Monday, September 30, 2013

Kenali kami...

Jom lihat realiti kehidupan kami...

http://www.youtube.com/watch?v=hkiAwYRJw0I







Erti Senyuman Itu...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Pagi ini , kala membelek laman muka buku, air mata saya mengalir gembira.  Sebak hati tidak terkata apabila membaca status-status kegembiraan seorang ibu yang kali pertama melihat anak syurganya senyum manis, bila melihat anak syurganya melangkah sendiri tanpa pimpinan tangan seorang ibu (biarpun masih menggunkan alat sokongan) dan bila anak syurganya dapat membaca biarpun masih pelat...Alhamdulillah...Allahhuakbar...Dapat saya bayangkan hati dan perasaan mereka kerana saya juga pernah melaluinya.

Dikurniakan anak istimewa merupakan satu anugerah yang tidak ternilai.  Biarpun kami tidak melalui hidup ini seperti orang lain, tapi dalam erti kata sebenarnya kami yang dikurniakan anak istimewa ini lebih jauh ke depan dalam segala segi.  Kami perlu lakukan segalanya lebih dari biasa berbanding dengan kalian yang lain.  Hebat bukan!  Jika anak tipikal lain, dalam usia setahun sudah boleh melangkah, tapi anak syurga kami masih terbaring, duduk atau hanya mengensot untuk bergerak.  Kami akan lakukan apa sahaja untuk memastikan anak itu juga dapat melangkah seperti anak-anak yang lain.  Pergi ke mana sahaja, berusaha apa sahaja samada secara moden atau tradisional untuk memastikan impian itu tercapai.  Kala orang lain, enak enak bersantai di rumah pada hari minggu, kami ke hulu  ke hilir mengusung anak syurga itu melakukan terapi atau rawatan.  Tidak itu dikatakan hebat?

Air mata pagi ini mengingatkan saya kali pertama melihat Along melangkah sendiri.  Langkah pertama tanpa bantuan tangan kami hanya ketika menjelang usia tujuh tahun!  Ketika anak lain seusia dengannya sudah berlari laju, melangkah dengan semangat ke sekolah.  Tapi langkah itu sudah cukup membuatkan kami suami isteri menangis gembira.  Saat yang amat dinantikan setelah sekian lama berusaha tanpa kenal erti putus asa.  Saat itu masih segar basah dalam ingatan saya hingga saat ini.  Betapa ianya cukup berharga sekali.  Mungkin tidak bagi orang lain, tapi bagi kami yang dianugerahkan anak istimewa ini, ianya amat besar sekali...amat berharga sekali.


Walaupun Along sudah boleh berjalan dari usia tujuh tahun, namun langkahnya masih belum tegap.  Alhamdulillah, sekurang-kurangnya itu sudah meringankan tugas kami.   Masih banyak yang Along ketinggalan. Semuanya perlu dibantu.  Tapi kami tidak akan berputus asa.  Biarpun kini sudah berusia 19 tahun, dia umpama bayi kepada kami.  Tidak mengapa.  Sekurang-kurangnya kami tidak akan pernah sunyi dengan adanya Along dalam hidup kami.

Mendapat satu-satu kemahiran baru, biarpun teramat kecil di mata orang lain merupakan satu perkara 'besar' bagi kami.  Itu juga merupakan satu kayu pengukur setakat mana usaha yang kami selama ini.  Sekurang-kurangnya usaha kami membuahkan hasil biarpun kecil sekali.  Sudah gembira dan amat berpuas hati dan melonjakkan lagi semangat untuk terus berusaha.


Kasih sayang tiada bersyarat...

Senyuman dari hati yang tulus suci...

Along dan dua orang saudara yang senasib...


Satu perkara yang amat saya rindui dan harapkan sehingga kini ialah Along memanggil saya 'mama'...Pelik bukan?  Ya, betul.  Hanya sekali dalam usianya 19 tahun ini dia memanggil saya 'mama'.  Mungkin dalam 16 tahun lalu...Sekali itu sahaja, tetapi sebutan itu amat jelas dan saya ingat sampai sekarang.  Sekali itu sahaja dan tidak pernah diulang lagi hingga kini.  Biarpun sesekali dia memanggil saya dengan panggilan 'cikgu', saya inginkan dia memanggil saya 'mama' seperti adik-adik yang lain.  Begitu juga dengan panggilan 'babah'.  Hanya sekali dua sahaja yang keluar dari mulutnya.  Selebihnya dia akan memanggil kami dengan panggilan 'cikgu'.  Tak mengapalah.  Sekurang-kurangnya dia tahu mamanya juga adalah seorang 'guru' walaupun bukan secara rasmi.  Guru kepada dirinya dan adik-adik.

Terlalu banyak yang ingin saya ceritakan tentang Along sepanjang usianya kini.  Biarpun kecil dan remeh, tidak mengapa.  Tidak menjadi kudis bagi saya jika dikata 'macam tu pun nak heboh', 'besar sangat ke perkara tu'...Ya besar dan bermakna bagi kami biarpun setakat debu di tangan kalian...

Along, jika kau mampu membaca luahan hati mama ini, ketahuilah olehmu anak, mama amat rindukan panggilan 'mama' dari mulut Along...dan air mata ini makin deras mengalir...

Thursday, September 26, 2013

Cerita Along lagi...Along dan tantrum (bahagian 1)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Along dan tantrum memang tidak dapat dipisahkan.  Apakah 'tantrum'?

"Tantrum ialah satu letusan perasaan marah yang tidak terkawal, menangis, menjerit, menendang, memukul dan kadang-kadang sehingga mencederakan diri sendiri"  atau dengan kata mudahnya "mengamuk"

Kebiasaannya perlakuan ini adalah di kalangan kanak-kanak berusia 1-3 tahun apabila mereka mula meluahkan perasaan untuk menarik perhatian ibu bapa atau mereka di sekeliling.  Tetapi bagi anak-anak Carebral Palsy atau Autisme, tantrum adalah salah satu dari ciri-ciri mereka.  Along mempunyai ciri-ciri Autisme walaupun dalam kategori Carebral Palsy.

Kadang-kadang perkara yang teramat kecil juga boleh menimbulkan kemarahannya.  Tak semena-mena, tiba-tiba menjerit marah, menarik, memukul atau mencubit siapa yang hampir.  Pada peringkat awal dia menunjukkan tantrum, kami tidak begitu peka sangat.  Tapi lama-kelamaan, semakin dia membesar, semakin jelas dia cuba untuk meluahkan perasaannya.  Masalah komunikasi juga menjadi antara punca kemarahan. Dia tidak berupaya meluahkan apa yang dia mahu atau rasa dan kadang-kadang kami juga tidak mampu memahami apa sebenarnya yang ingin disampaikan.  Mungkin baginya, cara itu lah yang dapat meluahkan apa yang diingini.

Sejak anak-anak bayi lagi, kami tidak pernah menggunakan 'bahasa bayi' atau pelat untuk berkomunikasi dengan mereka.  Semuanya menggunakan bahasa lengkap sebagai salah satu latihan komunikasi.  Begitu juga dengan Along.  Kami berkomunikasi dengannya seperti kami berkomunikasi dengan anak-anak yang lain. idak menggunakan bahasa pelat atau bahasa isyarat.  Tetapi dia masih juga tidak mampu untuk menuturkan patah-patah perkataan biarpun sudah banyak yang difahami apa yang kita perkatakan.

Along akan faham jika kita berikan arahan ringkas. Mandi, makan, pergi jalan, pakai kasut dan sebagainya. Tetapi dia akan bertindak balas dengan perlakuan bukan dengan perkataan.  Tak mengapalah.  Mungkin suatu hari nanti dia akan bercakap juga. Insyaallah.

Semakin Along membesar, tantrumnya semakin tidak terkawal.  Jika kecil, masih boleh dipujuk, didukung atau dipeluk.  Tetapi sekarang dengan saiz badan yang sudah menyamai saiz badan saya, kami angkat tangan setiap kali dia mengamuk.  Kebiasaannya jika dia sudah menunjukkan tanda-tanda akan mengamuk, saya akan mendiam dan menjauhkan diri.  Biarkan dia sendiri melepaskan perasaan.  Jangan dilayan.  Lama kelamaan dia akan diam sendiri.  Tapi kadang-kadang saya juga akan 'tantrum' sama bahkan lebih lagi dari Along... hilang juga sabarnya bila sudah melampau sangat.

Jika dalam perjalanan berkereta, kebiasaanya Along akan diletakkan di tempat duduk baris ketiga (belakang sekali) sendirian.  Dia lebih selesa begitu.  Kami amat berhati-hati sekali dengan bunyi geseran plastik jika di dalam kereta kerana bunyi itulah yang paling 'dibenci' Along.  Tak pasal-pasal saya yang duduk di depan akan sakit bila tiba-tiba tangan Along yang terkenal dengan kuatnya itu, menarik atau mencubit saya di hadapan.  Begitu juga kalau hendak memberi apa-apa makanan padanya dalam perjalanan.  Perlu dilakukan dengan penuh berhemah.  Buka plastik perlahan-lahan, suakan dahulu dengan senyum dan pujukan.  Kalau dia menyandar tiada respon, letakkan sahaja di tepi kerusi.  Pandai-pandai lah dia ambil sendiri nanti.  Tapi kalau dipaksa juga, jawabnya satu kereta akan bertabur dengan makanan yang dilemparkannya.  Adik-adik sering menjadi mangsa Along di dalam kereta.  Tapi apa hendak dikata, terima sajalah.  Mujurlah Aiman dan Iman amat memahami.  Paling habis, jika sudah sakit sangat, menangis sajalah.  

Perjalanan jauh memang menjadi satu yang agak 'menyukarkan' kami.  Masalah utama ialah tandas.  Dia tidak mahu tandas lain selain dari tandas rumahnya!  Yang paling serasi dengannya ialah bilik air dan tandas rumah Nenek Gombak kerana nenek telah mengubahsuai tandas rumahnya mengikut keperluan Along dengan warna yang hampir sama dengan bilik air di rumah.  Pernah dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kuala Kubu Bharu, Along muntah dalam perjalanan.  Tak kan hendak dibiar dia berlumuran muntah sepanjang jalan.  Kami yang lain pun boleh termuntah dek bau muntah Along.  Mahu tak mahu, terpaksalah berhenti di rnr Tapah untuk membersihkannya.  Seperti yang dijangka, sampai sahaja di depan pintu tandas, terus dia duduk lalu baring dengan sepak terajang dan jeritan yang menarik perhatian orang ramai.  terpaksalah saya memanggil babahnya yang juga terpaksa turut masuk ke dalam tandak OKU wanita.  Peduli lah dengan mata yang memandang dan mulut yang mengata.  Sepanjang proses membersihkan itu juga, riuh rendah tandas dengan jeritan dan tangisan Along dan kami juga sakit dada dan merah muka menahan sabar.

Kami sudah jarang membawa Along berjalan-jalan ke tempat sesak seperti pusat membeli belah.  Kalau sesekali ingin menikmati makanan segera, carilah restoran yang bukan di dalam pusat membeli belah. Kesesakan juga boleh menjadi penyebab tantrumnya.  Dia sudah besar, tidak suka diperhatikan.  Dia juga punya perasaan kalau orang sekeliling memerhati dan mengata sesuatu.  Kadang-kadang jika berselisih dengan orang asing, dia ingin menegur.  Tetapi dengan menggunakan tangan.  Menarik baju atau beg orang. Mereka yang faham mungkin tidak kisah, tetapi  yang tidak faham akan memandang dengan satu perasaan yang boleh mengguris hati kita.

Mendapatkan rawatan di hospital atau klinik juga kadang-kadang menjadi satu fobia untuk kami.  Setiap kali temujanji, doktor mahukan ukuran tinggi dan timbangan berat.  Memang tidak pernah berjaya diperolehi. Terlihat saja alat penimbang, dia akan terus duduk di lantai mengeraskan diri atau terus baring.  Sudah baik sangat kalau dia tidak mengamuk.  Bayangkan anak dara berusia belasan tahun begitu terbaring-baring menunjuk perasaan di klinik pakar kanak-kanak!

Jika doktor menghulurkan borang untuk proses mengambil darah atau suntikan, saya akan merenung suami, suami akan merenung saya.  Sudah dapat membayangkan apa yang terjadi.  Sudah terdengar-dengar jeritan dan amukan walaupun sebulan lagi proses itu akan dilakukan.  Kebiasaannya kami tidak akan turut serta dalam bilik rawatan.  Tetapi kadang-kadang jururawat juga angkat tangan bila tidak berjaya memujuk Along untuk diambil darah atau disuntik.  Habis bertabur barang dalam bilik rawatan dikerjakan Along.  Beberapa orang yang gagah perkasa diperlukan bagi memegang Along sebelum dibalut dengan cadar hospital beberapa lapis.  Bayangkan betapa azabnya proses mengambil darah.  Saya juga kadang-kadang menangis melihatnya. Tapi apakan daya saya.  Sebab itu kami menolak apabila ditawarkan untuk melakukan suntikan botox (untuk masalah air liur Along yang sukar dikawal) untuk kali keempat.  Cukup seksa melihat dan melalui proses-proses sebelum suntikan dilakukan.

Akan saya sambung lagi cerita tantrum atau amukan Along...


Kalau anginnya elok, bolehlah adik nak bermanja-manja...kalau tidak, jangan harap...


Mengamuk tak nak kena suntik...habis terbang semua kasut.  Menangis, menjerit sampai satu HUKM boleh dengar...




Beg tangan mama yang baru beberapa bulan dibeli dan digunakan putus ditarik Along...Boleh bayangkan betapa kuatnya tenaga Along masa mengamuk?


Kononnya babah akan tolong dia, selamat dari kena ambil darah...

Along memang amat istimewa.  Istimewa segala-galanya...

Wednesday, September 25, 2013

Tukar Nama...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Blog kecil saya ini, dimulakan ketika kami sekeluarga menetap di tanah tinggi Cameron Highlands.  Bersempena dengan itulah terciptanya nama Pena di Perbukitan ini.  Tapi kini, sudah berpindah ke tanah rendah...perlukah ditukar pula nama rumah ini?  Hemmm...tak payahlah...biarlah nama itu menjadi identiti dan kenangan.  Kenangan bahawa kami pernah berada di sana, bersama mencuba nasib, mencari rezeki di tempat orang.  Dan kenangan paling berharga ialah apabila dikurniakan anak ketiga kami Iman Thuraya Nadzli.  Rezeki yang langsung tidak diduga setelah kami hampir berputus asa untuk mendapat anak lagi.

Kami memulakan kehidupan berkeluarga di Kuala Kubu Bharu hampir 20 tahun lalu.  Berpindah rumah dari Rasa-Kuala Kubu Bharu-Rasa-Kuala Kubu Bharu beberapa kali sebelum akhirnya berpindah keluar dari daerah ini ke tanah tinggi.  Memang teruja dapat tinggal di tempat sejuk, kawasan pelancongan.  Tetapi lama kelamaan perasaan teruja dan seronok bertukar menjadi satu perasaan lain yang susah hendak digambarkan. Seronok yang tinggal hanya dengan suhu sejuk dan tidur lena sahaja.  Tapi selebihnya seolah menjadi satu tekanan.  Tambahan pula dengan persekitaran dan masyarakat yang agak 'tertutup'.

pemandangan dari rumah



Setiap kali hendak turun atau naik (memang kami turun naik hampir setiap minggu), mulalah terbayang liku-liku jalan yang menjemukan itu. Memang 'bercinta' sungguh...Tapi mahu atau tidak, terpaksa ditempuh juga. Tujuh tahun lebih kami menempuh itu semua.  Bermacam pengalaman, cabaran dan peristiwa suka dan duka yang kami tempuhi.  Semua itu menjadi sesuatu yang amat bernilai dalam hidup saya dan keluarga.

Sesungguhnya kita merancang untuk kehidupan ini, tetapi perancangan Allah telah termaktub dan terbaik untuk kita.  Segala hikmahnya tersingkap satu persatu...

Oleh itu saya mengambil keputusan untuk mengekalkan nama rumah kecil ini...Pena Di Perbukitan...Kuala Kubu juga masih dikelilingi oleh perbukitan indah...masih sesuai dan relavan sekali nama itu...




Monday, September 23, 2013

Nasi Beriani Mama

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Seperti biasa, jika Aiman Hazziq pulang bercuti dari asrama, sedaya upaya saya akan berusaha menyediakan menu yang istimewa untuk kami sekeluarga.   Bukan bermakna jika dia tiada, menunya tidak istimewa.  Tetapi sesekali semua berkumpul akan ada yang lebih istimewa lagi.  Sejak Aiman tinggal di asrama empat tahun lalu, setiap kali waktu makan seolah-seolah terasa tidak lengkap keluarga ini.  Pasti akan terkenangkan dia setiap kali menyuap makanan ke mulut.  Hati seorang ibu...

Nasi beriani antara menu kegemaran keluarga kecil kami.  Jika sebelum 'pandai' menyediakan menu ini, Restoran Syed, Shah Alam pasti menjadi tumpuan untuk menikmati nasi beriani istimewanya.  Hanya nasi beriani restoran ini yang betul-betul kena dengan tekak saya yang sememangnya amat cerewet bab makanan. Tempat-tempat lain sekadar bolehlah...

Memasak juga seperti kemahiran lain yang perlu dipelajari dan dikuasai.  Bukan semua orang dikurniakan kebolehan memasak semulajadi.  Campak apa saja, pasti menjadi.  Saya juga tidak terkecuali.  Peringkat awal dahulu, sering juga hasil masakan tidak seperti yang diharapkan.  Tetapi saya tidak putus asa. Terus mencuba dan memcuba lagi sehingga kini agak menguasainya.  Sudah boleh memasak tanpa merujuk kepada resepi atau pakcik google.  Kita juga perlu kreatif dalam menyediakan sesuatu hidangan.  Jangan terlalu rigid mengikut resepi.  Ubah suai mana yang boleh mengikut citarasa sendiri.  Jangan takut mencuba sesuatu yang baru.

Eh, terpanjang pulak berleternya.  Saya kongsikan resepinya di sini.  Seperti biasa resepi ini saya gubah sendiri dari beberapa resepi yang saya perolehi samada dari buku atau pakcik google.  Saya memasak  mengikut naluri sendiri dan pastinya naluri setiap orang tidak sama.  Jadi, kepada yang ingin mengambil resepi ini, dipersilakan.  Cubalah dengan kreativiti sendiri pula dan jangan salahkan resepi kalau tak jadi ya...











Bahan-Bahan untuk Nasi  (untuk 6-7 orang makan)

5 cawan beras basmathi (basuh, rendam 10-15 minit dan toskan)
Bawang besar, bawang putih - hiris halus
Halia - hiris halus
Rempah tumis tiga sekawan (buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis)
3-4 sudu besar rempah beriani (saya guna rempah beriani Faiza)
Dadih asli (satu bekas nestle)
2-3 batang serai
3-4 helai daun pandan
Satu tin susu sejat
air secukupnya (biasanya 1 cawan beras = 1.5 cawan air)
Daun ketumbar, daun pudina
4-5 biji cili hijau
2-3 biji tomato (belah 2)
Badam, kismis secukupnya
Garam secukupnya
Kalau nak masam lagi boleh masukkan sedkit tomato puri
Minyak masak dan margerin secukupnya (boleh juga gunakan minyak sapi)

***Ayam - potong biasa, buang kulit dan bersihkan (8-10 ketul).  Boleh diganti dengan daging
*** kalau hendakkan kelainan, boleh masukkan telur ayam rebus

*****tiada sukatan bahan yang khusus.  Boleh gunakan bahan sesedap dan secukup rasa

Cara memasak :

1.  Tumis serai, daun pandan dan rempah tiga sekawan.  Masuk kan bawang-bawang dan halia yang telah dihiris.  Tumis sehingga layu dan wangi

2.  Masukkan rempah beriani yang telah dibancuh dengan sedikit air.  Tumis sehingga pecah minyak

3.  Masukkan dadih.  kacau sebentar dan masukkan ayam.  Tambah garam secukupnya.  Biar ayam setengah masak dan keluarkan ayam tadi.  Ketepikan dahulu

4.  Masukkan beras dan susu segar.  Gaul rata dan biar satu hingga dua minit.

5.  Sediakan periuk nasi eletrik. Masukkan beras yang telah digaul rata sedikit.  Lapiskan dengan beberapa ketul ayam.  letak sedikit daun ketumbar, tomato dan cili hijau.  Lapiskan lagi dengan beras.  Antara lapisan boleh ditabur dengan badam dan kismis.  Ulang hingga habis beras. (kalau masukkan telur rebus juga, masukkan semasa ini berselang-selang)

6.  Kemudian masukkan air secukupnya mengikut sukatan beras.

7.  Masakkan.  Jangan dibuka sepanjang proses memasak.  Biarkan dahulu seketika selepas nasi telah masa sebelum membuka tutup periuk.  Ini adalah bagi memastikan nasi benar-benar masak.

Nasi beriani enak dimakan dengan acar mentah.  Memandangkan nasi ini telah diletakkan ayam di dalamnya,  boleh dimakan dengan kuah dalca sayur bercampur tulang ayam.  

Acar Timun Mentah :

Timun, lobak merah, nenas, sengkuang - dipotong (Kalau rajin, sagat je)
Tomato - dipotong dadu
Cili api, cili merah - dipotong kecil
Bawang besar - dipotong dadu
garam, gula, cuka secukupnya.

** Gaul rata semua bahan dan perapkan sebentar

Untuk resepi dalca sayur, akan saya ceritakan kemudian...

Sekali lagi, gunakan kretiviti anda sendiri untuk menjadikan resepi ini seperti yang anda ingini...selamat mencuba...



Sunday, September 8, 2013

Kisah itu...

Ketika sedang meneman Iman Thuraya menikmati sarapan pagi, hati saya tersentuh melihat wajah anak kecil yang mulus ini.  Betapa anak ini amat bertuah dapat melalui zaman kanak-kanak yang indah.  Dibesarkan dalam linkungan keluarga yang bahagia.  Walaupun hidup sederhana, tapi gembira menikmati alam kanak-kanaknya.  Berbeza sekali dengan kehidupan saya sewaktu kecil.  Kadang-kadang, kisah zaman silam saya tiba-tiba bermain difikiran.  Betapa saya tidak mahu mengenangnya, tetapi sesekali kenangan itu datang menyapa menjadikan saya lantas berfikir.  Ya Allah, terima kasih kerana menjadikan aku insanMu yang amat bertuah kerana melalui semua pengalaman itu.  Dari situlah aku menjadi siapa aku sekarang ini.  Sesungguhnya, setiap satu yang Engkau jadikan itu punya hikmahnya tersendiri.  Cuma cepat atau lambat.  Terima kasih Ya Allah.


Zaman kanak-kanak dan remaja saya penuh warna warni dan saya rasakan amat unik sekali.  Tidak semua orang melalui apa yang saya lalui.  Bukan bertujuan membuka aib sendiri atau sesiapa, sekadar dikongsikan untuk dijadikan renungan, panduan dan teladan mana yang baik.  Yang tidak baik diambil jadikan sempadan dan pengajaran.  Kadang-kadang, sisi hitam kehidupan itulah yang menjadikan kita lebih menghargai kehidupan dan orang di sekeliling kita.  Tidak semua yang hitam itu buruk atau tidak indah.  Pandanglah dengan mata hati, InsyaAllah, ianya akan bertukar menjadi warna indah seperti yang kita kehendaki sendiri, tidak kira putih, biru, merah atau kelabu sekalipun.

Melalui beberapa fasa kehidupan yang berbeza, saya ketika itu menjadi sedikit 'keliru'.  Tapi, sebagai kanak-kanak dalam lingkungan umur 7 tahun, apa yang saya kisahkan sangat.  Janji dapat makan, minum, bermain.  Apa yang berlaku disekeliling tidak dapat difahami sepenuhnya.  Begitu juga apa kesannya kepada masa depan saya.  Tidak terlintas langsung dibenak fikiran ini.  Yang dikenang hanya yang manis dan indah sahaja.  Teringat lagi kali pertama tidur di hotel mewah di Kuala Lumpur ketika kami sekeluarga meneman ayah yang mengikuti persidangan berkaitan peneroka FELDA.  Saya dan adik lelaki (ketika itu baru dua beradik) umpama orang 'jakun' (maaf jika perkataan ini tidak sesuai sekarang, tapi inilah perkataan yang terkenal ketika itu), melompat-lompat di atas tilam empuk hotel, berlari riang keliling bilik.  Di rumah kami, mana ada tilam setebal dan seempuk itu.  Kami juga sempat merasa menaiki kereta kabel Bukit Nenas ketika itu.  Seronok sekali.

Teringat juga bagaimana saya pernah dikejar mak gara-gara menyuapkan nasi goreng kepada adik lelaki yang ketika itu baru berusia beberapa bulan.  Kami umpama bermain kejar-kejar.  Nakalnya saya ketika itu.  Mak memang agak garang dan saya hanya berani pulang ke rumah selepas ayah pulang ke rumah.  Parut di paha juga mengingatkan saya kepada kisah sewaktu di sekolah tadika.  Pulang dari Kuala Lumpur, ayah membelikan saya sehelai gaun yang sangat cantik.  Katanya untuk dipakai di hari raya.  Saya pula memberontak hendak memakai gaun itu terus untuk ditunjuk kepada kawan-kawan di tadika.  Bagilah apa alasan sekalipun, saya tidak peduli.  Akhirnya rotan halus hinggap di paha saya sehingga meninggalkan bekas.  Apa lagi, saya meraung sakan kesakitan tapi puas hati sebab akhirnya saya 'menang'.  Dengan jurai air mata, gaun tersarung ke tubuh dan saya melangkah dengan penuh gaya masuk ke kelas sambil diperhatikan guru dan rakan-rakan.  Sehingga kini, setiap kali terlihat parut itu, saya akan senyum sediri.

Warna indah zaman kanak-kanak bertukar ketika saya berusia lapan tahun.  Putus kasih dengan ibu kandung akibat perpisahan ayah dan mak menjadikan saya seumpama hilang arah seketika.  Ketika itu kami tiga beradik memilih atau memang telah ditetapkan untuk tinggal bersama ayah.  Mak membawa diri bekerja di bandar berhampiran.  Banyak cerita dukanya yang tidak kami ketahui sehingga kini.  Adik bongsu dijaga oleh nenek di Perlis, dan ayah berkahwin lagi tidak lama selepas itu.  Saya begitu seronok kerana mendapat ibu baru dan tinggal dalam lingkungan keluarga yang lebih besar.  Lebih ramai kawan untuk bermain, juga seronok kerana mendapat adik-adik baru.  Kehidupan diteruskan seperti biasa.  Ahli keluarga bertambah dari tahun ke tahun.  

Apa yang saya tahu, mak tidak pernah melupakan kami.  Asal ada kelapangan, dia pasti menjenguk kami biarpun sekejap.  Sanggup turun naik bas untuk menjenguk kami.  Ayah pula tidak pernah menghalang.  Cuti sekolah adalah waktu yang amat saya nantikan.  Ketika itulah saya berpeluang mengikut mak pulang ke rumahnya.  Antara lokasi yang masih saya ingat ialah Mentakab (Pahang), Bandar Pusat Jengka (Pahang), Subang Jaya dan Sg Way, Selangor.  Mak melakukan pelbagai kerja untuk menyara hidup dan tidak lupa memberi kami duit belanja.  Tiba hari raya, pasti ada pakaian baru untuk kami yang dijahit sendiri oleh mak.  Namun ada juga ketikanya saya tidak dibenarkan mengikut mak pulang.  Setiap kali hendak mengikut mak pulang, saya perlu meminta kebenaran dari ayah dahulu.  Jika jawapannya 'ya', saya pasti melonjak kegembiraan kerana boleh 'terlepas' sebentar dari rumah.  Jika jawapannya 'tidak', samada muka masam mencuka atau air mata akan jatuh laju.  Biasanya hanya saya dan adik perempuan bongsu yang sering mengikut mak.  Adik lelaki agak 'liat' kerana dia memang anak ayah.

Pernah juga ketika mak tinggal dan bekerja kilang di Bandar Pusat (lebih kurang 20 minit perjalanan menaiki bas), saya 'curi-curi' pergi berjumpa mak kerana terlalu rindu.  Ditemani Kak Anida (kini telah arwah, Al Fatihah), kami menyorok-nyorok menunggu bas kerana takut kelihatan oleh ayah.  Keluar masuk, keluar masuk dari 'tempat persembunyian' melihat jika bas datang mengundang ketawa kami berdua.  Tindakan yang cukup berani.  Kalau ternampak oleh ayah, pasti saya diheret pulang.  Bas akhirnya tiba dan saya hanya naik sendirian kerana Kak Nida tidak jadi mengikut.  Dalam berani, ada takutnya.  Saya sampai juga ke tempat mak dan dari niat asal hendak menjenguk mak, saya tinggal beberapa hari di 'hostel' mak.  Saya yakin, ayah pasti tahu di mana saya berada kerana pesanan sudah ditinggalkan melalui Kak Nida.  Saya juga tahu, apa akibatnya bila saya pulang kelak.  Tapi Alhamdulillah, ayah cuma berleter panjang.  Rasanya kejadian ini ketika saya berusia lingkungan tiga belas tahun.  Sudah agak berani.

Kisah rindu seorang anak ini membuatkan saya teringat kisah ketika masih di sekolah rendah, mungkin dalam usia sepuluh tahun.  Kisah yang agak pedih dan terpahat kemas dalam lipatan hati saya.  Mana mungkin saya melupakannya biarpun sudah lama berlalu.  Mungkin akan mengundang rasa tidak senang,  biarlah.  Ketahuilah, saya tidak pernah menyimpan sebarang perasaan dendam atau marah.  Mak telah berjanji untuk datang mengambil saya pada hujung minggu itu.  Walaupun sekadar sehari dua dapat bersama mak, saya tidak kisah.  Janji dapat bersama.  Ayah seawal pagi lagi sudah keluar berniaga dengan mak (ibu tiri juga saya panggil mak) dan hanya akan pulang menjelang tengahari.  Saya bertanggung jawab menjaga adik-adik.  Sepanjang pagi itu jugalah saya duduk menunggu di hadapan rumah menunggu mak, tak pedulikan adik-adik, tak pedulikan makan minum.  Ayah dan mak pulang tengahari itu dengan renungan tajam.  Tidak saya pedulikan.  Saya tetap menunggu di situ.  Saya tahu mak telah sampai dan ada di rumah sahabat baiknya (rumah yang sering menjadi tempat pertemuan kami).  Ayah keluar lagi selepas Zohor dan saya mula mengemas sehelai dua pakaian dan kembali menunggu di tempat tadi.  Mak (tiri) di dalam rumah tidak memperdulikan tindakan saya.  Sehingga menjelang Asar, kelibat mak masih tak kelihatan.  Saya menjadi resah dan tidak larat lagi hendak menjawab setiap pertanyaan mereka yang lalu lalang di hadapan saya.  Akhirnya mak tiba dengan sebuah teksi.  Ketika itulah berlaku insiden yang memang tidak saya jangka.  Tiba-tiba, insan ini (bukan mak tiri), meluru datang dan melemparkan semua pakaian saya ke arah mak yang menunggu di tepi jalan.  Mungkin dia sudah dari pagi memerhatikan kelaku saya dan hilang sabar dengan tindakan saya itu.  Pelbagai ayat yang keluar tapi tidak saya ambil peduli kerana raungan saya lebih kuat lagi.  'Drama' itu disaksikan oleh ramai orang kampung yang kebetulan berada di situ.  Mak yang mungkin tak mahu keadaan menjadi lebih buruk, berlalu pergi menaiki teksi dengan linangan air mata dan saya meratapinya dengan raungan yang tak sudah.  Seorang jiran yang bersimpati mengutip kain baju saya dan berusaha memujuk.  Ayah yang mungkin telah dikhabarkan kejadian itu, bergegas pulang dan tidak terkata apa.  Dibiarkan saya duduk termenung di pondok menunggu melayan perasaan.  Menjelang Maghrib, ayah memanggil masuk dan saya dimandikan ayah dengan air yang mungkin telah 'dijampi'.  Selesai mandi, terus hilang perasaan sedih dan saya dapat bergelak ketawa dengan adik-adik seperti biasa.  Ya Allah, saya tidak pernah menyangka perkara seperti itu akan berlaku dalam hidup saya dan meninggalkan kesan yang bukan sedikit.

Saya melalui zaman sekolah rendah dan menengah  dengan seribu satu kisah lagi.  Alhamdulillah, saya berjaya juga melanjutkan pelajaran ke universiti walaupun dua lagi adik kandung kandas di tengah jalan.  Ini membuktikan, walaupun 'perit' dan 'sakit' melaluinya, saya tetap bangkit berjuang dan betul seperti kata pepatah 'selepas hujan pasti ada pelangi'. 

Kehidupan dilalui dengan penuh cerita dan kisah.  Suka, duka, tawa, tangis menjadi rencah kehidupan kami sekeluarga.  Ayah cukup bijak dan berhemah menyatukan kehidupan kami adik beradik.  Tiga kelompok berbeza (adik beradik kandung, adik beradik sebapa dan anak-anak mak) disatukan di bawah satu bumbung menjalani kehidupan bersama.  Adat hidup adik beradik, sesekali bergaduh kemudian kembali bermain bersama.  Ayah melayan sama rata.  Itulah yang menyatukan kami sehingga kini walaupun ayah telah hampir dua puluh tahun tahun meninggalkan kami.  Didikan dan pesanan yang ditinggalkan menjadi panduan.  Kami masih berkumpul sebagai satu keluarga.  

Banyak lagi kisah dan cerita yang saya lalui tapi biarlah ianya menjadi sejarah dalam hidup saya.  Mungkin sesekali akan saya ceritakan pada anak-anak dan cucu (InsyaAllah jika panjang umur) sebagai teladan untuk mereka lebih menghargai hidup ini.  Hidup kita telah dijanjikan dan diatur oleh Allah dengan seindah-indah dan sebaik-baiknya.  Walaupun kadang-kadang amat perit melaluinya, tetapi selepas keperitan itu Allah telah menjanjikan sesuatu yang lebih baik.  Terserah kepada kita bagaimana untuk melihat kembali sejarah kehidupan itu.  Pandang lah ia sebagai satu yang positif dan pasti kita akan lebih kuat untuk melangkah ke hadapan.

Saya tidak pernah menyesal atau meratap dengan kehidupan yang telah dianugerahkan Allah ini.  Terlalu banyak nikmat yang telah diberikan dan dugaan-dugaan itulah yang menjadikan hidup kita lebih bermakna.  Saya selalu ingin melakukan yang terbaik untuk keluarga dan mereka disekeliling saya, walaupun kadang-kadang kehadiran saya seolah dipandang sepi oleh.  Tidak mahu apa yang saya lalui itu ditempuh pula oleh anak-anak.  Sesekali hati kecil ini tersentuh juga mengenangkan kisah-kisah itu.

"Ya Allah kau lindungilah kami dan satukan hati kami semua dengan ikatan kasih sayang keranaMu, Ya Allah.  Jauhkan kami dari bisikan syaitan yang ingin memecah belahkan kasih sayang ini.  Hidupkan kami dengan iman dan matikanlah kami dengan iman"





Catatan Bermula Kembali

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Begitu lama rumah kecil ini ditinggalkan, hanya sempat dijenguk sekali sekala, tetapi tiada upaya untuk membuat sebarang catatan.  Terlalu banyak perkara dan peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh itu. Dititip kemas dalam kotak ingatan mahu pun sesetengahnya saya campak jauh tak ingin dikenang langsung.

Apa yang saya lakukan sepanjang tempoh 'bertapa' itu?  Rutin harian seorang ibu, isteri dan wanita. Kadang-kadang terasa 'i'm a typical housewife but with an extraordinary strenght'.  Walaupun terkadang rasa jatuh terbenam ke dasar bumi, tetapi bangkit untuk berlari mendaki gunung kembali.

Sebenarnya sekarang saya lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang jahitan dan kelas tuisyen persendirian di rumah.  Bermula awal tahun 2013, saya dalam 'terpaksa rela', mengadakan kelas tuisyen untuk beberapa orang pelajar setelah dipujuk rayu oleh ibu-ibu mereka yang telah biasa dengan pusat tuisyen saya sebelum ini.  Saya akhirnya terpaksa mengalah.  Tambahan pula minat mengajar masih menebal dalam diri di samping dapat mencari duit poket sendiri.  Diakui, saya seorang cikgu yang sangat garang dan tegas, tetapi anak murid tetap datang dekat dan boleh bergurau senda kembali selepas telinga merah dipiat...
siap makan minum lagi tu...

Daniel (pelajar istimewa), Iman, Zam Inas dan Shi Cheng (yang datang dari Tanjung Malim)

Apa yang seronok dengar mengajar ni?  Entah, tak boleh saya ceritakan. Siapa yang jadi cikgu pasti boleh merasanya.  Biarpun kadang-kadang angin naik sampai kepala, suara boleh dengar satu taman, tapi tetap seronok.  Suami saya pernah mengajar Iman membaca (melalui buku cerita) dan saya hanya mendengar dari jauh.  Sambil menjahit, sambil saya memperbetulkan apa yang diajar dan sambil saya gelak sendiri.  Tak sampai sepuluh minit, Iman terus tutup buku!  Tak ada tokoh jadi cikgu, katanya...

Diam tak diam sudah hampir setahun berlalu.  Setiap kali keluar rumah dan berjumpa dengan rakan-rakan lama, soalan pertama yang diajukan pastinya "tak nak buka balik ke pusat tuisyen?  Payah la sekarang dah tak ada pusat tuisyen macam dulu."  Saya hanya mampu tersenyum.  Semangat memang membuak, termakan dek pujukan mereka, tapi tiada daya dan upaya dari segala hal.  Tambahan pula dalam peringkat umur sekarang, ghairahnya tidak seperti waktu memulakan perniagaan dulu.  Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.  Itu kata-kata saya sekarang, tak tau lah setahun dua lagi, kalau-kalau bertukar fikiran...

Novel saya juga sudah lama tertangguh.  Janjinya sebelum bulan 12, 2012...kini sudah menghampiri penghujung 2013. Masih belum siap juga.  Entah kenapa payah benar hendak membuat catatan kali ini.  Moga Allah swt memberi saya kekuatan untuk menyudahkannya, berkongsi dengan kalian semua.

Cukuplah untuk permulaan sambungan ini...Akan meneruskan kembali catatan di rumah kecil ini. InsyaAllah...