Wednesday, August 10, 2011

Indahnya kenangan itu

Hujung minggu lepas, kami berkesempatan pulang ke Jengka 2, berbuka puasa dan bersahur bersama bonda, adik beradik dan anak-anak saudara. Riuh rendah seketika rumah dengan keletah sikecil-sikecil yang jarang sekali dapat lepas bebas di ruang yang luas. Itupun belum semuanya berkumpul lagi.

Gembira dan syukur juga melihat bonda sudah cergas dan mampu bergerak bebas tanpa bergantung kepada tongkat lagi. Sudah boleh memasak juadah untuk berbuka puasa juga juadah-juadah untuk jualan Acik Sarah di bazar ramadhan. Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat kesihatan yang dikembalikan kepada bonda...

Bila berkumpul beramai-ramai begitu, teringat kembali kenangan indah berpuasa sewaktu kecil ketika arwah ayahanda masih ada (Al Fatihah untuk ayahanda). Ketika itu kami masih kecil, masih bersekolah dan berpuasa mungkin menjadi satu 'paksaan' atau sekadar ikutan.
"Siapa yang tak puasa, jangan makan sekali. Duduk di luar." Begitu tegas amaran ayahanda, walaupun kami anak-anak perempuan yang tidak berpuasa kerana uzur (dimaafkan, cuma tidak boleh makan seawal orang yang berpuasa).

Juadah-juadah yang disediakan juga amat istimewa. Masih teringat-ingat keenakan kuih lompat tikam bonda, solok lada, nekbat, buah melaka, pelbagai jenis pengat dan bubur dan macam-macam lagi juadah istimewa hanya disediakan di bulan ramadhan. Dan yang tidak boleh tiada hampir setiap kali berbuka ialah air nira kelapa kegemaran ayahanda. Bagi saya pula, saya amat sukakan air sirap bercampur selasih. Setiap petang hanya air itu yang dibancuh dan beberapa orang adik-adik yang telah agak besar akan turut berkonsi duit membeli biji selasih.

Sewaktu juadah telah dihidang dan menunggu waktu berbuka, semua akan berkumpul tidak sabar-sabar untuk menikmati hidangan di depan mata. Rasanya waktu itu, semua yang dihidang akan dimakan sesungguh-sungguhnya (nafsu orang lapar). Ayahanda pandai melekakan anak-anaknya. Dia akan bercerita, melawak dan paling tidak menyuruh anak-anak yang kecil membilang hinggalah azan berkumandang (mengajar mengira secara tidak langsung). Bila tiba waktu berbuka, hanya air yang menjadi rebutan dan akhirnya makanan hanya dijamah sedikit. Perut kembung dengan pelbagai jenis air. Selepas pulang berterawih, barulah masing-masing berebut menyelongkar dapur mencari makanan.

Seperkara lagi yang menjadi kemestian ialah bertukar-tukar juadah ketika berbuka puasa. BOnda akan memasak lebih untuk dihantar ke rumah-rumah jiran. Jika hari ini hanya menyediakan satu kuih, ketika berbuka pastinya lebih dari dua jenis kuih akan terhidang. Tapi sekarang ianya tidak lagi menjadi amalan. Walaupun saya masih meneruskan amalan itu di sini, namun hanya satu rumah yang dapat diagihkan. (terdapat empat rumah di tingkat kami. Saya, Kak Yati yang juga surirumah, satu keluarga guru dan satu rumah cikgu-cikgu lelaki 'bujang'). Apa yang saya bimbang ialah mereka rasa terbeban untuk membalas bila saya menghantar juadah kerana samada sibuk bekerja atau bujang yang tidak pernah memasak (tidak mengharapkan balasan, jika ada Alhamdulillah). Jadi hanya saya dan Kak YAti yang sering bertukar-tukar juadah. Untuk menghantar ke tingkat yang lain pula, tukang hantar sudah ke asrama. JAdi buatlah sekadar yang saya mampu.

Kini semua itu tinggal kenangan namun kehidupan mesti diteruskan. Walaupun ayahanda telah hampir 18 tahun pergi meninggalkan kami, kenangan-kenangan itu tetap basah dalam ingatan dan yang paling dibanggakan apabila ayahanda berjaya menyatukan hati kami sepuluh beradik dari tiga kelompok yang berlainan. Alhamdulillah dan moga ianya terus berkekalan.

Masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri dan pastinya apa yang dilalui semasa zaman kanak-kanak akan diturunkan kepada anak-anak sendiri. Walaupun anak-anak kini tidak perlu lagi bersusah payah seperti dulu, semuanya telah tersedia.
Sungguh jauh berbeza dulu dan kini. Namun apa yang penting ialah penghayatan ramadhan itu sendiri. Berusahalah untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dari sebelumnya dan merebut segala ganjaran yang dijanjikan sepanjang bulan mulia ini...

**janji untuk memasukkan resepi-resepi saya masih tidak kesampaian kerana masalah teknikal untuk menghantar gambar dari telefon bimbit ke laptop ini. Untuk meminta bantuan 'pakar', semuanya sibuk dengan tragedi tanah runtuh Sg Ruil... Semuanya sudah ada cuma menunggu masa. InsyaAllah akan diusahakan secepat mungkin...




No comments:

Post a Comment