Tuesday, December 16, 2014

Nasi Ambeng di hari ulang tahun

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah, hari ini kami berpeluang sekali lagi menyambut hari lahir encik suami yang ke 44.  Seperti biasa, tiada sambutan besar-besaran, sekadar diraikan bersama ahli keluarga kecil kami.  Kebetulan pula kami berdua masih tidak sihat sepenuhnya.  Kedua-duanya demam sejak beberapa hari lepas.  Memang begitu mengharukan bagi anak-anak bila mama dan babah serentak tidak sihat.  Pandai-pandai lah bawa diri.  Yang paling dikasihani ialah Along, anak syurga kami.  Begitu ingin menunjukkan simpati dan sifat prihatin, sentiasa di sisi menemani, diam memerhati dan langsung tidak banyak ragam.  Seolah-olah faham, mama dan babah tiada daya untuk menguruskannya.  Mujur ada adik yang boleh diharap untuk menyediakan makan minum Alongnya.

Hari ini saya gagahkan diri untuk menyediakan hidangan istimewa sempena hari istimewa ini.  Tiada kek atau kuih muih.  Sediakan hidangan semampunya sahaja.  Insyaallah, dilain kesempatan saya akan menunaikan janji untuk menyediakan kek istimewa yang hanya dihidangkan untuk hari istimewa di kalangan keluarga kami, Upside down pineapple cake.  Kali ini saya menyediakan hidangan tradisi masyarakat Jawa iaitu Nasi Ambeng.  Memang kami biasa menikmati hidangan ini di kampung suami.  Tetapi selalu tidak puas kerana kadang-kadang tidak menepati selera saya.  Penyelesaiannya, saya selalu sediakan hidangan jawa dan mengubah suai sedikit mengikut selera kami sekeluarga tanpa menjejaskan ciri-ciri asal masakan.  Anak-anak juga merupakan peminat masakan jawa.  Redha saja lah...Mujur mama nya juga tidak cerewet...




ini lah rupa nasi ambeng saya.  Nasi putih dihidang bersama sambal goreng, serunding kelapa, ayam masak kicap, kerabu pucuk paku dan mee goreng jawa


Iman Thuraya, yang sentiasa membilang hari, mengingatkan setiap orang  tentang sambutan hari lahir.  Tidak kisah hidangan apa sekalipun, janji kena ada kek untuk suprise..nanti lah bila mama dah sihat ya...


Saya kongsikan resepi Nasi Ambeng versi saya sendiri ya.  Boleh diubah suai mengikut selera masing-masing.  Komponen hidangan adalah seperti berikut.  Kalau rajin boleh sediakan semuanya. Kalau tak rajin, pilihlah mana yang disukai.  Dan saya juga tidak bagi sukatan.  Semuanya sesedap rasa masing-masing ya.

Nasi putih
Ayam goreng/ayam goreng rempah/ayam masak kicap/ungkep ayam
Mee goreng jawa
Sambal goreng
Kerabu pucuk ubi dan taugeh
Serunding kelapa
Ikan kering
Sambal belacan
Bergedil ayam atau daging

1.  Nasi putih-masak seperti biasa

2.  Mee Goreng Jawa :

Mee kuning, bawang merah, bawang putih, cili kering (kisar), taugeh, daun kucai/daun sup/ daun bawang.  Kalau suka boleh masukkan udang atau bebola ayam

***tumis cili yang dikisar bersama bawang-bawang. perisakan dengan garam. Masukkan mee kuning.  Gaul sebati. Masukkan taugeh, daun kucai dan kacau rata.

3.  Sambal Goreng 
(yang ini ada pelbagai versi.  Resepi ini adalah versi saya sendiri)

Bahan-bahan : 
Tempe, kentang, tauhu, ikan bilis, soon (sohoon)- digoreng
cili kering, bawang merah, bawang putih - dikisar halus
carrot, kacang panjang, cili merah- dipotong
asam jawa, belacan kalau suka. garam
sedikit santan pekat

Tumiskan bahan kisar sehingga masak.   Masukkan garam, air asam dan belacan secukupnya.
masukkan sayur dan biar masak seketika
masukkan bahan yang telah digoreng.  Basahkan dengan santan pekat cukup sekadar basah (jangan sanpai berkuah. Tujuan untuk melembabkan sahaja).
Gaul sebati dan biarkan seketika.

4.  Kerabu Pucuk Paku dan Taugeh

Pucuk paku - dipotong dan dicelur secukupnya
Taugeh - celur sekejap
Bahan rencah - cili api/cili besar, bawang besar, bawang putih, kelapa parut putih, cekur, 
Limau kasturi, garam secukupnya.

Tumbuk bahan rencah. Gaul dengan pucuk paku dan taugeh.  Perisakan dengan perahan limau kasturi dan garam.

5.  Serunding Kelapa

Kelapa parut - disangai/digoreng sebentar
Bahan kisar- cili kering, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, halia, lengkuas, serai, sesudu makan jintan kasar, jintan halus dan ketumbar, gula melaka, garam, udang kering (optional), air asam jawa, 

Tumis bahan kisar dengan sedikit minyak sehingga masak.  Masukkan air asam jawa, garam dan gula merah.  Biarkan masak atau garing.  Masukkan kelapa parut dan gaul sebati.  Biarkan masak secukupnya

6.  Ayam Masak Kicap

Ayam - dibersihkan, digaul garam dan kunyit.  Kemudiannya di goreng sebentar
Kentang- dikupas,potong dadu dan digoreng

Bahan rencah- Rempah tumis tiga serangkai (Kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga), Bawang besar, bawang putih, halia-dihiris 
Kicap pekat secukupnya
Sayur- carrot dipotong panjang
Daun sup/ bawang dihiris halus
Air secukupnya
Soon- direndam sebentar
Sedikit santan pekat

Tumis rempah tumis.  Masukkan bawang-bawang dan halia yang dihiris halus.  Biar sehingga layu dan wangi.  Masukkan kicap dan air secukupnya. Masukkan santan pekat.  Biar mendidih dan kacau sentiasa.  Masukkan carrot, ayam dan ketang yang telah digoreng.  Kemudian masukkan soon.  Biar mendidih.  Kuah akan menjadi sedikit pekat jika dimasukkan soon. Jika kurang masin, perisakan dengan garam.


# maaf, saya tidak sempat menunjukkan gambar step by step penyediaan hidangan ini.  

Hidangan ini kebiasaannya dihidang di dalam dulang/talam yang dilapik dengan daun pisang. Letakkan nasi ditengah-tengah dan dicampurkan sekali dengan lauk-pauk yang telah disediakan tadi.  Makan secara berjemaah tentu lebih terasa keenakan dan keakrabannya...

Nampak gayanya saya juga perlu membeli dulang bulat selepas ini.  Kali ini saya hidangkan di dalam pinggan sahaja sebab tiada dulang bulat di rumah.

Semoga perkongsian resepi ini memberi manafaat kepada yang mencubanya.  Saya ulang sekali lagi, ini adalah versi saya sendiri dan menggunakan sukatan sesedap rasa saya sendiri.  Anda boleh gunakan kreativiti sendiri untuk menyediakannya.  Masak dari hati yang ikhlas, disulam dengan doa dan disediakan dengan peniuh kasih sayang, insyaallah akan meresap ke hati sanubari sesiapa sahaja yang menikmati hidangan anda...







Monday, November 24, 2014

Tahun Depan 21 Tahun!




TAHUN 2015 Along berusia 21 tahun dan setelah mencapai usia ini sepatutnya dia akan mengundi.  Mari kita dengar apa soalan-soalan yang ditanya kepada seorang Orang Kurang Upaya atau Disable People with Special Needs atau yang selalu dipanggil 'orang cacat' ini akan kata jika dia boleh berkata-kata.

Soalan :  Tahun ini 21 tahun bermakna awak akan dapat BR1M, tentu awak suka.  Awak hendak gunakan duit tu untuk belanja apa?

Jawapan :  Beli pampers.  Itu pun tak cukup.  satu pack pampers sekarang dah dekat RM20.00.  Sebulan nak guna paling kurang 8 pack.  Dah RM160.00.  Dapat BR1M berapa setahun?  Nak kena pakai kain lampin balik nampaknya.

Soalan :  (Penyoal dah tepuk dahi)  Jadi awak nak minta BR1M ditambah lah?

Jawapan  :  Tambah?  Awak dah hilang akal ke?  2014, peruntukan untuk BR1M dah RM 3.37 billion.  Orang cacat macam saya ni pun hanya layak dapat BR1M bila umur dah 21 tahun.  Sebelum-sebelum ini pun tak dapat.  Kalau ditambah, entah berapa banyak lagi lah habis.

Soalan :  Eh, awak dah lah susah, tapi tak setuju pula dapat BR1M, apa hal?

Jawapan  :  Cuba hang fikir sikit.  RM3.37 billion tu kalau disalurkan kepada sekolah khas untuk OKU, berapa sekolah boleh dapat?  Berapa ramai doctor boleh digaji?  Fisioterapis?  Optional Terapis?  Segala macam kemudahan untuk orang-orang Ceberal Palsi, untuk orang Disleksia, untuk Autisme...  Kenapa tak buat?  Kenapa beri BR1M kepada orang yang boleh bangun dan pergi kerja.  Yang boleh memandu kereta dan bercuti...  Yang boleh dapatkan duit dengan cara lain?  Kenapa tidak beri kepada kemudahan orang yang kalian panggil cacat ini?

Soalan  :  Er... Saya rasa bukan awak yang jawab soalan ini...  Ini mesti ada anasir-anasir luar yang jawab soalan ini...  Terima kasih ya.   

Tuuuuuttttttttt... 

Saturday, September 13, 2014

Along...20 tahun...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Begitu cepat masa berlalu.  Sedar tak sedar sudah berada di hampir penghujung tahun.  Menoleh sebentar ke belakang, mengenang dan mengingat kembali apa yang telah dilalui.  Macam-macam. Sampai terlupa apa yang dah berlaku...

Tahun ini anakanda Aiman Hazziq akan menduduki peperiksaan SPM, peperiksaan besar yang akan menentukan arah hidupnya selepas ini.   Dia, seperti biasa, relax, selamba dan masih leka dengan game setiap kali pulang bermalam.  Mama yang senak perut mengenangkan periksa yang tinggal tak berapa hari sahaja lagi.  Mujur juga dia di asrama.  Jadual dan waktu belajar yang siap tersusun.  Bila sesekali pulang ke rumah, didesak belajar juga, jawabnya "dah penat belajar kat sekolah, mama.  Bagi la peluang berehat sekejapppp je."  Mama mati kata...Sekejap dia yang langsung tak pegang buku. Jika seminggu bercuti, seminggu lah juga cuti pegang buku.  Suka hati lah.  Janji SPM dapat 9A1...Boleh?


Anak bujang harapan mama dan babah...
Kembali kepada kisah Along, anak syurga kami.  Along sudah menyambut hari lahir yang ke 20 pada 24/8/2014 yang lalu.  Dua hari selepas kami menyambut hari ulangtahun perkahwinan ke 21.  Tiada majlis besar, sekadar diraikan sesama kami dengan masakan istimewa mama.  Sewaktu menikmati hidangan, Aiman membacakan doa untuk Alongnya.  Mama menelan air mata mendengar doa yang dibaca.  Allahhu...Kau satukan lah hati kami dengan kasih sayang sejati keranaMu Ya Allah...

Apa yang Along sudah boleh lakukan dalam usianya yang sudah 20 tahun?  Jika gadis lain, pasti ketika ini sedang melanjutkan pelajaran ke menara gading atau sudah bekerja.  Tapi Along...tetap setia di sisi kami.  Alhamdulillah...

Along masih memakai diapers, makan minum, mandi dan segala urusan keperluan hidupnya perlu dibantu.  Jika lapar sekalipun, dia hanya mampu ke dapur, melihat sahaja jika tidak dihulurkan makanan atau minuman.  Jika sakit, dia hanya mampu menangis tanpa dapat memberitahu kami di mana yang sakit, apa yang tak kena.  Perkataan yang mampu dituturkan hanya beberapa patah sahaja. Tetapi dia sudah faham arahan ringkas.  Itu sudah cukup besar bagi kami.  Cuma tantrumnya yang masih di luar kawalan.  Jika waktu kecil, masih boleh dipeluk, dipujuk, dibelai.  Tetapi dalam usia sekarang, bila sudah datang angin taufannya, lebih baik jauhkan diri.  Biarkan dia tenang sendiri. Memang amat sukar untuk dipujuk kalau dia sudah mengamuk.  

Iman Thuraya, adik kecil dengan jarak usia mereka hampir 15 tahun menjadi 'jambatan penghubung' dalam banyak situasi.  Iman lah tukang pujuk, umpan dan tukang leter kepada kakaknya.  Biarpun sering 'dikerjakan' Along, marahnya tidak lama.  Reda tangisnya, reda juga lah rajuknya pada Along. Boleh bersama semula.  Iman yang bermulut becok, sering membuatkan Along rimas dan tidak selesa dengan bunyi bising.  Ditarik, dicubit dan dikerjakan adiknya itu, tidak kira di mana, tidak kira masa. Kadang-kadang tengah makan pun tiba-tiba dikerjakan Iman.  Menangis tak berlagu si Iman. Memang cengkaman tangan Along menyakitkan.  Apa yang kami lakukan kalau perkara begini terjadi.  Hendak dimarah atau dirotan, Along tak faham yang perbuatannya itu salah.  Hendak dimarah si Iman, memang sudah begitu kejadiannya, dikurniakan Allah dengan mulut yang tak tau diam. Kami perlu berlaku adil dan memang itu amat payah.

Along tetap perlu didisiplinkan dan diterangkan mana yang betul, mana yang salah.  Itu bukan satu perkara yang mudah.  Kadang-kadang, tiada kata yang mampu diluahkan pada Along bila dia mengerjakan Iman.  Tapi Along cukup 'takut' kalau Iman atau sesiapa sahaja menagis kerana perbuatannya,  Akan cepat-cepat dipujuk semula dengan pelukan yang kebiasaannya akan tambah menyakitkan.  Mujur Iman juga jenis yang mudah mengalah, cepat sejuknya.  Alhamdulillah...

Sebagai manusia biasa, kami sebagai ibubapa juga punya pasang surut perasaan dan kesabaran.  Tiba masa 'berlaga angin', dua -dua akan sama naik 'tantrumnya'.  Boleh bayangkan apa yang terjadi? Cuma sebagai manusia yang dikurniakan Allah akal yang sempurna, cepat-cepat beristigfar, kawal semula diri.  Along tetap begitu juga.  Dunianya yang ada ketika kami juga tidak mampu tembusi, fahami.

Sekarang, Along sudah mula kembali mengikuti Terapi Cara Kerja (Occupational Therapy) di PPUKM.  Setelah dirujuk oleh Klinik Rehabilitasi, kami tiada pilihan lain.  OT kali ini adalah lebih kepada Behavior Modification untuk membantu mengawal masalah tantrum Along.  Sudah lebih sepuluh tahun tidak menjalani terapi ini.  Kami tiada pilihan lain.  Biarpun perlu berulang dua minggu sekali ke PPUKM  Cheras, kami rela demi kebaikan Along.  Perjalanan mengambil masa hampir sejam setengah.  Bermakna pergi dan balik hampir tiga jam.  Terapi hanya mengambil masa antara 40 minit hingga sejam sahaja (bergantung kepada mood Along)!  Setiap kali sessi ot, Iman terpaksa dipontengkan dari sekolah kerana babahnya juga perlu ikut sama.  Saya tidak mampu memandu sendirian.  Masalah kesihatan, masalah parking dan juga tidak mampu untuk mengawal Along sendirian.  Ini juga adalah salah satu cara untuk mendidik Iman tentang Alongnya. Alhamdulillah, setakat ini Along amat memberi kerjasama setiap kali sessi bersama juru terapinya.

Along dalam bilik Snozzland
Tak jauh ke berulang Kuala Kubu Bharu-Cheras hanya untuk sejam terapi?  Untuk Along tiada yang jauh.  Lebih jauh dari itu pun pernah kami tempuhi.  Selagi ada daya kami, dengan izin Allah swt akan kami usahakan.  Biarpun pada usia 20 tahun ini, masih dengan terapi begitu.  Tiada masalah. Kudrat, kewangan dan masa boleh diusahakan.

Along sudah 20 tahun, perlukan pergi terapi begitu lagi?  Untuk Along tiada yang terlambat, tiada yang tidak perlu.  Mana yang baik untuknya, selagi daya akan diusahakan.  Apalah sangat yang kami telah lakukan untuk Along selama ini, berbanding dengan apa yang telah Allah swt kurniakan kepada kami...

Cukup suka bergaya...seronok dapat hadiah baju raya dari nenek...
Tengah tunggu giliran jumpa doktor...
Rambut dah tutup mata...adik lena di ribaan Along...
Along, anak syurga mama dan babah.  Kakak kepada Aiman dan Iman.  Kami tetap akan berdiri bersamanya, selamanya.  Doa dipohon agar Allah swt kurniakan kekuatan, kesihatan dan kesabaran kepada kami semua untuk bersama Along hingga ke akhir hayatnya, juga hingga ke akhir hayat kami...aminn Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim...




Sunday, May 25, 2014

Kami, Masyarakat dan OKU...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Subhanallah...Alhamdulillah...Allahuakbar...

Catatan bersambung lagi.  Sudah beberapa hari kepala ini sentiasa memikir apa yang nak ditulis.  Terlalu banyak cerita sampai tak tahu mana yang perlu ditulis dahulu.  Ketika sedang menyediakan juadah tengahari tadi, tiba-tiba terlintas tajuk ini.  Saya menulis entri ini adalah berdasarkan pengalaman hampir 20 tahun membesarkan anak syurga kami, Along.  Segala apa yang saya catatkan ini adalah pandangan peribadi saya sendiri, dan secara menyeluruh.  Siapa yang terasa hati, tercuit atau terkena batang hidung mohon ampun maaf.  Mana yang baik adalah dari Allah swt dan jadikan lah panduan. Manakala yang khilaf itu adalah dari saya sendiri dan jadikan lah ia sebagai teladan.

Saya bukanlah ibu yang sempurna, tetapi sentiasa belajar dan berusaha untuk mencapai tahap sesempurna mungkin.   Tambahan pula bersama tiga orang anak dengan tiga situasi dan zaman yang berbeza.  Anak gadis OKU, anak teruna tipikal dan anak kecil tipikal.  Tiga situasi berbeza yang menuntut kesabaran yang bukan sedikit.  Berada dalam rumah sendiri, dunia kami memang menyeronokkan.  Amat bahagia.  Tetapi bagaimana pula jika keluar dari rumah, berada dalam kalangan masyarakat luar terutamannya jika bersama anak syurga kami, Along.  Yang jelasnya, semakin hari semakin mencabar bagi kami dan Along terutamanya untuk berada di kalangan masyarakat luar.  Bukan satu perkara yang mudah sebenarnya.





Mata kita pasti pernah melihat lambang-lambang ini bukan?  Ya, inilah lambang yang sinonim dengan OKU (Orang Kelainan Upaya).  Kami yang sentiasa hidup bersama insan-insan ini memang sudah lali dengan simbol ini walau di mana ia diletakkan.  Tetapi bagi masyarakat di luar sana yang mungkin jarang sekali bersua dengan golongan istimewa ini, mungkin tidak begitu kisah akan lambang ini.  Tidak kisah, lalu tidak ambil peduli dan kemudiannya buat tidak tahu atau tidak nampak. Lambang ini amat biasa dilihat di pintu tandas, petak letak kereta atau di dalam kenderaan awam.

Bersama Along, kami melalui pelbagai pengalaman pahit manis bersama masyarakat ini.  Bukan semua yang tidak prihatin.  Hanya segelintir sahaja yang hidup mereka amat indah, selesa dan tidak pedulikan kehadiran golongan istimewa ini di kalangan mereka.  Tak mengapa.  Kami tak kisah dan tidak menjadi kudis pun. Kami telah terbiasa dengan pandangan yang pelbagai dari masyarakat. Pandangan simpati, kasihan, jijik, jelek, hairan atau pandangan kosong sekalipun dapat kami baca dari mata mereka yang memandang.  Inilah antara sebab mengapa semakin hari, semakin kurang kami membawa Along keluar, berada dalam 'kesesakan' masyarakat di pusat membeli belah, majlis kenduri kendara atau majlis keramaian.  Jika berada dalam majlis kami sendiri, di kalangan kami yang senasib, tidak menjadi masalah kerana saling memahami, saling mengerti bila anak syurga masing-masing mula buat perangai.

Masyarakat yang saya maksudkan di sini bukan sekadar orang persekitaran yang tiada kena mengena tetapi juga di kalangan ahli keluarga sendiri.  Bukan semua memahami.  Bukan semua boleh menerima biarpun seolah-olah boleh menerima.  Pernah satu ketika, Along perlu dimasukkan ke wad untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan gigi.  Jika anak tipikal lain, hanya perlu ke klinik gigi untuk pemeriksaan dan rawatan.  Tetapi tidak bagi Along.  Perlu dimasukkan ke wad dan dewan bedah dan melalui prosedur bius umum (General Anesthatic) kerana tidak memberi kerjasama untuk diperiksa giginya.  Hanya saya dan Along kerana babahnya perlu menguruskan Aiman yang bersekolah di Cameron Highlands ketika itu.  Hari kedua selepas semuanya selesai, Along dibenarkan keluar.  Saya termenung sebentar memikirkan bagaimana mahu membawa Along turun ke kereta yang diletakkan di parking yang kalau berjalan kaki hampir satu kilometer jauhnya dari wad.  Dengan barang-barang keperluan yang penuh kiri kanan tangan. Along juga tidak begitu stabil jalannya ketika itu kesan dari ubat bius yang masih bersisa.  Untuk mendukung Along, memang saya langsung tidak terdaya kerana saiz badannya yang hampir tiga suku badan saya ketika itu. Tambahan pula parking kereta di HUKM berada di bahagian bawah dengan ketinggian hampir dua tingkat bangunan.  ketika itu hari sudah lewat petang.  Pintu utama juga sudah ditutup.

Tidak mengapa.  Saya uruskan sendiri dan sikit demi sedikit.  Saya selesaikan urusan discaj wad, ubat-ubatan dan hantar barang-barang yang besar dahulu.  Along saya tinggalkan sendirian di wad.  Memang lelah dan berpeluh untuk menguruskan itu sahaja.  selesai semua, saya bawa Along turun.  Untuk mengalihkan kereta berhampiran bahagian kecemasan ketika itu memang sukar kerana keadaan agak sibuk dengan pelbagai kes kecemasan.  Saya pimpin Along perlahan-lahan.  Untuk meminjam kerusi roda juga agak sukar, kerana selepas itu saya perlu memulangkan semula ke wad dan tidak mungkin saya tinggalkan Along sendirian di dalam kereta ketika memulangkan kerusi roda.  Tidak mengapa, saya bertawakal hanya kepada Allah dan memohon agar urusan kami dipermudahkan. Sesampai ditebing tangga yang berketinggian hanpir dua tingkat bangunan itu, langkah kami terhenti.  Saya memikirkan, bagaimana hendak membawa Along turun dengan sebelah lagi tangan menjinjit beg.  Along sudah kepenatan berjalan jauh.  Kereta juga masih jauh.  Saya beristigfar sendiri.  Orang ramai yang lalu lalang tidak memperdulikan kami ketika itu.  Masing-masing dengan urusan sendiri.

Doa saya didengar Allah swt.  Dikirimkan seorang insan prihatin yang mungkin sudah lama memerhatikan kami.    Dia dan isteri yang sedang mendukung anak kecil, menghampiri kami dan menawarkan pertolongan untuk mendukung Along ke bawah.  Alhamdulillah.  Hampir menangis saya menerima pelawaan itu. sedangkan dia juga perlu menguruskan anak kecil yang juga baru keluar dari wad.  Betapa insan berhati mulia ini sudi menghulurkan tangan, membantu kami yang dalam keadaan kesusahan ketika itu, walaupun ramai lagi manusia lain yang lalu lalang sebelumnya hanya memerhati sahaja.  Itu hanya sebahagian kecil kisah dengan masyarakat yang berhati mulia, tidak mengira siapa untuk dibantu.  Jika saya berada dalam situasi itu juga, saya tidak akan berkira-kira lagi untuk membantu kerana amat memahaminya.

Bagaimana pula dengan kisah masyarakat yang bagi saya, boleh dilabelkan sebagai 'hati kering', tidak prihatin dan tidak peduli dengan golongan istimewa ini.  Saya pernah hampir 'naik gila' bila Along menjadi tontonan puluhan manusia ketika mengamuk di kafeteria hospital satu ketika dulu.  Semakin diperhati, semakin menjadi-jadi tantrum Along kerana dia juga malu ditonton begitu.  Hendak bercakap tidak pandai. Diluahkan melalui amukan yang memang bukan calang-calang amuk ketika itu.  Puluhan manusia yang menonton dengan pelbagai ragam seolah-olah sedang menonton satu pertunjukan yang menyeronokkan. Sosek-sosek sesama mereka.  Hanya istigfar dan selawat yang menjadi benteng untuk saya dari turut menjerit kepada mereka.  Hancur luluh hati saya ketika itu melihat reaksi mereka.  Apa salahnya jika mereka hanya terus berlalu dari situ, cuba fahami situasi Along dan kami ketika itu.  Mungkin agak pelik bagi mereka melihat anak dara sedang mengamuk, menjerit, melontar kasut dan barang-barang yang ada hampir dengannya.  Kebiasaannya anak kecil sahaja yang berpelakuan begitu.  Tapi ini anak dara yang cukup sempurna fizikalnya menangis menjerit, terbaring-baring dikhalayak umum.  Pelik barangkalai.  Tetapi itu adalah HOSPITAL!  Terimalah hakikat pelbagai kategori sakit dan manusia akan berada di situ.  Berfikiran terbukalah!

Belum dicerita pelbagai kisah Along berada dikalangan masyarakat yang sering menjadi tontonan dan perhatiaan umum.  Along banyak berkomunikasi dengan tangan.  Untuk menegur orang lain, dia akan menarik tangan, baju atau beg.  Bagi yang faham, tidak mengapa. Bertegur sapa dan senyum.  Tiada masalah.  Tapi yang kurang faham, memandang dengan satu pandangan yang sinis bila Along menarik tangan atau beg, seolah-olah kami tidak pandai menjaga anak.  Jika membawa Along keluar dan perlu berada di kalangan orang ramai, kami perlu pastikan ada seorang yang akan menjaga dan mengawal tangan Along dari menerawang mencapai yang bukan-bukan.

Itu hanya secebis kisah di kalangan masyarakat.  Bagaimana pula di kalangan ahli keluarga sendiri.  Saya perlu menarik nafas panjang  dan dalam untuk mencoretnya.  Jika orang luar tidak begitu menerima atau memahami, saya tidak kisah.  Tetapi jika keluarga sendiri (tidak kira jauh atau dekat) berkelakuan begitu, saya tidak mampu berkata apa-apa.  Saya tahu, memang ada.  Tapi sekarang saya tidak kisah lagi.  Allah sudah beri peluang untuk kalian turut meraih pahala percuma dengan berbaik-baik kepada Along, tapi kalian sia-siakan.  Apa lagi mahu saya kata.

"Jangan dekat-dekat dengan dia.  Dia kasar.  Suka tarik-tarik orang"

"Jangan kawan dengan dia"

"Mana kakak yang gila tu?"

"Kesian dia" (Tapi mulut, mata dan hati tidak seiringan)

Dan macam-macam ayat lagi pernah saya dengar.  Apa perasaan kalian bila orang orang berkata begitu pada anak kalian?  Tambah pula bila dituturkan oleh mereka yang dikenali atau ada pertalian.  Jika dituturkan oleh anak kecil, boleh dimaafkan lagi. Tapi jika ayat itu keluar dari mulut mereka yang sudah berakal?

Anak kecil sekalipun, kita sebagai ibubapa perlu tegur dan didik agar menghormati orang lain tidak kira bagaimana keadaan mereka sekalipun.  Ini ditokok tambah lagi oleh ibubapa.  Menyuburkan lagi sikap prejudis terhadap golongan istimewa ini.  Bukan hanya kita manusia 'normal' saja berhak hidup di dunia ini. Golongan-golongan istimewa ini dicipta Allah swt agar kita menjadi manusia yang bersyukur dan prihatin terhadap manusia lain.

Bukan tidak pernah terjadi, di hadapan saya sendiri sebagai ibu Along, mereka mengambil dan menjauhkan anak mereka dari Along.  Bersalaman dengan orang lain, tetapi langsung tidak menghulur tangan apatah lagi menegur Along yang begitu beria-ria hendak menegur atau bersalam.  Terlalu seronok Along bila ada saudara mara datang berkunjung tetapi dia langsung tidak diperdulikan, didekati, apatah lagi menghulur tangan memegang atau bersalam dengan Along.  Saya hanya memerhati, menangis di dalam hati dan merasa simpati kepada mereka.


Entahlah...Kadang-kadang bila dikenang kembali, mungkin kami yang terlalu emosional.  Mudah sangat terasa hati dengan kata-kata, pandangan atau jelingan orang kepada Along.  Tapi ibu tetap ibu.  Jauh disudut hati ini tetap tidak sanggup melihat anak-anak dipandang kecil oleh orang lain biar bagaimana sekalipun keadaan anak itu.  Sempurna atau tidak.


Ketika bercuti di Phuket, Thailand.  Along begitu gembira dapat berjalan jauh

Bersama Anisah, sepupu yang cukup sayangkan Along.  Anisah boleh mandi dan pakaikan baju Along...

Allahuakbar...terlalu banyak yang ingin saya luahkan, ceritakan dan kongsikan...Hanya satu yang saya pinta. Kami tidak memerlukan simpati dari masyarakat di luar sana.  Cukuplah kalau kalian dapat terima dan fahami kami dan keadaan anak-anak syurga kami.  Dari situ akan tertanam satu perasaan indah yang hanya kalian dapat tafsirkan sendiri.  Ikhlaslah menerima mereka dalam hidup kalian...


Wednesday, May 21, 2014

Cerita Along Lagi...Along dan Hospital

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Subhanallah...Alhamdulillah...Allahuakbar

Hajat di hati hendak menyambung cerita berkenaan kerjaya baru saya.  Tetapi hati ini lebih meronta-ronta untuk membuat catatan berkenaan anak syurga kami biarpun badan amat letih selepas seharian di hospital.

Along, sedari lahir hingga kini tidak dapat dipisahkan dengan hospital.  Bermula dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang (hospital di mana Along dilahirkan dan mencorakkan sejarah dan cerita hidup kami selepas itu), Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur dan kemudiannya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras sehingga kini.  Tidak pernah putus dengan pelbagai temujanji, terapi, rawatan dan ujian.  Seboleh mungkin kami berusaha memenuhi setiap temujanji tanpa gagal.  Entah berapa ramai doktor bertukar ganti, tidak mampu saya ingat lagi. Hanya satu nama doktor yang kekal terpahat dalam hati saya iaitu Prof Ong Lai Choo yang mula-mula sekali kami temui ketika kes Along kami pindahkan ke Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur.  Prof Ong lah yang mendedahkan kepada kami hakikat sebenar Along.   Masih jelas setiap butir kata beliau ketika itu dan tidak mampu saya padam hingga kini.

Kerana Prof Ong Jugalah kami mengikut beliau ke HUKM (beliau adalah doktor HUKM yang dipinjamkan ke HKL ketika itu).  Along amat serasi dengan beliau dan apa yang saya kagumi tentang Prof Ong ialah kemampuan beliau mengingati pesakit walaupun hanya bertemu setahun dua kali sahaja (beberapa tahun pertama, temujanji dengan Prof Ong adalah tiga bulan sekali, kemudian menjadi enam bulan sekali bila Along mula bebas sawan).  Setiap kali berjumpa, beliau akan ingat kami dari mana dan memang ramah bercerita.   Berbelas tahun kami bersama Prof Ong sehinggalah beliau bersara pada tahun lepas.  Khabarnya beliau kini berkhidmat di PPUM pula. Kini doktor Along bertukar kepada Prof Wong pula.  Juga seorang doktor yang baik dan peramah.  Semasa bersama Prof Ong, beberapa kali juga Along pernah dirawat oleh Prof Wong.




Sebahagian dari kad-kad temujanji Along

Perjalanan jauh tidak menjadi halangan untuk kami memenuhi temujanji Along. Ketika menetap di Cameron Highlands, hampir lapan tahun kami tetap setia memenuhi pelbagai temujanji yang kadang-kadang sehingga dua temujanji dalam masa sebulan.  Jika babahnya tidak dapat bersama, saya akan berusaha membawa Along sendiri.  Tidak menjadi masalah langsung kepada saya.  Along juga seolah-olah faham dan selalu memberi kerjasama baik walaupun sesekali angin puting beliungnya melanda juga.  Memandu sendirian bersama Along turun dan naik tanah tinggi itu juga tidak menjadi beban kepada saya dan Along juga sudah lali dengan perjalanan seperti itu.

Kini Along juga bebas dari ubat sawan.  Sejak kali pertama diberikan Tegretol, Along terus bebas sawan selama beberapa tahun.  Selepas itu, pengambilan ubat diberhentikan untuk beberapa tahun lagi.  Kemudian, sawannya menyerang kembali dan pengambilan ubat terpaksa dimulakan semula untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun dari serangan sawan terakhir.  Pusingan ini telah beberapa kali berjalan.  Kini hampir tiga tahun Along bebas dari serangan sawa dan kami perlu bersedia untuk 'serangan semula'. Menurut doktor, semakin meningkat dewasa, gelombang sawan semakin stabil tetapi tidak mustahil akan meletus semula umpama gunung berapi yang sedang tidur. Bila-bila masa tanpa dapat dijangka.  Apa yang boleh dilakukan, kawal segala bentuk penyebab dan pencetus sawan seperti demam, penat, kepanasan dan sebagainya.

Hari ini, sekali lagi kami perlu 'dating' dengan doktor Along.  Seperti kebiasaannya, perlu dibangunkan dan disiapkan seawal pagi.  Biasalah Kuala Lumpur tidak dapat dipisahkan dengan kesesakan jalan rayanya. Kalau lewat keluar, jawabnya lambatlah sampai dan lambatlah selesai. Iman, seperti biasa menjadi peneman dan 'tukang umpan' kepada Alongnya dan terpaksa dipontengkan sekolah walaupun minggu ini adalah minggu peperiksaan (tadika je pun...tapi tetap penting juga).  Alhamdulillah kami dapat sampai awal dan apa yang mengejutkan ialah hanya beberapa orang pesakit sahaja yang menunggu.  Klinik sangat lengang berbanding dengan kebiasaannya yang penuh sesak.  Masa menunggu juga tidak lama dan kami dapat 'berlama-lama' dan bersoal jawab sepuas hati dengan Prof Wong.  



Mood happy sebab cukup tidur dan perut kenyang

Iman yang menjadi teman setia Along...

Kali ini dapat sampai awal, tapi klinik pula lengang...


Kali ini saya turut menjadi 'pelajar tidak rasmi' Prof Wong apabila dua orang pelajar perubatannya turut serta dalam temujanji kali ini.  Along dijadikan bahan study mereka dan perbincangan mereka saya ikuti dengan penuh perhatian walaupun banyak istilah-istilah klinikal yang saya tidak fahami. Tetapi kebanyakan perbualan mereka amat biasa bagi saya yang telah hampir 20 tahun bersama dengan golongan insan istimewa dari pelbagai kategori.  Along juga memberi kerjasama yang amat baik sepanjang masa.  Sentiasa gelak dan memberi respon walaupun kadang-kadang buat tak kisah pun.  Menjadi ibu kepada Along dan mempunyai rakan-rakan yang mempunyai anak istimewa dari pelbagai kategori kecacatan menjadikan saya amat biasa dengan istilah-istilah perubatan dan klinikal.  Bahkan saya juga turut belajar dan mengkaji apa itu Cerebral Palsy yang sangat berkait rapat dengan Along.  Saya juga mempunyai anak murid dari kategori slow leaner, autisme dan dyslexia.  Jadi dunia saya amat indah dikelilingi oleh mereka semua.  Mereka menjadikan saya seorang yang berusaha mencari ilmu berkaitan untuk membolehkan saya menyelami dunia istimewa mereka.

Doktor pelatih tengah test power pujuk Along untuk diperiksa

Terpaku tak nak bergerak dah...Jenuh kena umpan pun tak dilayan...

Cerebral Palsy, upper limbs, lower limbs, hemiplegia, double hemiplegia, stiffness, scolisis dan pelbagai istilah lagi saya ikuti dengan penuh minat.  Rupa-rupanya Along mempunyai banyak masalah yang saya tidak perasan sebelum ini.  Namun doktor tidak mahu saya terlalu memikirkannya selagi fungsi hidup hariannya tidak terjejas.  Satu perkara yang amat merisaukan saya sekarang ialah pergerakan Along yang semakin agak kaku seperti otot-otot pergerakannya mula mengeras.  Dia juga lebih suka merangkak dari berjalan jika di rumah.  Memang kadang-kadang dia kelihatan seperti amat susah untuk bergerak atau berjalan.  Disebabkan itu juga, Prof Wong merujuk Along kepada pakar rehabilitasi, Klinik Otrhopedik (klinik tulang).  Entah apa pula yang perlu Along dan kami tempuhi selepas ini.  Hanya pada Allah kami serahkan segalanya.  Kami tidak akan berputus asa atau mengalah selagi ada kudrat.

Seperkara lagi yang mula bermain difikiran saya ialah keadaan tulang Along yang seolah-olah tidak seimbang pertumbuhannya.  Ruas lengan dan jari-jarinya lebih panjang dari biasa.  Bila diajukan kepada doktor, beliau mengakui itu adalah salah satu sindrom yang beliau sendiri tidak pasti dan boleh mendatangkan masalah. Perkara tersebut akan dijelaskan oleh pakar tulang nanti.  Perkara ini menyebabkan hati saya berdebar sehingga kini.  Semoga tiada apa yang serius. Kami tidak sanggup lagi melihat Along menderita apa-apa sakit yang boleh menjejaskan keadaan kesihatannya. Sungguh, kami tidak sanggup melihat dia sakit lagi.

Along sudah lama tidak menjalani sebarang rawatan atau terapi baik secara moden atau tradisional.  Sejak semakin besar, kami menghentikan segala bentuk rawatan dan terapi.   Hanya di sekolah, PDK atau di rumah sahaja.  Jangan ditanya mengapa.  Sesiapa sahaja yang ada anak seperti Along, seusia Along akan faham mengapa.  Kami serahkan segalanya kepada Allah swt dan doa yang tidak putus-putus agar anak ini sentiasa dilindungiNya dan diberikan kesihatan yang baik.

Saya akan kongsikan nanti apa bentuk rawatan yang pernah kami buat untuk Along dan mengapa kini tidak lagi meneruskannya.  Saya tidak akan pernah jemu menulis tentang anak syurga ini biarpun mungkin ada yang jelak membacanya.  Sekurang-kurangnya catatan ini akan menjadi kenangan saya dan tatapan adik-adiknya agar terus menjaga dan menyayangi Along setulus hati mereka.


Monday, May 12, 2014

Semangat Baru, Hobi Baru, Kerjaya Baru...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Subhanallah... Alhamdulillah...Allahuakbar...

Rupanya sudah menghampiri pertengahan tahun 2014.  Terbiar lagi rumah kecil ini.  Kehidupan yang turun naik, suka duka dari post terakhir menyebabkan rumah kecil ini terbiar sepi.  Sekadar lalu, singgah menjenguk dari luar, mengarang dan menyimpan di dalam hati.  Tidak mampu membuat sebarang coretan.

Peristiwa terbesar yang memberi pelbagai hikmah Allah ialah Pemergian Bonda Hajah Maimun mengadap Pencipta pada 16 Disember 2013 (Alfatihah untuk arwah mak.  Moga mak tenang di sana di sisi para solehin).  Walaupun hanya berstatus ibu tiri, mak umpama mak kandung sendiri. Sedari usia 8 tahun, membesar bersama mak.  Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segalanya.  Doa kami sentiasa mengiringi mak.


Hidup mesti diteruskan.  Apa sahaja yang mendatang perlu dihadapi.  Hanya dari Ilahi, dipohon kekuatan agar perjalanan hidup ini sentiasa di atas landasanNya.

Alhamdulillah, tahun 2014 membuka lembaran baru dalam kerjaya saya sebagai seorang Work At Home Mums (WAHM). Semakin hari semakin menyerlahkan sisi kebolehan yang terpendam selama ini.  Tidak terlintas difikiran ini untuk menjadikan jahitan sebagai satu bidang kerjaya.  Bukan tidak boleh menjahit, tetapi tidak berminat untuk mengembangkannya menjadi hobi yang mendatangkan hasil.

Mungkin ada yang akan berkata, belajar sehingga ke universiti, ada ijazah tetapi akhirnya duduk di rumah, jaga anak je.  Oh!  Ayat-ayat itu sudah biasa saya terima, sudah lali dan saya tak kisah pun. Dengan izin dan suruhan suami, saya lebih rela duduk di rumah menjaga suami dan anak-anak dan saya seronok.  Biarpun tidak semewah dulu dalam berbelanja aatau mempunyai duit sendiri, saya tak kisah.  Alhamdulillah, cukuplah apa yang ada.  Duit, semakin dikejar, semakin ia lari.  Semakin lelah kita mencari.  

Habis tu, apa gunanya ada ijazah jika tidak boleh mendatangkan hasil? Membazir je mak ayah keluar duit, hantar suruh belajar, akhirnya tiada hasil...Ayat itu juga klise bagi saya.  Sekadar lalu di cuping telinga.  Tidak lagi berbekas di hati.  Saya berbangga menjadi seorang surirumah yang berijazah.  Anak-anak saya pasti menjadikan saya sebagai satu 'cabaran' untuk mereka belajar setinggi mungkin.  Untuk berbakti kepada ibubapa, pelbagai cara boleh dilakukan.  Wang ringgit, harta benda diberi mengikut kemampuan.  Tetapi yang paling penting, doa dan ingatan yang tidak pernah putus.  

Saya juga pernah melalui kegemilangan zaman berkerjaya.  Pernah mengecapi nikmatnya menjadi pekerja dan majikan.  Segala jalan dan liku dalam berkerjaya dan berniaga sendiri saya hadapi dan akhirnya membentuk saya yang seperti sekarang ini.  Masih berkerjaya, tetapi dari rumah sendiri. Biarlah ada yang memandang remeh, tidak menjadi hal lagi.  Saya menikmati kebebasan masa dan kerjaya dengan cara tersendiri.

Sebab utama saya memilih untuk menjadi WAHM ialah kerana anak-anak.  Dan juga keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan lagi saya 'lasak' seperti zaman muda belia.  Along kini sudah mencecah 20 tahun.  Aiman bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini dan Iman memerlukan sepenuh perhatian saya ketika mula melangkah ke alam persekolahan.  Usia Along yang begitu, dengan keadaan fizikal yang seperti insan normal lain tetapi akal fikiran seperti anak kecil begitu mencabar kami.  Siapa lagi yang sanggup mencuci kencing beraknya, memandikan dan menguruskan makan minum Along.  Dalam keadaan sekarang memang agak mustahil untuk mencari orang yang sanggup menjaga Along jika saya keluar bekerja.  Sekali sekala jika kami perlu keluar suami isteri, Along akan ditumpangkan di rumah nenek atau Pak Ngahnya.  Itupun dalam jangka masa beberapa jam sahaja.  Bimbang unutk kami tinggalkan lama-lama.  Takut Along menyusahkan mereka jika perlu dicuci kencing beraknya.  

Adakah saya menyesal?  Tidak sama sekali.  Biarpun sesekali rasa 'cemburu' melihat sahabat-sahabat yang berkerjaya hebat, saya usir jauh-jauh perasaan itu.  Saya redha dan seronok dengan kehidupan seperti ini.  Allah SWT telah menentukan jalan hidup saya seperti ini.  Pasti ada hikmahNya.  
  


Kini hobi baru saya ialah menjahit.  Bermula dari patchwork, quilting (boleh rujuk entri lama), pakaian kanak-kanak, telekung, tudung dan kini melangkah setapak lagi dengan memberanikan diri menjahit pakaian wanita (pengkhususan jubah, blouse dan dress).  Alhamdulillah mendapat maklumbalas positif dari pelanggan (kebanyakannya ialah adik beradik sendiri).  Sebelum ini memang saya tidak berminat menjahit pakaian kerana perlukan ketelitian dalam segala hal, tetapi rupa-rupanya saya berjaya melepasi 'gangguan' tahap ketelitian itu.  Mentor saya ialah bonda kandung saya sendiri (Nenek Gombak) yang merupakan tukang jahit profesional.  Berpuluh tahun menjahit dengan cara tersendiri.  Pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat dari golongan kerabat diraja hinggalah kepada anak sekolah.  Bonda juga merupakan tukang jahit rasmi saya sejak zaman persekolahan.  Tetapi kini saya boleh berbangga kerana akhirnya berjaya mewarisi bakat itu dari bonda.  Alhamdulillah...hanya kepada Allah saya kembalikan kesyukuran ini.  Biarpun sedikit tetapi banyak membantu saya dari segala segi. 




Sekadar beberapa keping gambar untuk permulaan (masih 'gagap' dengan komputer riba baru yang tidak link dengan handphpone)

Cukup setakat ini dahulu.  Perlu membuat penghantaran roti pula...Oh ya, satu lagi kerjaya baru saya ialah sebagai Bakers.  

Akan saya sambung sebentar lagi...