Friday, February 6, 2015

Kisah Seorang Anak Syurga...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Tidak tahu dari mana hendak dimulakan kisah ini.  Setiap kali menatap wajah Along, saya pasti akan terkenang kan Yusuf, anak syurga yang akan saya kisahkan nanti.  Betapa Along sangat bertuah dilahirkan di tanah leluhur ini.  Tidak dapat dibayangkan jika saya dan Along berada di tempat Yusuf dan ibunya.  Benarlah janji Allah, dugaan dan cubaan ke atas hambaNya sekadar yang mampu diterima.  Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak memberikan hambaNya sesuatu tanpa sebab.  Pasti ada hikmah disebalik setiap sesuatu kejadianNya.  Terserah bagaimana cara kita melihat, menerima dan mentafsirnya.

Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke Jakarta, Indonesia pada 30 Jan hingga 3 Feb 2015.  Kembara di bumi Allah yang amat saya nantikan.  Perjalanan kali ini membawa satu misi untuk anak-anak syurga kami.  Ada sedikit rasa gusar mengembara ke negara orang tanpa suami atau ahli keluarga yang lain.  Kami ke Jakarta hanya bertiga.  Saya, Kak Azlina yang saya panggil Kak Nina dan Alia, anak gadis Kak Nina yang berusia 24 tahun.  Alhamdulillah, Allah memudah dan melancarkan perjalanan kami.  Bermula dari  KLIA sehingga lah mendarat ke Lapangan Terbang Seokarno Hatta, Jakarta.  Melihat kepada persekitaran bandaraya Jakarta, tidak terasa berada di bumi asing.  Satu rumpun bangsa, satu agama menjadikan kita tidak terasa asing di sini.  Cuma lenggok bahasa yang sedikit berlainan tetapi masih mudah difahami.  Cuma yang menjadi sedikit janggal ialah matawangnya yang menjadikan kami jutawan untuk beberapa hari.  Terkial-kial mengira setiap kali hendak membuat pembayaran.
               
“Dua ratus tiga puluh ribu, ibu.”...erk...yang mana satu note yang hendak dihulurkan.  Jurujual hanya tersenyum memerhati saya yang meneliti setiap keping note yang ada.  Masuk hari ketiga, sudah agak cekap dengan note tetapi masih terkial-kial membuat pengiraan untuk menukar ke nilai Ringgit Malaysia.  Kebiasaannya Alia yang menjadi calculator kami.

Kembali kepada kisah Yusuf.  Ibu Yusuf adalah kenalan fb saya.  Baru beberapa bulan berkenalan di alam maya tetapi tidak pernah bertegur sapa.  Tetapi saya sering mengikuti perkembangannya melalui perkongsian sesekalinya di laman muka buku.  Lansung tidak mendapat gambaran bagaimana keadaan sebenar kehidupan mereka.  Saya hanya mengetahui yang ibu Yusuf adalah pengidap kanser payudara pada hari kedua di sana melalui posnya yang terbaru.  Sebelum itu saya telah menghubungi beliau menyatakan hasrat untuk berkunjung dan menziarahi mereka terutamanya Yusuf.  Dengan bantuan seorang rakan, kami menggunakan khidmat supir atau pemandu (bukan teksi) untuk ke rumah Yusuf dengan bayaran 600 ribu rupiah.  Lumayan bukan?  Kami tiada pilihan dan tidak berani menggunakan teksi mengenangkan tidak tahu bagaimana keadaan tempat mereka. Adakah mudah untuk mendapatkan teksi untuk pulang ke hotel nanti.  Tambahan pula, kami berkunjung di sebelah petang dan seperti semua sedia maklum keadaan trafik di Jakarta sentiasa macet (sesak).  Sampai ke rumah Yusuf selepas Maghrib setelah hampir 2 jam perjalanan menempuh macet yang tidak pernah reda. 


Yusuf, anak syurga di seberang
Kami hanya sempat membawa sedikit buah tangan yang dibeli ketika dalam perjalanan.  Ziarah ini tidak dirancang dalam jadual kembara kami.  Tetapi membawa impak yang cukup besar sekali.  Setibanya kami di kawasan perumahan di daerah Pondok Kopi, Jakarta Barat, kami agak terpaku sebentar.  Melihat kepada susun atur dan jenis rumah, sudah dapat membayangkan bagaimana kehidupan mereka.  Susunan rumah kayu kecil yang bersambung dan rapat seperti kawasan setinggan jika di Kuala Lumpur.  Gelap malam tidak membenarkan kami melihat dengan jelas keadaan sekitar kawasan.  Jalan yang sempit dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan sahaja.  Sepanjang jalan masing-masing hanya mendiamkan diri, mungkin sedikit ‘terkejut’  melihat keadaan sebenar kehidupan di sini.  Ini hanya sebahagian kecil mungkin.  Ibu Yusuf menanti kami di simpang untuk menunjuk arah ke rumahnya.  Sangka kami sudah tiba, tetapi rupanya masih jauh lagi ke dalam, lebih dari satu kilometer.  Pak supir bimbang dimana mahu diparkir kenderaannya  melihat kepada susun atur rumah yang begitu rapat dan tiada ruang kosong.  Turun dari kenderaan, kami disambut ramah oleh ibu Yusuf.  Beliau sangat terharu dengan kunjungan kami.  Rupanya masih perlu berjalan dicelah-celah rumah meredah lorong tanah merah yang lecak dan berselut hampir satu kilometer lagi sebelum tiba ke rumah mereka.  Allahhuakbar...Hati saya sudah mula runtuh melihat keadaan ini.
                
“Silakan ibu.  Maaf rumahnya kecil sahaja.  Bawa kasutnya masuk ke dalam. Tidak mengapa.” 

Ibu Yusuf sangat ramah dan lembut sekali tutur katanya.  Lenggok bahasa pertuturan mereka amat lembut sekali dan saya memang ralit mendengar mereka berbicara.  Disambut oleh seorang anak lelaki yang berumur 13 tahun, seorang anak perempuan berumur 7 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun dan Yusuf, anak syurga mereka yang berumur 9 tahun, terbaring di atas tilam nipis di penjuru ruang tamu. Rumah kecil mereka sangat ringkas tetapi bersih.  Di ruang tamu hanya ada hamparan lusuh, kipas dan televisyen. Kali pertama melihat Yusuf saya terus jatuh cinta.  Sungguh indah, bersih sekali wajahnya anak syurga ini.  Sesuai dengan namanya, seperti Nabi Yusuf yang sangat cantik sekali paras rupanya.  Saya menahan kolam mata.  Terus teringatkan Along yang ditinggalkan jauh beribu batu di tanah air.  Terasa ingin terbang pulang memeluk Along ketika itu. 
Sekali pandang kami sudah dapat meneka, anak-anak dipakaikan dengan pakaian baru untuk menerima kunjungan kami.  Mereka kelihatan sangat gembira menerima kehadiran tetamu jauh yang langsung tidak dikenali ini.  Huluran buah tangan disambut gembira dan sekali lagi saya tidak mampu memandang kegembiraan anak-anak ini.  Tin biskut terus dibuka. Mereka  menikmati biskut dengan penuh perasaan dan gembira. Sekeping biskut dihulurkan kepada ibu untuk disuapkan kepada Yusuf.  Allahhuakbar...sedaya upaya saya menahan kolam mata yang sarat bertakung ini.  Teringat akan anak-anak di rumah yang sering ‘jual mahal’ dengan biskut begini.  Kak Nina dan Alia melayan Salma dan Abu Bakar menikmati biskut yang dibawa.  Manakala saya lebih tertumpu kepada Yusuf yang tidak jemu mata memandang.  Anak ini mengalami Cerebral Palsy akibat sawan dan kekejangan selama 14 jam ketika berumur hampir setahun. Ibu Yusuf ramah bercerita dan berkongsi kisah dan kami sedaya upaya berusaha menghadam lumat setiap kisah hidupnya. 

Kekangan kewangan membataskan usaha mereka untuk membawa Yusuf menjalani rawatan dan pemulihan.  Tetapi ibunya tidak berdiam diri, membuat terapi sendiri di rumah.  Tulang bahu dan buku lali sudah terkeluar. Yusuf tidak mampu duduk sendiri dan lehernya juga masih belum kuat.  Hanya terbaring sepanjang masa. Saya mengusap kulit mulus Yusuf dan terasa tulangnya tanpa isi.  Saya tidak pasti bagaimana polisi kerajaan Indonesia berkenaan dengan rawatan dan pemulihan anak-anak istimewa seperti Yusuf.  Tetapi dari cerita mereka, memang amat sukar selain kos yang sangat tinggi.  Tiada pusat-pusat terapi dan latihan percuma untuk anak-anak ini.  Jika ada pun, yang berbayar dan pastinya mereka tidak mampu untuk menghantar Yusuf ke sana.

Ibu Yusuf yang merupakan pengidah kanser payudara tahap 4, tidak mampu menjalani rawatan di hospital.  Tambahan pula tiada siapa yang boleh diharapkan untuk menjaga Yusuf dan adik beradik yang lain jika dia menjalani rawatan di hospital.  Dia hanya menjalani rawatan alternatif.  Tetapi semangatnya sangat tinggi, berjuang melawan kesakitan akibat kanser  demi anak-anak.  Ayah Yusuf juga seorang yang peramah dan sangat lembut tutur katanya.  Mereka sudah hampir setahun tidak mempunyai pendapatan tetap akibat ditipu dalam perniagaan.   Yusuf bergantung penuh kepada ibunya.  Anak ini sangat baik dan tidak pernah menyusahkan ibubapanya.  Faham jika ibunya sedang sakit dan tidak mampu menguruskannya.  Menurut cerita ibunya, pernah Yusuf tidak terurus selama dua hari kerana dia tidak mampu bangun akibat kesakitan yang amat sangat ketika kansernya pecah.  Ya Allah...tidak mampu dan tidak mahu saya bayangkan keadaan mereka ketika itu.

                “Maaf ya ibu.  Saya tidak memuliakan tetamu.  Tiada makanan mahu dihidang.”  Sekali lagi saya terasa seperti ditampar.  Sejujurnya,  saya sudah membayangkan dalam perjalanan tadi apakah hidangan istimewa yang akan dihidangkan kepada kami.  Tambahan pula saya memang suka merasa makanan baru.  Saya terus terasa kenyang mendengar kata-kata ibu Yusuf.  Ketika tiba, kami sudah dihidangkan dengan air kopi luwak yang dibancuh oleh anak bujang mereka.  Memang enak sekali rasanya.  Kak Nina yang tidak sukakan kopi boleh menghabiskan segelas kopi yang dihidangkan.  Manakala saya berkira-kira untuk menghabiskan walaupun hati sangat meronya-ronta untuk untuk menikmatinya hingga ke titisan terakhir.  Saya membayangkan mata yang akan cerah sehingga ke pagi penangan kopi ini.

Kak Nina, Alia dan saya hanya mampu berpandangan sesama sendiri mendengar ayat ibu Yusuf.  Berkali-kali dia memohon maaf  kepada kami.  Tidak mampu berkata apa-apa lagi.  Sekembalinya ke tanah air barulah saya mengetahui cerita sebenar.  Ibu Yusuf menceritakan sebenarnya saat itu anak-anak tiada susu dan makanan.  Allah mengirimkan sedikit makanan dan susu melalui kami.   Air mata saya tumpah membacanya.  Sedikit kesal kerana tidak membawa makanan lebih banyak ketika itu.

Hampir dua jam kami berada di rumah Yusuf.  Ketika melangkah keluar dari situ saya seperti mendapat satu semangat dan persepsi baru.  Wajah Along terbayang-bayang di depan mata.  Kami diiringi hingga ke pintu kereta.
              
“Ibu, mahu naik mobil...ibu, mahu naik mobil...” Itu sahaja ayat yang keluar dari mulut Abu Bakar, anak kecil yang berusia tiga tahun itu.  Kalau Saya yang memandu kenderaan itu, mahu saja saya bawa pusing-pusing sebentar untuk memenuhi hasrat anak kecil itu.  Tapi apakan daya kami.  Apakah ini realiti sebenar kehidupan di sini?  Allahhuakbar...

Sepanjang perjalanan pulang kisah hidup beberapa jam tadi dimainkan semula dalam fikiran.  Betapa akal saya tidak terjangkau mengenangkan kisah hidup itu.  Saya tidak pernah lagi berhadapan dengan kisah yang sebegitu sepanjang umur hidup ini di negara sendiri.  Terbayang-bayang susuk tubuh dan wajah tulus Yusuf yang terbaring di atas tilam nipis itu.  Nasibnya sudah tersurat begitu.  Terbayang pula anak-anak syurga yang dikenali di tanah air sendiri.  Betapa bertuahnya kalian berbanding Yusuf.  Teringat-ingat juga keluhan, rintihan, rungutan dan kecaman ibubapa anak-anak syurga di tanah air.  Jika kita yang bertukar tempat dengan Yusuf dan ibunya, tidak pasti lagi kita akan sekuat dan setabah itu.  Sedangkan segala kemudahan tersedia di depan mata juga masih merungut itu dan ini.  Segalanya serba payah dan susah.  Sedangkan masih mampu memandu kereta walaupun sekecil Perodua Kancil.

Ya Allah, betapa kami ini manusia yang tamak.  Mahukan segala hak kami, tetapi terlupa akan hak orang lain yang juga memerlukan.  Ampunkan kami Ya Allah...Ampunkan kami...

Perjalanan 5 hari 4 malam ini merupakan kembara yang penuh bermakna, penuh dengan kisah dan cerita.  Akan saya coretkan nanti kisah dua darjat anak syurga di sini.  Ini adalah catatan perjalanan peribadi saya sendiri.  Tidak terniat untuk menyentuh atau menyinggung mana-mana pihak sekali pun.  Jika ada yang tercuit jiwanya untuk membantu walaupun hanya sepotong ucapan doa untuk mereka, syukur Alhamdulillah.  Jika ada yang tersentuh hatinya, saya memohon ampun dan maaf...



Ibu Donna (bertudung putih), ibu Yusuf yang sangat kuat dan tabah
Bersama ayah, ibu dan dua orang adik Yusuf, Salma dan Abu Bakar