Wednesday, July 20, 2011

Impianku selamanya...

"Along, periksa dah tak lama lagi.  Along dah sedia ke?"  Mama bertanya sambil memerhati Along yang sedang mencuci pinggan, cermat dan teliti sekali.
"InsyaAllah mama.  Rasanya dah sedia.  sekarang cuma tinggal latih tubi ."  Along tersenyum penuh yakin.
"Agaknya nanti Along nak jadi apa?"  Soalan yang sering diulang Mama kepada anak-anaknya.  Tujuannya supaya mereka sentiasa yakin akan diri sendiri, yakin dengan pilihan yang bakal dibuat.
"Mama tak pernah jemu bertanya soalan itu ya."
"Impian Along seperti impian mama juga.  InsyaAllah Along akan berusaha sedaya upaya mencapai apa yang Along dan mama cita-citakan selama ini.  Selebihnya Along serah pada Allah  SWT."  Indah sungguh kata-kata itu.   Sejuk sungguh hati Mama mendengarnya.
"Mama sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak mama.  Moga kalian akan menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat."  itulah doa tulus seorang ibu.
"Nanti Along dah masuk universiti, tinggallah mama, babah dan adik saja di rumah.  Sunyilah kami.  Tak ada orang lagi yang boleh tolong mama didapur, temankan mama berbual macam ini."  keluh mama.
"Eh! Adik kan ada.  Babah pun ada.  Babah pun rajin macam mama, kan?"  Along memujuk mama.
"Manakan sama Along dan adik.  Mama harap, walau di mana Along belajar nanti, ingat asal usul kita, agama yang menjadi tunjang hidup, budaya yang menjadi jati diri kita."  Terkesan nada tegas dalam nasihat mama.
"InsyaAllah.  Dengan didikan yang mama dan babah berikan selama ini.  Mama doakan Along ya."  Along memeluk Mama erat, penuh kasih sayang.
Mama merenung anak gadisnya yang sentiasa menjadi penyejuk hati, penawar tika lara.  Teman berbual  yang sentiasa peka.  Tanpa perlu dipaksa atau disuruh, sentiasa menawarkan diri membantu apa yang perlu.  Along amat sayangkan adik-adiknya dan mereka bertiga umpama isi dan kuku yang tidak dapat dipisahkan.
"Along sayang mama." 
"Mama...mama...mama..."  mama dikejutkan dari lena.  Terpinga-pinga melihat sekeliling.
 
***kalaulah ini menjadi realiti, akulah ibu yang paling bertuah dan bahagia...***

1 comment: