Sunday, January 1, 2012

Hatiku menangis lagi...

Luka yang satu ini tidak pernah sembuh. Setiap kali menulis berkenaan anak syurga ini, aku akan menulis dengan air mata. Setiap kali mengenangkan hal anak syurga ini, aku akan menangis dan menelan air mata sendiri. Sudah berbelas tahun dia dilahirkan namum masih ada yang memandang sepi kehadirannya. Dia tidak pernah minta dilahirkan ke dunia dengan keadaan begini dan kami juga tidak pernah mengimpikan akan mendapat anugerah ini. Tapi Allah itu maha kaya, dia menganugerahkan kami dengan ahli syurga ini dan kami terima dengan redha. Tapi, tidakkah orang lain, terutamanya darah daging sendiri melihat dengan mata hati, kenapa anak ini dianugerahkan kepada kita semua?

Isu ini umpama 'isu lapuk', sudah lama, sudah tidak relevan. Tapi bagiku, apa sahaja isu berkaitan anakku ini, tidak pernah lapuk, tidak pernah tidak relevan. Apa sahaja yang dilakukan kepadanya hatta pandangan hujung mata orang lain sekalipun, akan kembali kepadaku sebagai ibunya. Anak yang menjadi permata hati, racun dan penawar dalan hidupku ini tidak pernah mengerti atau memahami pandangan dan penerimaan orang lain terhadapnya, tetapi tidak bagi aku. Jijik sangat kah anakku ini sehingga hendak bersentuh, bersalam sekalipun tidak mahu. Apatah lagi jika melihat air liur yang sentiasa meleleh itu. Anak syurga itu juga punya hati dan perasaan, mahu diterima seperti anak normal lain yang disanjung, disayang, disebut sepanjang masa.

Luka aku yang satu ini tidak pernah dan tidak akan sembuh mungkin. Melihat dari pandangan mata, susun kata mereka juga sudah mampu membuat luka lama itu berdarah kembali. Jika ingin 'bersaudara' denganku, sepatutnya terimalah juga anakku ini seadanya dia...

Tidak mengapa anakku. Biar apapun pandangan dan penerimaan mereka, kau tetap ada ibumu ini. Kau tetap ada ayah, adik-adik dan saudara mara lain yang dapat menerima keadaan mu. Biarpun begitu keadaanmu, kau sudah pasti tempatmu di syurga nanti....

Bersabarlah hati...Allah sentiasa bersama orang yang sabar dan redha...


Selamat tinggal 2011...selamat datang 2012

Begitu cepat masa berlalu. Rasanya baru sahaja memasuki tahun 2011, tetapi kini beberapa minit lagi 2012 pula akan menjelma. Masa memang tidak pernah berhenti berdetik, makin hari makin pantas. Sedar-sedar sudah berpindah setahun lagi.




2011...hemmm...mulai 1 Januari 2011 hingga kini 31 Disember 2011, terlalu banyak ceritanya. setiap hari yang dilalui adalah satu cerita. Ada cerita yang indah, cerita manis, cerita lucu, cerita sedih dan 1001 macam cerita lagi. Jika setiap hari dicatat atau dikarang, pastinya sudah menjadi satu novel atau travelog kehidupan. Ada cerita yang indah untuk dikenang, namun ada juga cerita yang ingin dipadamkan terus dari ingatan. Namun semua itu adalah rencah kehidupan yang telah diatur oleh Allah SWT dengan indah dan cantik sekali. Cuma kita sebagai hambanya terkadang lupa untuk bersyukur dengan segala yang diberi samada baik atau buruk.

2012...walaubagaimanapun keadaannya ia akan tetap datang. Entah apa pula yang akan dilalui selepas ini. Sebagai manusia, kita pasti berharap untuk yang terbaik sahaja. Kita merancang, Allah SWT juga telah merancang dan perancangan Allah SWT adalah yang paling sempurna. Semoga perancangan Allah SWT dan perancangan kita bersatu. Moga 2012 menjanjikan sesuatu yang baik untuk kita semua, namun jika yang tidak indah juga yang menjelma, tetaplah bersyukur kerana itu tandanya Allah SWT sayangkan kita, mahu menguji kita lagi untuk menjadi hambaNya yang lebih kuat, tabah dan sentiasa bersyukur dengan nikmatnya...

Jika semasa 'muda' dahulu, setiap kali menyambut tahun baru, pasti akan memasang azam tahun baru. Seperti kebiasaannya, azamn hanya 'panas' di awal tahun. Masa berlalu, azam semakin menyejuk dan akhirnya membeku. Azam tinggal azam. Kini, saya tidak pernah lagi menetapkan azam. Setiap kali ingin melakukan sesuatu perubahan atau inginkan sesuatu, bila-bila masa sahaja boleh buat, tidak semestinya perlu menunggu ketibaan tahun baru untuk membuat azam. Setiap hari saya berazam untuk menjadi yang lebih baik dari semalam. Bagi saya itu sudah memadai.

Pastinya saya juga mengharapkan 2012 menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Mahukan yang terbaik untuk diri sendiri, suami, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan. Mahu yang terbaik sahaja tidak memadai jika tidak disusuli dengan kerja keras. Moga kita juga akan terus kuat dan tabah mengharungi apa juga yang mendatang...

***entri ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. dimulakan pada tahun 2011 dan siap pada tahun 2012...hihihi...

Thursday, December 22, 2011

Hidup perlu diteruskan...

Sudah bersawang lagi rupanya rumah kecil ini. Hemmm...entah mengapa terasa begitu susah sekali untuk memasukkan entri-entri baru sejak akhir-akhir ini, walhal terlalu banyak cerita yang menari-nari dalam fikiran ini minta diluahkan. Aktiviti yang penuh dan padat saban minggu juga menjadikan minda dan jemari ini 'letih' untuk memasukkan cerita baru. Alasan...

Cuti sekolah sudah berada di penghujung. Sekejap sahaja rupanya cuti ini sudah akan berakhir. Belum puas rasanya mengulit anak-anak di rumah, sudah mahu kembali semula ke asrama menyambung perjuangannya. Anakanda Aiman Hazziq akan menempuh peperiksaan PMR tahun 2012 dan anakanda Nadia Ammira seperti biasa, akan menjalani rutin latihan di Rumah Persatuan Orang-Orang Istimewa Cameron Highlands. Alhamdulillah, berita baik yang dikhabarkan minggu lepas, proses perpindahan ke Port Dikson akan ditangguhkan ke bulan Februari atau Mac 2012. Walaupun hanya lebih kurang dua bulan bertangguh, ianya cukup bermakna kepada kami. Banyak perkara yang masih belum selesai.

Kali ini banyak aktiviti yang dilakukan bersama anak-anak sepanjang cuti sekolah. Saban minggu ada sahaja aktivitinya. Bermain air di Bukit Merah Lake Town Resort dan seterusnya bermalam di Taiping, menjelajah Petrosains di KLCC, 'menziarahi' Istana Negara, 'melawat' Wad Radioterapi, Hospital Kuala Lumpur atau paling tidak turut 'menyamar' menjadi pelancong, bersama menyibukkan diri melawat ladang teh Bharat Tea di Ringlet. Masa penuh terisi. Ditambah seminggu lagi di Jengka 2 dan 'berpesta' air di Bukit Gambang Resort bagi anakanda Aiman.

Paling tidak boleh dilupakan ialah first Gathering Supermum's & Superdad's Angel (SMSDA) di Peransang Templer Park, Rawang pada 10-11 Dis 2011. Perhimpunan yang amat bermakna sekali. Jika sebelum ini kami hanya berbual dan bertukar cerita di alam maya muka buku, tidak pernah mengenali antara satu sama lain, tapi sekali bersua muka akrabnya umpama sudah kenal lama. Masing-masing berkongsi cerita dan kisah yang sama berkenaan anak syurga, saling memberi kata-kata peransang dan penguat semangat untuk melakukan yang terbaik untuk ahli syurga ini. Bila berada dalam kasut yang sama, tidak perlu bercerita banyak, masing-masing sudah memahaminya...

Dari kumpulan SMSDA inilah kami banyak berkongsi dan bertukar rasa, perasaaan, pengalaman dan Ilmu dan menjadikan saya kini lebih kuat dan bersemangat setelah tujuh belas tahun melalui segala macam suka duka, pahit getir, tawa tangis dalam membesarkan anak istimewa saya, Nadia Ammira. Tujuh belas tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek. Hidup ini ada turun naiknya dan begitu juga perasaan dan semangat diri yang kadang-kadang jadi kosong bila dilanda badai perasaan. Kekuatan dan semangat yang diberikan oleh mereka yang senasib sekurang-kurangnya dapat melegakan sedikit badai yang melanda. Hanya mereka yang menyarung topi yang sama dapat merasai apa yang ditanggung dan dilalui...

Berjumpa lagi..

Tuesday, November 15, 2011

Renungan bersama...

Kata-kata ini saya petik dari buku U-Turn Ke Jalan Lurus, tulisan Ustaz Zul Ramli M Razali terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd.

" Dalam kehidupan ini, ada perkara yang menyedihkan, kesakitan yang ditanggung, keperitan dan kegagalan dalam setiap penderitaan, tulislah di atas pasir, biarkan ia singgah sebentar dalam ingatan kita agar kita segera boleh melupakannya. Namun sebaliknya, apabila kita mengecap nikmat dari Allah atau menerima kebaikan dari orang lain maka pahatlah ia dalam hati agar kita terus kekal mengingatinya sampai bila-bila.


Rahsia untuk mendapat ketenteraman dan kedamaian hakiki : Lupakan dan maafkan segala kesalahan orang lain kepada kita sebelum tidur dan pejamkanlah mata untuk merasai nikmat dan kesyukuran yang kita kecapi.

Kebencian dan dendam yang kita bawa sehingga ke dalam tidur menjadi seperti racun yang direngguk, bisanya menyelinap ke seluruh tubuh dan kemudian membunuh kebahagiaan dan kedaimaian diri.

Justeru itu, tidurlah bersama kesyukuran, jangan tidur bersama kesedihan."



Umai Ikan

Hari ini hati terasa sayu. Memasak adalah antara terapi terbaik bagi saya untuk menghilangkan gundah di hati. Melihat ada sepotong ikan merah di dalam peti sejuk, teringat hendak membuat umai. Pertama kali memakan umai ikan (masakan tradisional dari Sabah & Sarawak), adalah pemberian dari rakan sekerja suami yang berasal dari Sabah. Pada mulanya agak takut untuk memakannya kerana membayangkan ikan mentah yang akan masuk ke tekak...tapi kali pertama mencuba, terus jatuh cinta. Memang sedap sekali. Amat bersesuaian dengan selera saya. Hari ini saya berjaya mencubanya dengan markah A pemberian suami (memuji diri sendiri...hihihi)


abaikan gambarnya yang sedikit 'cacat' gara-gara masalah teknikal

Mudah sahaja caranya. Saya kongsi bersama di sini resepi yang telah ditelaah dari beberapa laman web dan hasil rasa saya dari umai buatan rakan, saya olah sedikit untuk menepati selera saya.

Bahan-bahan :

Sepotong ikan merah - bersihkan, buang kulit dan potong nipis dan kecil-kecil
Bawang merah + cili api + cili merah --> ditumbuk (ikut cita rasa pedas sendiri)
Bawang besar --> mayang halus
Cili api dan cili merah --> potong kecil
Halia --> mayang halus
Limau nipis + sedikit cuka

*gunakan limau nipis kerana masamnya lebih tajam berbanding limau kasturi

Caranya :

** Hirisan ikan diperap/direndam dengan perahan limau bersama sedikit cuka lebih kurang setengah jam sehingga isi ikan menjadi putih. Itu tandanya isi ikan telah masak dengan kemasaman limau tadi (kalau guna limau kasturi, lambat hendak 'masak'). Saya yang masih 'takut' dengan ikan mentah, telah meletakkan perapan itu sebentar di dalam periuk nasi yang baru masak agar isi ikan betul-betul masak menggunakan wap nasi tadi. Kemudian toskan jus limau untuk membuangkan bau hanyir ikan.

*** Campurkan perapan isi ikan tadi dengan bahan tumbuk, bawang, halia dan cili potong serta perahkan limau lagi. Perisakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Umai ini amat enak dimakan dengan nasi panas. Jika ada lauk ini sahaja sudah cukup bagi saya. Semuanya ada, masam, pedas, masin, manis. Memang enak sekali.

Saturday, November 12, 2011

Cucur Jawa @ Cucur gula merah

Kuih tradisional ini adalah antara kuih kegemaran kami sekeluarga. Hampir setiap hujung minggu, jika ke pasar tani pasti suami akan pulang bersama kuih ini. Semalam semasa sedang mengadap muka buku, ternampak resepi cucur ini. Oh! mudah sahaja resepinya. selama ini saya hanya suka makan, tetapi menyangka sukar untuk membuatnya. Resepinya juga tidak pernah diketahui dan tidak terlintas hendak bertanya kepada 'pakcik google'. Semalam teringin benar hendak makan cucur ini, tetapi bukanlah boleh terus dibuat dan dinikmati ketika itu juga.

Pagi tadi saya membancuh adunan dan sedia untuk menggorengnya petang tadi...Alhamdulillah, cubaan pertama menjadi. Cuma warnanya kurang menyerlah kerana saya menggunakan gula kabung, bukan gula merah. Resepi ini saya ambil dari web myresepi.com (terima kasih kepada tuan resepi). Bila ditanya kepada 'pakcik google' resepinya lebih kurang sama sahaja.

Resepi untuk lebih kurang 10 hingga 15 biji cucur

2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1/2 cawan gula pasir (kalau tak nak manis boleh kurangkan)
1 cawan gula merah
garam
2 cawan air
daun pandan
**saya masukkan sedikit minyak zaitun dalam adunan untuk kurangkan resapan minyak semasa menggoreng

***campurkan gula pasir, gula merah dan air. Masakkan hingga mendidih. Boleh masukkan carikan daun pandan semasa memasak air gula ini. Biarkan sejuk.

****Campurkan tepung gamdum dan tepung beras. Tuangkan air gula dan gaul sebati. Masukkan sedikit garam. Gaul sebati ikut likat (ada juga yang blend adunan ini). Gaul kaup balik atau pukul menggunakan tangan sehingga adunan berbuih. Peram adunan semalaman (kalau untuk minum petang, sediakan sebelah pagi).

*****Untuk menggoreng, panaskan sedikit minyak dalam kuali. Sendukkan adunan dan tuang di tengah kuali. Balik-balikkan sehingga masak. Gorengkan satu persatu.


Seronok rasanya dapat mencuba resepi-resepi tradisional ini. Tidak sukar hanya mahu atau tidak sahaja...

Thursday, November 10, 2011

Dah mula lah tu...

Sudah lama mesin jahit saya 'berselimut' di dalam bilik. Sudah hampir dua bulan tidak bersentuh. Kali terakhir dibuka dan digunakan semasa sedang ghairah menjahit skirt untuk Iman. Sempatlah siap tiga helai skirt dan apabila mula diselimutkan, memang payahlah hendak dibuka semula. Baju dan seluar koyak yang perlu dijahit dan diperbaiki sudah hampir penuh sebakul, tapi mood untuk membuka mesin jahit belum juga datang...hemmm...kalau dah malas tu memang payah nak mula, tapi bila dah mula, payah juga nak berhenti...

Entah kenapa, pagi tadi bila mengemas meja jahitan yang sudah semak dengan baju-baju yang perlu diperbaiki, ternampak pula bungkusan kain yang dibeli entah bila untuk dibuat alas meja, semangat hendak menjahit mula datang sedikit. Ternampak pula kain-kain baki yang telah diasingkan untuk dibuat gaun smocking Iman dan kelengkapan smocking yang telah lengkap dan hanya menunggu masa untuk bermula sahaja. Bahan-bahan smocking itu telah saya beli hampir setahun! Tapi hendak memulakan, ada sahaja alasannya...Tadi, sedang ber'blog walking', tersinggah satu blog jahitan dan entrinya adalah berkenaan gaun smocking yang amat cantik, bertambah lagi semangat hendak memulakan jahitan smocking untuk anak dara kecil saya...fuhhh amat mencabar sekali. Nampak gayanya kenalah membuka selimut mesin jahit itu untuk mendapat semangat memulakan kembali aktiviti jahitan. Aktiviti quilting juga sudah lama terhenti sejak menyiapkan quilt 'log cabin' untuk adinda penghujung April lalu. Sudah banyak scrap terkumpul dan projek selepas ini ialah 'house quilt' yang hanya menggunakan scrap. Tapi entah bila hendak dimulakan dengan segala perkara hendak dilakukan dan difikirkan sekarang...