Thursday, May 17, 2012

Kembara Rohani kedua...

Assalammualaikum wbkt

Lama juga saya tidak membuat coretan di sini.  Sejak akhir-akhir ini agak sibuk.  Entah apa yang sibuk sangat saya pun tak tahu...Yang pastinya sibuk dengan kenduri kahwin dua orang adik perempuan serentak dan sibuk dengan persiapan untuk kembara rohani kami pada 25/5 hingga 6/6 nanti.  Itulah yang paling mengujakan sekali.  Tidak sabar rasanya.

Bercerita sedikit tentang kenduri kahwin adinda Sarah dan Khadijah, memang meriah dan memang memenatkan...saya yang sudah beberapa malam sebelum itu tidak cukup tidur kerana bertungkus lumus menyiapkan baju smocking Anisah dan Farzana ditambah lagi dengan sakit belakang yang melarat gara-gara duduk lama mengadap mesin jahit.  Tetapi minat punya pasal, sakit itu tidak saya pedulikan.  Sakit bertambah parah menjelang hari kenduri kerana kami adik beradik perlu bertungkus lumus membantu menyiapkan apa yang patut.  Memang tidak nampak luka atau patahnya, tapi denyut dan pijar di tulang belakang hanya Allah yang mengetahui azabnya.  Saya buat-buat tak tahu saja, walaupun kadang-kadang rasa tak tertanggung.  Sibuk dengan persiapan kenduri dan kelam kabut pada hari kenduri sampai terlupa hendak snap gambar suasana sewaktu berlangsungnya majlis.  Saya pun tak sempat hendak bersiap.  Jawabnya, tiadalah gambar yang boleh saya tempek di sini untuk dikongsi...Apapun, tahniah untuk kedua-dua adinda.  Welcome to the club.  Moga menjadi isteri solehah dan terimalah pasangan kita seadanya dia.  Sabar, sabar dan sabar...

Perkara kedua ini yang paling mengujakan saya.  Setiap hari mengira detik umpama kedua adinda saya tadi membilang detik untuk bergelar isteri...Ini adalah perjalanan rohani kami kali kedua.  Alhamdulillah, kali ini saya, suami dan anakanda Aiman akan sekali lagi menjadi tetamu Allah.  Pelbagai perasaan berbaur.  Jika sebelum ini kami melalui satu pengalaman yang sukar untuk diceritakan (boleh rujuk catatan kembara rohani oleh suami saya dalam mohamadkholid.blogspot.com), adalah diharapkan kali ini kami akan dapat melakukan kembara ini dengan lebih baik dan lebih sempurna.  Satu doa yang saya panjatkan agar Allah swt permudahkan semua urusan perjalanan dan ibadah kami.  Saya ingin 'membalas dendam' melakukan ibadah, mengabdikan diri kepadaNYA dengan lebih baik.  Perjalanan kali ini sudah dua kali tertunda.  Pertamanya kerana bertembung dengan tarikh kenduri dan keduanya kerana menunggu pengesahan tarikh cuti sekolah Aiman.  Alhamdulillah kali ini STAR Ipoh akan bercuti awal seminggu dari sekolah lain kerana menjadi tuan rumah sukan sekolah asrama penuh, dapatlah Aiman turut serta.  Masih terngiang-ngiang di telinga dan terbayang-bayang renungan tepat pengetua STAR sewaktu taklimat pendaftran awal tahun ini.  "Tahun ini tidak boleh lagi cuti untuk pergi umrah.  Yang itu sunat, nak periksa PMR ni lebih penting" sambil tepat merenung saya yang kebetulan duduk di depan.  Semua ini gara-gara kami terpaksa mengadap tuan pengetua, memohon cuti awal untuk Aiman sewaktu menunaikan umrah tahun lepas.  Kebetulan tiket dan pengesahan sudah dibuat, baru kami memohon cuti dan waktu itu pelajar sedang menduduki peperiksaan penggal.  Terpaksalah Aiman menduduki peperiksaan secara bersendirian dan terlepas satu kertas peperiksaan.  Tapi 'Aiman tak kisah' sebab semangat nak ke Tanah Suci lebih kuat lagi...

Hajat hati hendak membawa Iman Thuraya bersama.  Setelah ditimbang-timbang, tak sampai hati hendak ditinggalkan kali ini.  Dia sudah faham erti ditinggalkan walaupun sebentar.  Dapat saya bayangkan bagaimana KLIA kelak akan 'bergegar' dengan raungan Iman.  Malangnya kerana lewat membuat pengesahan, tiada lagi tempat untuk Iman.  Mahu tak mahu terpaksalah juga ditinggalkan lagi.  Puas kami mencari tempat yang sesuai untuk dia.  Akhirnya Pak Ngah Man (adik kedua saya) dan isteri bersetuju untuk menjadi mama dan babah Iman sewaktu pemergian kami nanti.  Tambahan pula Iman rapat dengan sepupu-sepupunya di Kuala Kubu Bharu.  Along pula seperti biasa akan bersama Mak Ngah.  Kepada Allah kami serahkan anak-anak kami.  Moga mereka sentiasa selamat di bawah peliharaanNya.  

Terlalu banyak yang ingin saya lakukan di dua Tanah Suci itu nanti, terlalu banyak yang ingin saya pohon.  Pinta saya hanya satu~ Ya Allah kau permudahkanlah, kau terimalah hambamu ini, terimalah taubatku, terimalah ibadahku...

 Kenangan Umrah 19/5-1/6/2011...

Anak ini amat mudah mendapat tempat, amat disenangi...

Selepas solat subuh berlatar belakangkan Masjid Nabawi.  Sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah

Di Muzium Dua Tanah Suci...

Pemandangan yang paling indah...

Di Jabal Rahmah...Ya Allah Kau satukan lah hati kami sebagaimana Kau satukan hati Nabi Adam dan Hawa Ya Allah...

Bersama Ustaz Ghoyani, Mutawwif dari Asmadi Group (Johor) yang amat prihatin dan banyak membantu kami di Mekah

Selesai Saei...

Moga menjadi anak yang Soleh, cemerlang di dunia dan akhirat...

Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan atas segala kekurangan tutur kata dan perbuatan.  Mohon dihalalkan apa yang termakan dan terminum.  Moga kita semua akan menjadi tetamu Allah lagi nanti. Insyaallah...


No comments:

Post a Comment