjuang untuk mendapat ijazah. Allah swt telah mengatur perjalanan hidup umatNya ini.  Ditahun akhir pengajian, saya telah mendirikan rumahtangga.  Sudah sampai jodohnya.  Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.  Saya berjaya lulus dengan kelas dua atas walaupun sedang hamil anak sulung ketika itu. 


Selepas bergraduat, saya tidak bekerja sehingga selamat melahirkan anak sulung kami.  Dalam pada itu saya tetap berusaha memohon mana-mana pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan. Rezeki belum menyebelahi saya.  Biarpun pelbagai jawatan dipohon, pelbagai temuduga dihadiri, belum ada rezeki untuk saya bekerja.  Kebetulan anak sulung kami yang baru berusia beberapa bulan ketika itu sering tidak sihat dan memerlukan perhatian rapi (kami belum tahu dia adalah anak istimewa).  Saya kemudiannya mencuba nasib memohon untuk menjadi guru sandaran di sekolah menengah di tempat tinggal kami. Alhamdulillah, saya berjaya.  Bermulalah karier pertama saya secara rasmi biarpun hanya sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih.  Hari pertama mengajar, saya bertemu kembali dengan guru yang mengajar mata pelajaran Sains Pertanian ketika di tingkatan dua dan tiga.  Dan, hari pertama mengajar juga menyebabkan saya diserang migrane akibat melayan kerenah pelajar-pelajar kelas peralihan.  Akibatnya saya terus pengsan selepas pulang dari sekolah.  Begitu besar penangan hari pertama bergelar 'cikgu'.  Ketika dalam tempoh setahun bergelar Guru Sandaran, saya juga memohon untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan dan Alhamdulillah akhirnya cita-cita untuk menjadi guru semakin cerah apabila mendapat surat tawaran untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah selama 2 tahun (kalau tak salah) dalam bidang Kemahiran Hidup di Institut Perguruan Ilmu Khas, Cheras.  Ketika itu saya tidak lagi bergelar guru, tapi mejawat jawatan sebagai Pengurus di sebuah syarikat hartanah.  Kita merancang, Allah juga telah menetapkan yang terbaik untuk kita.  Memandangkan keadaan kesihatan anak yang tidak menentu ketika itu dan bos yang amat berat untuk 'melepaskan' saya (hingga sanggup menaikkan gaji agar saya menolak tawaran itu), sekali lagi saya terpaksa melupakan hasrat untuk menjadi seorang guru.  Tidak mengapa, pasti ada hikmah disebalik semua itu.  Bertahun-tahun saya meneruskan kerjaya sebagai Pengurus Syarikat, namun naluri seorang guru tertanam teguh.  Akhirnya, setelah 'jemu' dengan kerja makan gaji dan ingin melakukan sesuatu yang lebih mencabar, saya sepakat dengan suami untuk menubuhkan pusat tuisyen.  Pelbagai onak dan ranjau kami tempuhi sepanjang lebih kurang sepuluh tahun bergelumang dalam dunia perniagaan ini.  Suka, duka, seronok, tak seronok kami tempuhi dengan cekal.  Saya amat mencintai kerjaya itu. Dari situlah aura seorang guru melekat pada diri saya.  Ke mana saja pergi, semua orang akan mengatakan saya seorang guru.  Tidak pernah lagi saya ditebak dengan soalan 'awak ni doktor ya?' atau 'kakak ni pegawai ke?'.  Kebiasaannya pasti 'cikgu ya?'.  Saya amat seronok dan sedikit 'bangga' walaupun saya sedar saya bukanlah seorang yang layak dipanggil 'cikgu'.  Sehingga kini walaupun sudah tidak lagi terlibat dalam bidang pendidikan, saya masih mencintai bidang itu.  Biarlah apek di pasar itu terus memanggil saya 'cikgu' biarpun sebenarnya bukan seorang guru, kerana saya mahu semangat kental seorang guru kekal dalam diri dan sekurang-kurangnya saya adalah guru kepada anak-anak sendiri...


Panjang lebar cerita kali ini...


Published with Blogger-droid v2.0.1

Wednesday, March 21, 2012

Sekadar Coretan...

Gara-gara ketagihkan nescafe o, mata cerah hingga ke saat ini.  Kebiasaannya saya akan mengambil minuman kegemaran itu sewaktu sarapan pagi sahaja.  Tapi pagi tadi terlupa pula dan kebetulan encik suami membancuh seteko kopi o.  Itulah yang saya minum sama (untuk makluman, rumah kami memang tiada susu pekat manis dan saya tidak pandai membancuh miuman yang bercampur susu).  Selepas makan tengahari, rasa ketagihan tidak dapat diatasi lagi, dan dengan semug besar nescafe saya mengadap mesin jahit untuk menyiapkan projek beg telekung.  Kesannya hingga kini.  Walaupun badan terasa amat letih tapi mata langsung tidak terasa mengantuk.  Kalau naik ke katil waktu begini, jawabnya saya akan penat sendiri sebab berpusing ke kiri ke kanan, terlentang tak mahu lelap.  Nak hilangkan bosan, lebih baik saya update blog.  Hendak menonton tv, tiada cerita menarik.  Hendak mengadap muka buku juga sudah bosan.  Sesekali saja menjeling dan mencelah jika ada 'cerita' baru yang menarik...

Cuti sekolah sudah dua hari berlalu.  Rumah kini kembali sunyi.  Tinggallah Iman Thuraya teman 'bergaduh' saban hari.  Anak yang bakal berusia genap tiga tahun 23 hb Mac ini.  Pejam celik, sedar tak sedar sudah tiga tahun dia bersama kami.  Bermacam cerita dan ragam yang menjadi penyeri kami sekeluarga.   Seorang anak yang ceria dan pandai mengambil hati.  Sebenarnya saya amat tidak menyangka akan mendapat anak lagi.  Selepas tiga kali keguguran, saya tidak pernah menaruh harapan untuk hamil lagi walaupun doktor sudah merujuk kes saya kepada pakar di HUKM untuk menjalani rawatan kesuburan.  Biarlah, jika ada rezeki, pastinya Allah akan mengurniakan kami anak lagi.  Jika tidak pun, tidak mengapa.  Kami sudah mempunyai dua orang anak yang merupakan harta yang tiada nilainya.

Mengandungkan Iman memang menuntut banyak kesabaran.  Keluar masuk hospital perkara biasa.  Mujur juga saya menjalani pemeriksaan di Klinik Ibu dan Anak Tanah Rata, Cameron Highlands.  Saya menjadi 'pesakit kesayangan' Dr Sebastian, doktor yang menjaga saya sepanjang kehamilan.  Cukup prihatin sekali.  Saya dirujuk kepada pakar dan mendapat perhatian pakar setiap bulan (sedangkan pesakit lain hanya sekali sepanjang kehamilan).  Sepanjang mengandungkan Iman juga saya selalu memandu sendirian berulang alik antara Cameron Highlands dan Kuala Kubu Bharu untuk menguruskan penrniagaan di sana walaupun sedang sarat hamil.  Teringatkan momen-momen indah sewaktu hamil, memang seronok.  Terasa ingin diulang kembali momen itu, tapi mustahil sama sekali.

Saya kongsikan gambar-gambar ekslusif Iman sejak lahir hingga kini...

minggu pertama...

masih di dalam pantang...

sudah pandai senyum...

adik abang...

Along, abang dan Iman permata hati mama dan babah...

Masa-masa awal diperkenalkan dengan 'Baby', warisan dari Along...

baru tumbuh gigi...

Sudah pandai bergaya...

pantang nampak kamera...Ipad mama jadi hak dia...

hari pertama kelahiran...(sepatutnya ini gambar pertama)

Iman dan Aqil yang amat akrab.  Jauh menyebut-yebut, bila dekat bergaduh-gaduh...

Iman dan Baby yang tidak dapat dipisahkan...

Ada saja ragamnya...

Banyak lagi gambar-gambar dan aksi Iman yang tak larat hendak saya masukkan.  Mata juga sudah mula mengantuk...Alhamdulillah... 

Thursday, March 15, 2012

Sambal Taun Kerang

Kali ini saya ingin bercerita pasal makanan lagi.  Maklumlah, musim cuti sekolah adalah musim saya 'bertapa' di dapur.  Semuanya ingin dimasak untuk menjamu anak-anak yang sesekali dapat berkumpul bersama. Kebiasaanya anak kedua kami, Aiman Hazziq yang jarang dapat bersama selalu kerana peraturan asrama yang agak ketat dan 'tidak mesra pulang bermalam'.

Saya bukanlah keturunan Melayu tulen.  Sebelah ayah berdarah campuran Melayu dan Siam manakala sebelah emak berketurunan Melayu dan India.  Anak-anak kami pulak berdarah campuran Melayu-Siam-India-Jawa...Hendak dipanggil apa pula ya?  Walaupun begitu salah satu 'kemahiran' saya sedari sekolah rendah ialah memasak.  Maklumlah, sebagai anak sulung, saya bertanggung jawab menjaga dan menyediakan makanan untuk adik-adik semasa ayah dan emak keluar berniaga.  Dari situ saya membina kemahiran memasak dan sehingga sekarang saya akan cuba memasak apa saja resepi tidak kira bangsa atau keturunan untuk dicuba dan dijamu kepada keluarga.  Kadang-kala menjadi, kadang kala jauh larinya.  Tapi suami dan anak-anak tetap menjadi penyokong setia dengan memakan apa sahaja yang saya hidangkan.  Walaupun sudah berkahwin dengan suami yang berketurunan Jawa asli hampir 19 tahun, saya hanya sesekali merasa masakan tradisional Jawa iaitu Sambal Taun (bunyi ...tahun) yang dihidangkan semasa hari raya.  Biasanya Sambal Taun Ayam atau kerang.  Sekali imbas, bukan makanan yang mahu saya makan atau cuba kerana melihatkan timbunan cili api dan lengkuas yang memenuhi bekas lebih banyak dari isi ayam atau kerang!  

Entah mengapa, ketika kebosanan melanda, saya menjengah blog-blog masakan (yang memang saya link dengan blog ini) dan ternampak Sambal Taun Kerang dalam blog airtangan cik siti.  Begitu menarik dan resepinya juga amat mudah.  Bermulalah proses mencari kerang yang memang sukar didapati di daerah perbukitan ini.  Hampir empat hari saya mencari kerang di pasar.   Tiada.  Rupanya hanya seminggu sekali kerang di bawa naik dari bahagian Pantai Barat dan harganya juga sudah jauh berbeza.  Seingat saya (memang saya jarang membeli kerang dan jarang ke pasar) ketika di pasar Kuala Kubu Bharu hampir tujuh tahun lepas harga sekilo kerang tidak lebih dari seringgit setengah.  Tapi hari ini rupanya hampir RM3.50 sekilo!  Hendak memasak punya pasal belilah juga.  Akhirnya menjadilah juga Sambal Taun Kerang saya dan diberi markah A oleh encik suami...hihihi

Di sini saya kongsi resepinya yang saya ubah suai sedikit dari resepi asal (terima kasih cik siti...)

2 kg kerang - cuci, rebus, kopek, cuci lagi (buang pasir dan lumpur) dan toskan
lengkuas secukupnya - dihiris halus (saya guna seketul lengkuas sebesar penumbuk)
6 ulas bawang merah - dimayam halus
4 ulas bawang putih - dimayam halus
Segenggam cili api - dibuang tangkai (jika suka boleh lebih)
Sedikit belacan jika suka
2  keping asam keping
Garam dan gula secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis
1 cawan santan pekat
Santan cair secukupnya

Cara-caranya:

Tumis bawang dan lengkuas yang telah dihiris halus sehingga layu dan wangi.  Masukkan sedikit belacan dan cili api.  Kacau sebentar dan masukkan kerang, santan cair, asam keping, garam dan gula secukupnya.  Biarkan merenih di atas api perlahan dan kacau selalu sehingga mendidih dan agak pekat.  Akhir sekali masukkan santan pekat untuk memekatkan sedikit kuah.  Kuah tidak perlu terlalu pekat.  Sekadar cukup sahaja pekatnya.  Biarkan mendidih sebentar.

Masakan ini akan lebih sedap jika dibiarkan semalaman atau dipanaskan berulang kali.  Jika kuah makin kurang boleh ditambah sedikit santan cair dan dipanaskan semula.  Memang tahan lama dan tidak jemu dimakan.  Sesuai dimakan dengan nasi putih atau ketupat.

Tidak perlu berketurunan Jawa untuk memasak masakan Jawa...Selamat mencuba.


Thursday, March 8, 2012

Kisah si penjual roti...



Kisah ini tidak pernah lekang dari ingatan.  Entah bila ia bermula dan mengapa tidak dapat dipastikan.  Yang pasti, pada suatu hari terdengar bunyi hon motosikal sayup-sayup, sekejap kemudian, bunyi itu berhenti kemudian kedengaran kembali.  Melagukan satu irama yang amat indah.  Motosikal itu lalu perlahan di hadapan rumah, rupa-rupanya bunyi hon si penjual roti.  Penuh sarat motosikal yang ditunggang dengan tong besi bercat hijau mungkin penuh berisi roti.  Disekeliling tong pula tergantung plastik-plastik kecil juga berisi roti. Di raga hadapan pula terdapat satu bekas besar mungkin berisi kaya buatan sendiri.  Saya hanya memerhati dan si penjual roti menoleh dan melemparkan senyuman.  Saya terpana...

Suatu hari, sekolah mengadakan mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru.  Seperti biasa ramai ibubapa hadir walaupun masing-masing sibuk dengan tugas seharian sebagai peneroka rancangan FELDA.  Saya yang ketika itu bertugas sebagai pengawas sekolah, turut sama terlibat secara tidak langsung.  Dari jauh terpandang motosikal si penjual roti diparkir di bawah sepohon pokok yang rendang.  Seperti biasa tong besi hijau tetap berada di tempatnya dan bungkusan roti tetap bergayut di sekeliling tong.  Tiada siapa berani mengusiknya.  Hati saya tersentuh.  Gigihnya si penjual roti ini.  Dalam kesibukan mencari rezeki, tugas sebagai Pengerusi PIBG tetap tidak dilupakan.  Dalam comot pakaian berjualan, beliau tetap menghadirkan diri.  Biarpun roti buatannya masih belum banyak yang laku kerana perlu memenuhi tugas ini.  Kelihatan beberapa pelajar berkeliling sekitar motosikal dan membelek-belek bungkusan roti di luar. Mungkin berminat tapi tiada penjual.

Saya sering merasa roti yang dijual dan satu roti kegemaran saya ialah roti planta.  Rotinya sebesar piring cawan kopi dan berkelopak-kelopak.  Dicelah-celah kelopak itu disapu dengan planta dan ditabur dengan gula lalu dibakar.  Cukup enak sekali, mengalahkan mana-mana roti yang pernah saya rasa.  Tiada tandingannya sehingga saat ini walaupun dengan roti yang saya buat sendiri.  Keenakannya boleh saya rasai sehingga kini.  Saya juga pernah 'melawat' tempat penghasilan roti si penjual roti.  Kecil sahaja, umpama sebuah bangsal yang diperbuat dari batu, lengkap dengan kebuk tempat pembakar roti yang menggunakan arang sepenuhnya untuk membakar roti yang dihasilkan.  Proses menguli roti juga dilakukan secara manual menggunakan tangan.  Bayangkan berapa banyak tenaga yang diperlukan untuk menguli roti-roti yang akan dijual.

Jualan roti semakin mendapat perhatian dari sehari ke sehari.  Permintaan makin meningkat.  Namun kudrat dan kemampuan tidak dapat memenuhinya.  Saya tidak pasti dan tidak ingat bagaimana akhirnya pembuatan dan jualan roti terhenti begitu sahaja.  Sehingga kini saya masih teringat-ingat akan keenakan kaya buatan sendiri dan roti planta si penjual roti.  Bangsal batu tempat mereka menghasilkan roti satu ketika dulu kekal di tapaknya bertahun-tahun sehinggalah ia musnah satu persatu.  Tiada siapa yang peduli.  Saya yang sesekali pulang ke kempung akan melalui kawasan tersebut dan mengimbau kenangan-kenangan si penjual roti.  Akhirnya yang tinggal hanyalah kebuk pembakar dan akhirnya kebuk itu juga musnah kerana kawasan itu kini dijadikan tapak pekan sari.

Ya, si penjual roti itu adalah arwah ayahanda saya sendiri.  Allah mengurniakan beliau pelbagai kelebihan dan bakat.  Menjadi pemimpin, usahawan dan bapa yang amat cekal dan tabah.  Parut panjang yang membelah bahagian dadanya dari hadapan ke belakang sewaktu berkhidmat dengan tentera melayu satu ketika dulu menjadi petanda beliau seorang yang amat berani.  Parut di kepalanya akibat pembedahan membuang ketumbuhan dan darah beku di kepala satu ketika dulu membuktikan beliau sanggup menghadapi apa juga cubaan dan dugaan Allah swt.  Beliau menjadi pemimpin keluarga dan masyarakat.  Beliau juga yang menjaga stesen generator yang membekalkan eletrik untuk penduduk Jengka 2 dari jam 7 malam sehingga 12 tengah malam (atau sehingga pagi jika ada kenduri kendara).  Tangannya berselaput minyak hitam, tubuhnya bermandikan keringat ketika generator eletrik yang sudah uzur itu rosak.  Dibaikinya dengan tangan sendiri, berjam-jam bekerja demi memastikan penduduk setempat tidak bergelap.  Beliau jugalah yang memulakan usaha untuk menghidupkan koperasi penduduk dan membangunankan stesen minyak petronas (ketika itu saya menuntut di UPM dan sayalah yang menjadi pembuat kertas kerjanya).  Tidak tersenarai apa yang telah dilakukannya...

Betapa si penjual roti @ si penjual ikan @ tukang cuci kereta @ si peternak lembu dan kambing dan bermacam lagi gelaran itu amat saya rindui.  Semangat juangnya yang amat tinggi dan tidak pernah mengenal erti putus asa perlu saya ambil dan tanam kukuh, sekukuh-kukuhnya di dalam diri ini.  Saya yang ada ketikanya tewas dengan cubaan yang rasanya baru sedikit berbanding dengan apa yang telah dilalui arwah ayahanda, merasa malu bila mengenangkan itu semua.  Darahnya mengalir dalam tubuh ini, tapi kekuatan dan semangatnya tidak ikut serta.  Betapa saya juga perlu kuat, sekuat dirinya ketika dikhabarkan mempunyai ketumbuhan dan pendarahan di dalam kepala atau saat dirinya memuntahkan ketulan darah hidup sewaktu mengimamkan kami solat maghrib (yang kami sangkakan ayah sudah tiada lagi waktu itu)...beliau terus berjuang untuk hidup walaupun menderita menanggung kesakitan berpanjangan yang tiada hentinya hingga ke saat nafas terakhir...

Saya juga mahu kuat dan tabah sekuat dan setabah si penjual roti itu... 


* Al Fatihah untuk arwah ayahanda.  Kami amat merinduimu...

Thursday, March 1, 2012

Bermula kembali

Lama benar rumah kecil ini ditinggalkan, terbiar kali ini. Bermacam hal, bermacam peristiwa yang dilalui menjadikan saya seolah terlupa akan rumah kecil ini. Semangat yang terbang hilang, jasad seumpama tertanam jauh ke perut bumi...Ya Allah jika ini caranya Kau ingin mendekatkan diriku kepadaMu, aku redha, aku terima dengan sepenuh hati. Tapi Ya Allah, Kau berilah aku kekuatan, Kau berilah aku petunjuk agar aku dapat terus menghadapi apa jua yang Kau berikan.

Bukanlah mudah untuk menerima perkara-perkara yang terkadang tidak masuk dek akal. Cukuplah, saya tidak ingin memikirkan perkara itu lagi. Penat dan lelah memikirkannya. Lebih baik dipandang hari mendatang yang pastinya menjanjikan sesuatu yang indah, Insyaallah...

Sekarang saya juga sudah mempunyai hobi dan kemahiran baru. Semuanya hasil dari perkara-perkara 'hitam' yang membelenggu diri sebelum ini. Salah satu cara untuk 'release' adalah dengan menjahit. Cubaan saya untu menjahit beg, purse, membuat gaun dan smocking untuk Iman menjadi. Tak sangka rupanya saya boleh menghasilkan barang-barang tersebut yang sebelum ini saya rasakan mustahil untuk saya buat sendiri. Selain kegilaan saya kepada quilt dan patchwork, saya pernah cuba-cuba untuk menjahit pakaian, tapi kebiasaannya gagal di tengah jalan kerana saya bukanlah orangnya yang boleh 'bersabar' dengan segala perkara teknikal untuk menjahit pakaian (sedangkan untuk menghasilkan sehelai selimut quilt adalah lebih teknikal lagi, tapi masih dalam konteks penerimaan saya...). Jadi disebabkan kegilaan baru itu saya lupa diri sebentar. Setiap hari saya akan duduk menghadap mesin jahit kesayangan dan mencuba perkara-perkara baru itu. Yang paling untung ialah Iman Thuraya, kerana setiap hari akan ada saja pakaian baru untuknya. Tambah seronok dan menggila lagi apabila dia juga cukup seronok menggayakan apa sahaja yang saya hasilkan walaupun tidak secantik atau sekemas tukang jahit profesional. Yang paling bising ialah encik suami yang setiap hari akan bertanya bila saya akan menyambung kembali projek-projek penulisan yang sudah lama terbengkalai...hemmm...

Satu lagi 'kegilaan' baru saya ialah membeli kain cotton...aduhhh pantang nampak kain yang cantik, pasti akan saya borong. Tak dapat banyak, sikit pun jadilah. Tapi kegilaan ini masih dalam kawalan, tidak perlu mengambil 'ubat' penenang. Hasrat hati selepas ini, ingin menjahit sendiri baju raya untuk diri sendiri dan anak-anak...Insyaallah

Mengapa saya beralih kepada hobi-hobi baru ini? Banyak persoalannya dan jawapannya amat rumit...Akan saya ceritakan bila ada kekuatan kelak...

Berjumpa lagi...

*masih terkial-kial hendak memasukkan gambar menggunakan ipad ini...