Tuan Safuan yang dihormati,
Saya tidak tahu dari mana mahu mulakan ayat untuk surat ini. Sedari semalam selepas membaca komen tuan secara tidak sengaja di kotak email, saya tertanya-tanya di mana salahnya catatan tersebut sehingga begitu sekali ayat yang keluar dari tuan. Berkali-kali saya membaca kembali catatan itu. Sejak detik itu juga air mata saya tidak kering bila mengenang kembali ayat-ayat yang tuan catatkan (klise kan ayat ini. Sikit-sikit menangis, sikit-sikit menangis...). Saya juga membaca segala komen di blog dan di laman muka buku. Untuk pengetahuna tuan, catatan tuan telah dimuat turun dan dikongsi secara meluas di laman muka buku. Ianya mengundang pelbagai reaksi dari kalangan pembaca yang rata-ratanya senasib dengan saya. Tuan sedar atau tidak, catatan itu telah menghiris hati kami. Tuan bertanggung jawab atas setiap titik air mata dan hati yang terguris atas catatan tuan itu.
Saya amat berharap sekali tuan kembali menjenguk rumah kecil saya dan membaca segala komen dan luahan rasa yang tercatat di situ. Nilai dengan mata hati dan akal fikiran tuan. Selami apa yang kami rasa. Kaji, selidik, belajar dan bertanyalah jika tidak faham. Itu adalah ciri-ciri orang yang budiman, hamba Allah yang prihatin dengan hidupan lain di sekelilingnya...Saya tahu syurga neraka, dosa pahala hak mutlak Allah swt. Saya juga sedar siapa diri saya.
Tuan Safuan yang budiman,
Cuba tuan renung sebentar wajah ini. Renung dengan mata hati dan akal tuan.
Iman dan Danish yang senasib dengan Along |
Cuba renung mata anak-anak ini. Dua orang saudara Along yang kini bergelar anak yatim selepas kematian bapa mereka |
Along juga sayangkan kucing. Kucing juga cukup sayang dan baik dengan Along wahai Tuan Safuan |
Senyum ikhlas Along untuk mereka yang sering memandang jelek padanya |
Nampak normal bukan? Dari ayat tuan, saya kira tuan belum berkahwin, belum mempunyai anak. Jadi perasaan keibuan atau kebapaan itu belum muncul sepenuhnya dalam diri tuan. Maafkan saya jika tekaan itu salah. Tuan renung mata anak ini...renung sedalam-dalamnya sebagaimana yang sering saya lakukan saban hari. Ya, itulah anak istimewa kami yang saya panggil ANAK SYURGA yang mengundang marah tuan. Mungkin tuan tidak berkesempatan berkenalan dengannya. Kenal dulu dirinya dari entri-entri saya dalam label ANAK ISTIMEWAKU. Setelah kenal, baru tuan nilai kembali komen tuan itu. Apa tuan akan rasa jika tuan berada di tempat kami.
Serba sedikit sejarah anak istimewa saya ini untuk makluman tuan dan mereka di luar sana yang berfikiran seperti tuan. Namanya NADIA AMMIRA NADZLI BINTI MOHAMAD KHOLID. Kami memanggilnya dengan panggilan Along. Along kini, disaat tuan membaca entri ini telah berusia 19 TAHUN! Along telah didiagnos oleh doktor sejak berusia 6 bulan mengalami kecacatan akal dan fizikal atau dalam bahasa perubatannya CAREBRAL PALSY WITH DOUBLE HEMIPLEGIA (tanya google kalau nak tahu lebih lanjut) atau dalam bahasa mudahnya yang Tuan Safuan panggil CACAT. Apa yang anak dara seusia 19 tahun boleh lakukan? Tuan mungkin mempunyai adik perempuan atau saudara mara yang seusia dengan Along. Apa rutin seharian mereka? Di mana mereka sekarang? Saya berikan jawapannya jika tuan tidak tahu untuk menjawabnya.
Pasti secara lumrahnya anak seusia Along tak kira lelaki atau perempuan pada ketika ini sudah berada di universiti menyambung pengajian dalam bidang pilihan masing-masing sebagaimana saya, tuan dan ramai yang lain pada ketika usia ini. Atau paling tidak, jika sudah tidak minat belajar, sudah bekerja mencari pendapatan sendiri, membantu keluarga menyara hidup atau mungkin ada juga yang pada usia ini sedang bahagia berpeleseran sana sini menikmati zaman muda mereka. Segalanya mereka lakukan sendiri, uruskan sendiri. Makan, minum, mandi, urusan-urusan seharian, ke sana-sini semuanya sendiri. Bergaya dengan pelbagai fesyen dan gadget terkini. Ada yang sudah memandu kereta sendiri. Atau apa sahaja yang dilakukan selayaknya oleh anak seusia Along.
Bagaimana pula dengan Along dan juga ramai lagi anak-anak yang senasib dengannya? TUAN BACA BETUL-BETUL APA YANG SAYA CATATKAN INI YA (baca dengan nada tegas, luahan perasaan saya sebagai ibunya dan ramai lagi ibu-ibu seperti saya dan saya tiada kompromi dalam hal-hal yang berkaitan dengan anak istimewa saya ini).
Sebelum itu saya cerita sedikit jenis-jenis kecacatan untuk Tuan Safuan lebih faham. Dalam bahasa yang paling mudah (bukan teknikal seperti bahasa perubatan). Kecacatan boleh dikategorikan kepada beberapa kategori :
1. Kecacatan fizikal - membataskan keupayaan bergerak. Tetapi fungsi akal seperti insan normal yang lain. Mungkin memerlukan bantuan minima dalam urusan hidup seharian. Boleh menjalani hidup seharian seperti tuan dan insan tipikal yang lain.
2. Kecacatan pancaindera - pekak, bisu, buta
3. Kecacatan mental atau akal - ketidakupayaan akal untuk berfungsi secara normal. Tidak boleh menilai baik buruk, bahaya atau tidak sesuatu perkara. Mungkin keadaan fizikal seperti insan tipikal lain, tetapi tidak berupaya mengurskan hidup seharian mereka. (sekarang, orang kurang siuman juga dimasukkan dalam kategori ini). Mereka tidak tertakluk kepada hukum hakam agama atau undang-undang dunia kerana ketidakupayaan akal mereka.
4. Kecacatan akal dan fizikal - kombinasi antara kedua-dua jenis kecacatan di atas. Ini adalah kategori Along untuk pengetahuan Tuan Safuan yang budiman.
Jika dulu saya sering menyalahkan doktor yang menyambut kelahirannya kerana kecuaian doktor tersebutlah, Along jadi begini. Tapi dari hari ke hari saya belajar menerima takdir yang telah Allah swt tuliskan untuk saya dan suami. Kini kami redha dengan seikhlas-ikhlasnya akan tulisan takdir itu.
Apa yang Along boleh lakukan sekarang sehingga tuan dengan sewenang-wenangnya menghina saya, menghina ibu bapa anak-anak istimewa dan menghina anak-anak istimewa kami sehingga membandingkan anak kami dengan binatang!
Sebelum itu, saya ingin bertanya, pernahkan tuan terserempak atau terjumpa dengan anak-anak yang sering meleleh air liur, tidak mampu berjalan walaupun sudah besar, masih makan minum bersuap atau ada yang makan minum melalui tiub? Banyak lagilah ciri-ciri anak istimewa yang mahu saya terangkan. Nanti jelak pula tuan nak baca. Along dalam usia 19 tahun belum boleh bercakap, tidak mampu mengurus diri sendiri, belum boleh berjalan dengan tegap dan segalanya perlu dibantu. Pernahkan tuan berjumpa anak seusia ini seperti Along, segalanya perlu dibantu?
Dalam usia Along ini, hatta untuk mandi juga perlukan bantuan. Bayangkan dalam keadaan fizikal seperti anak dara seusia dengannya, dimandikan oleh ayah yang penyabar dan penyayang, dicucikan kencing beraknya, dipakaikan baju seluar dan masih memakai lampin pakai buang! Agak-agak tuan sebagai seorang lelaki boleh tak buat perkara macam itu? Pelik, hairan? Banyak lagi cerita yang saya akan dedahkan.
Along juga seperti anak dara lain yang mempunyai rutin bulanan. Ketika uzur atau haid, ayahnya tidak pernah kekok untuk menguruskan Along. Mencuci bersih semuanya. Macam mana? Tuan sanggup lakukan?
Tuan pernah jumpa anak seusia Along yang sentiasa meleleh air liurnya. Bayangkan, untuk mengawal air liur sendiri pun tidak mampu, apatah lagi untuk menjalani kehidupan seperti anak lain seusianya. Anak seperti ini yang tuan nafikan keistimewaannya! Saya bukan ahli agama seperti Tuan Safuan yang budiman. Tetapi dari logik akal saya, anak-anak seperti ini suci bersih kerana ketidakmampuan akal merekal. Apa balasannya bagi manusia yang suci bersih seperti ini? Tuan jawab sendiri.
Tuan pernahkah lihat anak-anak yang mempunyai tiub dihidung? Makan minum menggunakan tiub itu. Pada akal tuan yang bijaksana, kalau anak ini berkemapuan berfikir seperti tuan, mahukan mereka menyiksa diri disumbat hidung dengan tiub, disalur makan minum melalui tiub terus ke perut dalam keadaan serba tidak selesa?
Apa pula yang kami sebagai ibubapa kepada anak-anak istimewa ini lalui? Terlalu panjang untuk saya coretkan. Tapi demi tuan dan mereka yang berfikiran seperti tuan, saya kuatkan hati menulisnya. Tuan fikir, adakah kami mahukan semua ini? Adakah anak-anak kami mahukan semua ini? Anak-anak tidak boleh memilih siapa ibu dan bapa mereka. Begitu juga ibu bapa tidak boleh memilih anak bagaimana yang mereka inginkan. Ibu bapa mana yang tidak mahukan anak yang serba sempurna akal dan fizikal. Sejak tertanamnya benih anak di rahim ibu, doa tidak pernah putus agar diberikan anak yang sihat tubuh badan, sempurna akalnya. Tuan juga akan melakukan perkara yang sama kelak. Tapi, setelah dikurniakan anak yang seperti Along, adakah kami merintih pilu, menangis menjerit menafikan kurniaan Allah, menyalahkan takdir diberikan anbak seperti itu atau kerana rasakan itu adalah balasan Allah atas kesalahan lampau?
Ya, peringkat awal pasti semua yang menerima anugerah istimewa ini akan melalui peringkat penafian. Tapi kami redha, terima segalanya dengan hati terbuka. Tidak pernah menyalahkan Allah atau sesiapa sahaja dengan kurniaan ini. Anak-anak ini banyak mengajar kami memandang hidup ini dari sudut yang berbeza. Kami berusaha melakukan sehabis mungkin untuk memastikan anak-anak kami dapat melalui hidup seperti anak tipikal yang lain. Memenuhi temujanji doktor saban masa, menjalani pelbagai jenis terapi, berusaha secara tradisional atau islam. Apa yang kami tidak buat? Kami korbankan wang ringgit, masa dan tenaga untuk memastikan kelangsungan hidup anak ini. Kadang-kadang sehingga keperluan anak lain terabai. Boleh tuan bayangkan hidup bagiamana yang kami lalui? Tika tuan atau mereka yang tidak senasib seperti kami enak-enak bermalasan di hujung minggu, kami berkejar ke sana ke mari berusaha dengan pelbagai jenis terapi. Berumah tangga di hospital bukan perkara asing bagi kami. Semua ini menjadikan kami manusia yang lebih menghargai hidup dan mereka disekeliling kami. Juga menjadikan kami manusia yang lebih sabar.
Anak-anak istimewa kami memang seorang pejuang. Pejuang untuk meneruskan hidup mereka. Kami sebagai ibubapa sentiasa bersama menyokong dan berusaha sehabis mungkin untuk mereka. Ketika orang lain termasuklah ahli keluarga sendiri memandang jijik dan jelek kepada anak kami, kami tidak peduli. Saat orang lain (termasuk tuan) dengan bangganya melaung dan menggunakan pertkataan BUDAK CACAT terhadap anak istimewa kami, juga tidak menjadi kudis lagi bagi kami. Peduli apa dengan segala kata nista dan pandangan jelik orang lain. Kami bahagia dengan dunia kami dan mungkin juga kerana itu juga ramai yang mencemburi kami. Belum lagi dikira limpahan rezeki yang Allah kurniakan pada anak ini yang mana kami sebagai ibu bapa turut menerima tempiasnya.
Untuk pengetahuan tuan juga, Allah itu Maha mengetahui, Maha Penyayang. Tidak akan diberikan satu-satu dugaan itu kepada hambanya sesuai dengan kemampuan kita menanggungnya. Bermakna, kami ibubapa yang dianugerahkan anak istimewa ini memang super kuat. Boleh menerima dan melalui semua dugaan ini. Saya pasti jika tuan berada di tempat kami, tuan juga akan menjadi seperti kami.
Tuan Safuan yang arif,
Bagaimana sekarang? Tuan sudah terbuka sedikit minda tentang Along dan anak syurga kami? Tidak layakkah kami sebagai ibubapa mendoakan anak-anak kami untuk menjadi ahli syurga? Untuk makluman tuan, tiap butir kata ibu bapa kepada anak-anaknya adalah satu doa. Saya bukan ahli agama untuk mengulas dan menunaikan permintaan tuan untuk mengemukakan nas dan hadis. Tapi saya tidak jahil dan saya akan cuba penuhi permintaan itu. Ada juga komen di entri tersebut yang telah mengemukakan hadis yang berkaitan. Silalah baca.
Sudah panjang lebar saya mencoret. Klise bagi tuan mungkin. Tapi saya tidak peduli. Untuk makluman tuan, tidak setitik pun air mata saya tumpah ketika membuat catatan ini, berbanding semasa saya membuat catatan-catan lain berkenaan anak istimewa ini. Terima kasih kerana menjadikan saya dan ibu bapa lain lebih kuat kerana penghinaan tuan itu. Jika tuan melihat komen-komen lain semuanya bersangka baik dan mendokan tuan diberi taufik dan hidayah Ilahi. Allahhuakbar...
Cukup setakat ini dulu...akan saya sambung lagi kemudian. Mohon maaf jika ada keterlanjuran kata.
p/s Tolong email kepada saya alamat Tuan Safuan. Saya ingin menghadiahkan tuan senaskah novel catatan saya sendiri berkenaan perjalanan hidup kami dengan anak istimewa ini. Saya juga dengan seikhlas hati ingin menjemput tuan menyertai kami dalam program hari keluarga tahunan yang akan kami adakan pada bulan Disember nanti. Di situ tuan boleh berkenalan dengan Along, anak-anak istimewa yang pelbagai kategori dan ibu bapa kepada anak istimewa ini. Saya memberi jaminan peribadi kepada tuan, tuan tidak akan diikat, dicili atau sebagainya waktu itu. Jangan bimbang.
Oh Ya, saya juga pencinta kucing. Tapi saya pelik kenapa tuan hanya lihat sahaja dengan mata kepala sendiri BUDAK CACAT yang tuan nyatakan itu menyiksa kucing sehingga begitu sekali. Langsung tidak bertindak, tidak menghalang perbuatan itu Tuan juga tidak melihat atau bertanya tahap kemampuan akal anak itu, adakah dia tahu perbuatan itu salah sehingga tuan kata BUDAK CACAT itu tidak layak masuk syurga!
Kalau Tuan Safuan membaca entri ini, TOLONG TINGGALKAN JEJAK TUAN SEBAGAI LELAKI YANG BUDIMAN DAN BERANI ATAS SETIAP PERBUATAN ATAU PERKATAAN TUAN...
mga en safuan diberi taugik & hidayah dr allah swt..amin
ReplyDeletePn Saripah. I'm on your side 100%.
ReplyDeleteDari bapa seorang budak autistik.
sayu hati ct bila baca entri akak..en safuan mg allah memberi kesedaran bahawa oku juga manusia yg punya perasaan jng menghukum terlalu mudah,cuba rasa apa yg mereka rasa..mohon maaf jika en safuan terasa dengan apa yg sy komen..
ReplyDeleteme to...
ReplyDeletedari mama seorg anak perempuan yg comel down syndrome.
Ye kita menunggu jawapan org yg bijakpandai dari en safuan ini untuk memberi maklumbalas kali ni..
ReplyDelete..kekuatan di setiap perkataan yg jelas kelembutan...
ReplyDeleteSubhanallah..tergamak En Safuan mengeluarkan kata2 begitu...kepadaPn Saripah,tabahkan hati ye puan..semoga Allah kurniakan kekuatan fizikal & mental utk Puan terus membesarkan & mengasuh Along...semoga Puan seisi keluarga beroleh kebahagiaan yg kekal abadi..aamin
ReplyDeletesyabas kak pah...
ReplyDeleteank adalh anugerh .. wlpun kurang pd mate sesiapa, tpi dia ckup smpurna bg kami ibu yg melahirkn .. Tuan Safuan ... 'DIA' adalh perancang segala-galanya ..
ReplyDeletei'm on your side ..mother to wonderful son with autism...be strong for us and for them ..jewel in our hearts...
ReplyDeleteSubhanAllah..tahniah diatas ketabahan dan kekuatan akak..walaupun anak saya alhamdulillah sempurna...sebagai seorang ibu, saya dapat rasakan apa yg akak rasa..moga Allah terus melindungi akak sekeluarga..amin...
ReplyDeleteSaripah...aku tetap bersama kau n menyokong segala tindakan kau. Syabas krn kau cukup tabah mengharungi hidup ini.
ReplyDeleteAlhamdulillah dan terima kasih atas sokongan semua....kami menjadi lebih kuat mempunyai sahabat seperti kalian semua...
ReplyDeleteIn Shaa Allah... hanya kita yang memahami sesama kita.. our hope for our special children....
ReplyDeletesemoga puan terus tabah!
ReplyDeletesalam, izinkan saya share di wall saya, moga2 ramai lg insan yg bernama `Safuan` faham ..
ReplyDeleteMne en safuan ni...
ReplyDelete