Monday, April 30, 2012

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012

Seingat saya, sepanjang 18 tahun usia perkahwinan kami, sudah 17 tahun PBAKL menjadi satu acara yang termasuk dalam agenda wajib kami setiap tahun. Apa pula kaitan antara pesta buku dengan usia perkahwinan?  Sebab, suamilah orang yang memperkenalkan saya dengan PBAKL ini.  Hanya pada tahun 2009 sahaja saya 'terpaksa' menguzurkan diri kerana masih dalam tempoh berpantang melahirkan Iman Thuraya.  Itupun hati meronta-ronta dan memberontak hendak pergi.  Mengenangkan perut yang masih sakit akibat pembedahan dan tumpah darah selepas bersalin, ditahankan hati...

Apa yang seronoknya di pesta buku ini?  Entahlah, susah hendak diceritakan.  Bagi pencinta buku seperti kami, dapat pergi ke sana, berada dalam kesesakan manusia, dapat memilih buku-buku yang diidamkan selama ini merupakan satu nikmat yang tak terkata.  Tidak sedar duit yang mengalir keluar dari poket.  Bila balik, tengok resit dan dompet yang hampir kosong, baru tersengih-sengih (puas hati dan pening kepala...).

Kalau sebelum ini, banyak buku-buku yang dibeli adalah untuk diri sendiri.  Tetapi memandangkan rak buku di rumah yang sudah sarat, tak muat lagi, saya menahan diri dari terlalu membeli buku-buku yang lebih kurang sama isinya.  Lebih banyak buku-buku untuk anak-anak.  Seperti kebiasaannya sebelum ini, buku yang dibeli pada tahun-tahun sebelumnya ada yang belum dibaca.  Sekadar selak sekali lalu, dan menunggu turn untuk dibaca.

Aiman sedari kecil lagi sudah saya usung ke PBAKL saban tahun. Hanya sejak tinggal di asrama dia jarang turut serta.  Tahun ini dia kembali berpeluang untuk ikut sama.  Orang sudah remaja, caranya juga sudah seperti remaja lain.  Tidak lagi suka mengekor mama dan babah ke sana ke mari.  Bosan mungkin dan apa yang diminati tidak seperti kita lagi.  Jika dulu, mama yang menjadi 'tukang tapis' apa yang hendak dibaca dan dibeli.  Sekarang, semuanya ingin dilakukan sendiri.  Akibatnya, hampir satu jam kami memusing dewan pameran mencari dua anak remaja (Aiman dan Ammar, sepupunya) yang hilang dicelah timbunan buku.  Dan, akibatnya juga, mama yang mulanya sudah tak larat hendak menjinjing plastik buku, menambah lagi bilangan plastik-plastik berisi buku di tangan semasa dalam 'rondaan' itu...

Antara gambar-gambar yang sempat saya rakamkan sepanjang berada di sana ....

Bersama Puan Ainon (Pengerusi PTS) dan Chef Hanieliza (penulis buku Sehari Satu Resepi yang amat popular) di booth PTS yang penuh sesak...


Buku terbaru suami, Sayang  Sofiah, terbitan Pekan Ilmu Publications.  Buku ini telah 'terperap' selama hampir empat tahun sebelum diterbitkan...



Antara siri buku Penyiasat Ekstrovet karya suami saya yang masih diulang cetak.  Buku saya?  hihihi... masih terperap di dalam laptop, tak tahu bila boleh siap.

Antara buku yang sempat dibeli kali ini.  Buku untuk Iman, buku-buku yang dibeli oleh Aiman dan babahnya.  Buku yang saya beli untuk diri sendiri hanya dua judul sahaja iaitu karya Prof Kamil dan Puan Roza Roslan.  Selebihnya buku untuk Iman.  Ada lagi yang tersimpan dalam kereta...

PBAKL kali ini rasanya 'kurang meriah'.   Dewan pameran buku hanya di bangunan utama dan kurang buku-buku baru yang diterbitkan.  Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, lebih terasa kemeriahannya.  Biasanya sebelum ini, kalau saya pergi sendirian, paling tidak dari pagi hingga ke petang saya akan 'bertapa' di dalam dewan pameran.  Kadang-kadang, dua tiga hari saya berulang untuk 'mengangkut' buku-buku yang diidamkan (kalau pergi seorang, tak larat nak usung semua buku serentak).  Tapi kali ini hanya beberapa jam sahaja kami berada di dalam dewan.  Hemmm...mungkin juga faktor umur yang menyebabkan sudah tidak larat hendak 'tawaf' setiap satu booth pameran dan hati yang tidak tenang mengenangkan Along dan Iman yang ditinggalkan dengan Mak Ngah dan menegangkan kesesakan jalan yang bakal ditempuhi kerana BERSIH...





Tuesday, April 17, 2012

Smocking Dress

Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...itu sahaja yang mampu saya katakan.  Tak sangka akhirnya dapat juga saya siapkan gaun smocking untuk Iman Thuraya.  Tak sangka sungguh, perkara yang tak pernah saya terfikir untuk lakukan sebelum ini mampu saya lakukan dengan hampir sempurna.  'Jika ada kemahuan, di situ ada jalan' memang tepat sekali.  Jika kita mahu, kita mesti boleh lakukan, tidak kira untuk melakukan apa juga perkara.

Sebelum ini saya pernah cuba untuk membuat smocking sendiri, tanpa berguru.  Hanya berguru dengan buku-buku A-Z Of Sewing For Smockers,  A-Z Jahitan Smocking dan beberapa buku Australian Smocking & Embroidery.  Tetapi jahitan tidak begitu menjadi dan saya amat tidak puas hati dan kecewa dengan hasilnya.  Rasa 'malu' bila Iman menyarungkan gaun-gaun smocking tersebut (apatah lagi hendak menayangkannya kepada unum di rumah kecil ini).  Saya mengambil keputusan untuk mencari guru dan belajar teknik yang betul untuk menghasilkan gaun yang betul-betul menepati istilah gaun smocking.  Kebetulan pula minggu lepas suami perlu menghadiri kursus selama 5 hari di Sungai Besi dan saya mengambil peluang ini untuk menghadiri kelas smocking yang dianjurkan oleh Kak Ratenawati Suzari (www.kerjatangansuri.blogspot.com) di Bukit Jelutong, Shah Alam.  Yang istimewanya, hanya saya seorang pelajar Kak Ratna utuk sessi ini.  Rupanya memang banyak teknik yang hanya kita dapat pelajari dengan berguru.  Banyak kesalahan yang saya lakukan sebelum ini. 

Tanpa jemu dan walaupun sudah hampir demam kerana hampir setiap hari berulang-alik dari Kuala Kubu  Bharu ke Bukit Jelutong, saya gagahkan juga.  Saya perlu siapkan gaun itu kerana hanya ada beberapa hari saja di bawah.  Jika sudah pulang ke Cameron Highlands, jawabnya memang payahlah nak siapkan.  Hari ke empat, gaun Iman sudah siap 98%, hanya perlu perbaiki dan siapkan satu dua perkara sahaja lagi yang boleh saya lakukan sendiri di rumah.  Memang sangat berpuas hati.  Kak Ratna melayan kerenah saya dengan sabar dan teknik yang diajar juga mudah diikuti.  Biarpun dua hari saya sentiasa sesat untuk ke rumah Kak Ratna dan kelas bermula lambat gara-gara 'kesesatan' itu, Kak Ratna tetap senyum dan kelas berjalan tanpa dikira masanya.   Kadang-kadang bermula dari 3pm dan berakhir menjelang 8 malam! Terima kasih Kak Ratna.

Saya kongsikan hasil tangan pertama (yang boleh dibanggakan dan dikongsi dengan pembaca rumah kecil ini).

i'm proud of it...

mood kurang baik hari ni.  payah sungguh nak pujuk bergambar...

suka hati dia je nak posing.  mama jenuh tahan sabar...

dah habis mood posing...tak apa, mama memang nak ambil gambar sashing ni...

fabric yag sudah siap di 'pleat', menunggu untuk disiapkan.  Ada 3 pasang yang perlu disiapkan sebelum 12/5 ini untuk 'flower girls' kenduri Mak Su dan Achik nanti...InsyaAllah

baju raya Iman Thuraya...

Jumpa lagi nanti.  Semangat sedang hangat membara untuk menyiapkan yang lain.  Insyaallah...

Friday, April 6, 2012

SUPERMUM @ SUPERMAK @ SUPERMUMMY and such...

Alhamdulillah, di hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin meraikan atau dengan lebih tepat memberi penghargaan kepada diri sendiri dan semua ibu-ibu di dunia.  Tahniah dan tepuklah bahu kita sendiri kerana kini kita telah menjadi seorang ibu @ mama @ emak @ umi atau apa sahaja gelaran yang diberikan oleh anak-anak kepada kita.  Bukan mudah menjadi seorang ibu dan bukan mudah juga hendak menunaikan tanggung jawab atau melaksanakan amanah dari Allah swt sebagai seorang ibu.  Walaupun pelbagai cabaran dan rintangan di hadapan, kita tetap gagah melalauinya biarpun sesekali kaki ini bagai mahu tersadung jatuh dengan cabaran-cabaran itu...

Bagi diri saya sendiri, hampir 19 tahun menyandang gelaran MAMA, bukanlah satu perkara yang mudah.  Tambahan pula saya mempunyai tiga kategori anak yang memerlukan tiga pendekatan berbeza.  Berpeluh kadang-kadang dibuatnya hendak mengadap tiga kerenah serentak.  Tapi itulah yang mematangkan diri saya dari hari ke hari.  Tiga kategori - anak perempuan remaja istimewa (18 tahun), anak lelaki remaja normal (15 tahun) dan anak kecil perempuan normal (3 tahun).  Sebab itulah saya sendiri mengelarkan diri saya supermama (selain dari menjadi ahli Supermum's Superdad's Angel dalam facebook).  Semuanya perlu saya lakukan untuk memastikan anak-anak ini menjalani kehidupan mereka sesempurna mungkin.  Berhadapan dengan dua anak normal tidak sesukar mana (bukannya tidak sukar, tapi masih dalam kawalan), tetapi berhadapan dengan ragam dan kerenah anak istimewa saya yang semakin hari semakin meningkat usianya bukanlah perkara yang mudah.  Syukurnya kini saya adalah surirumah sepenuh masa yang pastinya dapat memberi perhatian penuh pada anak-anak (tetapi tidak juga sepenuhnya...)

Kali ini saya ingin berkongsi beberapa pengalaman berhadapan dengan 'kerenah' Along Ammira.  Sewaktu kecil, membesarkan Along menuntut pengorbanan dan kesabaran yang bukannya sedikit.  Sebagai ibubapa muda yang baru memulakan hidup bekeluarga, banyak yang kami tidak faham.  Tambahan pula kami langsung tiada pengalaman berhadapan dengan kerenah anak istimewa yang didiagnos oleh doktor dengan masalah CEREBRAL PALSY WITH DOUBLE HEMIPLEGIA (harapnya betul perkataan itu).  Kini saya sudah 'melupakan' maksud penuh ayat itu kerana tidak mahu membebankan kepala dengan masalah KECACATANNYA.  Paling mudah jika orang bertanya, saya hanya akan mengatakan anak saya mengalami masalah kecacatan akal atau bagi yang tidak faham bahasa saya akan jawab 'anak saya CACAT' (no big deal...no heart feeling bak kata orang putih).  Selama hampir lapan belas tahun membesarkan Along, banyak yang kami belajar.  Belajar erti hidup yang sebenar-benarnya.  Betapa Allah swt amat menyayangi kami kerana menganugerahkan kami anak istimewa atau anak syurga ini.  Terlalu banyak 'KALAULAH' yang semakin hari semakin kami lupakan :  kalaulah Along dilahirkan normal dulu, kalaulah mama meneruskan juga hasrat hendak menjadi guru dulu (boleh baca entri saya Aura Seorang Guru), kalaulah mama boleh lawan kata-kata doktor di bilik bersalin dulu...dan pelbagai lagi kalaulah...

Membesarkan Along juga menjadikan saya seorang ibu yang amat peka dengan pelbagai perkara dalam membesarkan kesemua anak-anak.  Pengalaman-pengalaman itu saya gunakan dan adaptasikan dalam membesarkan Aiman dan Iman.  Jika dulu saya bekerja, kemudian berniaga sendiri dan kini surirumah sepenuh masa, kesemuanya sama sahaja.  Tugas sebagai ibu tidak kira kita berjawatan apa.  Ibu tetap ibu...

Membesarkan Along juga menyebabkan saya 'mahir' dalam beberapa perkara yang saya tidak pernah tahu sebelum ini.  Antaranya memotong rambut.  Rambut Along tidak boleh dipotong di kedai.  Terpaksalah saya potong sendiri.  Sebelum berumur lebih kurang 7 tahun, Along masih boleh dibawa masuk kedai gunting rambut.  Itupun hanya Kak Rin, tukang gunting rambut saya di Kuala Kubu Bharu yang berani dan amat cekap memotong rambut Along.  Tetapi selepas Kak Rin berpindah, Along tidak pernah lagi 'masuk' ke kedai gunting rambut.  Bukannya saya tidak pernah cuba bawa Along ke kedai Amoi yang kemudiannya menjadi tukang gunting rambut saya.  Tapi, baru hanya depan pintu kedai Along sudah terbaring, meraung macam telinganya kena gunting.  Tambah Amoi tidak berani.  Pernah juga saya bawa Along ke kedai gunting cina di kampung dengan di temani Mak Su kesayangannya.  Begitu juga, baru separuh jalan rambut digunting, dia sudah meraung.  terpaksalah kami balik dengan rambut separuh tobek...

Sejak itu saya belajar menggunting rambut Along.  Rambutnya yang tebal lurus dan urat rambut yang bagaikan dawai itu amat sukar dikendalikan.  Saya tidak pergi ke kelas rasmi, hanya belajar dari pemerhatian.  Setiap kali ke kedai untuk menggunting rambut, saya akan perhatikan setiap gerak geri Amoi.  Dari mana dia mula menggunting, bagaimana dia pegang gunting dan semuanya lah.  Saya gunakan ilmu itu untuk 'mengerjakan' kepala Along.  Pada peringkat awal, memang susah.  Bagai nak patah pinggang.  Hendak menggunting juga ada syarat-syaratnya.  Perlu dilakukan di dalam bilik air sambil Along bermain dengan air.  Jika tidak jangan harap dapat pegang kepalanya.  Pergerakan juga perlu cepat dan berhati-hati, takut tergunting benda yang tak sepatutnya selain dari rambut...Dan, hendak menyiapkan satu kepala juga mengambil masa berhari-hari bahkan pernah berminggu-minggu mengikut mood dan kesesuaian Along.  Selesai bergunting dan mandi (rambutnya yang tebal memang susah hendak kering), barulah nampak mana yang senget, mana yang tak rata.  Esoknya dibaiki lagi dan begitulah seterusnya.  Yang peliknya, rambut Along memang cepat panjang.  Belum sampai sebulan rambut depan dah boleh menutup mata semula...

Suatu hari, pernah cikgu Along menegur  "Siapalah yang potong rambut kamu ni Nadia!  Tobek sana sini.  Kesiannya kamu.''  tanpa menyedari atau mengetahui 'tukang guntingnya' ada di belakang Along.  Saya hanya senyum sendiri.  Itulah dia, bukannya mudah hendak menggunting rambut Along yang tak reti diam, mengikut setiap pergerakan gunting dan tukang guntingnya.  Setakat ini tiada siapa lagi yang berani menggunting rambut Along selain dari supermama ini...Iman juga mengikut perangai kakaknya yang hanya mahu saya menggunting rambutnya.  Aduh!  sekali menggunting dua kepala, pinggang bagai nak tercabut dan kemudiannya saya akan menanggung sakit belakang berhari-hari lamanya.  Tetapi demi anak-anak, sakit itu masih mampu saya tanggung...

Itu baru cerita gunting rambut.  Banyak lagi cerita lain akan saya kongsikan.  Sekadar berkongsi pengalaman dan mengimbau kenangan...


Rambut yang sudah 'kemas dan pendek'.  Itu sahajalah style untuk Along yang mama pandai gayakan...


Rambut tengah panjang (bagi mamalah) dah nak tutup mata.  Rimas...

Di Dolly Car Kuey Tiaw, Taiping.  Tengok rambut depannya...

Anak dara yang seorang ni pun tak bagi orang lain potong rambutnya...