Seingat saya, sepanjang 18 tahun usia perkahwinan kami, sudah 17 tahun PBAKL menjadi satu acara yang termasuk dalam agenda wajib kami setiap tahun. Apa pula kaitan antara pesta buku dengan usia perkahwinan? Sebab, suamilah orang yang memperkenalkan saya dengan PBAKL ini. Hanya pada tahun 2009 sahaja saya 'terpaksa' menguzurkan diri kerana masih dalam tempoh berpantang melahirkan Iman Thuraya. Itupun hati meronta-ronta dan memberontak hendak pergi. Mengenangkan perut yang masih sakit akibat pembedahan dan tumpah darah selepas bersalin, ditahankan hati...
Apa yang seronoknya di pesta buku ini? Entahlah, susah hendak diceritakan. Bagi pencinta buku seperti kami, dapat pergi ke sana, berada dalam kesesakan manusia, dapat memilih buku-buku yang diidamkan selama ini merupakan satu nikmat yang tak terkata. Tidak sedar duit yang mengalir keluar dari poket. Bila balik, tengok resit dan dompet yang hampir kosong, baru tersengih-sengih (puas hati dan pening kepala...).
Kalau sebelum ini, banyak buku-buku yang dibeli adalah untuk diri sendiri. Tetapi memandangkan rak buku di rumah yang sudah sarat, tak muat lagi, saya menahan diri dari terlalu membeli buku-buku yang lebih kurang sama isinya. Lebih banyak buku-buku untuk anak-anak. Seperti kebiasaannya sebelum ini, buku yang dibeli pada tahun-tahun sebelumnya ada yang belum dibaca. Sekadar selak sekali lalu, dan menunggu turn untuk dibaca.
Aiman sedari kecil lagi sudah saya usung ke PBAKL saban tahun. Hanya sejak tinggal di asrama dia jarang turut serta. Tahun ini dia kembali berpeluang untuk ikut sama. Orang sudah remaja, caranya juga sudah seperti remaja lain. Tidak lagi suka mengekor mama dan babah ke sana ke mari. Bosan mungkin dan apa yang diminati tidak seperti kita lagi. Jika dulu, mama yang menjadi 'tukang tapis' apa yang hendak dibaca dan dibeli. Sekarang, semuanya ingin dilakukan sendiri. Akibatnya, hampir satu jam kami memusing dewan pameran mencari dua anak remaja (Aiman dan Ammar, sepupunya) yang hilang dicelah timbunan buku. Dan, akibatnya juga, mama yang mulanya sudah tak larat hendak menjinjing plastik buku, menambah lagi bilangan plastik-plastik berisi buku di tangan semasa dalam 'rondaan' itu...
Antara gambar-gambar yang sempat saya rakamkan sepanjang berada di sana ....
Bersama Puan Ainon (Pengerusi PTS) dan Chef Hanieliza (penulis buku Sehari Satu Resepi yang amat popular) di booth PTS yang penuh sesak... |
Buku terbaru suami, Sayang Sofiah, terbitan Pekan Ilmu Publications. Buku ini telah 'terperap' selama hampir empat tahun sebelum diterbitkan... |
Antara siri buku Penyiasat Ekstrovet karya suami saya yang masih diulang cetak. Buku saya? hihihi... masih terperap di dalam laptop, tak tahu bila boleh siap. |
PBAKL kali ini rasanya 'kurang meriah'. Dewan pameran buku hanya di bangunan utama dan kurang buku-buku baru yang diterbitkan. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, lebih terasa kemeriahannya. Biasanya sebelum ini, kalau saya pergi sendirian, paling tidak dari pagi hingga ke petang saya akan 'bertapa' di dalam dewan pameran. Kadang-kadang, dua tiga hari saya berulang untuk 'mengangkut' buku-buku yang diidamkan (kalau pergi seorang, tak larat nak usung semua buku serentak). Tapi kali ini hanya beberapa jam sahaja kami berada di dalam dewan. Hemmm...mungkin juga faktor umur yang menyebabkan sudah tidak larat hendak 'tawaf' setiap satu booth pameran dan hati yang tidak tenang mengenangkan Along dan Iman yang ditinggalkan dengan Mak Ngah dan menegangkan kesesakan jalan yang bakal ditempuhi kerana BERSIH...
No comments:
Post a Comment