Monday, October 21, 2013

Kerabu Timun Tok...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Sudah lama saya menyimpan resepi dan post ini.  Setiap kali hendak buat post berkenaan resepi ini, masalah utamanya ialah gambar.  Saya tergolong dalam kategori insan 'rabun gajet dan teknologi'.  RABUN ya, bukan BUTA...Rabun yang masih boleh dibantu dengan 'bantuan-bantuan' kanta luar.  Dalam keadaan rabun pun saya masih boleh buat sendiri biarpun teraba-raba.  Kebiasaannya suami atau Aiman yang akan menjadi penyelamat.  Tapi biasalah, nak minta bantuan 'pakar', kena betul masanya. Jawapan biasa yang diterima "mama buatlah sendiri. Senang je"...Jawabnya simpan semula, tunggulah saya dapat ilham baru nanti...

Dah lari topik pula ya.  Kerabu timun yang saya namakan Kerabu Timun Tok mengingatkan saya kepada Arwah tok (mak arwah ayah) yang telah hampir dua puluh tiga tahun meninggal dunia (Al Fatihah untuk kedua-duanya).  Tok memang pakar memasak.  Apa sahaja yang kita sebut, pasti menjadi (masakan melayu pastinya).  Paling saya rindukan ialah gulai ikan temenung (orang sekarang panggil kari ikan) dan asam pedasnya.  Tiada tandingan sehingga kini.  Saya yang pernah 'berkursus' dengannya juga tidak dapat menghasilkan gulai seenak itu.  Rempahnya dicampur dan digiling sendiri, bukan rempah segera macam kita sekarang.  Itulah rahsianya.

Sewaktu kecil, arwah tok selalu tinggal di rumah kami.  Memandangkan arwah ayah adalah anak bongsunya, arwah tok selalu mengunjungi kami di Pahang.  Memang amat bahagia kalau tok berada di rumah.  Sebulan dua sepanjang masa tok berada di rumah kami, memang masa untuk menikmati makanan enak air tangan tok.  Masa itu juga, saya mengambil peluang belajar memasak darinya dan arwah tok memang tidak kedekut tetapi sangat 'cengei' (loghat utara yang bermaksud garang).  Kerana 'kecengeiannya' itulah saya pandai memasak sekarang.  Tetapi boleh dikatakan bakat memasak arwah tok memang tumpah juga kepada saya (pujian untuk diri sendiri ...hihihi..)

Panjang pulak mukadimah dan latar belakang kerabu timun ni ya.  Hidangan ini sangat enak dan senang sekali untuk menyediakkannya.  Tetapi ini adalah kerabu cara 'orang tua', cara kampung.  Bagi sesetengah orang, akan kata 'memang enak, tetapi kurang sihat'.  Kenapa?  Kita tengok bahan-bahannya:

Sebiji timun (jangan terlalu tua)
Sebiji tomato
Cili besar dan cili api secukupnya (nak pedas lebihkan cili api)
Bawang besar secukupnya- potong dadu
Seulas bawang putih
Ikan bilis secukupnya - dibersihkan, goreng garing dan tumbuk kasar
sedikit belacan
garam secukup rasa
Santan pekat secukupnya
2-3 sudu besar kerisik 

** seperti biasa, saya tidak gunakan sukatan khusus.  Terpulang lah pada selera masing-masing.

Macam mana nak buat :

~ Timun di potong halus memanjang (senang cerita, guna penyagat kasar tu)
~ Cili besar, cili api, belacan, garam dan seulas bawang putih ditumbuk halus (buat  macam sambal belacan)
~Tomato dan bawang besar dipotong dadu
~ Kemudian campurkan semua bahan di atas dalam satu bekas. Kalau suka boleh tambah sedikit gula.
~ Masukkan santan pekat secukupnya.  Sekadar basah bahan-bahan di atas.  Tambahkan kerisik dan gaul rata.
~ Akhir sekali, taburkan ikan bilis goreng tadi dan gaul rata

Tengok bahan-bahannya, memang 'mewah' kan?  Kalau yang terlalu berkira pasal kalori dan segala macam perkara tu, tak payah lah guna resepi ini atau ubah lah mengikut selera sendiri. 

Kalau saya rindukan arwah tok, selain dari sedekahkan Al fatihah, saya akan masak hidangan-hidangan yang mengingatkan saya kepadanya.  Kenangan itu kekal abadi dalam ingatan, selain dari mengalir dalam urat nadi saya...