Friday, September 28, 2012

Anak saya CACAT...So What!

"Ya ALLAH, janganlah KAU bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana telah KAU bebankan kepada orang sebelum kami.
 
Ya ALLAH, janganlah KAU pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya.
 
Ampunilah kami dan rahmatilah kami.  Engkaulah Penolong kami.  Maka tolonglah kami..."
 
Al Baqarah : 286


Tidak pernah terlintas langsung difikiran ini akan dikurniakan dengan anugerah anak istimewa ini.  Tidak tahu langsung dia akan menjadi insan istimewa selepas dilahirkan 18 tahun lalu.  Semuanya tidak, tidak dan tidak...Kami hanya mengetahui hakikat sebenar keadaan Along selepas 6 bulan dia dilahirkan.  Satu persatu kata-kata Prof Ong Lai Choo, Pakar Neurologi Pediatrik, HKL (ketika itu) masih kekal terpahat.  Jelas sejelas-jelasnya.  Bertahun-tahun kami suami isteri mengambil masa untuk menghadam lumat kata-kata itu.  Ya, bertahun-tahun bukan masa yang singkat.  Pelbagai cabaran dan dugaan kami lalui, tempuhi dan hadapi.  Macam tidak percaya kami yang ketika itu berusia seawal 24 tahun berjaya mengharungi semua rintangan itu tanpa kami sedari sedang melaluinya. 
 
Cabaran utama bagi kami ialah bagaimana berhadapan dan menangani emosi kami sendiri.  Bagaimana untuk menerima, redha dan bersyukur dengan anugerah itu.  Bukan perkara yang mudah sebenarnya untuk redha.  Selalu terlintas di hati "mengapa aku?", "Apa salah aku sehingga diduga begini."...Astagfirullahhal'azim...Kami masih cetek ilmu agama ketika itu, masih mempertikaikan pemberian Allah.  Ya Allah, ampunilah kami...Hari demi hari kami belajar menerima, berdepan dengan realiti sebenarnya.  Melakukan segala yang terbaik untuk anak istimewa kami dengan harapan menggunung tinggi agar satu hari nanti dia akan pulih sepenuhnya.  Ibubapa mana yang tidak mahu melihat anaknya membesar sihat, cergas dan cerdas mental dan fizikal.  Kami juga tidak terkecuali walaupun pernah diberi 'amaran' oleh doktor.
 
Setiap hari yang kami lalui adalah proses pembelajaran bagi kami sebagai ibubapa.  Setiap hari ada sahaja perkara baru yang kami pelajari hinggalah kehari ini.  Berdepan dengan ahli keluarga dan masyarakat sekitar juga merupakan satu cabaran.  Bukan semua boleh menerima atau memahami anak istimewa ini.  Kejian, tohmahan, simpati maupun pujian yang diterima saban masa menjadikan kami manusia yang 'lali' bahkan kadang-kadang sehingga tahap 'hati kering' berdepan dengan mereka.
 
Pada peringkat awal, penafian memang tidak dapat dielakkan.  Susah sungguh hendak menerima kenyataan.  Pernah saya menangis dan menjeruk rasa berhari-hari lamanya kerana seorang insan memanggil anak saya dengan panggilan 'BUDAK CACAT'.    Bisa sungguh perkataan itu.  Rasa mahu dicili-cili mulut orang yang mengucapnya.  Suka hati panggil anak aku cacat...Itu adalah antara perkataan-perkataan taboo bagi ibubapa kepada anak istimewa.  Pantang sungguh mendengar perkataan itu.  Kalaulah boleh dipadam terus dari direktori perkataan Bahasa Melayu, mahu saja saya memadamnya agar tiada siapa lagi boleh menggunakan perkataan itu.  Begitu sekali...
 
Namun, hari demi hari kami belajar menerimanya.  Perkataan itu tiada salahnya.  Yang salah ialah penutur dan orang yang menerimanya.  Memang hakikatnya CACAT tetap CACAT.  Cuma sekarang perkataan itu diperindahkan sedikit dengan menukarnya kepada 'anak istimewa' atau Orang Kelainan Upaya (OKU).  Namun maknanya tetap sama, tiada bezanya.  Cuma panggilan atau gelarannya sedikit 'manis'.  Mungkin ada yang akan marahkan saya dengan kenyataan ini.  Tapi itulah hakikatnya.  Kita akan dapat menerimanya seiring dengan masa.  Tidak perlu terasa hati, marah atau mengamuk jika ada orang panggil anak kita dengan gelaran CACAT.   Biarlah orang nak gelarkan macam manapun, yang penting kita terima dan sayang anak kita seikhlasnya.  Allah Maha Mengetahui akan segalanya.  Bagi saya sekarang, tidak menjadi kudis lagi jika orang mengatakan anak saya CACAT.  Kami telah berjaya melaluinya dan akan terus kuat melaluinya selagi Allah sudi meminjamkan anak syurgaNya itu kepada kami.  Kalian juga pasti boleh...
 
Banyak lagi ingin saya coretkan mengenai anak syurga ini, tapi saya simpan dahulu sekarang.  Akan saya kongsikan bila saya rasa ingin berkongsi.  Catatan-catatan berkenaan anak syurga saya ini umpama menggaru parut luka lama yang tidak pernah sembuh...Luka memang tidak pernah sembuh, tapi sakitnya sudah tidak terasa lagi...
 
Biarlah apa orang lain nak kata, Along tetap permata hati mama dan babah...
Permata hati, intan payung mama dan babah yang tiada galang gantinya...
Along Nadia Ammira Nadzli,
Angah Aiman Hazziq Nadzli dan Adik Iman Thuraya Nadzli
 
Along dan Nani.  Mereka sebaya dan senasib...
 
Biarpun digelar CACAT, Along tak kisah kan...Along dah pasti tempatnya di syurga nanti, orang yang mengata tu?

 
 
 
 

Thursday, September 27, 2012

Kuih Talam Suji

 
 
Sebenarnya kuih ini saya buat hujung minggu lepas. Tapi mood untuk menayang di sini tenggelam sekejap.  Ada beberapa entri yang terbengkalai.  Biasalah, kalau datang rajinnya, tak menyempat nak tulis. Tapi kalau datang penyakit alami tu, jawabnya tulis dalam kepala sahaja...

Saya cukup suka dengan kuih talam, terutamanya Talam Suji dan Talam Keladi.  Pernah cuba buat beberapa kali talam keladi, tetapi tidak begitu menjadi.  Seorang sahabat yang sama mempunyai anak istimewa, berkongsikan 'keindahan' dan keenakan pelbagai kuih talamnya.  Cukup mengujakan sekali.  Tidak mahu ketinggalan, saya meneroka beberapa blog masakan dan terjumpa dengan blog masakan Chef Asma yang terkenal dengan kuih talamnya.  Dia juga menjual pengukus eletrik yang memudahkan kerja kukus mengukus kuih ini.  Saya yang memang sukakan 'gadjet' dapur, membeli pengukus menggunakan duit royalti buku yang diterima untuk tahun lepas. Sekurang-kurangnya ada juga kenangan dari hasil tulisan saya (sebenarnya agak terperanjat dengan jumlah yang diterima...hihi).  Saya membeli segala macam 'gadjet' dapur bukan hendak meniru sesiapa seperti tanggapan sesetengah pihak.  Saya beli untuk kepuasan diri sendiri untuk digunakan di 'pejabat kecil' saya.  Lagipun saya beli pakai duit sendiri, tak minta dengan orang pun, kan...
 
Pengukus eletrik, gadget terbaru saya.  Orang lain 'gila' gadjet it, saya gila gadjet dapur....boleh tak?
 
Bersama pengukus itu juga, saya beli sekali pakej lengkap resepi 20 jenis kuih talam (entah bila boleh habis dicuba kesemua resepinya).  Apa lagi, semangat berkobar-kobar dan membara-bara untuk mencuba.  Seperti biasa, proses mencari bahan dan menunggu mood menalam sampai juga mengambil masa hampir dua minggu!  Bukannya apa, seloyang kuih talam bagi kami sekeluarga seramai lima orang (termasuk Iman yang masih kecil), rasanya seminggu baru boleh habis.

Mood menalam yang tiba-tiba datang, kebetulan serentak dengan kunjungan ibu saudara ke rumah adik.  Apa lagi, malam-malam pun saya buat juga dan siap sepenuhnya (termasuk nak sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam peti ais) menjelang jam 3 pagi.  Puas hati!

Esoknya sepiring Talam Suji untuk jiran belakang rumah, setalam kecil untuk jamuan ibu saudara yang datang dari Perlis (bersama nasi lemak istimewa) dan satu tupperware panjang untuk Aiman Hazziq yang kami jenguk petang itu.  Alhamdulillah semua menikmati kuih talam saya dengan penuh selera.  Aiman yang  tidak begitu gemar dengan kuih muih begitu juga, berjaya menghabiskan sebekas kuih.
Proses memasak lapisan atas.  Ada teknik-tekniknya untuk mendapat hasil yang sempurna...
 
Proses memasak lapisan bawah...

 
 
Merasmikan kukusan baru...
 
Sudah masak.  Tapi bahagian atas tidak cantik.  Masih perlu diperbaiki.  Tapi yang penting, sedap...

 
Nampak gayanya, kena praktis lagi bab talam menalam ni.  Masih ada 19 resepi lagi yang belum dicuba.  Mohon maaf, resepinya tidak dapat saya kongsi di sini selagi tidak mendapat izin rasmi empunya resepi.  Dia berniaga dan kita perlu faham situasinya.  Jika sesiapa yang berminat dengan resepi ini, boleh email saya.

Friday, September 21, 2012

Smocking Lagi...



Sudah berapa lama saya perap kain ini sebelum disulam.  Seingat saya kain ini diterima dari Kak Tina ( cikgu smocking saya) sebelum bulan puasa lagi.  Dia 'mengizinkan' saya menajamkan kemahiran menyulam di kain ini dan sehelai lagi kain yang telah siap.

"Ambillah masa berapa lama yang awak perlukan untuk siap.". Itulah kata Kak Tina semasa menyerahkan kain ini. Saya apa lagi, amat kembang hati bila diberi kepercayaan oleh cikgu sendiri.  Berbunga-bunga hati dengan azam akan menyiapkannya secepat mungkin.  Tapi azam tinggal azam.  Kebetulan pula seminggu kemudian, suami mendapat arahan bertukar ke Kuala Kubu Bharu.  Bermulalah pula episod kemas mengemas untuk berpindah dan randah.  Tetapi sambil berkemas, saya masih sempat menyulam sebagai cara untuk melepaskan tekanan dan lelah mengemas.

Dari Cameron Highlands ke Kuala Kubu, kini sudah hampir 2 bulan, masih belum siap.  Harap Kak Tina tak marah dan tak lupakan kain-kainnya ini...

Apa yang seronok bersmocking ini?  Ada yang bertanya.  Entahlah, susah hendak saya terangkan.  Bila sudah mula memegang kain, jarum dan benang, saya akan berada di dunia saya sendiri.  Semasa inilah segala perkara akan berlegar difikiran.  Semasa ini jugalah saya mengambil peluang berzikir bagi setiap tusukan jarum yang dibuat.  Semasa ini jugalah saya memuhasabah kembali diri mencari apa yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi.  Dan kadang-kala, semasa ini jugalah segala macam idea penulisan menerpa benak fikiran saya!

Contohnya sekarang, tiba-tiba ilham untuk menulis di blog datang.  Sedangkan saya telah kekeringan idea sejak dari semalam.  Walaupun bukan perkara penting pun, tapi bila dapat menulis, otak saya akan berfikir dan berfikir, menjana idea baru.

Lain orang lain caranya.  Jika sebelum ini saya gila membuat quilt dan patchwork.  Iu juga adalah terapi untuk saya.  Walaupun kerjanya agak rumit dan renyah, itu tidak menjadi masalah langsung, malah saya suka cabaran begitu.  Bonda saya yang merupakan seorang tukang jahit cukup hairan dengan sikap dan 'kemahiran' saya ini.  Boleh menjahit cadar dan selimut yang rumit begitu, boleh menyulam dan menjahit gaun anak perempuan saya tetapi untuk menjahit baju kurung sendiri tidak pandai!  Pastinya dia akan merungut setiap kali saya hulurkan bungkusan kain untuk dijahit.  Akhirnya untuk mengelakkan leteran bonda, saya mengupah tukang jahit sendiri untuk menjahit baju kurung saya...Sebenarnya bukan tak pandai, tapi tak suka dengan perkara-perkata yang agak teknikal seperti itu.  Mungkin juga selepas ini saya akan berusaha juga untuk menjahit sendiri baju kurung untuk diri sendiri dan dua orang anak dara saya.   Nota semuanya sudah sedia, cuma kemahuan belum muncul lagi.

Diam tak diam sebenarnya sudah banyak juga gaun smocking yang sudah saya siapkan.  Ada beberapa  helai lagi yang perlu disiapkan.  semuanya Iman punya!  Along cukup cemburu setiap kali Iman menyarungkan gaun baru.  Hemmm...nampak gayanya mama kena buat juga sehelai untuk Along.  InsyaAllah, untuk Along, apa saja akan mama usahakan.

Selepas ini saya berazam untuk belajar menjahit telekung smocking pula.  InsyaAllah...

sehelai lagi pasangan kain di atas...
 

dress raya anak saudara. Sebab sibuk berpindah dan takut tak sempat siap sebelum raya, saya hanya sulam dan badan dijahit oleh Cikgu Tina.  Terima kasih kak...


dress flowe girl, Iman dan Farzana.  Sibuk kenduri dan masing-masing tak kena angin, akhirnya baju ini tergantung sampai habis kenduri...Dress hijau itu adalah dress smocking pertama yang berjaya dihasilkan (lihat entri smocking dress)

Thursday, September 20, 2012

Along dan Gigi...

Hari ini, PDK Kuala Kubu Bharu dilawati oleh Klinik Pergigian Kuala Kubu Bharu.  Apa lagi tugasnya kalau bukan nak periksa gigi anak-anak PDKKKB.  Periksa sahaja tau, tak buat apa pun.  Sebelum itu, doktor membuat demo bagaimana hendak memberus dan membersihkan gigi.  Kelakar juga tengok gelagat anak-anak istimewa ni.  Macam-macam gaya dan ragam.  Belum dipanggil ke bilik pemeriksaan lagi pun  dah ada yang kecut perut, menangis dan tak mahu bergerak.

Tidak terkecuali si Nadia Ammira NAdzli, Along kami.  Saya sudah dapat agak apa akan jadi dan apa reaksi Along.  Sedari kecil, sessi pemeriksaan gigi inilah yang paling 'azab' bagi kami.  Masa umur 4 hingga 5 tahun, badannya masih kecil.  Masih boleh dipangku dan dipegang.  Tapi sekarang semasa sudah berusia 18 tahun, saiz badan yang hampir sama besar dengan mama membuatkan sesiapa sahaja boleh mengalah.  Kali pertama dirujuk ke klinik gigi, Institut Pedeatrik, HKL, Along masih kecil.  Temujanji pertama, doktor membekalkan kami ubat tidur untuk diberi kepada Along sebelum datang untuk sessi seterusnya selang seminggu kemudian.  Walaupun sudah diberi ubat tidur melebihi dos yang disarankan (masih dalam peringkat dos yang dibenarkan), Along masih bulat matanya.  Tiada tanda mengantuk langsung.  Terpaksalah dipangku dan dipegang oleh jururawat dan pembantu pergigian.  Saya yang kebetulan sedang hamil lebih kurang enam minggu, terkena tendangan Along dan kesannya, saya keguguran selepas itu.  Tak Mengapa, tiada rezeki kami lagi.  Doktor berhempas pulas memeriksa dan menampal mana-mana gigi yang perlu.  Saya amat kagum dengan kecekapan doktor tersebut.  Dalam berperang dengan Along, tugasnya dilaksanakan dengan sempurna.  Dengan mulut yang dipenuhi darah dan tenaga yang semakin lemah, babahnya mendukung Along ke kereta dan Along terus tertidur sehingga esok hari (puas berkejut untuk minum susu dan dimandikan, semuanya dalam keadaan separuh sedar)...Belas sungguh rasa hati melihat Along dalam keadaan begitu.  Tapi apakan daya, untuk kebaikan dia juga.

Semakin meningkat usia, semakin banyak yang perlu dilakukan untuk Along.  Apabila masalah drolling Along semakin serius, doktor di PPUKM merujuk Along kepada pakar pergigian di PPUKM pula.  Saya dan suami saling berpandangan, sudah dapat membayangkan apa yang akan terjadi.  Tepat seperti jangkaan, langsung tidak boleh buat apa walaupun untuk dudukkan dia di kerusi pemeriksaan.  Terbaring, terjerit di bilik pemeriksaan.  Dicapai, dibalingnya apa yang sempat.  Kami pun tak boleh buat apa, sekadar memerhati sambil menahan air mata sendiri.  Akhirnya doktor membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan di bilik bedah.  Itu bermakna Along perlu dimasukkan ke wad, diberi ubat bius dan barulah pemeriksaan dan rawatan dilakukan.  Begitu sekali.  Kami tiada pilihan selain dari terpaksa membenarkannya.  Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.   Siri-siri pemeriksaan gigi selepas itu hanyalah sekadar berkunjung ke klinik gigi di PPUKM dan doktor hanya bertanya apa masalah dan memberikan panduan dan nasihat apa yang perlu.  Langsung tidak boleh disentuh atau dipegang.  Lama kelamaan kami sendiri yang menghentikan temujanji dengan klinik pergigian.   

Semalam, bila cikgu PDK memaklumkan berkenaan dengan rawatan gigi, saya hanya senyum.  Mungkin dengan cikgu-cikgunya, Along lebih 'lembut'.  Jauh terpesong jangkaan saya.  Sama sahaja.  Untungnya, doktor gigi seorang perempuan dan Along sedikit lembut dengan orang perempuan lain.  Tidak berlarutan amukan Along, berjaya ditenangkan oleh doktor dan cikgu-cikgunya.  Alhamdulillah, gigi Along tiada masalah serius.  Cuma karang gigi perlu dicuci. Memang kami cukup menjaga gigi Along.  Walaupun sukar untuk digosok, kami tidak pernah membenarkan Along makan gula-gula (selain bimbang akan tercekik), jarang minum minuman manis dan makan makanan manis.  Kami cukup bimbang kalau Along sakit gigi.  Sedangkan kita yang normal ini, sakit gigi adalah antara sakit yang tak tertanggung, apatah lagi kalau Along yang sakit gigi.  Saya tidak mampu membayangkannya...

Sessi senaman pagi


Taklimat dan penerangan dari doktor.  Faham ana-anak?  Senyum je lah...




Demonstrasi memberus gigi.  Sabar menanti





Kenesio tape sessi ketiga Along menjadi perhatian.  "Oh!Ingatkan sakit gigi."  Ada ibubapa yang bertanya...




Besarnya berus gigi dan gigi doktor!





Boleh ke doktor ni pujuk?  Mama terpaksa menyembunyikan diri untuk elakkan Along dari mengada-ngada bila ada mama...



Tak mau duduk...Kita periksa sambil berdiri ye.  Sabar sungguh doktor melayan...



Azwan nak lari...tolongggg...



Raungan Azwan buatkan anak-anak lain tambah kecut perut...



Dah selesai, bolehlah senyum lebar...




Wednesday, September 19, 2012

Lempeng Kelapa

Alahai! Tak kan resepi ini pun nak masuk blog? Mesti ada yang cakap macam tu kan. Tapi saya tak kisah.  Nak kongsi juga. Yang mudah dan ringkas macam inilah yang selalunya kita lupa.  Lempeng ini sering saya nikmati semasa kecil.  Inilah juadah minum petang atau sarapan pagi yang paling mudah disediakan ataupun jika arwah ayah tidak membeli barang dapur lagi (maksudnya tidak cukup duit). Biasanya tepung gandum memang tidak pernah putus bekalan dan pokok kelapa memang sedia ada di belakang rumah dengan buah yang tidak pernah putus.  Jadi, amat mudah dan tidak perlukan belanja yang besar.  Berebut kami adik beradik menikmatinya terutama jika semasa musim tengkujuh.  Mudah dan ringkas itulah yang enak.

Cadangnya petang ini malas hendak menyediakan juadah minum petang.  Saki baki kuih raya masih banyak.  Habiskan dulu kuih raya. Tapi tidak sampai hati pula bila tengok Along sudah menunggu di meja makan.  Hujan lebat menjadikan perut mudah lapar.  Kebetulan pula kelapa parut muda masih ada.  Apa lagi terus saya bancuh lempeng kelapa.  Along setia menunggu di tepi dapur,tidak sabar hendak menikmati lempeng kelapa.

Bahan-bahannya:

3 senduk tepung gandum
Segenggam kelapa parut muda (jika suka boleh lebihkan)
3 sudu besar quaker oat
Sedikit garam
Air secukupnya
Margerin atau minyak untuk melenser kuali (non stick pan)

Cara-caranya :

Campurkan tepung, kelapa parut, quaker oat dan garam dalam bekas.  Masukkan air sehingga adunan sedikit cair.  Gaul sebati (gunakan pemukul telur untuk dapatkan adunan yang lebih halus).

Panaskan kuali. Sapukan dengan margerin atau minyak.  Sendukkan adunan dan biarkan masak atau sedikit garing.  Terbalikkan.

Amat mudah sekali bukan.  Jadi tiada alasan tidak boleh sediakan minum petang untuk keluarga. Kadang-kadang yang ringkas ini lebih disukai anak-anak.  Tambahan pula jika dicampur dengan quaker oat, lempeng ini juga menjadi makanan yang berkhasiat untuk kita sekeluarga.

Untuk memudahkan kita, jika kebetulan ke pasar atau ke kedai mamak, beli sahaja kelapa parut dan kemudiannya simpan di bahagian sejuk beku peti sejuk kita.  Boleh tahan berminggu-minggu.  Bila-bila masa hendak digunakan, bahan sudah sedia ada...

Enak dinikmati bersama kopi o atau teh o.  Boleh juga dicicah samabl tumis bilis atau susu pekat manis




pssst...gambar saya semuanya tak 'cantik'.  Tak ada seninya...

Lemang Kelamai...

Pelik sedikit tajuk entri kali ini...saya juga mulanya tidak tahu, tapi bila melihat dengan mata kepala sendiri, oh!  Lemang tepung rupanya.

Seperti biasa, kami memang suka jalan-jalan sambil mencari makan.  Rugi rasanya jika sudah sampai ke satu-satu tempat baru, tidak mencuba makanan enak di tempat tersebut.  Kebetulan ketika pulang dari menjenguk Aiman di asrama, untuk mengelakkan kesesakan lebuhraya (ingatkan tengah bandar sahaja yang sesak jalannya, lebuhraya pun sama juga), kami melalui jalan biasa dari Gopeng-Kampar-Tapah-Bidor-Slim River-Tanjung Malim-Kuala Kubu Bharu.  Di Gopeng, terjumpa pula dengan gerai yang menjual lemang kelemai ini.  Suami yang sudah beberapa kali menyebutnya terus membeli sebab ingin mencuba keenakan rasa lemang yang hanya boleh didapati di sini sahaja.

Lemang kelamai ini adalah salah satu makanan tradisional etnik Melayu Rawa atau Roa yang terkenal semasa bulan ramadhan dan  perayaan Aidil Fitri.  Lemang yang diperbuat dari tepung pulut, santan dan gula dibakar dalam buluh seperti lemang biasa.  Cuma buluhnya telah dikopek lapisan kulit luarnya.  Lemang ini enak dimakan bersama kelapa parut muda yang digaul sedikit garam.  Mengikut kata penjualnya, lemang ini boleh tahan lama, kadang kala sehingga berbulan-bu


Kali pertama mencuba lemang ini, rasanya lebih kurang macam dodol tetapi lebih enak (saya tidak suka dan tidak pernah makan dodol).  Tetapi disebabkan kemanisannya, tidak banyak yang boleh dimakan dalam satu masa.  Tidak mengapa, boleh disimpan lama kan?  Sebatang lemang juga berharga rm20!  Lebih mahal dari lemang pulut biasa.  Itulah nasib makanan tradisional kita, makin lama makin susah didapati, makin dilupakan dan makin mahal harganya.  Tidak hairan jika suatu hari nanti, anak-anak muda sudah tidak mengenali apa itu ketupat palas atau nasi impit pisang abu...semuanya sudah serba moden dan serba segera...



Beza dengan lemang biasa, kulit buluhnya telah dibuang.  Harga sebatang lemang ini boleh mencecah RM20 sebatang!


Enak dimakan bersama kelapa parut muda.  Tapi bagi pengidap diabetic, awas.  Rasa sedikit sahaja.  Cukup manis rasanya...

Monday, September 17, 2012

Ikhtiar Kami...Kinesiology Tape

Along dengan 'gadget' baru...


"Eh! Kenapa dengan Along? Ubat apa ni, bertampal-tampal macam ni.". Itu respon nenek bila kami sampai ke rumahnya semalam.  Terperanjat dan cemas bunyinya.  Kami senyum sahaja.  Pada yang tidak mengetahui kaedah ini, memang kelihatan amat pelik sekali.

Sejujurnya, sudah lama kami tidak membuat sebarang rawatan alternatif atau tambahan untuk Along. Selain dari rutin pemeriksaan enam bulan sekali di Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Along hanya mengikuti latihan harian di PDKKKB sahaja.  Tiada lagi speech theraphy, occupatinal therapy atau segala macam terapi lain lagi samada di hospital atau pengamal perubatan alternatif.  Susah hendak diterangkan mengapa.  Selain dari Along yang sudah semakin besar (sudah 18 tahun usianya), ada beberapa faktor lagi yang 'menghalang' kami dari melakukannya.  Biarlah kami sahaja yang mengetahuinya.  Bukan tidak teringin hendak mencuba sesuatu yang baru untuk Along.  Mana tahu 'bertemu jodohnya', dia boleh pulih sepenuhnya, tapi entahlah.  Susah nak cakap...

Semalam, ketika menghadiri jamuan hari raya kumpulan Facebook MyCP (kumpulan ibubapa yang ada anak CP) dan The Helping Hands , kami ditunjukkan dengan satu kaedah rawatan menggunakan kinesiology tape oleh Puan Siti Fadzillah (pemilik Greatlife Fisioterapi Center, Kota Damansara).  Sebelum ini, dalam page MyCP memang telah diterangkan faedahnya.  Tapi tidak terlintas hendak mencuba.  Along sudah besar, tangannya memang pantas membuang apa sahaja yang dia tidak suka di badannya.  Terlintas hendak mencuba tape tersebut untuk masalah drooling (air liur yang sentiasa meleleh) Along.  Dengan mudahnya Puan Fadzilah dapat memasang tape di muka Along (seperti gambar di atas).  Memang dia nampak tidak selesa pada peringkat awal dan cuba membuangnya.  Tetapi bila dilekakan dengan perkara lain, Along seolah-olah terlupa dengan tape yang tertampal di sekitar mulut.

Sebelum ini, Along pernah ditawarkan untuk menjadi 'bahan kajian' suntikan botox untuk masalah drooling oleh Prof Ong Lai Choo, pakar neurologi, PPUKM.  Setelah tiga kali menjalani rawatatan botox, kami tidak sanggup lagi untuk meneruskannya.  Sekali rawatan hanya bertahan untuk sekitar 6 hingga 8 bulan sahaja.  Dalam tempoh itu, memang air liur Along kurang meleleh atau kering lansung.  Kesan sampingannya juga jelas kelihatan.  Muka Along lebih runcing, kulit cantik dan bersih ( patutlah ramai yang berebut untuk mendapatkan suntikan botox).  Walaupun semua kos rawatan adalah percuma (sekali suntikan 4 jarum, kosnya lebih enam ribu ringgit), kami tidak sanggup melalui prosedur sebelum suntikan.  Kasihan Along.  Perlu dimasukkan ke wad, disediakan line untuk dimasukkan ubat tidur sebelum disorong ke bilik scan untuk prosedur seterusnya.  Empat jarum dicucuk.  Suntikan perlu tepat ke kelenjar.  Dua di bahagian belakang telinga dan dua di bahagian bawah dagu (tempat kelenjar liur).  Suntikan botox akan melemahkan otot kelenjar liur dan membantu kawalan masalah air liur yang meleleh.  Untuk menyediakan line di tangan Along memgambil masa berjam-jam (sedangkan jika kita, hanya beberapa minit sahaja).  Puas dibalut cadar hospital, dipegang dan berbagai cara lagi, biasanya tidak berjaya dilakukan dengan mudah.  Hanya doktor atau jururawat tertentu dan berpengalaman yang berjaya melakukannya.  Lebam kiri kanan tangan sebelum dapat dimasukkan jarum.  Raungan dan amukan usah dikira.  Bila ditanya untuk meneruskan rawatan, kami angkat tangan.  Tak sanggup lagi.

Lama kelamaan,masalah drooling Along bukan menjadi masalah besar lagi bagi kami.  Kadang-kadang okay, kadang-kadang teruk.  Tetapi, bila diperkenalkan dengan kenesio tape ini, saya berminat untuk mencuba.  Tape ini boleh membantu masalah drooling dengan menguatkan otot di bahagian yang bermasalah.  Asalnya tape ini digunakan oleh atlet yang mengalami masalah kecederaan otot.  Tapi kajian demi kajian yang dibuat, ia juga sesuai untuk kanak-kanak dengan masalah Cerebral Palsy.  Tape ini membantu mengurangkan masalah spastik dan menguatkan otot yang lemah.  Tape ini yang diperkenalkan di Jepun lebih 25 tahun lalu kini boleh digunakan bagi membantu anak-anak istimewa ini (boleh rujuk ke laman web www.aresport.com untuk keterangan lanjut)


Selain dari itu juga, saya boleh mendapat manafaat dari kenesio tape ini untuk masalah spondylosis yang ditanggung.  Setelah sekian lama tidak melakukan fisioterapi, masalah spondylosis saya makin memburuk.  Tape ini dapat membantu jika digunakan dengan betul.

Sekarang, kami sedang mencari jalan untuk menampal semula tape ini di muka Along.  Tampalan pertama hanya bertahan semalaman.  Puas dia mengamuk bila saya cuba untuk menambah tampalan.  Mungkin rasa tidak selesa.  Dia perlu sentiasa dilekakan dengan perkara lain untuk membuatkan dia terlupa dengan tape yang terlekat di muka.  Jika tiada apa yang dilakukan, jawabnya sekejap sahaja tape ini boleh terlekat.  Memang pantas tangannya menanggalkan.  Sekali sudah tanggal, tidak boleh dilekatkan semula.  Tape ini kalis air dan boleh bertahan 3 hingga 5 hari.  Menurut Puan Fadzillah, untuk masalah drooling kesan secepatnya boleh dilihat dalam masa dua minggu jika dipakai berterusan.  Hemmm...apa lagi cara hendak digayakan Along.  Sayang jika pakai sekejap sahaja. 1cm tape ini berharga enam belas sen...Moga Allah mempermudahkan usaha kami kali ini.

sedang menikmati sarapan dengan hanya sebelah tape yang tinggal...

Thursday, September 13, 2012

Ketupat Sotong Mama...

Hari ini bersemangat nak berkongsi pelbagai cerita di rumah kecil saya ini.  Semalam, semangat sedikit menurun dengan dua berita kematian yang diterima.  Pertama, perginya seorang rakan penulis yang walaupun tidak dikenali secara dekat tapi pernah mengikuti kursus bersama.  Kedua, perginya seorang anak istimewa (rakan sekolah Along dan tinggal hanya selang beberapa rumah dari rumah kami) pada usia mencecah 40 tahun.  Betapa anak syurga ini menjalani hidup yang penuh warna warni sebagai insan istimewa selama 40 tahun!  Bersih dan tenang wajahnya  mengadap Ilahi dan pastinya dia sedang berbahagia di sana...Al Fatihah

Mungkin ada yang mempertikaikan rumah kecil ini bercampur aduk, caca marba dengan pelbagai cerita.  Jawab saya senang sahaja.  Suka hati sayalah.  Blog saya, saya boleh tulis apa sahaja yang saya suka dan apa juga cerita yang boleh saya kongsi dengan orang lain.  Mungkin ada sedikit sebanyak dari coretan-coretan ini boleh dijadikan panduan, teladan atau rujukan.  Sekurang-kurangnya ada sedikit sumbangan yang diberikan walaupun bukan dalam bentuk wang ringgit.  Blog ini juga menjadi medan kesinambungan bidang penulisan saya yang sudah lama terbengkalai..

Tengok tajuk entri pasal makanan, tapi saya merapu yang lain ya...

Saya suka memasak mencuba pelbagai resepi.  Walaupun ada juga yang tidak menjadi, tapi saya puas hati dapat mencuba dan keluar dari kotak pemikiran harian yang seolah-olah sudah menjadi rutin.  Tidak semestinya jika kita bukan orang Jawa, kita tidak boleh mencuba masakan Jawa atau jika kita bukan orang Kelantan, makanan orang Kelantan yang sedap-sedap itu kita tolak ke tepi.  Mengambil iktibar seorang rakan, jika berpeluang menikmati masakan Jawa seperti soto atau sambal goreng, dia akan menikmatinya sesungguh hati kerana tidak berpeluang merasa makanan itu di rumah sendiri.  Ini adalah kerana isterinya berasal dari Pantai Timur dan hanya menghidangkan masakan dari sana sahaja.  Saya tidak mahu perkara terjadi kepada suami dan anak-anak.  Suami yang sedari kecil sudah biasa disuap dengan masakan ibunya, pasti sesekali teringin menikmati masakan begitu.  Suami juga tidak kisah dihidangkan dengan masakan dari ceruk mana sekalipun.  Akan dinikmati dengan berselera sekali.  Alhamdulillah...

Sudah jauh saya melencong dan berleter...

Berbalik kepada cerita ketupat sotong, saya sering menyediakan juadah ini jika kebetulan suami membeli sotong yang besar dan cantik.  Sewaktu belum berkahwin atau ketika bulan puasa, bonda selalu menyediakan hidangan ini.  Memang sedap.  Berebut kami adik beradik menikmatinya dan itu menjadikan ia bertambah sedap lagi.



Kebetulan beberapa hari lepas, kami  masih bertungkus lumus menghabiskan puasa enam bulan syawal.  Ada beberapa ekor sotong yang segar dan cantik dibeli suami  Beras pulut juga ada,  Terus terlintas untuk menyediakan ketupat sotong.  Tidak susah mana pun. Ini adalah versi saya sendiri yang telah saya olah dari resepi asal.  Saya kongsikan resepinya :

Bahan-bahan :

Sotong segar (saiz besar atau sederhana)- bersihkan perut dan asingkan kepala.
Beras pulut secukupnya - rendam 1-2 jam
Gula kabung atau gula melaka (atau nesan) secukup manis
Santan pekat dan santan cair secukupnya
Daun pandan
Sedikit halba JIKA SUKA
Secubit garam
Pencungkil gigi

Cara-caranya :

Masukkan beras pulut ke dalam perut sotong yang telah dibersihkan.  Masukkan separuh sahaja.  Jika ada telur sotong, biarkan di dalam.  Lebih enak rasanya.  Masukkan kepala sotong semula dan cucuk dengan lidi untuk mengelakkan kepala dari tercabut dan pulut terkeluar.

Susun daun pandan di dasar periuk.  Susun sotong dan pecah-pecahkan gula kabung.  Masukkan santan cair, garam dan halba.  Masak atas api kecil.  Masak sehingga pulut masak seperti kita masak nasi (bergantung kepada kuantiti sotong, lebih kurang 30-50 minit).  Bila sudah hampir kering dan masak, tuangkan santan pekat. Biarkan seketika dan tutup api.  Sewaktu masak, kacau sekali sekala supaya tidak hangit.  Jika ada pulut rendam yang berlebihan, masukkan sekali dengan sotong (Tabur di antara sotong).  Tidaklah membazir. 

Hidangan ini enak dinikamati bila-bila masa tapi amat terkenal ketika bulan puasa.  Nak beli, susah nak dapat yang betul-betul memenuhi piawaian tekak.  Jadi buat sendiri lebih mudah bukan...

 
Bau harum pandan dan gula kabung memang membangkitkan selera
 


Siap untuk dihidang.  Pulut berlebihan saya masukkan sekali.  Jadi kelihatan seperti disalut pulut pula




Sekolah...School...

Setiap hari, usai menghantar Along ke PDK, Iman pasti akan bertanya " Mama, Iman nak pergi school boleh?"Itulah ayat yang akan diulang selagi mama tak bagi respon.  Kadang-kadang naik bingit telinga mendengar soalan demi soalan, harapan demi harapan yang dilemparkan.  
 
cukup pandai melaram
 
Bukannya tak nak bagi pergi sekolah, tapi dengan umur yang baru mencecah 3 tahun 6 bulan, tiada tadika yang sudi menerima dia belajar di sini.  Ajak school dengan mama di rumah, payah cerita.  Teacher dia hari-hari di rumah ialah Disney Channel (saluran 613 ASTRO).  Ajak buka buku, mama baru ajar A dia dah tunjuk K....habis tu macam mana.  Memang betul cakap ramai ibu-ibu yang bertugas sebagai guru " biarlah saya ajar anak orang dari ajar anak sendiri.  Kalau ajar anak sendiri, darah cukup cepat naik ke kepala".  Kini saya merasainya. 
 
 
 
Saya sudah survey beberapa tadika di sekitar Kuala Kubu untuk tahun 2013.  Pilihan pertama TAKIS JAIS yang terletak berhampiran masjid.  Memang terkenal.  Tapi sayangnya mulai tahun hadapan, pelajar 4 tahun tidak lagi diterima.  Hampa harapan.  Iman yang mula bersemangat, tidak faham.  Tetap mengajak mama ke TAKIS juga.
 
kecil-kecil dah masuk universiti... di Fakulti Sains Sosial UKM ketika meneman babah
 
Saya bertanya pula ke Tadika Cerdik Ceria yang lebih berkonsep moden dan dimiliki oleh seorang rakan berbangsa Cina.  Memang kami kenal lama sebab sama-sama terlibat dalam bidang pendidikan awal dan Aiman juga pernah mengikuti kelas mental aritmetik di tempatnya selama hampir 4 tahun.  Sewaktu mengandungkan Iman, saya secara berseloroh pernah berkata " Ini your future student 4 tahun lagi ya," sambil merujuk kepada Iman yang masih di dalam perut.  Rupa-rupanya masin mulut saya.  Belum umur Iman empat tahun, kami sudah kembali ke Kuala Kubu.  Terus borang pendaftaran tahun 2013 dihulurkan dan saya mengisinya separuh hati kerana masih mahu mencari tadika yang berkonsepkan islam sebagai pendedahan awal kepada Iman.
 
Hari ini, setelah tidak tahan dengan 'leteran' Iman yang mahu ke sekolah, saya mencuba nasib untuk menumpangkan Iman belajar di PASTI berhampiran.  Dalam bersemangat nak bersekolah, rupanya pandai sungguh si kecil ini memilih.  Biasalah, imej PASTI.  Suram dan tidak ceria.  Tiada taman permainan yang sempurna.  Dalam mama berbual dengan ustazah, Iman mula menyorok di belakang mama.  Tambahan pula bila ada pelajar-pelajar lelaki yang memerhati dan mengusiknya.  Tiba-tiba kenyataan terus bertukar, tidak mahu sekolah.  Pulak dah...
 
"Iman nak school dengan Teacher Dolly la mama.  School kat sana, bukan sini."  Dengan selamba dia masuk kereta.  Adui, kecil-kecil sudah pandai pilih mana nak pergi.  Keputusan mama, tahun depan baru sekolah.  Duduk dulu rumah puas-puas, sekolah dengan mama...
 
jangan jadi macam ni sudah...mula-mula semangat, lepas tu meraung...
 

Tuesday, September 11, 2012

Kuih Kaswi Pandan


Ketika sibuk berkemas untuk pindah dan randah baru-baru ini, saya terjumpa resepi kuih ini.   Entah dari mana saya menyalinnya juga, tidak saya ingat lagi.  Dari sehari ke sehari, resepi yang dilekatkan di pintu peti sejuk, saya jeling sahaja.  Tidak ada keinginan untuk mencubanya walaupun ketika itu dibulan puasa.  Letih melihat kotak-kotak yang memenuhi ruang rumah mengatasi semangat untuk mencuba resepi baru. 
 
 
Baru-baru ini, setelah jenuh memikirkan apa yang hendak dijamu kepada bonda yang akan berkunjung, saya terjeling resepi yang masih setia terlekat.  Kebetulan semua bahan ada dan saya mula mengerjakan kuih ini.  Tidak susah sebenarnya.  Hendak dengan tidak sahaja.  Alhamdulillah percubaan pertama menjadi dan mendapat pujian bonda.  Cuma seperti biasa, komen yang keluar 'kuih ni tak letak gula ke?', 'kelapa parut ni tak cukup garam'...hemmmm...untuk orang tua yang berpenyakit, memang sengaja saya kurangkan gula dan garam.
 
Saya kongsikan resepinya (terima kasih kepada empunya resepi)
 
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
1 cawan santan pekat (atau sederhana pekat)
11/2 cawan air pandan (3-5 helai pandan, dikisar dengan 11/2 cawan air)- jika tidak cukup hijau tambahkan sedikit pewarna hijau
1/2 cawan gula
1/2 sudu teh kapur makan
garam secukup rasa
1 biji telur
kelapa parut putih digaul sedikit garam
 
* gunakan cawan penyukat yang sama untuk menyukat bahan
 
Cara-caranya:
 
*Gaulkan tepung gandum, tepung ubi.  Masukkan santan, air pandan, kapur makan, garam dan telur.  Gaul sebati (blend menggunakan blender jika rajin.  Adunan lebih halus).  Tapis.
 
*Panaskan kukusan.  Sapukan loyang dengan sedikit minyak.  Tuangkan adunan tadi dan kukus lebih kurang 35-45 minit atau sehingga masak (bila dicucuk, tidak melekat).  Sejukkan dahulu sebelum dipotong.
 
* Gaul dengan kelapa parut sebelum dihidang.
 
Selamat mencuba.  Insyaallah banyak lagi resepi akan dikongsi kerana saya sedang di dalam mood yang baik untuk memasak, mencuba pelbagai resepi di dapur comel saya...
 
 
 
 

.




Migrane dan Bekam...

 

 
Antara perkara yang menghantui saya semasa membuat keputusan untuk berpindah balik ke Kuala Kubu ialah masalah migrane.  Sebelum ini, boleh dikatakan setiap kali turun ke bawah (dari Cameron Highlands) saya pasti akan diserang migrane kadang-kadang tanpa sebab yang munasabah.  Memang tension dibuatnya setiap kali kena migrane.  Hanya mereka yang mengalaminya dapat membayangkan azab yang ditanggung.
 
Saya tidak ingat bila mula diserang migrane.  Mungkin dari zaman persekolahan.  Mungkin juga mewarisi penyakit keturunan arwah ayah yang amat sinonim dengan sakit kepala.  Tanyalah mana-mana sepupu saya, itu adalah sakit biasa mereka.  Seingat saya juga, saya pernah diusung ke bahagian kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan ketika menuntut di Tingkatan 6, SMART Kuantan gara-gara serangan migrane yang amat teruk.  Semasa menuntut di universiti juga, itu adalah masalah biasa.  Penyembuhnya hanya panadol.  Tapi lama kelamaan panadol juga sudah tidak berkesan.  Perkara ini berterusan begitu sahaja.  Sudah lali dan tidak pernah saya kisahkan lagi.  Sakit, saya telan ubat, tidur.  Walaupun kadang-kala berhari-hari menanggung sakit yang tidak diketahui puncanya.
 
Sesudah bekerja dan sedikit mampu, saya mengambil inisiatif untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur.  Bimbang jika ianya bukan sekadar sakit kepala biasa.  Hasil dari pemeriksaan lanjut memang sah saya ada migrane yang agak kronik.  Dari situlah doktor mempreskripsi Carfegot, antara ubat migrane yang paling kuat.  Untuk beberapa minggu saya perlu makan ubat berterusan walaupun tidak sakit.  Semasa itu saya jadi seperti orang mabuk atau lalok.  Telan sahaja ubat, saya akan mengantuk dan tidur.  Mujur ada pembantu rumah yang boleh menguruskan segala keperluan rumah.  Kasihan juga pada anak-anak yang masih kecil.  Alhamdulillah, ubat itu serasi dan jika sakit saja, saya akan telan ubat.  Bekalan ubat sentiasa ada bersama.  Biasanya sejam selepas makan, migrane akan berkurangan dan terus lega.  Saya tidak mahu lagi menanggung sakit yang mengganggu perjalanan kehidupan.  Lebih baik telan saja ubat, senang cerita.
 
Lama kelamaan, carfegot juga sudah tidak berkesan lagi.  Kadang-kadang perlu diambil berulang kali barulah lega.  Kebiasaannya juga, selepas mengambil cafergot, saya akan hilang selera makan dan perlu berulang ke tandas beberapa kali.  Saya mula terfikir, sampai bila saya akan bergantung pada ubat ini.  Entah apa kesan sampingannya juga tidak diketahui.  Saya mula mencari alternatif lain untuk mengatasi masalah migrane yang tidak mungkin akan hilang ini.  Seorang bidan mencadangkan kepada saya untuk mencuba kaedah rawatan bekam.  Tidak pernah saya terfikir sebelum ini.  Membayangkan kaedahnya saja sudah gerun apatah lagi mahu mencubanya.  Bekam adalah sunnah Rasulullah S.A.W.  Boleh menyembuhkan sakit kepala, membersihkan darah dan menyegarkan tubuh badan.  Mengapa tidak dicuba.
 
Perkara itu berlalu begitu sahaja.  Masih takut untuk mencuba.  Entah mengapa, sewaktu di Giant Batu Caves, Allah menggerakkan hati saya untuk singgah di booth yang menyediakan perkhidmatan bekam.  Bukan sekali dua saya lalu di situ sebelum ini, tapi tidak pernah berkeinginan untuk mencuba.  Hajat hati sekadar ingin bertanya, tapi terus 'dipaksa' menjalani pemeriksaan dan rawatan.  Saya kuatkan hati untuk mencuba.  (Sewaktu menjalani rawatan di PUSRATU, saya pernah menjalani rawatan bekam angin untuk melegakan masalah tulang belakang.  Saya berani kerana tidak perlu ditoreh badan untuk mengeluarkan darah).  Proses rawatan dimulakan dengan bacaan ayat suci dan bahagian kepala perlu dicukur di tiga tempat untuk diletakkan mangkuk bekam.  Begitu juga di beberapa bahagian belakang dan tengkuk.  Selepas mangkuk dipam, bahagian tersebut akan terasa sedikit kebas dan barulah proses torehan dilakukan.  Memang tidak terasa sakitnya. Patutlah orang kata, bekam tidak sakit.  Saya gelak sendiri di dalam hati.  Hilang perasaan takut dan menyesal mencubanya.  Setelah beberapa lama, mangkuk-mangkuk dilepaskan dan darah kotor yang hitam pekat ditunjukkan kepada saya.  Gerun melihatnya.  Walaupun sedikit pening selepas proses rawatan, tapi badan terasa ringan.  Tetapi pening saya melarat sedikit untuk beberapa waktu.  Mungkin itu adalah proses penyembuhan biasa.  Tambahan pula, saya terus memandu pulang dari Gombak ke Cameron Higlands selepas itu.
 
 
 Alhamdulillah selepas menjalani rawatan bekam, saya amat jarang diserang migrane lagi.  Sewaktu mengerjakan umrah juga, cuaca panas sehingga mencecah 48 darjah celcius juga tidak mencetuskan migrane.  Alhamdulillah Allah mempermudahkan perjalanan ibadah ini.  Hanya sesekali sahaja jika tersalah makan terutamanya makanan yang mengandungi ajinomoto akan menyebabkan migrane.  Tidak sia-sia saya melakukan bekam.  Amat berkesan walaupun hanya sekali dan kepala saya botak  di beberapa bahagian untuk beberapa ketika.  Tidak kisahlah, janji saya sihat, dapat menguruskan rumahtangga dan beribadat dengan selesa.  Saya juga selalu mencadangkan kepada kawan-kawan yang mengalami masalah yang sama untuk mencuba kaedah ini.  Sunnah Rasulullah pasti banyak manafaatnya.  Saya juga sedang mencari masa yang sesuai untuk mengulangi lagi rawatan ini.
  
Sesuatu yang sedikit mengejutkan, baru-baru ini dalam rancangan Perangi Sihir di saluran Astro, ustaz tersebut menyatakan migrane adalah tanda-tanda seseorang itu mengalami masalah gangguan jin atau sihir...Wallahhu'alam...
 


Thursday, September 6, 2012

Rumah lama...



Coretan bersambung lagi.  Mungkin ada yang kehairanan melihat gambar ini.  Ya, ini adalah saki baki rumah lama kami (kuaters kerajaan) yang pernah kami huni hampir 10 tahun sebelum berpindah ke Cameron Highlands.  Sungguh banyak kenangan di rumah ini.  Rumah kayu (dibahagian depan) diperbuat dari kayu yang cukup utuh.  Alang rumah sahaja sebesar hampir sepemeluk saya.  Kawasan yang lapang dan luas amat selesa untuk anak-anak bermain dan beriadah.  Bahagian dapur (seperti gambar di atas) bersambung dengan rumah utama dengan susur gajah.  Memang sedikit sulit terutama jika malam (sebab saya memang penakut), tetapi alah bisa tegal biasa.

Suami pernah membela ayam kampung di kawasan belakang rumah yang luas.  Macam-macam boleh ditanam jika rajin.  Pokok pisang, serai, pandan, pokok kari dan macam-macam pokok ulam ditanam.  Kadang-kadang sampai tak termakan.  Pokok durian juga ada dan sejak berbuah kami tidak pernah lagi membeli durian di luar.  Mewah durian dengan sebatang pokok itu sahaja.  Membela kucing juga tiada masalah.  Aiman yang memang merupakan peminat kucing pernah membawa balik dan membela hampir 8 ekor kucing pada satu masa.  Terpaksalah saya 'tapis' dan bela hanya yang perlu.  Kucing bebas keluar masuk rumah melalui laluan mereka sendiri dan kadang-kadang 'hilang' menyorok di dalam semak berhampiran rumah...

Memang seronok tinggal di sana.  Sejuk, nyaman dan selesa biarpun hanya rumah kayu.  Beberapa tahun selepas berpindah keluar, rumah terbiar kosong tidak berpenghuni.  Dan pada hari raya beberapa tahun lalu, kami mendapat berita rumah itu terbakar.  Seorang rakan terus memaklumkan kepada kami kerana tahu kami amat 'rapat' dengan rumah tersebut.  Sedih juga mengenangkan rumah secantik  dan sebesar itu akhirnya menjadi sejarah.  Setelah beberapa tahun terbiar tinggal rangka, baru-baru ini ketika kami lalu di kawasan itu, segalanya telah berubah.  Bahagian yang hangis terbakar telah dirobohkan dan bahagian dapur dijadikan surau untuk Galeri Sastera Hulu Selangor (kuaters sebelah yang telah diubahsuai).  Sekurang-kurangnya masih ada cebisan kenangan kami di sana...


Wednesday, September 5, 2012

Hijrah kami...

Sedar tak sedar, sudah lama rupanya rumah kecil ini saya tinggalkan.  Sesekali sahaja menjenguk tanpa sempat menitip cerita baru.  Berbagai perkara, peristiwa dan kejadian yang menuntut  tumpuan penuh menjadikan saya seperti tidak cukup waktu.

Ahamdulillah, ketika ini kami sekeluarga telah kembali menjadi penduduk Kuala Kubu Bharu, Selangor.  Tempat di mana kami suami isteri memulakan alam rumah tangga 19 tahun lalu.  Permohonan pertukaran suami dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Cameron Highlands telah diluluskan dan ditempatkan di Rumah Ehsan, Kuala Kubu Bharu.  Alhamdulillah, Allah swt telah memakbulkan doa kami sewaktu di tanah suci baru-baru ini agar urusan perpindahan ini dipermudah dan dipercepatkan.  Ramai yang bertanya, kenapa mahu berpindah?  Bukankah seronok tinggal di tanah tinggi itu?  Kami hanya mampu melontarkan senyuman dan menjawabnya di dalam hati.  Apa yang penting, anak istimewa kami selesa dan gembira tinggal di sini.  Kebetulan surat arahan pindah tiba semasa rumah kami telah hampir sempurna dibaik pulih.  Seseronok manapun tinggal di tempat sejuk dingin itu, tidak sama dengan nikmat dan kebahagiaan tinggal di rumah sendiri, biarpun panas dan rumah yang kecil sahaja.

Kini telah sebulan kami menghuni rumah sendiri.  'Rumah kami, syurga kami sekeluarga'...Alhamdulillah, Along sangat serasi di rumah sendiri.  Tiada lagi  masalah tidur malam, tantrumnya juga sudah berkurangan dan boleh dikawal.  Along juga sangat gembira dapat hadir semula ke PDK Kuala Kubu Bharu, berjumpa dengan kawan-kawan lama ( Along telah dihantar ke pdk sejak berumur 4 tahun).   Cerah, ceria dan riang wajahnya amat ketara setiap kali tiba di pdk.  Ya, insan seperti Along juga perlukan rakan walaupun kita yang melihat tidak faham apa yang dibualkan mereka...

Iman juga tidak lagi merungut kepanasan atau mahu pulang ke rumah 'sana'.  Seminggu pertama, memang belas melihat Iman yang bagai cacing kepanasan.  Habis badan ditumbuhi ruam merah, mandi tidak mengira waktu dan kadang-kadang seperi ingin duduk di dalam peti sejuk sebab tidak tahan panas.  Kelakar pun ada, kasihan pun ada.  Terpaksalah babah berkorban wang memasang penyaman udara di setiap bilik (kami juga tidak lena tidur malam kerana panas...hihi)

Apapun, perjalanan di sini baru bermula.  Saya juga masih dalam proses 'menyesuaikan diri'  dan perlu merancang sesuatu untuk diri sendiri.  Saya tidak mahu menjadi surirumah yang biasa-biasa sahaja.  Saya perlu lakukan sesuatu.  Insyaallah, perancangan sudah ada.  Moga dipermudahkan urusan ini.  Biarpun kecil, moga ia akan menjadi suatu yang 'besar' untuk saya dan keluarga.

Sekadar ini coretan pembuka kata di tempat baru...Insyaallah akan menyusul pelbagai cerita nanti.  Ini sekadar 'warm up'....

***seperti biasa tiada gambar jika di update menggunakan ipad...


Tuesday, June 26, 2012

Sekadar coretan...

Tika catatan ini dibuat, saya ditemani Iman sedang menunggu kereta diservice di pusat service Nissan di Kuantan. Kami tiba semalam mengikut encik suami yang membawa rombongan ahli jawatankuasa badan-badan kebajikan membuat lawatan sekitar rumah kebajikan di Kuantan dan ke Penjara Penor di Pekan. Semalam, kami singgah di Sekolah Tunas Bakti di Jerantut. Hari ini saya dan Iman 'tidak dibenarkan' mengikut sessi lawatan kerana agak tidak sesuai untuk Iman dan sememangnya saya juga mempunyai agenda tersendiri sepanjang hari selain dari berada di pusat service ini. Tika ini juga, hati saya amat berkecamuk, risau, bimbang, marah dan pelbagai perasaan lagi. Susah hendak diterangkan. Hanya kepada Allah saya serahkan segalanya. Moga segala masalah ini dipermudahkan dan ditunjukkan jalan penyelesaiannya. Masalah ini melibatkan banyak pihak dan memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Pengorbanan perasaan, masa, tenaga dan wang ringgit. Setiap kali mengenangkannya, hati kecil saya akan menangis, merintih. Ya Allah, apalah hikmah yang hendak Engkau tunjukkan kepada kami. Dugaan ini bukan dugaan ke atas seorang individu sahaja, tetapi sebenarnya lebih kepada kami sekeluarga. Allah swt hendak menduga apakah kami sentiasa ingat dan bersyukur dengan nikmat yang dikecapi selama ini. Allahhu Akabar...Allahhu Akbar...Allahhu Akbar...Kau berilah kami petunjuk dan kekuatan menghadapi semua kemelut ini...Aku memohon Ya Allah, Kau berilah kami hidayah dan tetapkan hati kami dengan iman dan islam, jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur dan redha dengan apa jua yang Engkau berikan...

Friday, June 22, 2012

Tak ingin menangis lagi?

Sedih lagi? Mengapa menangis lagi? Apa lagi yang tak kena? Pasti ada yang tertanya-tanya, apa pula kali.ini. Ya, saya sudah penat menangis. Memang hati kecil ini amat mudah tersentuh, mata ini amat mudah mengalirkan air mata terutama dalam hal-hal yang melibatkan anak-anak. Melihat, membaca apatah lagi mengalaminya sendiri akan mengundang air mata. Tiga hari ini saya menempuh beberapa peristiwa yang meruntun hati seorang ibu dan wanita.  Peristiwa pertama- salah seorang ahli keluarga diceraikan TALAK 3 oleh suaminya. Tanpa perasaan, dia dan 4 orang anak dihalau dari rumah tanpa sebarang nafkah.  Puncanya, kerana tergila-gilakan seorang janda beranak 4!

Peristiwa kedua-seorang sahabat kehilangan anak ketiga, seorang bayi lelaki sehari selepas melahirkannya. Bayinya mengalami masalah pernafasan sejurus selepas dilahirkan dan sehari kemudian, bayi suci itu dijemput kembali oleh Ilahi. Dia hanya dipinjamkan selama 9 bulan dalam kandungan ibunya dan hanya sehari di dunia untuk ditatap oleh ahli keluarga yang lain.  Betapa Allah swt menduga sahabat itu dan pastinya Dia menjanjikan sesuatu yang indah kelak. Semoga sahabatku dan ahli keluarganya tabah dan redha dengan ujian itu.

Peristiwa ketiga- petang tadi saya sempat menjenguk Along. Sambil menghantar barang keperluannya dapat juga saya melepas rindu. Hati seorang ibu ini begitu tertekan, begitu belas melihat anak syurga yang riang gembira bersama adik-adik di sana. Bilalah kami dapat berkumpul semula? Dengan hati yang gundah gulana, saya tinggalkan Along dan singgah di sebuah pasaraya untuk mencari sedikit barang keperluan.  Terserempak pula dengan seorang kakak yang saya kenali di tempat Along.Kami selalu bertembung dengannya yang sering berkunjung ke tempat Along, membawa makanan atau sekadar berkunjung menziarahi anak-anak yatim di sana.  Dia mengetahui cerita dan kisah kami dari Mak Ngah. Saya, tanpa dipinta dan dengan air mata meluahkan rasa hati seorang ibu dan dia juga merupakan pendengar yang baik. Memberi semangat dan nasihat. Rupa-rupanya dia juga sedang bergelut dengan masalah rumahtangga gara-gara orang ketiga. Ya Allah, apa sudah jadi dengan manusia kini. Tiadakah perasaan berdosa atau bersalah meruntuhkan kebahagiaan orang lain. Tiadakah rasa belas di hati melihat anak-anak kehilangan tempat bergantung, tempat berteduh dan tempat mendapat kasih sayang. Sanggup perempuan-perempuan ini melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak mereka!

Sepanjang perjalanan pulang  dari Kuala Kubu ke Brinchang petang tadi, saya memandu dengan hati yang kosong. Memikirkan mereka yang tidak berhati perut meruntuhkan kebahagiaan orang lain. Juga, air mata in sesekali mengalir mengenangkan anak-anak yang jauh di mata dan anak kecil yang tidak.sempat disusui oleh ibunya.

Sepanjang perjalanan itu juga saya berkesempatan menilai diri ini yang terlalu banyak kekurangannya. Saya tidak pasti adakah saya tidak akan mengalirkan air mata lagi. Tidak mungkin...air mata ini tidak pernah kering...