Monday, July 25, 2011

Si Manis 17...

Si manis 17...
Matanya bulat...
Senyumnya sangat manis...
Hati terpikat...

(betul ke lirik ni...Sebahagian dari lirik lagu Allahyarham Dato' Ahmad Daud)

Si manis 17 zaman kini pastinya sudah pandai bergaya dengan seluar jeans, berbaju t, menggalas beg sandang berjenama  yang pastinya berisi laptop (pastinya bukan laptop 1Malaysia), telefon bimbit model terkini, mungkin juga ada yang memiliki kamera DSLR dan pelbagai gadget terkini dan jika yang lebih maju ke hadapan, beg galas juga berisi pelbagai jenis alat solek dan produk penjagaan muka.  Mereka mahu kelihatan sentiasa terkini setanding dengan rakan sebaya yang lain.

Si manis 17 kini juga sudah pandai melepak bersama rakan di restoran makanan segera, berborak mengenai pelbagai isu terkini dalam bidang hiburan, fesyen dan isu semasa yang sealiran dengan jiwa mereka.  Jika mereka anak orang yang 'lebih berada', pastinya sudah pandai memandu kereta (walaupun tanpa izin yang sah), mencuba sesuatu perkara baru yang menguja jiwa remaja. 

Si manis 17 juga pada waktu ini sedang tekun menelaah pelajaran samada di sekolah, kelas tambahan, tuisyen atau di rumah bagi persediaan menghadapi peeriksaan SPM yang bakal menjelma tidak lama lagi.  jerawat batu mula tumbuh di muka lantaran tekanan menghadapi saat-saat penting dan getir ini.  Mereka juga sudah merancang apa yang bakal mereka lakukan selepas habis peperiksaan dan jurusan pilihan untuk memasuki alam universiti pula.

Si manis 17 juga sering membuatkan ibubapa meraka pening kepala dengan segala macam kerenah dan tingkah yang perlu dijaga, batas-batas yang perlu dipatuhi, agama yang perlu sentiasa menjadi pegangan dan budaya yang perlu dikendong

Indahnya hidup si manis 17 ini...

tetapi...

Si manis 17 ku, tidak pernah mengenal itu semua.  Tidak pernah tahu akan telefon bimbit, kamera atau segala jenis gadget terkini apatah lagi alat solek dan penjagaan muka.  Si manis 17 ku juga tidak pernah dan tidak mungkin akan diajak kawan melepak di pusat membeli belah atau restoran makanan segera, bergosip isu hiburan semasa. 

Si manis 17 ku juga tidak perlu bersusah payah menelaah pelajaran atau menghadapi tekanan peperiksaan kerana itu semua tiada dalam kamus kehidupannya.  Si manis 17 ku juga tidak perlu bersusah payah menjaga kulit muka atau penampilan diri kerana kulitnya yang mulus tidak pernah diusik bedak kompak atau bibirnya bersalut lipstik merah.  Si manis 17 ku juga masih dengan lampin pakai buangnya dan masih bermain dengan anak patung atau mainan kanak-kanak seusia 4 tahun.

Si manis 17 ku juga tidak pernah dan tidak perlu ambil tahu apa yang akan dilakukan dewasa kelak kerana si manis 17 ku sudah pasti  tempatnya di mana di negara abadi nanti...sentiasa berbahagia dengan dunianya sendiri...

No comments:

Post a Comment