Thursday, December 22, 2011

Hidup perlu diteruskan...

Sudah bersawang lagi rupanya rumah kecil ini. Hemmm...entah mengapa terasa begitu susah sekali untuk memasukkan entri-entri baru sejak akhir-akhir ini, walhal terlalu banyak cerita yang menari-nari dalam fikiran ini minta diluahkan. Aktiviti yang penuh dan padat saban minggu juga menjadikan minda dan jemari ini 'letih' untuk memasukkan cerita baru. Alasan...

Cuti sekolah sudah berada di penghujung. Sekejap sahaja rupanya cuti ini sudah akan berakhir. Belum puas rasanya mengulit anak-anak di rumah, sudah mahu kembali semula ke asrama menyambung perjuangannya. Anakanda Aiman Hazziq akan menempuh peperiksaan PMR tahun 2012 dan anakanda Nadia Ammira seperti biasa, akan menjalani rutin latihan di Rumah Persatuan Orang-Orang Istimewa Cameron Highlands. Alhamdulillah, berita baik yang dikhabarkan minggu lepas, proses perpindahan ke Port Dikson akan ditangguhkan ke bulan Februari atau Mac 2012. Walaupun hanya lebih kurang dua bulan bertangguh, ianya cukup bermakna kepada kami. Banyak perkara yang masih belum selesai.

Kali ini banyak aktiviti yang dilakukan bersama anak-anak sepanjang cuti sekolah. Saban minggu ada sahaja aktivitinya. Bermain air di Bukit Merah Lake Town Resort dan seterusnya bermalam di Taiping, menjelajah Petrosains di KLCC, 'menziarahi' Istana Negara, 'melawat' Wad Radioterapi, Hospital Kuala Lumpur atau paling tidak turut 'menyamar' menjadi pelancong, bersama menyibukkan diri melawat ladang teh Bharat Tea di Ringlet. Masa penuh terisi. Ditambah seminggu lagi di Jengka 2 dan 'berpesta' air di Bukit Gambang Resort bagi anakanda Aiman.

Paling tidak boleh dilupakan ialah first Gathering Supermum's & Superdad's Angel (SMSDA) di Peransang Templer Park, Rawang pada 10-11 Dis 2011. Perhimpunan yang amat bermakna sekali. Jika sebelum ini kami hanya berbual dan bertukar cerita di alam maya muka buku, tidak pernah mengenali antara satu sama lain, tapi sekali bersua muka akrabnya umpama sudah kenal lama. Masing-masing berkongsi cerita dan kisah yang sama berkenaan anak syurga, saling memberi kata-kata peransang dan penguat semangat untuk melakukan yang terbaik untuk ahli syurga ini. Bila berada dalam kasut yang sama, tidak perlu bercerita banyak, masing-masing sudah memahaminya...

Dari kumpulan SMSDA inilah kami banyak berkongsi dan bertukar rasa, perasaaan, pengalaman dan Ilmu dan menjadikan saya kini lebih kuat dan bersemangat setelah tujuh belas tahun melalui segala macam suka duka, pahit getir, tawa tangis dalam membesarkan anak istimewa saya, Nadia Ammira. Tujuh belas tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek. Hidup ini ada turun naiknya dan begitu juga perasaan dan semangat diri yang kadang-kadang jadi kosong bila dilanda badai perasaan. Kekuatan dan semangat yang diberikan oleh mereka yang senasib sekurang-kurangnya dapat melegakan sedikit badai yang melanda. Hanya mereka yang menyarung topi yang sama dapat merasai apa yang ditanggung dan dilalui...

Berjumpa lagi..

Tuesday, November 15, 2011

Renungan bersama...

Kata-kata ini saya petik dari buku U-Turn Ke Jalan Lurus, tulisan Ustaz Zul Ramli M Razali terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd.

" Dalam kehidupan ini, ada perkara yang menyedihkan, kesakitan yang ditanggung, keperitan dan kegagalan dalam setiap penderitaan, tulislah di atas pasir, biarkan ia singgah sebentar dalam ingatan kita agar kita segera boleh melupakannya. Namun sebaliknya, apabila kita mengecap nikmat dari Allah atau menerima kebaikan dari orang lain maka pahatlah ia dalam hati agar kita terus kekal mengingatinya sampai bila-bila.


Rahsia untuk mendapat ketenteraman dan kedamaian hakiki : Lupakan dan maafkan segala kesalahan orang lain kepada kita sebelum tidur dan pejamkanlah mata untuk merasai nikmat dan kesyukuran yang kita kecapi.

Kebencian dan dendam yang kita bawa sehingga ke dalam tidur menjadi seperti racun yang direngguk, bisanya menyelinap ke seluruh tubuh dan kemudian membunuh kebahagiaan dan kedaimaian diri.

Justeru itu, tidurlah bersama kesyukuran, jangan tidur bersama kesedihan."



Umai Ikan

Hari ini hati terasa sayu. Memasak adalah antara terapi terbaik bagi saya untuk menghilangkan gundah di hati. Melihat ada sepotong ikan merah di dalam peti sejuk, teringat hendak membuat umai. Pertama kali memakan umai ikan (masakan tradisional dari Sabah & Sarawak), adalah pemberian dari rakan sekerja suami yang berasal dari Sabah. Pada mulanya agak takut untuk memakannya kerana membayangkan ikan mentah yang akan masuk ke tekak...tapi kali pertama mencuba, terus jatuh cinta. Memang sedap sekali. Amat bersesuaian dengan selera saya. Hari ini saya berjaya mencubanya dengan markah A pemberian suami (memuji diri sendiri...hihihi)


abaikan gambarnya yang sedikit 'cacat' gara-gara masalah teknikal

Mudah sahaja caranya. Saya kongsi bersama di sini resepi yang telah ditelaah dari beberapa laman web dan hasil rasa saya dari umai buatan rakan, saya olah sedikit untuk menepati selera saya.

Bahan-bahan :

Sepotong ikan merah - bersihkan, buang kulit dan potong nipis dan kecil-kecil
Bawang merah + cili api + cili merah --> ditumbuk (ikut cita rasa pedas sendiri)
Bawang besar --> mayang halus
Cili api dan cili merah --> potong kecil
Halia --> mayang halus
Limau nipis + sedikit cuka

*gunakan limau nipis kerana masamnya lebih tajam berbanding limau kasturi

Caranya :

** Hirisan ikan diperap/direndam dengan perahan limau bersama sedikit cuka lebih kurang setengah jam sehingga isi ikan menjadi putih. Itu tandanya isi ikan telah masak dengan kemasaman limau tadi (kalau guna limau kasturi, lambat hendak 'masak'). Saya yang masih 'takut' dengan ikan mentah, telah meletakkan perapan itu sebentar di dalam periuk nasi yang baru masak agar isi ikan betul-betul masak menggunakan wap nasi tadi. Kemudian toskan jus limau untuk membuangkan bau hanyir ikan.

*** Campurkan perapan isi ikan tadi dengan bahan tumbuk, bawang, halia dan cili potong serta perahkan limau lagi. Perisakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Umai ini amat enak dimakan dengan nasi panas. Jika ada lauk ini sahaja sudah cukup bagi saya. Semuanya ada, masam, pedas, masin, manis. Memang enak sekali.

Saturday, November 12, 2011

Cucur Jawa @ Cucur gula merah

Kuih tradisional ini adalah antara kuih kegemaran kami sekeluarga. Hampir setiap hujung minggu, jika ke pasar tani pasti suami akan pulang bersama kuih ini. Semalam semasa sedang mengadap muka buku, ternampak resepi cucur ini. Oh! mudah sahaja resepinya. selama ini saya hanya suka makan, tetapi menyangka sukar untuk membuatnya. Resepinya juga tidak pernah diketahui dan tidak terlintas hendak bertanya kepada 'pakcik google'. Semalam teringin benar hendak makan cucur ini, tetapi bukanlah boleh terus dibuat dan dinikmati ketika itu juga.

Pagi tadi saya membancuh adunan dan sedia untuk menggorengnya petang tadi...Alhamdulillah, cubaan pertama menjadi. Cuma warnanya kurang menyerlah kerana saya menggunakan gula kabung, bukan gula merah. Resepi ini saya ambil dari web myresepi.com (terima kasih kepada tuan resepi). Bila ditanya kepada 'pakcik google' resepinya lebih kurang sama sahaja.

Resepi untuk lebih kurang 10 hingga 15 biji cucur

2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1/2 cawan gula pasir (kalau tak nak manis boleh kurangkan)
1 cawan gula merah
garam
2 cawan air
daun pandan
**saya masukkan sedikit minyak zaitun dalam adunan untuk kurangkan resapan minyak semasa menggoreng

***campurkan gula pasir, gula merah dan air. Masakkan hingga mendidih. Boleh masukkan carikan daun pandan semasa memasak air gula ini. Biarkan sejuk.

****Campurkan tepung gamdum dan tepung beras. Tuangkan air gula dan gaul sebati. Masukkan sedikit garam. Gaul sebati ikut likat (ada juga yang blend adunan ini). Gaul kaup balik atau pukul menggunakan tangan sehingga adunan berbuih. Peram adunan semalaman (kalau untuk minum petang, sediakan sebelah pagi).

*****Untuk menggoreng, panaskan sedikit minyak dalam kuali. Sendukkan adunan dan tuang di tengah kuali. Balik-balikkan sehingga masak. Gorengkan satu persatu.


Seronok rasanya dapat mencuba resepi-resepi tradisional ini. Tidak sukar hanya mahu atau tidak sahaja...

Thursday, November 10, 2011

Dah mula lah tu...

Sudah lama mesin jahit saya 'berselimut' di dalam bilik. Sudah hampir dua bulan tidak bersentuh. Kali terakhir dibuka dan digunakan semasa sedang ghairah menjahit skirt untuk Iman. Sempatlah siap tiga helai skirt dan apabila mula diselimutkan, memang payahlah hendak dibuka semula. Baju dan seluar koyak yang perlu dijahit dan diperbaiki sudah hampir penuh sebakul, tapi mood untuk membuka mesin jahit belum juga datang...hemmm...kalau dah malas tu memang payah nak mula, tapi bila dah mula, payah juga nak berhenti...

Entah kenapa, pagi tadi bila mengemas meja jahitan yang sudah semak dengan baju-baju yang perlu diperbaiki, ternampak pula bungkusan kain yang dibeli entah bila untuk dibuat alas meja, semangat hendak menjahit mula datang sedikit. Ternampak pula kain-kain baki yang telah diasingkan untuk dibuat gaun smocking Iman dan kelengkapan smocking yang telah lengkap dan hanya menunggu masa untuk bermula sahaja. Bahan-bahan smocking itu telah saya beli hampir setahun! Tapi hendak memulakan, ada sahaja alasannya...Tadi, sedang ber'blog walking', tersinggah satu blog jahitan dan entrinya adalah berkenaan gaun smocking yang amat cantik, bertambah lagi semangat hendak memulakan jahitan smocking untuk anak dara kecil saya...fuhhh amat mencabar sekali. Nampak gayanya kenalah membuka selimut mesin jahit itu untuk mendapat semangat memulakan kembali aktiviti jahitan. Aktiviti quilting juga sudah lama terhenti sejak menyiapkan quilt 'log cabin' untuk adinda penghujung April lalu. Sudah banyak scrap terkumpul dan projek selepas ini ialah 'house quilt' yang hanya menggunakan scrap. Tapi entah bila hendak dimulakan dengan segala perkara hendak dilakukan dan difikirkan sekarang...

Saturday, October 29, 2011

Resepi pau pertamaku...

Bahan-bahan (untuk 20-25 biji pau)

500 gm (31/2 cawan) tepung pau atau tepung gandum
1/2 cawan gula halus
1/4 cawan minyak jagung
1 cawan air suam
1 sudu teh yis segera

Cara-caranya :

** Jika menggunakan bread maker - masukkan semua bahan. set ke program doh dan keluarkan selepas lebih kurang 20-30 minit.

*** Jika uli manual (dengan tangan) : satukan gula dan air. Kacau hingga gula larut. Dalam bekas yang lain campurkan yis dan tepung. Gaul rata. Kemudian tuang minyak dan uli sebati. MAsukkan bancuhan air gula sedikit demi sedikit dan uli sehingga doh tidak melekat. Jika masih terasa lembik atau melekat, tambah tepung sedikit demi sedikit hingga tidak melekat. Rehatkan doh sebentar.

****bahagikan doh kepada doh kecil lebih kurang 20 biji. Ratakan dan isikan inti yang disukai (kali ini saya gunakan inti kelapa manis dan kaya). Balutkan dengan kemas. Golek-golekkan menggunakan dua tapak tangan untuk mendapatkan pau yang bulat dan licin. Lapikkan kertas atau gunakan mangkuk kertas untuk cup cake. Susun dalam kukusan dan rehatkan lebih kurang 40-50 minit. Tutupkan dengan kain.



*****untuk mengukus,panaskan air kukusan hingga betul-betul mendidih. Kukus lebih kurang 10 minit. Setelah masak, tutup api dan biar sebentar sebelum membuka tutup kukusan untuk mengelakkan air menitik ke atas pau. Buka tutup dengan hati-hati


Inilah hasilnya. Okaylah bagi yang pertama kali buat macam saya...


Kepuasan memasak ialah apabila suami dan anak-anak menikmati air tangan kita dengan penuh selera. Along Ammira menghabiskan hampir 5 biji pau sehingga menolak makan malamnya...

kuih pau pertama...

Selama ini tak pernah teringin mencuba buat pau. Kalau teringin nak makan, kami samada membeli pau Yik Mun Tanjung Malim yang terkenal itu atau kini ada lagi satu pau sedap iaitu di persimpangan Simpang Pulai menghala ke tol. Tapi,entah kenapa tiba-tiba teringin hendak membuat pau sendiri dan inilah hasilnya. Setelah ditanya resepinya pada 'pakcik goggle', saya menelaah beberapa resepi dan sudah menjadi tabiat saya untuk menggabungkan resepi-resepi mengikut cita rasa dan gerak hati sendiri. Tidak susah rupanya membuat pau. Resepinya akan saya kongsi nanti...
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, October 27, 2011

Apa pilihan kami...

Rupa-rupanya dah lama benar saya tak menjenguk ke rumah kecil ini. Dah bersawang, berhabuk tidak berkemas...hemm...terlalu banyak yang perlu dilakukan dn difikirkan. Tidak cukup ruang rasanya otak ini hendak memproses semua perkara yang mendatang dan terjadi sejak akhir-akhir ini.

Agenda utama kami sekarang ialah berkenaan anak syurga kami yang tidak tentu arah tujunya untuk tahun hadapan. Semuanya datang secara tiba-tiba bila cikgu sekolahnya memaklumkan sekolah berkemungkinan besar akan ditutup hujung tahun ini kerana masalah kewangan. 'Kemungkinan besar' mereka itu sebenarnya ialah 'memang akan ditutup'. Terpana sebentar saya mendengar kalimah yang keluar dari mulut guru itu. Yang terlintas difikiran ketika itu hanyalah "di mana pula Along akan bersekolah selepas ini". Untuk kembali semula ke PDK di tempat tinggal kami sekarang, itu adalah pilihan terakhir. Apa daya dan ikhtiar kami selepas ini. Tak kan hendak dibiar sahaja di rumah. Apa akan jadi pada dia nanti?

Cikgu memaklumkan mereka akan berpindah ke Port Dikson, Negeri Sembilan. Ya Allah! Jauhnya. Kalau ke Ipoh, memang kami tiada masalah langsung. Saya hanya membayangkan betapa kasihannya anak saya jika turut ke sana dan hanya dapat berjumpa semasa cuti sekolah sahaja. Saya sama sekali TIDAK SANGGUP.

Isu ini menjadi bahan perbualan kami saban masa. Kami berusaha mencari beberapa alternatif untuk Along. Betapa kami amat bimbangkan masa depannya. Dalam keadaan saya yang masih belum pulih sepenuhnya dan bonda yang masih di hospital, kami menjelajah hampir separuh Perak selama hampir 3 hari untuk mencari alternatif sekolah Along. Setiap kali selepas menjenguk sekolah yang diketahui, saya akan menangis, mengalirkan air mata tanpa henti. Apalah nasib anakku ini. Betapa saya tidak sanggup menghantarnya ke tempat sejauh ini. Umpama saya membuang anak sendiri, anak syurga yang menjadi nyawa saya selama ini...

Mencari sekolah atau pusat latihan untuk anak oku ini bukanlah semudah seperti mencarikan tadika atau sekolah untuk anak normal. Banyak aspek yang diperlu diambil kira. Bagi saya keserasian pelajar dan guru amat penting dalam proses pembelajaran seterusnya. Bukan semua guru dapat memahami keletah dan ragam anak oku seperti Along yang bila-bila masa sahaja boleh berubah anginnya. Setelah perbincangan demi perbincangan, pertimbangan demi pertimbangan antara kami dan mengambil kira pendapat beberapa orang rakan, kami membuat keputusan muktamad- menghantar Along bersekolah di Port Dikson dan kami juga akan turut ke sana, bersama Along menempuh kehidupan di tempat dan persekitaran baru, terbang turun dari perbukitan yang sejuk dingin ke pantai yang panas pula.

Along tetap ceria dengan kehidupannya, bermain dengan blok-blok kegemarannya tanpa mengetahui gundah gulana yang bersarang dalam hati mama dan babahnya...

Apakah tindakan kami ini satu tindakan yang wajar dan waras...hanya Allah yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk kami...

Saturday, October 8, 2011

Iman Nak Fly...ke Mekah...

Itulah ayat yang saban hari di tutur oleh Iman Thuraya. Jika keluar dari pintu rumah "Bye...Iman nak pergi solat. NAk solat di Kaabah. Iman nak fly pergi Mekah."
Alhamdulillah. Sedari kecil sudah memasang niat untuk ke Mekah walaupun dia tidak tahu apakah erti sebenarnya ke Mekah itu. Pengalaman ditinggalkan kami selama dua minggu pada bulan Mei lepas, mungkin menjadikan dia sentiasa peka akan pergerakan kami. Pantang melihat kapal terbang melintas, keluarlah ayat di atas. Hampir setiap hari juga kami akan mengikuti perkembangan jemaah haji Malaysia samada melalui saluran TV1 atau Oasis. Gambaran yang diberikan menjadikan hati kami membuak-buak untuk turut serta ke sana, menjadi tetamu Allah. Iman juga turut serta. Ayat-ayat "Iman nak solat di Kaabah", "Iman nak pergi Mekah" sentiasa di hujung bibir. Bila difikirkan kembali, bilalah giliran akami akan tiba? Cepat atau lambat? Persediaan juga masih belum mencukupi dan yang paling utama bagaimana pula dengan anak syurga kami Nadia Ammira. Tempoh mengerjakan haji menjangkau 40 hari. Siapa pula yang akan dan sanggup mengambil alih tugas kami menjaga Ammira? Satu persoalan berat yang harus kami selesaikan sebelum mengambil keputusan muktamad bersedia menjadi tetamu Allah...Moga dipermudahkan...






Thursday, September 29, 2011

Berilah kami kekuatan...

Sudah hampir empat hari saya berada di sekitar Kuala Kubu Bharu, Kuala Lumpur dan Gombak. Bermakna sudah empat hari juga saya merindui 'syurga kecil' kami di atas perbukitan sana. Empat hari juga saya berulang alik ke Unit Radiologi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur menghantar, meneman dan menziarahi bonda yang akhirnya bersetuju untuk menjalani rawatan kimoterapi untuk kali kedua. Rawatan kali ini lebih intensif dengan 3 pusingan untuk tempoh hampir empat bulan. Bermakna, untuk tempoh empat bulan ini juga kami sekeluarga akan menjadi pengunjung setia HKL.

Sudah puas memujuk, 'menakutkan' sehingga peringkat 'mengugut', bonda menolak untuk menjalani rawatan kimoterapi lagi. Sakit dan tidak sanggup melaluinya lagi, katanya. Memang benar, kita yang memandang, hanya sekadar mampu memandang, tidak dapat merasai apa yang sedang dilaluinya. Segala racun ubatan kimoterapi yang melalui urat darah meninggalkan kesan yang bukan sedikit. Muntah, loya, pening, tidak bermaya, ulser mulut yang kronik, langsung tidak berselera makan adalah sesuatu yang amat menyeksakan bagi mereka yang menjalani rawatan ini. Mujur bonda tidak mengalami keguguran rambut. Dan memang diakui, bonda amat kuat melaluinya. Jika kita berada di tempatnya juga, akan berfikir berulang kali untuk melalui lagi 'penderaan mental dan fizikal' itu.

Bonda akhirnya mengalah bila imbasan x-ray menunjukkan sel-sel pembunuh itu sudah merebak ke seluruh paru-parunya. Rupa-rupanya itulah sebab yang meneyebabkan bonda batuk tidak berhenti walaupun sudah menelan pelbagai jenis ubat batuk. Ianya hanya mengambil masa tidak sampai 6 bulan dari imbasan x-ray pertama yang menunjukkan sel-sel itu hanya berada di bahagian bawah paru-paru pada waktu itu. Walaupun doktor sudah berterus terang menyatakan rawatan kimoterapi kali ini bukan untuk menyembuhkan, tetapi hanya memperlahankan keaktifan sel-sel kanser itu dan peratus kejayaan hanya 20-30% sahaja, bonda dengan rela hati bersetuju kerana tidak mahu hidup bergantung dengan tangki oksigen bila paru-paru sudah tidak boleh berfungsi. Alhamdulillah, walaupun baru pusingan pertama (malahan ada lagi tiga hari untuk melengkapkannya), bonda sudah merasai kesan rawatan. Batuk sudah berkurangan dan dapat tidur dengan lebih lena di malam hari tanpa gangguan batuk.

Berada di ruang menunggu dan wad unit rawatan onkologi ini, menyaksikan pelbagai rupa dan gelagat pesakit. Betapa wajah-wajah ini menyedarkan saya bahawa penyakit tidak mengira umur, bangsa dan pangkat. Seorang anak lelaki yang berumur 7 tahun begitu riang bermain dengan dua orang adiknya walaupun kepala sudah tidak mempunyai sehelai rambut pun kesan dari rawatan kimoterapi untuk kanser darah yang dihidapinya. Tiada riak sakit atau risau menghitung sisa-sisa umur di wajah anak ini. Di wad tingkat dua juga, tidak terlihat satu wajah pun yang bersedih atau meratapi nasib diserang penyakit pembunuh itu. Begitu tabah mengharungi rawatan yang menyakitkan samada kimoterapi atau radioterapi. Masing-masing masih boleh berborak riang, bertukar cerita walaupun tangan tercucuk jarum dan botol ubat tergantung, setia dibawa kemana sahaja. Jururawat dan doktor juga begitu komited menjalankan tugas mereka dan mesra melayan pesakit (tidak lagi terjumpa senario jururawat garang seperti 'zaman jururawat veteran' sebelum ini). Setiap kali waktu melawat, kami umpama berkelah di wad, dengan pelbagai makanan yang dihidang untuk membuka selera bonda dan pelbagai lawak jenaka untuk menghiburkan bonda yang sedang bertarung dengan kesakitan. Kami juga perlu kuat dan tidak boleh menunjukkan kesedihan di hadapan bonda walaupun kadang kala saya tidak mampu menahan gelora rasa melihat kerutan sakit di wajah bonda.

Ya Allah Kau berilah kekuatan kepada bonda dan kepada kami untuk mengharungi semua ini dan Kau sembuhkanlah bonda kami dari penyakit ini Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...

Tuesday, September 13, 2011

Post treatment...

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman menjalani rawatan sakit belakang di pusratu (boleh rujuk : www.pusratu.com.my)

Sakit belakang janganlah dipandang remeh. Ramai mungkin menyangka sakit sebegini hanyalah berkait dengan salah urat, lenguh dan sebagainya, walhal implikasinya adalah amat besar sekali. Saya bukanlah orang yang layak untuk bercerita hal ehwal dunia perubatan. Tetapi dari pengalaman dan pembacaaan, sakit ini boleh menjejaskan kesihatan kita keseluruhannya. Bahkan jika dibiar tanpa rawatan sewajarnya, boleh menyebabkan kelumpuhan!

Setelah tidak tertahan menanggung sakit, saya mencuba nasib mendapatkan rawatan di pusratu cawangan Tronoh, Perak. Terima kasih kepada suami yang sanggup dan bersusah payah mengorbankan waktu kerja menghantar saya menjalani diagnosis dan rawatan di sana. dari diagnos sahaja, saya sudah gerun mendengarnya. Apatah lagi bila mendapat rawatan pertama. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Menangis tidak terhingga semasa proses rawatan. Namun, bak kata juruterapinya "Kakak menangislah. Memang sakit, tapi kami hendak tolong kakak." Rasanya masa itu, hendak saja saya lari tapi dikuatkan hati dan semangat kerana ingin sembuh. Habis segala urat dan tulang saya di sentap rasanya. Eh! selesai rawatan pertama, hilang semua sakit. Sakit yang bersisa hanyalah bekas tekanan di bahagian pinggang dan perut. Alhamdulillah...Nafas juga terasa lapang dan panjang.

Saya perlu menjalani tiga kali rawatan wajib. Azab yang pertama telah dilalui. Rawatan yang kedua katanya tidak sesakit rawatan pertama kerana kali ini menggunakan kaedah rawatan urutan dan menggunakan minyak. Tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Sama sahaja sakitnya, tapi kali ini saya lebih bersedia mental dan fizikal menahan sakit walaupun air mata tetap mengalir keluar. Juga seperti yang pertama, selesai rawatan semua sakit hilang. Alhamdulillah...

Ada satu lagi rawatan yang perlu dilalui. Harapnya kali ini tidaklah sesakit sebelum ini. Apa pun, saya telah bersedia menerima apa sahaja bentuk rawatan. Saya tidak tergamak lagi membiarkan diri yang sentiasa berada dalam kesakitan, pergerakan yang serba tidak kena dan yang paling utama pergerakan yang amat terhad dalam melakukan ibadah solat. Jadi, saya perlu merelakan diri disakiti menjalani rawatan memulihkan kembali tulang belakang yang sudah tidak sejajar dan tulang pinggul kiri yang telah terkeluar. Saya kini juga seperti berpantang melahirkan anak. Perlu berbekung, memakai corset untuk menetapkan kedudukan tulang belakang dan berpantang beberapa jenis makanan selama 3 bulan! Yang lain tiada masalah, tetapi untuk berpantang makan (tambahan pula tersenarai makanan kegemaran) amat mencabar sekali. Bak kata suami " kalau macam ini rupanya, bukan pantang namanya, tapi pantang nampak!" bila saya mencuri-curi makan hanya secubit telur mata kerbau! Apa pun saya perlu kuat...kuat iman dan kuat semangat...

Bukan hendak menakutkan tetapi sekadar berkongsi pengalaman...

Saturday, September 10, 2011

7 Tanda Kebahagiaan Dunia...

Daripada Ibnu Abbas r.a.a, ada tujuh petanda kebahagiaan di dunia, iaitu :

1. Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur

2. Al Azwaju shalihah iaitu pasangan hidup yang soleh

3. Al auladun abrar iaitu anak yang soleh

4. Albiatu sholihah iaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita

5. Al malul halal iaitu harta yang halal

6. Tafakur fi dien atau semangat untuk memahami agama

7. Umur yang berkat - ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya siisi dengan amal ibadah


~~~dipetik dari majalah MIDI bil 120~~~


Wednesday, September 7, 2011

Hanya Sedikit DugaanMu ini...

Agak lama tidak membuat catatan baru. Sebelum itu, saya ingin mengucapkan SALAM AIDIL FITRI untuk semua yang mengikuti blog kecil ini. Mohon kemaafan jika ada catatan-catatan yang menyentuh hati sesiapa juga. Hanya sekadar catatan, berkongsi rasa hati, pengalaman dan pendapat peribadi.

Melihat kepada tajuk, mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa pula kali ini? Hidup ini tidak pernah sunyi dari dugaanNya yang mahukan kita sentiasa dekat dan meminta hanya pada Allah SWT. Dugaan diberi pelbagai cara dan terserah kepada kita bagaimana hendak menerimanya-bersyukur? Mengeluh? Atau buat tidak kisah?

Sekembali dari bercuti sempena hari raya baru-baru ini, bahagian belakang sudah mula terasa sakit namun tidak diendahkan. Menyangkakan sakit itu akan hilang dengann sendirinya seperti biasa setelah makan ubat. Tapi kali ini berlainan sekali. Mungkin kerana perjalanan yang jauh dan pelbagai kerja yang dilakukan memburukkan keadaan yang selama ini tidak pernah dikisahkan. Mungkin juga faktor umur menyebabkan daya tahan diri sudah mula berkurangan.

Setiap orang pastinya berbeza cara penerimaan dan cara menahan kesakitan. Ada orang yang sakit tidak setara mana, tapi aksinya mengalahkan orang yang sudah di hujung nyawa. Namun, ada juga orang yang sakit sudah sampai tahap hujung nyawa, tapi masih steady. Melihat kepada bonda yang kini bertarung dengan penyakit kanser tahap empat menjadikan saya insaf. Jika bonda yang sudah berusia begitu masih boleh bersabar, redha dengan sakitnya, mengapa saya yang hanya sekelumit ini sahaja sakitnya sudah berkeluh kesah...

Sakit belakang ini amat mengganggu sekali. Pergerakan jadi terhad dan sudah tidak boleh lasak seperti selalu menjadikan saya amat rimas. Sakit yang telah lama bersarang ini, tidak pernah saya endahkan. Begitu juga dengan penyakit-penyakit lain. Saya jenis orang yang tidak menunjukkan sakit jika ianya tidak mengganggu pergerakan dan aktiviti seharian. Selagi terdaya, semuanya akan dibereskan dan sakit akan ditanggung sendirian. Setelah menjalani dua kali prosedur epidural di tulang belakang untuk pembedahan, mungkin menjadikan keadaan kebih buruk. Tambahan pula sudah beberapa kali terjatuh dan tidak pernah melakukan sebarang raawatan. Sakit kali ini mula mencambahkan rasa bimbang di hati. Apakah keadaan akan lebih memburuk kerana kini sakitnya telah menjalar ke seluruh bahagian belakang hingga ke pangkal leher. Sepanjang masa akan terasa sengal dan sesekali kebas dan pijar. Apakah ini petanda-petanda buruk yang keadaan sudah mula parah?

Sudah dua hari berulang ke klinik dan hospital. Klinik hanya memberi ubat tahan sakit, namun tidak berkesan langsung. Di hospital pula hanya rawatan terapi hot pad dan electicwave tens yang diberikan. Juga tidak menunjukkan sebarang perubahan bahkan semakin sakit. Kini saya mula memikirkan rawatan alternatif. Saya bukannya jenis orang yang setia menelan ubat yang pelbagai jenis. Jadi rawatan alternatif rasanya adalah lebih baik. Suami pulang dari pejabat dengan menghulurkan nombor telefon pusat rawatan tanpa ubat yang memang pakar dalam rawatan tulang belakang. Saya perlu kuatkan hati untuk mencuba walaupun kosnya agak mahal dan kaedah rawatan agak menyakitkan. Saya perlu lakukan ini untuk suami, anak-anak, bonda-bonda dan ahli keluarga yang saya sayangi...Moga Allah mempermudahkan usaha ini...

Thursday, August 25, 2011

Migrane oh Migrane!!!

Semalam, sempat turun ke Ipoh kononnya untuk menyelesaikan beberapa urusan. Yang sempat dibuat hanyalah service kereta di Tan Chong Service Center. Selesai urusan kereta sudah hampir jam lima setengah petang, kami sempat singgah solat di Masjid India, Ipoh (berhadapan Padang MBI). Memang kami biasa singgah solat di sana. Baru teringat sepanjang bulan Ramadhan, pihak masjid ada mengagihkan bubur lambuk atau yang mereka panggil 'kanji'. Melihat kepada notis, edaran bermula jam 4.45 petang dan kami tiba lebih kurang jam 5.35 pm. Kelihatan pekerja sedang membersihkan beberapa periuk besar. Bermakna dalam masa tidak sampai setengah jam, bubur sudah habis diedarkan! Tetapi ada juga rezeki kami untuk merasanya. Seorang pakcik mengambil bekas tupperware kecil di tangan saya dan mengisi penuh dengan kanji. Alhamdulillah, dapat juga rasa. Hajatnya hendak makan bila tiba di rumah nanti.

Kami berkejar mencari tempat berbuka. Rancangan awal hendak berbuka puasa di Restoran Simpang Lima, Greentown (masakan padang) tidak kesampaian kerana tempahan telah penuh. Berkejar pula ke Jusco untuk berbuka samada di Pizza Hut atau Kenny Rogers (kerana itu yang paling mudah dan dekat dengan kemudahan surau yang selesa), malangnya juga sudah penuh. Tak mengapalah, kami mengambil giliran kedua. Berbuka puasa ala kadar sementara menanti ada kekosongan di Kenny Rogers. Selepas jam 8.15 malam, belum ada yang bergerak keluar (mungkin kebanyakannya tinggal berdekatan dan sempat pulang solat Maghrib di rumah), kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja dan makan di mana-mana kedai makan yang ada dalam perjalanan nanti. Tambahan pula Iman sudah meragam keletihan. Kami singgah makan di restoran berasaskan masakan Thai. Nampak enak dan kuantitinya juga banyak sepadan dengan harga. Makanlah ala kadar sebab perut sudah kenyang dengan air dan is krim di Jusco tadi. Belum sampai setengah jam perjalanan pulang ke Brinchang, kepala sudah berdenyut sakit menandakan migrane akan menyerang. memang sudah agak lama saya tidak kena migrane. Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu. Ubat yang biasa dimakan juga tidak menunjukkan sebarang tindak balas hinggalah ke saat ini. Sudah berkurangan tapi masih terasa berdenyut kepala.

Bagi sesiapa yang mengidap migrane pasti dapat bayangkan bagaimana sakit yang ditanggung. Memang betul, makanan tertentu amat perlu dielakkan. Tetapi sesekali ingin juga merasa makan di luar dan inilah padahnya...Akhirnya, kanji @ bubur lambuk yang diidamkan sejak siang tadi langsung tidak disentuh sebab apa sahaja bau makanan akan menyebabkan denyutan kepala semakin kuat...bersahur cuma sekadar segelas air kosong dan sebiji carfegot...

Saya memasang hasrat untuk membuka perniagaan makanan yang bebas perasa. Hanya dari sumber asli khas untuk golongan pengidap migrane macam saya dan mereka yang sukakan makanan asli tanpa perasa. Boleh kah?


VS






Wednesday, August 24, 2011

Tika dan saat ini...24 Ogos 1994

Bulan Ogos adalah bulan istimewa bagi kami- hari ulang tahun perkahwinan dan hari ulang tahun kelahiran Along Ammira...

Ya, tika dan saat ini 17 tahun lalu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang, kita berdua bersabung nyawa. Mama yang sudah hampir dua puluh empat jam di dalam bilik bersalin di dua buah hospital berlainan, sudah tiada daya upaya dan anak anak mama yang langsung tidak bersuara ketika menjenguk ke dunia ini tidak mampu mama tatap lagi. Semuanya bagaikan mimpi yang mama sendiri tidak percaya ianya boleh berlaku...

Sememangnya mama tidak boleh mengimbau kenangan-kenangan itu kerana pasti akan mengundang air mata mama yang tidak pernah kering mengenangkan nasib mu. Mama akan menulis dengan air mata kerana terpaksa menggaru semula parut-parut luka yang masih belum sembuh hingga kini. Bagi mama, andai masa boleh diputar semula, hanya itulah saat yang ingin mama ulang semula, iaitu saat melahirkan kamu, anakku. Mama mahu ulang semula agar anak mama dapat dilahirkan semula dalam keadaaan yang sempurna. Namun pasti ianya suatu yang mustahil berlaku.

Anak perempuan yang dinamakan NADIA AMMIRA NADZLI begitu sempurna sekali, begitu comel dan tidak pernah terlintas di fikiran ini kamu akan hidup sebagai seorang anak istimewa. Hidupmu kami tatang bagai minyak yang penuh walaupun pelbagai cubaan, rintangan, pengajaran dan pelajaran yang mama dan babah hadapi saban hari. Tidak jemu kami berusaha memberi yang terbaik buatmu. Mama masih ingat saat menyambut hari ulangtahunmu yang ketiga, mama hadiahkan kamu satu set buku perkembangan Bahasa Inggeris yang berharga mencecah dua ribu ringgit kerana mama ingin kamu menjadi insan yang cemerlang dalam pelajaran sedangkan doktor sudah mengingatkan mama dan babah akan keadaan sebenar kamu. Namun mama tetap mempunyai impian untuk melihat kamu belajar setinggi menara gading...walaupun itu semua hanya tinggal impian.

Kini sudah tujuh belas tahun kamu menjadi penyeri hidup mama, babah dan dua adikmu. walaupun penuh dengan cabaran membesarkan kamu, mama percaya Allah swt telah menetapkan kamu adalah amanah untuk mama dan babah kerana memang kami layak mendapat cubaan sebesar itu. Kami redha dan menerimanya...

Mama tidak mampu untuk menulis apa-apa lagi kerana kau lah permata hati mama yang amat istimewa. SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN KE 17 ANAK KU...





Monday, August 22, 2011

22 ogos 1993 - 22 ogos 2011

18 tahun...ya 18 tahun yang penuh dengan warna warni...boleh disebut dalam dua cara-sudah 18 tahun atau baru 18 tahun. kedua-duanya memberi arah maksud yang berbeza...

Air mata yang mengalir ketika tangan digenggam oleh arwah ayahanda dan akad di lafaz masih basah hingga kini dan janji yang dimaterai juga tetap kukuh utuh biarpun pelbagai dugaan dan badai datang mengganggu. Namun semua itu pengukuh ikatan antara kita. Tiada ayat yang mampu dilafazkan hanya kesyukuran kepada Ilahi kerana telah menganugerahkan aku seorang suami sebaik mu...terima kasih sayang atas segalanya...terima kasih kerana menjadi suami, kekasih, teman dan bapa yang terbaik untukku dan anak-anak kita...



22 ogos 2011 juga adalah hari ulangtahun kelahiran arwah ayahanda ke 69 (jika masih ada bersama kami di dunia ini...Al Fatihah...)

Monday, August 15, 2011

Puasa Dulu, Puasa Sekarang...Raya Dulu, Raya Sekarang...

Sedar tak sedar hari ini sudah masuk hari ke 15 kita berpuasa. Begitu cepatnya masa berlalu. Ramai yang sudah mula mencari-cari lagu-lagu raya untuk didengar sebagai 'pencetus semangat' untuk berhari raya...Ramai juga yang sudah membuat persiapan awal hari raya seperti pakaian baru untuk anak-anak atau diri sendiri. kuih raya juga sudah ditempah, mungkin juga langsir atau perabot baru juga sudah ditempah dan yang pastinya budget hari raya juga sudah awal-awal lagi dikira. Berapa jumlah duit raya yang hendak diberi, belanja perjalanan pulang ke kampung, minyak, tol dan segala macam belanja lagi yang menyebabkan duit akan mengalir keluar seperti air terjun...

Apakah itu semua menjadi ukuran kemeriahan menyambut hari raya, hari kemenangan bagi orang-orang yang berpuasa? Dalam akhbar hari minggu semalam, ditunjukkan gambar kanak-kanak Somalia yang sentiasa berpuasa sepanjang masa bukan sahaja di bulan Ramadhan. Tubuh kanak-kanak yang hanya tulang dibaluti kulit itu sepatutnya menjadikan kita tidak tergamak menyuapkan makanan enak ke mulut dan membazirkan makanan ketika mereka sedang bergelut untuk hidup. Tapi cuba lihat diri kita sekarang. Bazar ramadhan sentiasa meriah dikunjungi, makanan melimpah ruah, dapat menjalani ibadah dengan aman dan tenang serta anak-anak kita cukup makan pakai. Alhamdulillah kita berada di bumu bertuah ini...

Mengimbau kenangan Ramadhan dulu dan kini amat jauh berbeza. Berpuasa seawal umur tujuh tahun, tidak pernah mendengar istilah bazar ramadhan atau buffet di hotel. Apa yang dimasak bonda itulah yang dimakan dengan penuh nikmat dan syukur. Semuanya dibuat sendiri. Begitu juga dengan kuih raya. Menjelang pertengahan ramadhan ada ibu-ibu yang sudah mula menjemur tepung untuk dibuat bahulu atau kuih bangkit. Kuih-kuih raya semua dibuat sendiri, tiada istilah menempah kuih raya. Kuih sarang semut, kuih siput, maruku, bahulu, kerepek, dodol dan segala macam kuih tradisional dibuat sendiri atau bergotong royong sesama jiran. Anak-anak kecil hanya menanti peluang kuih yang tidak menjadi atau hangit dihulur kepada mereka. Kuih bakar juga dibakar menggunkan sabut atau arang yang memedihkan mata tapi amat enak dan tahan lama. Seingat saya, bonda hanya akan membuat kuih bahulu sewaktu hari cuti sekolah kerana bantuan kami diperlukan untuk memukul adunan dan membakar bahulu yang menggunakan sabut dan mengambil masa hampir sepanjang hari. Begitu menduga sekali.


Kini, semuanya serba moden. Tersedia dihujung jari, yang penting sanggup mengeluarkan belanja untuk memiliki apa yang dihajati. Samada di bulan Ramadhan atau kuih-muih dan persiapan hari raya. Tidak dinafikan faktor masa dan kemampuan memainkan peranan. Kemeriahan hari raya sewaktu kecil amat terasa sekali. Penghujung Ramadhan, masjid dan surau semakin meriah. Berbeza dengan sekarang, surau sudah semakin suram. Mungkin kerana sibuk dengan persiapan atau sudah pulang ke kampung halaman. Lagu-lagu raya yang malar segar juga mula berkumandang. Baju dan kasut raya juga sudah siap sedia di samping. menjadi peneman semasa tidur, tidak-sabar-sabar hendak dipakai dipagi raya. Maklumlah, hedak dapat sepasang baju dan kasut baru, setahun sekali sahaja. Kami masih dikira bertuah kerana arwah ayahanda masih mampu membelikan pakaian baru. Sudah wujud istilah beraya sedondon kerana biasanya arwah akan beli sekayu kain dari Singapura dan itulah yang dijahit menjadi pakaian kami adik beradik. Cuma fesyen sahaja berbeza. Jika ada rezeki lebih mungkin boleh dapat dua pasang. Pakaian itulah yang digayakan ke hulu ke hilir hampir saban hari...

Anak-anak kini sudah tiada istilah baju baru. Sentiasa mendapat baju baru tidak kira musim perayaan atau tidak. Apatah lagi kaum ibu. Hendak ke kenduri, menempah baju, ada majlis makan malam, menempah baju baru, dan jangan dikira baju yang ditempah setiap bulan atau mungkin setiap minggu untuk ke pejabat (bagi yang bekerja)...Bak kata tukang jahit, mereka tidak pernah berhenti bekerja, menerima tempahan baju baru.

Dulu juga meriah dengan detuman mercun dan meriam bulu, tapi tidak pernah pula dengar ada yang putus jari, buta atau mati kerana mercun (Mungkin juga kerana faktor hebahan berita yang tidak secanggih sekarang). Tapi sekarang baru berapa hari puasa sudah keluar berita ada yang putus jari gara-gara mercun. Memang membuak-buak hati ini bila baru sahaja mahu mengangkat takbir, dikejutkan dengan detuman mercun bola. Bergegar rasa urat saraf dengan detuman itu yang sehingga menimbulkan perkataan - dah putus jari, dah buta nanti, padan muka...Sepatutnya ayat yang keluar-beringatlah wahai anak-anak. Masa depan kamu masih jauh...

Terlalu banyak yang ingin dicoret. Kenangan itu memang indah dan pasti akan disambung lagi...

Saturday, August 13, 2011

Kuasa satu hembusan...

Kerenah anak-anak memang pelbagai. kadang-kadang seronok, kadang-kadang naik geram melayannya. Rasanya setiap ibu bapa ada cara tersendiri untuk 'merawat' sakit dan tangisan anak-anak yang kadang-kadang mengada saja yang lebihnya. Jatuh basikal, tersadung, terhantuk, kena lepuk dengan kakak atau abang dan macam-macam perangai lain.

Kadang-kadang, anak ini perlu dibiarkan merasa sakit sedikit sebagai pelajaran dan pengajaran untuk mereka. Bak kata orang, kalau tak jatuh basikal maknanya tak pandai lagi lah menunggang basikal. Tapi biarlah yang berpada-pada.

Bagi kami suami isteri, sejak dari anak pertama hingga yang terakhir (yang ketiga), pendekatan yang digunakan adalah sama. Ilmu ini diperturunkan oleh arwah ayah yang turut menggunakan pendekatan yang sama. Terbiasa dengan kaedah psikologi begitu, saya adaptasikan pada anak-anak pula. Baik Along Ammira, Aiman atau Iman. Bila terjadi 'kemalangan' yang tidak disengajakan, atau setakat sedikit (yang mengada-ngada lebih tu), apa yang akan kami buat...

.....berlagak sedikit sebagai seorang bomoh, dengan menyembur atau menghembus sambil menyebut 'affff fuanggg...(macam bomoh menyembur pesakit. dan panjangnya terserah pada yang nak menyemburnya), tangis dan sakit yang tadinya macam perlu dihantar ke hospital, akan terus reda....mudah dan nampak remeh kan. Kelakar pun ada. Tapi amat berkesan. cubalah...


Yang ini kalau sakit sikit pun minta semua orang hembus. Sampaikan Along dan abang yang tiada di rumah pun kena hembuskan. sendiri sakit, sendiri hembus...



Aiman dan sepupunya yang paling rapat , Ammar Izzudin. Kedua-duanya memang biasa dengan penawar ini. Tapi bila sudah besar, tak percaya dia pun pernah minta dihembus...


Walaupun tidak faham, tapi kaedah yang sama digunakan dan ternyata amat berkesan...



Friday, August 12, 2011

Hari ke 12...

Diam tak diam sudah dua belas hari kita menenpuh bulan ramadhan. Memang sekarang masa begitu cepat sangat berlalu. sekejap sahaja dah petang. Hari berganti hari. Apa yang telah kita lakukan sepanjang 12 hari berpuasa? Rasanya kalau boleh diperlahankan putaran bumi ini, mahu saja diperlahankan pergerakan masa. Terlalu banyak yang ingin direbut, dilakukan. Namun kadang-kala kita tetap kalah dengan nafsu yang pelbagai ini...

Hari ini Along Ammira akan balik dari asrama. Aiman yang dah balik minggu lepas, tak balik minggu ini. Hemmm...tak cukup korum la berkumpul di bulan ramadhan ini. Sudah jadi kebiasaan, kalau Along Ammira balik, mamanya akan masak lauk ayam tak kira lah bagaimana cara masak sekalipun kerana itu antara lauk kegemaran dia. Ayam goreng, ayam sambal, ayam gulai, ayam kurma pun dia makan. Janji ayam... Satu lagi lauk kegemaran Along Ammira ialah telur goreng. Kalau dia tak ada selera makan, gorengkan telur dadar, pasti akan terbuka seleranya. Mee goreng juga satu lagi makanan rasmi Along. Jika tiada nasi, mee sudah memadai. Memang mudah menjaga Along dari segi makannya.

Hari ini mama akan masakkan menu special untuk Along. Walaupun Along tidak pernah berpuasa dan tidak mengerti akan ertinya puasa itu, mama tetap akan masakkan lauk istimewa untuk Along. Hari ini mama akan masak NASI BERIANI AYAM kegemaran Along. Setiap kali mama masak nasi beriani, Along akan makan dengan penuh selera dan dari mata Along mama tahu, Along amat menikmati makanan itu yang mama masak dengan penuh kasih sayang dan doa untuk semua yang memakannya.

Entah mengapa, mama amat rindukan Along dan adik. Seronoknya kalau semua dapat berkumpul, menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama. Yang pastinya tiga malam Along di rumah, mama tidak dapat berjemaah berterawih di surau. Tapi tak mengapa, masih tetap boleh lakukan sendirian di rumah. Along lebih memerlukan mama...Adik Iman juga rindukan Along...


Thursday, August 11, 2011

Indahnya Kenangan Itu 2





Terlalu banyak kenangan yang ingin diimbau kembali. Momen-momen itu kadang-kadang datang kembali bila terlihat sesuatu yang ada kaitan dengannya. Umpamanya kini di bulan Ramadhan yang mulia, ramai insan-insan yang berhati mulia, yang prihatin mengambil keberkatan Ramadhan untuk melakukan amal jariah. Menganjurkan majlis berbuka puasa dan memberikan sumbangan hari raya untuk anak-anak yatim, OKU, warga emas, ibu-ibu tunggal dan mereka yang memerlukan.

Kami juga pernah melalui semua ini. Semasa Along Ammira masih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuala Kubu Bharu, hampir saban tahun pasti akan menerima jemputan berbuka puasa atau majlis hari raya anjuran syarikat-syarikat korporat, persatuan artis, bank dan sebagainya. Semasa zaman 'kemewahan' atau kemuncak ekonomi, boleh dikatakan sepanjang bulan ramadhan hampir setiap minggu ada jemputan berbuka puasa di hotel-hotel terkenal. Seperti kebiasaan mama dan babah Along serta Aiman akan turut serta menumpang tuah Along. Jika ada penyampaian duit raya, Aiman juga akan turut menumpang tuah menerima duit raya yang kadang-kadang mencecah seratus ringgit seorang. Alangkah bertuahnya anak-anak istimewa yang diraikan ini. Makanan melimpah ruah, hiburan disajikan oleh artis-artis terkenal dan anak-anak ini gembira diraikan begitu. Dapat bersalam dan bergambar dengan artis terkenal menjadi tajuk perbualan di sekolah berminggu-minggu lamanya (Aiman juga turut sama bergambar dengan ramai artis kegemarannya dan akan ditunjukkan pada sepupu-sepupu dan mengundang rasa cemburu...hihihi).

Begitu juga dengan majlis sambutan hari raya yang kadang-kadang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan dihadiri oleh Baginda Sultan dan ahli-ahli politik terkenal. Pernah juga anak-anak ini dibawa ke gedung membeli belah dan dibelikan kelengkapan hari raya atau majlis penyerahan duit raya oleh badan amal kerajaan negeri. Pada masa itu anak-anak sebegini dirai dan dihargai. Semuannya indah dan perasaan jelek, jijik, tidak suka ditolak ke tepi. Mereka boleh bergaul mesra (walaupun ada sesetengahnya yang agak 'kekok' seolah-olah tidak pernah melihat makhluk-makhluk istimewa ciptaan Allah SWT ini). Tetapi jika bukan di bulan Ramadhan, dimanakah kedudukan anak-anak- ini? Kewujudan mereka seolah-olah tidak dirasai. Tetapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya anak-anak istimewa ini masih dipandang tika ingin menbuat amal jariah.

Kini, bila ditanya kepada guru-guru PDK (untuk beberapa tahun kebelakangan ini), sudah kurang atau tiada lagi jemputan untuk majlis berbuka puasa seperti sebelumnya. Mereka hanya meraikannya sendiri bersama ibubapa dan ahli jawatankuasa dan kebiasaannya majlis itu lebih meriah dan menyeronokkan. Berada di kalangan mereka yang senasib dan lebih memahami adalah lebih menggembirakan dan bebas beraktiviti. Mungkin jemputan seperti itu sudah tiada lagi kerana masalah ekonomi yang kurang menyenangkan atau anak-anak istimewa di pinggir bandar seperti Kuala Kubu Bharu itu sudah tidak nampak dimata mereka.

Along Ammira yang kini bersekolah di Camaeron Highlands juga tidak pernah menerima jemputan berbuka kecuali saban tahun di Hotel Equatorial atau jika JKM menganjurkan majlis berbuka dan hari raya. Tapi itu semua tidak penting bagi mereka. Bukan makan minum yang enak atau duit raya yang diharapkan. Cuma mereka ingin kehadiran mereka di tengah masyarakat diterima seadanya mereka dan dapat turut melakukan apa insan normal lain lakukan...

Wednesday, August 10, 2011

Indahnya kenangan itu

Hujung minggu lepas, kami berkesempatan pulang ke Jengka 2, berbuka puasa dan bersahur bersama bonda, adik beradik dan anak-anak saudara. Riuh rendah seketika rumah dengan keletah sikecil-sikecil yang jarang sekali dapat lepas bebas di ruang yang luas. Itupun belum semuanya berkumpul lagi.

Gembira dan syukur juga melihat bonda sudah cergas dan mampu bergerak bebas tanpa bergantung kepada tongkat lagi. Sudah boleh memasak juadah untuk berbuka puasa juga juadah-juadah untuk jualan Acik Sarah di bazar ramadhan. Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat kesihatan yang dikembalikan kepada bonda...

Bila berkumpul beramai-ramai begitu, teringat kembali kenangan indah berpuasa sewaktu kecil ketika arwah ayahanda masih ada (Al Fatihah untuk ayahanda). Ketika itu kami masih kecil, masih bersekolah dan berpuasa mungkin menjadi satu 'paksaan' atau sekadar ikutan.
"Siapa yang tak puasa, jangan makan sekali. Duduk di luar." Begitu tegas amaran ayahanda, walaupun kami anak-anak perempuan yang tidak berpuasa kerana uzur (dimaafkan, cuma tidak boleh makan seawal orang yang berpuasa).

Juadah-juadah yang disediakan juga amat istimewa. Masih teringat-ingat keenakan kuih lompat tikam bonda, solok lada, nekbat, buah melaka, pelbagai jenis pengat dan bubur dan macam-macam lagi juadah istimewa hanya disediakan di bulan ramadhan. Dan yang tidak boleh tiada hampir setiap kali berbuka ialah air nira kelapa kegemaran ayahanda. Bagi saya pula, saya amat sukakan air sirap bercampur selasih. Setiap petang hanya air itu yang dibancuh dan beberapa orang adik-adik yang telah agak besar akan turut berkonsi duit membeli biji selasih.

Sewaktu juadah telah dihidang dan menunggu waktu berbuka, semua akan berkumpul tidak sabar-sabar untuk menikmati hidangan di depan mata. Rasanya waktu itu, semua yang dihidang akan dimakan sesungguh-sungguhnya (nafsu orang lapar). Ayahanda pandai melekakan anak-anaknya. Dia akan bercerita, melawak dan paling tidak menyuruh anak-anak yang kecil membilang hinggalah azan berkumandang (mengajar mengira secara tidak langsung). Bila tiba waktu berbuka, hanya air yang menjadi rebutan dan akhirnya makanan hanya dijamah sedikit. Perut kembung dengan pelbagai jenis air. Selepas pulang berterawih, barulah masing-masing berebut menyelongkar dapur mencari makanan.

Seperkara lagi yang menjadi kemestian ialah bertukar-tukar juadah ketika berbuka puasa. BOnda akan memasak lebih untuk dihantar ke rumah-rumah jiran. Jika hari ini hanya menyediakan satu kuih, ketika berbuka pastinya lebih dari dua jenis kuih akan terhidang. Tapi sekarang ianya tidak lagi menjadi amalan. Walaupun saya masih meneruskan amalan itu di sini, namun hanya satu rumah yang dapat diagihkan. (terdapat empat rumah di tingkat kami. Saya, Kak Yati yang juga surirumah, satu keluarga guru dan satu rumah cikgu-cikgu lelaki 'bujang'). Apa yang saya bimbang ialah mereka rasa terbeban untuk membalas bila saya menghantar juadah kerana samada sibuk bekerja atau bujang yang tidak pernah memasak (tidak mengharapkan balasan, jika ada Alhamdulillah). Jadi hanya saya dan Kak YAti yang sering bertukar-tukar juadah. Untuk menghantar ke tingkat yang lain pula, tukang hantar sudah ke asrama. JAdi buatlah sekadar yang saya mampu.

Kini semua itu tinggal kenangan namun kehidupan mesti diteruskan. Walaupun ayahanda telah hampir 18 tahun pergi meninggalkan kami, kenangan-kenangan itu tetap basah dalam ingatan dan yang paling dibanggakan apabila ayahanda berjaya menyatukan hati kami sepuluh beradik dari tiga kelompok yang berlainan. Alhamdulillah dan moga ianya terus berkekalan.

Masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri dan pastinya apa yang dilalui semasa zaman kanak-kanak akan diturunkan kepada anak-anak sendiri. Walaupun anak-anak kini tidak perlu lagi bersusah payah seperti dulu, semuanya telah tersedia.
Sungguh jauh berbeza dulu dan kini. Namun apa yang penting ialah penghayatan ramadhan itu sendiri. Berusahalah untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dari sebelumnya dan merebut segala ganjaran yang dijanjikan sepanjang bulan mulia ini...

**janji untuk memasukkan resepi-resepi saya masih tidak kesampaian kerana masalah teknikal untuk menghantar gambar dari telefon bimbit ke laptop ini. Untuk meminta bantuan 'pakar', semuanya sibuk dengan tragedi tanah runtuh Sg Ruil... Semuanya sudah ada cuma menunggu masa. InsyaAllah akan diusahakan secepat mungkin...




Tuesday, August 2, 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Penghulu segala bulan, bulan yang penuh barkah kini muncul lagi. Ya Allah moga kau jadikan kami insan yang sentiasa berusaha untuk merebut segala janji yang telah Engkau hamparkan di muka bumi di bulan yang mulia ini...

Alhamdulillah malam tadi dapat menunaikan solat terawih di surau setelah sekian lama tidak dapat menunaikannya secara berjemaah. Seperti biasanya sebelum ini, anak kecil dan Along Ammira dijadikan alasan untuk bersolat terawih sendirian di rumah. kali ini tiada alasan lagi. Iman sudah boleh mendengar kata dan duduk diam, Along Ammira di asrama. Jadi kalau masih tak mahu ke surau berjemaah, bermakna malas adalah alasannya...

Iman yang juga teruja untuk ke surau. Lengkap berjubah dan bertudung. Yang 'tragisnya' dia menjadi imam 'kedua', mengikut setiap apa yang dibaca oleh imam dengan sebutannya sendiri...aduhhh...moga jemaah lain tidak terganggu dengan keletah Iman.

Agenda wajib waktu tengahari sepanjang bulan ramadhan juga ialah menonton rancangan Ketuk-Ketuk Ramadhan di TV1. sepanjang beberapa tahun mengikutinya sudah berjela-jela resepinya saya salin. Ada yang dicuba, ada yang sekadar disalin sahaja. Rancangan yang menarik kerana resepi yang diberikan mudah disediakan. Bukan hendak promosi tapi sekadar berkongsi...

Menyediakan juadah untuk keluarga adalah satu yang amat saya sukai walaupun kadang-kadang pening memikirkan apa yang hendak dimasak. Bermula dengan Bismillah dan selawat ke atas Nabi Muhamad SAW, makanan disediakan dengan penuh kasih sayang akan menimbulkan perasaan puas dan bahagia bila suami dan anak-anak menikmatinya dengan penuh selera...

"Ya Allah Ya Tuhanku, Kau berkatilah apa yang aku lakukan. Kau Jadikan lah makanan ini satu kebaikan dan jauhkan lah mudaratnya. Kau jadikan lah sesiapa sahaja yang makan makanan masakan ku ini sentiasa kasih kepada ku dan Kau satukan lah hati kami dengan perasaan kasih sayang keranaMu Ya Allah..."

*selepas ini saya akan kongsikan resepi-resepi mudah yang saya salin dari rancangan tv atau buku resepi dan diolah semula mengikut citarasa saya.

Wednesday, July 27, 2011

Berpakaian Tetapi Telanjang - Perkongsian artikel dari web Islam Itu Indah

Berpakaian Tetapi Telanjang




Buat para ibu, isteri, kakak, adik-adik perempuan serta para suami dan ayah yang sayangkan isteri dan anak-anak perempuanya, Rasulullah s.a.w telah memberi amaran berkenaan satu sikap golongan hawa yang menjadi penghalang mereka daripada mencium bau syurga. Bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi melangkah kaki memasukinya. Nauzubillah! Moga Allah melindungi kita semua.

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” (Riwayat Muslim no. 3971) Dalam riwayat Imam Malik, ada sambungan hadis ini iaitu: “…Bau wangi syurga dapat dihidu dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Al-Muwatta’, no. 1421)

Kakak Memakai Baju Adik 8 Tahun

Perbincangan kita kali ini akan tertumpu kepada golongan kedua yang disebut dalam hadis di atas. Apakah yang dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang? Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ada beberapa makna. Antaranya ialah perempuan itu menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian yang lain atau memakai pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk badannya.

Di dalam kitab al-Muntaqa (Syarah al-Muwatta’ Imam Malik) pula, ditambah dengan pengertian memakai pakaian tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Betapa ramainya para kakak pada hari ini yang berumur 28 tahun memakai baju adiknya yang berumur 8 tahun. Memakai baju dengan trend “see through”, kononnya mengikut peredaran zaman. Walaupun ada inner, tetapi ia tetap menampakkan bentuk badan. Ada yang merasakan sudah cukup sempurna apabila menutuk rambut, sedangkan tubuh badan terserlah dengan pakaian ketat.



Wahai kaum Hawa, peringatan ini adalah kerana sayangkan kalian, Rasulullah s.a.w. tersangat sayang kepada umatnya. Baginda terlalu ingin melihat umatnya melangkahkan kaki ke syurga yang penuh dengan nikmat yang kekal selamanya.

Baginda juga menjelaskan bahawa para wanita ini sentiasa berlenggang-lenggok ketika berjalan sehingga menyebabkan orang lain yang melihatnya tergoda. Inilah cara berjalan para pelacur pada zaman jahiliah. Inilah cara mereka memperkenalkan diri dan menarik perhatian para pelanggan.

Syeikh Abdul Majid al-Zindani, seorang ulama Yaman menerangkan tentang kalimah ‘mumilat’ yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini adalah isim fa’il dengan makna seseorang yang menyebabkan orang lain menjadi senget. Apabila melihat perempuan ini berjalan, ada lelaki yang akan menatapnya dengan penuh ghairah sehingga tersenget badannya ke arah pergerakan perempuan tersebut. Fesyen rambutnya seperti bonggol unta yang kelihatan terhuyung-hayang ketika berjalan.

Kesan Negatif

1. Menyusahkan para isteri

Golongan wanita yang berpakaian tetapi telanjang sebenarnya antara penyebab pelbagai masalah rumah tangga yang berlaku. Para suami mula membandingkan wanita tersebut dengan isterinya. Ada juga isteri yang mula menaruh syak wasangka apabila mendapati ada rakan sekerja suaminya yang berpakaian sedemikian rupa. Apabila virus-virus ini mula merebak dalam rumah tangga, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar.

2. Gangguan seksual terhadap golongan lelaki

Ini adalah satu bentuk gangguan yang menghilangkan tumpuan orang lelaki. Dalam hadis tersebut menyatakan: ”Sehingga senget orang lelaki yang melihatnya,” iaitu senget fizikal dan senget akalnya apabila berhadapan dengan nafsu yang membara akibat bahana golongan wanita tersebut.

3. Mendedahkan diri kepada pelbagai bahaya

Senario hari ini memperlihatkan betapa banyaknya kes rogol dan pengkhianatan kepada golongan wanita. Salah satu faktornya adalah apabila golongan lelaki tergoda melihat tawaran hebat serta promosi percuma wanita yang tidak bermaruah ini. Adakalanya wanita seksi ini tidak menjadi mangsa tetapi nafsu dilampiaskan kepada insan-insan lain yang tidak berdosa seperti gadis lain, kanak-kanak bahkan ada yang menjadikan anak sebagai mangsa.

4. Tidak menghidu bau syurga

Golongan berpakaian tetapi telanjang ini tidak dapat menghidu bau syurga apatah lagi memasukinya.

Sukar untuk Berubah

Ramai wanita yang menyedari kesilapan ini. Bahkan betapa ramai suami yang berasa bersalah melihat keadaan isterinya yang setiap hari ke tempat kerja dalam keadaan berpakaian tetapi telanjang. Sukarnya mengubah penampilan diri. Tambahan pula apabila ada yang suka menyindir melihat perubahan positif yang cuba diusahakan.

Dalam situasi ini, ingatlah perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan sahabat. Sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi, walaupun kita tidak memperoleh minyak wanginya, tetapi pasti dapat menumpang wangiannya. Bersahabat dengan kawan yang jahat pula seperti berkawan dengan tukang besi, walaupun tidak terkena percikan api, tetapi masih tidak mampu mengelak bau asap yang terkena pada badannya.

Carilah sahabat yang menjual minyak wangi, walalupun anda tidak membelinya tetapi anda pasti menjadi wangi kerana dapat mencubanya secara percuma setiap hari.

Artikel oleh Ustaz Syed Nurhisham – Solusi Isu #21

Catatan perjalanan 5 - Rombongan Nek Kiah ke Langkawi

Biasalah kalau dah bawa nenek-nenek ke Langkawi, apa lagi yang dicarinya kalau bukan kain batik, minyak gamat dan coklat.  Mujur saya tak sempat berkunjung ke Idaman Suri.  Kalau tidak, siapalah agaknya yang jadi mangsa mengangkat pinggan mangkuk dan Corning Ware tu nanti (walaupun saya begitu teringin nak menambah koleksi Corning Ware...).  Rombongan Nek Kiah ke Langkawi disertai oleh bonda, cik Nah (kawan bonda), Makcik Siti dan Kak Lan.  meriah dan riuh rendah sebab masing-masing terlepas dari 'kandang'...Saya seperti biasa, menjadi pemandu tidak rasmi mereka memandangkan saya sudah agak biasa dengan jalan-jalan di sini.  Kami bermalam di chalet Pantai Chenang.

Iman, seperti biasa tetap enjoy mengikut ke mana saja mamanya bawa- Perdana Quay melihat kapal layar mewah berlabuh sambil singgah menikmati roti di The Loaf, Makam Mahsuri, Beras Terbakar dan menaiki cabel car.  Iman yang kali pertama ke Langkawi dan menaiki cabel car langsung tidak mahu turun dari dukungan.  Terpaksalah saya mendukungnya untuk turun, naik dan sepanjang masa berada di kawasan titian pemandangan Gunung Mat Cincang.  Bagai nak patah pinggang dibuatnya.  Hanya saya, Iman dan Cik Nah yang turun ke jambatan kerana nenek-nenek yang lain 'angkat tangan' sebab masih terasa gayat di dalam cabel car. 

Di Perdana Quay berlatar belakangkan kapal layar mewah...tak dapat naik, dapat ambil gambar pun jadilah...


Masih di Perdana Quay.  Iman sabar menanti roti di The Loaf, milik Tun Dr Mahathir. 





Sebelum naik feri, sempat berposing di Dataran Helang.

Nasi lemak Kedah.  Kali pertama makan di Kuala Kedah beberapa tahun lepas.  Memang enak sangat.  rezeki saya dapat merasanya di Langkawi dan ini merupakan pinggan terakhir.  Mesti diasingkan kuah gulainya untuk betul-betul dapat rasa keenakan nasi dan gulai ikannya.  Nasi berwarna sedikit kekuningan.   

Rumah Mahsuri...

Di Jeti.  Gelak besar Iman yang keletihan dan muka yang dah sun burn...

Catatan perjalanan 4 - makan besar

Catatan perjalanan disambung semula.  Walaupun sudah hampir sebulan perjalanan ini dilakukan, semuanya masih segar dalam ingatan.  Indahnya suasana kampung dan meriahnya sambutan saudara mara masih terasa-rasa.  Insyaallah, ada kelapangan dan rezeki, pasti momen-momen indah ini diulang kembali...

Masih di Perlis...

Walaupun sudah penat seharian berjalan dan perut sudah penuh dengan pelbagai jenis makanan, kami tetap dijamu dan 'terpaksa' meraikan tuan rumah dengan hidangan makan malam.  Pelbagai jenis lauk kampung terhidang dan tetap dijamah walaupun jam sudah menunjukkan pukul sepuluh malam.  Masa untuk tidur dan berehat pula.
"Nampaknya balik ke KL nanti kena timbang la semula.  mesti berat naik 2,3 kilo pulak.  Kencing manis ni pun entah berapa la bacaannya."  Terdengar bonda 'merungut'  sambil menjamah hidangan.  Apakan tidaknya, hampir semua rumah yang dikunjungi menghidangkan minuman manis, makanan berat, durian dan rambutan.  Jawab sajalah nanti...


Durian Gunung Sapi, Bukit Air, Perlis ini dijamu kepada kami semasa singgah digerai sepupu.  walaupun dah kenyang, tetap dijamah sebab masing-masing menang 'hantu' durian.  Saiznya yang besar mencecah hingga 5kg sebiji menyebabkan kami tersandar kekenyangan...


Ini pula juadah makan malam yang disediakan Kak Lan.   Mentarang rebus, sayur manis (rebung segar, kulat dan sejenis dua pucuk kayu yang saya tak ingat namanya), udang segar goreng, kepah rebus serai, petai bakar, ikan gelama kering goreng dan sambal tempoyak.  Memang betul-betul menyelerakan, tapi sudah tidak mampu makan sebab kekenyangan durian Gunung Sapi...




Ini pula adalah sarapan pagi kami keesokan harinya.  Pulut durian dipagi hari....
selepas ini kami akan ke Langkawi menaiki feri di Kuala Perlis.  walaupun ini adalah antara juadah kegemaran, namun saya dapat jamah sedikit sahaja kerana khuatir akan 'terkeluar' kembali semasa menaiki feri nanti...Tak mengapa, balik dari Langkawi nanti akan dihadap semula...hihihi


 

Tuesday, July 26, 2011

Larangan kepada WANITA

# Menyambung rambut palsu
# Bertatu, mencabut bulu wajah dan mengikir gigi
# Keluar rumah dengan memakai minyak wangi
# Memperlihatkan perhiasan di depan lelaki lain
# Menolak panggilan suami untuk tidur bersama
# Membuka rahsia hubungan suami isteri
# Berpuasa sunat tanpa izin suami
# Membelanjakan harta suami tanpa izin suami
# Derhaka kepada suami
# Meminta cerai tanpa sebab yang jelas
# Mengingkari kebaikan suami
# Bersama lelaki lain yang bukan muhrim
# Memandang lelaki lain yang bukan muhrim
# Bersalam dengan lelaki bukan muhrim
# Menyerupai lelaki
# membuka rahsia wanita lain kepada suami
# Memandang aurat wanita lain
# Keluar rumah tanpa ada keperluan
# Masuk pemandian awam
# Mencakar-cakar tubuh ketika mendapat musibah
# Meratapi kematian
# Berhias atas meninggalnya seseorang
# Menghantar jenazah
# Mempercayai dukun atau peramal
# Menyumpah anak-anak sendiri
# Tidak bertegur sapa dengan sesama muslim
# Menganiaya pembantu
# Mengganggu jiran
# Minta cerai kerana suami sakit
# Minta cerai kerana suami menikah lagi

....sekadar peringatan untuk diriku...
(sumber :  MIDI Bil 117)

Monday, July 25, 2011

Lagi...koleksi quilt & patchwork

Quilt pertama Aiman Hazziq...sekarang dah diwarisi oleh Iman pulak...

Iman Thuraya dan Quiltnya

Scrap dari sun bonnet sue Along, jadilah sarung kusyen pulak...

Quilt kedua Aiman Hazziq...dah malu nak pakai yang kartun-kartun.  kenalah buatkan yang dewasa sikit...

Sejadah dari scrap...

Quilt untuk adinda Sariman.  Yang ni belum final lagi.  Yang dah siap lupa nak ambil gambar...akan di upload kemudian...