Wednesday, July 27, 2011

Berpakaian Tetapi Telanjang - Perkongsian artikel dari web Islam Itu Indah

Berpakaian Tetapi Telanjang




Buat para ibu, isteri, kakak, adik-adik perempuan serta para suami dan ayah yang sayangkan isteri dan anak-anak perempuanya, Rasulullah s.a.w telah memberi amaran berkenaan satu sikap golongan hawa yang menjadi penghalang mereka daripada mencium bau syurga. Bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi melangkah kaki memasukinya. Nauzubillah! Moga Allah melindungi kita semua.

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” (Riwayat Muslim no. 3971) Dalam riwayat Imam Malik, ada sambungan hadis ini iaitu: “…Bau wangi syurga dapat dihidu dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Al-Muwatta’, no. 1421)

Kakak Memakai Baju Adik 8 Tahun

Perbincangan kita kali ini akan tertumpu kepada golongan kedua yang disebut dalam hadis di atas. Apakah yang dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang? Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ada beberapa makna. Antaranya ialah perempuan itu menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian yang lain atau memakai pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk badannya.

Di dalam kitab al-Muntaqa (Syarah al-Muwatta’ Imam Malik) pula, ditambah dengan pengertian memakai pakaian tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Betapa ramainya para kakak pada hari ini yang berumur 28 tahun memakai baju adiknya yang berumur 8 tahun. Memakai baju dengan trend “see through”, kononnya mengikut peredaran zaman. Walaupun ada inner, tetapi ia tetap menampakkan bentuk badan. Ada yang merasakan sudah cukup sempurna apabila menutuk rambut, sedangkan tubuh badan terserlah dengan pakaian ketat.



Wahai kaum Hawa, peringatan ini adalah kerana sayangkan kalian, Rasulullah s.a.w. tersangat sayang kepada umatnya. Baginda terlalu ingin melihat umatnya melangkahkan kaki ke syurga yang penuh dengan nikmat yang kekal selamanya.

Baginda juga menjelaskan bahawa para wanita ini sentiasa berlenggang-lenggok ketika berjalan sehingga menyebabkan orang lain yang melihatnya tergoda. Inilah cara berjalan para pelacur pada zaman jahiliah. Inilah cara mereka memperkenalkan diri dan menarik perhatian para pelanggan.

Syeikh Abdul Majid al-Zindani, seorang ulama Yaman menerangkan tentang kalimah ‘mumilat’ yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini adalah isim fa’il dengan makna seseorang yang menyebabkan orang lain menjadi senget. Apabila melihat perempuan ini berjalan, ada lelaki yang akan menatapnya dengan penuh ghairah sehingga tersenget badannya ke arah pergerakan perempuan tersebut. Fesyen rambutnya seperti bonggol unta yang kelihatan terhuyung-hayang ketika berjalan.

Kesan Negatif

1. Menyusahkan para isteri

Golongan wanita yang berpakaian tetapi telanjang sebenarnya antara penyebab pelbagai masalah rumah tangga yang berlaku. Para suami mula membandingkan wanita tersebut dengan isterinya. Ada juga isteri yang mula menaruh syak wasangka apabila mendapati ada rakan sekerja suaminya yang berpakaian sedemikian rupa. Apabila virus-virus ini mula merebak dalam rumah tangga, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar.

2. Gangguan seksual terhadap golongan lelaki

Ini adalah satu bentuk gangguan yang menghilangkan tumpuan orang lelaki. Dalam hadis tersebut menyatakan: ”Sehingga senget orang lelaki yang melihatnya,” iaitu senget fizikal dan senget akalnya apabila berhadapan dengan nafsu yang membara akibat bahana golongan wanita tersebut.

3. Mendedahkan diri kepada pelbagai bahaya

Senario hari ini memperlihatkan betapa banyaknya kes rogol dan pengkhianatan kepada golongan wanita. Salah satu faktornya adalah apabila golongan lelaki tergoda melihat tawaran hebat serta promosi percuma wanita yang tidak bermaruah ini. Adakalanya wanita seksi ini tidak menjadi mangsa tetapi nafsu dilampiaskan kepada insan-insan lain yang tidak berdosa seperti gadis lain, kanak-kanak bahkan ada yang menjadikan anak sebagai mangsa.

4. Tidak menghidu bau syurga

Golongan berpakaian tetapi telanjang ini tidak dapat menghidu bau syurga apatah lagi memasukinya.

Sukar untuk Berubah

Ramai wanita yang menyedari kesilapan ini. Bahkan betapa ramai suami yang berasa bersalah melihat keadaan isterinya yang setiap hari ke tempat kerja dalam keadaan berpakaian tetapi telanjang. Sukarnya mengubah penampilan diri. Tambahan pula apabila ada yang suka menyindir melihat perubahan positif yang cuba diusahakan.

Dalam situasi ini, ingatlah perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan sahabat. Sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi, walaupun kita tidak memperoleh minyak wanginya, tetapi pasti dapat menumpang wangiannya. Bersahabat dengan kawan yang jahat pula seperti berkawan dengan tukang besi, walaupun tidak terkena percikan api, tetapi masih tidak mampu mengelak bau asap yang terkena pada badannya.

Carilah sahabat yang menjual minyak wangi, walalupun anda tidak membelinya tetapi anda pasti menjadi wangi kerana dapat mencubanya secara percuma setiap hari.

Artikel oleh Ustaz Syed Nurhisham – Solusi Isu #21

Catatan perjalanan 5 - Rombongan Nek Kiah ke Langkawi

Biasalah kalau dah bawa nenek-nenek ke Langkawi, apa lagi yang dicarinya kalau bukan kain batik, minyak gamat dan coklat.  Mujur saya tak sempat berkunjung ke Idaman Suri.  Kalau tidak, siapalah agaknya yang jadi mangsa mengangkat pinggan mangkuk dan Corning Ware tu nanti (walaupun saya begitu teringin nak menambah koleksi Corning Ware...).  Rombongan Nek Kiah ke Langkawi disertai oleh bonda, cik Nah (kawan bonda), Makcik Siti dan Kak Lan.  meriah dan riuh rendah sebab masing-masing terlepas dari 'kandang'...Saya seperti biasa, menjadi pemandu tidak rasmi mereka memandangkan saya sudah agak biasa dengan jalan-jalan di sini.  Kami bermalam di chalet Pantai Chenang.

Iman, seperti biasa tetap enjoy mengikut ke mana saja mamanya bawa- Perdana Quay melihat kapal layar mewah berlabuh sambil singgah menikmati roti di The Loaf, Makam Mahsuri, Beras Terbakar dan menaiki cabel car.  Iman yang kali pertama ke Langkawi dan menaiki cabel car langsung tidak mahu turun dari dukungan.  Terpaksalah saya mendukungnya untuk turun, naik dan sepanjang masa berada di kawasan titian pemandangan Gunung Mat Cincang.  Bagai nak patah pinggang dibuatnya.  Hanya saya, Iman dan Cik Nah yang turun ke jambatan kerana nenek-nenek yang lain 'angkat tangan' sebab masih terasa gayat di dalam cabel car. 

Di Perdana Quay berlatar belakangkan kapal layar mewah...tak dapat naik, dapat ambil gambar pun jadilah...


Masih di Perdana Quay.  Iman sabar menanti roti di The Loaf, milik Tun Dr Mahathir. 





Sebelum naik feri, sempat berposing di Dataran Helang.

Nasi lemak Kedah.  Kali pertama makan di Kuala Kedah beberapa tahun lepas.  Memang enak sangat.  rezeki saya dapat merasanya di Langkawi dan ini merupakan pinggan terakhir.  Mesti diasingkan kuah gulainya untuk betul-betul dapat rasa keenakan nasi dan gulai ikannya.  Nasi berwarna sedikit kekuningan.   

Rumah Mahsuri...

Di Jeti.  Gelak besar Iman yang keletihan dan muka yang dah sun burn...

Catatan perjalanan 4 - makan besar

Catatan perjalanan disambung semula.  Walaupun sudah hampir sebulan perjalanan ini dilakukan, semuanya masih segar dalam ingatan.  Indahnya suasana kampung dan meriahnya sambutan saudara mara masih terasa-rasa.  Insyaallah, ada kelapangan dan rezeki, pasti momen-momen indah ini diulang kembali...

Masih di Perlis...

Walaupun sudah penat seharian berjalan dan perut sudah penuh dengan pelbagai jenis makanan, kami tetap dijamu dan 'terpaksa' meraikan tuan rumah dengan hidangan makan malam.  Pelbagai jenis lauk kampung terhidang dan tetap dijamah walaupun jam sudah menunjukkan pukul sepuluh malam.  Masa untuk tidur dan berehat pula.
"Nampaknya balik ke KL nanti kena timbang la semula.  mesti berat naik 2,3 kilo pulak.  Kencing manis ni pun entah berapa la bacaannya."  Terdengar bonda 'merungut'  sambil menjamah hidangan.  Apakan tidaknya, hampir semua rumah yang dikunjungi menghidangkan minuman manis, makanan berat, durian dan rambutan.  Jawab sajalah nanti...


Durian Gunung Sapi, Bukit Air, Perlis ini dijamu kepada kami semasa singgah digerai sepupu.  walaupun dah kenyang, tetap dijamah sebab masing-masing menang 'hantu' durian.  Saiznya yang besar mencecah hingga 5kg sebiji menyebabkan kami tersandar kekenyangan...


Ini pula juadah makan malam yang disediakan Kak Lan.   Mentarang rebus, sayur manis (rebung segar, kulat dan sejenis dua pucuk kayu yang saya tak ingat namanya), udang segar goreng, kepah rebus serai, petai bakar, ikan gelama kering goreng dan sambal tempoyak.  Memang betul-betul menyelerakan, tapi sudah tidak mampu makan sebab kekenyangan durian Gunung Sapi...




Ini pula adalah sarapan pagi kami keesokan harinya.  Pulut durian dipagi hari....
selepas ini kami akan ke Langkawi menaiki feri di Kuala Perlis.  walaupun ini adalah antara juadah kegemaran, namun saya dapat jamah sedikit sahaja kerana khuatir akan 'terkeluar' kembali semasa menaiki feri nanti...Tak mengapa, balik dari Langkawi nanti akan dihadap semula...hihihi


 

Tuesday, July 26, 2011

Larangan kepada WANITA

# Menyambung rambut palsu
# Bertatu, mencabut bulu wajah dan mengikir gigi
# Keluar rumah dengan memakai minyak wangi
# Memperlihatkan perhiasan di depan lelaki lain
# Menolak panggilan suami untuk tidur bersama
# Membuka rahsia hubungan suami isteri
# Berpuasa sunat tanpa izin suami
# Membelanjakan harta suami tanpa izin suami
# Derhaka kepada suami
# Meminta cerai tanpa sebab yang jelas
# Mengingkari kebaikan suami
# Bersama lelaki lain yang bukan muhrim
# Memandang lelaki lain yang bukan muhrim
# Bersalam dengan lelaki bukan muhrim
# Menyerupai lelaki
# membuka rahsia wanita lain kepada suami
# Memandang aurat wanita lain
# Keluar rumah tanpa ada keperluan
# Masuk pemandian awam
# Mencakar-cakar tubuh ketika mendapat musibah
# Meratapi kematian
# Berhias atas meninggalnya seseorang
# Menghantar jenazah
# Mempercayai dukun atau peramal
# Menyumpah anak-anak sendiri
# Tidak bertegur sapa dengan sesama muslim
# Menganiaya pembantu
# Mengganggu jiran
# Minta cerai kerana suami sakit
# Minta cerai kerana suami menikah lagi

....sekadar peringatan untuk diriku...
(sumber :  MIDI Bil 117)

Monday, July 25, 2011

Lagi...koleksi quilt & patchwork

Quilt pertama Aiman Hazziq...sekarang dah diwarisi oleh Iman pulak...

Iman Thuraya dan Quiltnya

Scrap dari sun bonnet sue Along, jadilah sarung kusyen pulak...

Quilt kedua Aiman Hazziq...dah malu nak pakai yang kartun-kartun.  kenalah buatkan yang dewasa sikit...

Sejadah dari scrap...

Quilt untuk adinda Sariman.  Yang ni belum final lagi.  Yang dah siap lupa nak ambil gambar...akan di upload kemudian...

Mengapa Quilt & Patchwork?

Ramai yang bertanya kenapa saya minat dengan kraftangan ini, walhal untuk menghasilkannya perlukan kesabaran, ketelitian dan modal yang agak besar.  Bagi saya,jJika sudah minat, apa pun sanggup dilakukan.  Bila diimbas kembali, sebanarnya saya sudah memulakan hobi ini sejak zaman sekolah lagi.  Bonda yang merupakan tukang jahit sambilan menjadi mentor dan seterusnya pembekal kain perca untuk quilt 'cara orang kampung' saya.  Cantuman-cantuman itulah yang saya jadikan selimut sewaktu zaman sekolah.  Lama kelamaan hobi dan kemahiran itu terpendam begitu sahaja lantaran sibuk belajar dan tiada kemudahan.

Sehinggalah pada suatu hari, saya yang baru menjalani pemeriksaan kesihatan, terpana dengan keputusan laporan kesihatan yang diterima.  "Kemungkinan besar puan mempunyai ketumbuhan atau tumor di dalam kepala..."   Ungkapan dari mulut seorang doktor pakar umpama hukuman mati untuk saya.  terpaku dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan.  Segalanya bagaikan terhenti.  Berhari-hari saya hilang arah dan akhirnya bila merenung mata anak-anak dan suami saya mendapat satu semangat untuk bangkit melawan.  Saya perlu lakukan sesuatu untuk melupakan semua ini.  Keputusan masih belum rasmi dan segala kemungkinan boleh berlaku.  Entah bagaimana saya teringat kembali hobi lama yang cukup saya minati.   Esoknya saya terus ke kedai buku dan mencari bulu berkenaan quilt dan patchwork dan terus menghubungi Quilt Gallery, Bangsar yang sehingga kini menjadi 'teman baik' saya untuk mendapatkan bahan dan kelengkapan untuk menghasilkan quilt secara betul.  Agak besar modal yang perlu saya keluarkan, tapi tidak mengapa.

Kelas demi kelas saya hadiri dan memang benar, quilt ini benar-benar menjadikan saya lupa akan 'malapetaka' yang melanda.  Akhirnya siap quilt moden saya yang pertama dan keluar juga keputusan rasmi pemeriksaan lanjut daru Hospital Selayang yang mengatakan saya bebas dari ketumbuhan atau tumor otak.  Hanya masalah hormon  yang tidak stabil dan tiada masalah serius.  Alhamdulillah Ya Allah.  Kau Maha mengetahui akan segalanya...

Hobi membuat quilt dan patchwork saya teruskan hingga kini dan walaupun kosnya agak tinggi, namun saya puas kerana dapat menghasilkan sesuatu untuk suami dan anak-anak.  Puas bila melihat anak-anak tidur lena dalan 'dakapan' selimut yang saya jahit bersulam doa dan penuh kasih sayang untuk mereka...


Quilt pertama yang dihasilkan...


quilt untuk suami tercinta


'sun bonnet sue' untuk Along Ammira.  Quilt yang paling mahal, paling lama disiapkan dan paling cerewet.  Namun untuk Along apa saja mama sanggup lakukan...

 

Si Manis 17...

Si manis 17...
Matanya bulat...
Senyumnya sangat manis...
Hati terpikat...

(betul ke lirik ni...Sebahagian dari lirik lagu Allahyarham Dato' Ahmad Daud)

Si manis 17 zaman kini pastinya sudah pandai bergaya dengan seluar jeans, berbaju t, menggalas beg sandang berjenama  yang pastinya berisi laptop (pastinya bukan laptop 1Malaysia), telefon bimbit model terkini, mungkin juga ada yang memiliki kamera DSLR dan pelbagai gadget terkini dan jika yang lebih maju ke hadapan, beg galas juga berisi pelbagai jenis alat solek dan produk penjagaan muka.  Mereka mahu kelihatan sentiasa terkini setanding dengan rakan sebaya yang lain.

Si manis 17 kini juga sudah pandai melepak bersama rakan di restoran makanan segera, berborak mengenai pelbagai isu terkini dalam bidang hiburan, fesyen dan isu semasa yang sealiran dengan jiwa mereka.  Jika mereka anak orang yang 'lebih berada', pastinya sudah pandai memandu kereta (walaupun tanpa izin yang sah), mencuba sesuatu perkara baru yang menguja jiwa remaja. 

Si manis 17 juga pada waktu ini sedang tekun menelaah pelajaran samada di sekolah, kelas tambahan, tuisyen atau di rumah bagi persediaan menghadapi peeriksaan SPM yang bakal menjelma tidak lama lagi.  jerawat batu mula tumbuh di muka lantaran tekanan menghadapi saat-saat penting dan getir ini.  Mereka juga sudah merancang apa yang bakal mereka lakukan selepas habis peperiksaan dan jurusan pilihan untuk memasuki alam universiti pula.

Si manis 17 juga sering membuatkan ibubapa meraka pening kepala dengan segala macam kerenah dan tingkah yang perlu dijaga, batas-batas yang perlu dipatuhi, agama yang perlu sentiasa menjadi pegangan dan budaya yang perlu dikendong

Indahnya hidup si manis 17 ini...

tetapi...

Si manis 17 ku, tidak pernah mengenal itu semua.  Tidak pernah tahu akan telefon bimbit, kamera atau segala jenis gadget terkini apatah lagi alat solek dan penjagaan muka.  Si manis 17 ku juga tidak pernah dan tidak mungkin akan diajak kawan melepak di pusat membeli belah atau restoran makanan segera, bergosip isu hiburan semasa. 

Si manis 17 ku juga tidak perlu bersusah payah menelaah pelajaran atau menghadapi tekanan peperiksaan kerana itu semua tiada dalam kamus kehidupannya.  Si manis 17 ku juga tidak perlu bersusah payah menjaga kulit muka atau penampilan diri kerana kulitnya yang mulus tidak pernah diusik bedak kompak atau bibirnya bersalut lipstik merah.  Si manis 17 ku juga masih dengan lampin pakai buangnya dan masih bermain dengan anak patung atau mainan kanak-kanak seusia 4 tahun.

Si manis 17 ku juga tidak pernah dan tidak perlu ambil tahu apa yang akan dilakukan dewasa kelak kerana si manis 17 ku sudah pasti  tempatnya di mana di negara abadi nanti...sentiasa berbahagia dengan dunianya sendiri...

Sunday, July 24, 2011

PENDEKATAN BERBEZA DIDIK ANAK DISLEKSIA

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my




RELAKAH anda mendengar suara-suara masyarakat mengatakan anak anda tidak cerdik atau tidak normal seperti kanak-kanak lain?

Lebih menyedihkan, guru di Taman Didik Kanak-Kanak (Tadika) dan sekolah menegur tentang kebolehan membaca serta menulis anak-anak itu yang agak ketinggalan berbanding pelajar lain sehingga membuatkan para pengajar hilang sabar.

Disebabkan kekurangan yang dihadapi kelompok kanak-kanak itu maka persepsi malas, terus melekat terhadap mereka gara-gara keengganan untuk mencuba menulis serta membaca dengan betul.

Nasihat kepada guru-guru di luar sana, jangan berharap mereka untuk mampu menulis dan membaca dengan cemerlang jika anda mengajar mereka dengan teknik sama seperti pelajar-pelajar normal lain.

Jika berdepan situasi tersebut, harus anda ketahui bahawa anda sedang berdepan dengan golongan disleksia iaitu kumpulan individu yang mengalami kesukaran membaca, menulis dan mengeja.

“Kurangnya pendedahan dan kesedaran dalam kalangan guru serta ibu bapa terhadap disleksia menyebabkan kekeliruan terhadap masalah yang dihadapi golongan disleksia. Secara kasar ia mungkin dilihat sebagai individu buta huruf yang perlu dimasukkan ke dalam kelas pemulihan khas tetapi, sebenarnya mereka memerlukan pendekatan pembelajaran berbeza,” jelas Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM), Sariah Amin.

Proses pembelajaran golongan disleksia perlu melengkapi penggunaan deria-deria utama seperti sentuhan, bunyi serta penglihatan kerana ia akan menjawab semua persoalan yang bersarang dalam fikiran mereka.

Jelas Sariah, golongan disleksia kebiasaannya berdepan masalah membezakan huruf a, d dan g disebabkan bentuknya yang serupa walaupun cara membunyikannya berbeza.

Sembilan pusat PDM

Bagi mengatasi kekeliruan tersebut, blok-blok huruf tersebut akan diletakkan di hadapan mereka dan mereka akan diberi penjelasan tentang perbezaan huruf tersebut.

“Contohnya, huruf d akan dikenali mereka sebagai huruf a yang mempunyai tangkai di atas sementara huruf g mempunyai ekor di bawah.

PUSAT pembelajaran disleksia ditubuhkan khas untuk memberikan pendidikan yang lebih fokus kepada pelajarnya tanpa tekanan dan saingan dengan pelajar normal.


“Penjelasan itu juga perlu didatangkan secara visual dan sentuhan agar mereka benar-benar memahami perbezaan huruf-huruf tersebut,” kata Sariah lagi.

Sejak penubuhan PDM pada 1999, persatuan tersebut terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada kanak-kanak disleksia dengan mewujudkan sembilan buah pusat pembelajaran di seluruh Malaysia.

Menerusi program pembelajaran tiga bulan di pusat pembelajaran tersebut, golongan disleksia akan diberi bimbingan serta perhatian khusus bagi mengatasi masalah mereka.

Seperti yang diketahui, golongan disleksia memerlukan tumpuan khusus, jadi setiap kelas di pusat PDM hanya memuatkan lima pelajar secara maksimum dengan seorang guru mengajar tiga subjek teras.

Subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik diajar oleh guru yang sama untuk setiap kelas bagi mewujudkan kemesraan dan keselesaan dalam kalangan mereka.

Intan Nur Jannah Mat Nawi, guru di pusat PDM Ampang memberitahu, mengajar kanak-kanak disleksia sangat menguji kesabaran serta memerlukan kemahiran tinggi.

“Mereka sangat jujur dan kadang-kadang kata-kata mereka boleh membuatkan kita rasa hendak marah dan putus asa untuk mengajar mereka.

“Ada juga di antara mereka yang pemalu dan tidak mahu bercakap apabila bertemu orang baharu, tetapi disebabkan sifat mudah mesra tidak sukar bagi mereka menyesuaikan diri,” ujar Jannah yang mula berkhidmat sejak 2005 lagi.

Pembelajaran di pusat PDM difokuskan kepada auditori, sentuhan dan sebutan di mana setiap pendekatan digabungkan agar impak yang diterima mereka lebih berkesan.

Jelas Jannah, perkataan-perkataan yang diajar perlu dieja mengikut bunyi perkataan itu disebut dan susunan perkataan dalam ayat juga perlu senada agar mereka tidak mengalami kekeliruan.

Tambah guru yang berumur 24 tahun itu lagi, proses mengajar kanak-kanak disleksia perlu dilakukan secara berperingkat serta tidak terlalu mendadak.

SEORANG guru menggunakan animasi interaktif menerusi komputer untuk merangsang minat pelajar disleksia.


Selain alat bantuan belajar seperti komputer, barangan permainan seperti permainan blok dan tanah liat juga penting bagi golongan disleksia menjana kreativiti mereka.

Sariah memberitahu bahawa pelajar-pelajar disleksia di pusat PDM akan diberi masa selama 30 minit untuk bermain kedua-dua permainan tersebut sebelum kelas bermula.

Ujar Sariah, mereka yang berada pada tahap disleksia serius kebiasaannya mengalami masalah menggerakkan tangan ketika menulis.

Penggunaan tangan dengan cara menekan dan membentuk ketika bermain permainan tersebut dikatakan dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus yang dialami mereka.

Jiwa sensitif

Jika di sekolah-sekolah biasa, mungkin kanak-kanak disleksia akan ditegur dengan agak keras sekiranya mereka gagal menangkap apa yang diajar guru.

Bagaimanapun di pusat PDM, guru-guru terlatih tersebut tidak perlu menegur mereka menerusi kata-kata kerana ia akan mengundang kepada permasalahan lain.

“Kanak-kanak disleksia amat sensitif, jika dimarah mereka akan menunjukkan sikap negatif dan menjadi nakal.

“Oleh sebab itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil mereka bodoh atau apa jua gelaran yang boleh membuatkan mereka berasa rendah diri.

“Jika mereka berterusan dilayan dengan cara begitu, maka apabila dewasa mereka akan terjebak dengan pelbagai masalah sosial,” kata Sariah yang telah 12 tahun menjadi penaung PDM.

Seorang ibu yang menghantar anaknya ke pusat PDM Ampang, Emilia Radzwan memberitahu, anak sulungnya, Muhammad Aqil Akmal dikesan mengalami disleksia pada awal tahun ini.

Luah Emilia, Aqil yang kini berusia lima tahun mempunyai masalah untuk bercakap dan mengenali abjad ketika berada di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

“Dia susah hendak memberitahu apa yang hendak dicakapkan, seolah-olah dia perlu berfikir dengan lama sebelum dapat mengeluarkan kata-kata tersebut.

“Pada mulanya saya dan suami tidak mengesyaki apa-apa tetapi, setelah teringat situasi serupa yang terjadi kepada seorang saudara, kami terus membawa Aqil menjalankan pemeriksaan.

“Setelah dia disahkan mengalami disleksia, kami mengambil keputusan mengeluarkannya daripada taska dan menghantarnya ke pusat PDM,” luah Emilia yang bekerja sebagai perunding pelancongan.

SEORANG guru di pusat pembelajaran disleksia di Ampang mengajar seorang anak muridnya mengenali huruf.


Kini, selepas tiga bulan mengikuti program di pusat PDM, Aqil yang mengalami disleksia tahap sederhana sudah mengenal huruf, nombor, mengeja malah, dapat memegang pensil dengan betul.

Walaupun begitu, Emilia memutuskan untuk menyambung tiga bulan lagi tempoh pengajian Aqil di ‘sekolah’ disleksia itu agar anak pertama daripada dua beradik tersebut boleh membaca dengan lancar.

Bukan Emilia sahaja memilih untuk menyambung program anaknya di pusat PDM, malah ramai ibu bapa melakukan perkara sama kerana inginkan perkembangan yang lebih baik sehingga mereka betul-betul bersedia untuk kembali ke sekolah biasa.

Tiada tajaan

Perjuangan PDM mendidik anak-anak disleksia bagaimanapun masih perlu dibiayai ibu bapa sendiri kerana tiadanya dana yang diperuntukkan buat persatuan itu.

Ibu bapa perlu membayar yuran pengajian sebanyak RM450 sebulan dan bagi mereka yang tidak berkemampuan, PDM akan membantu mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat.

“Setakat ini hanya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa badan korporat yang sudi menghulurkan bantuan kepada persatuan kami.

“Kami percaya ramai kanak-kanak disleksia di luar sana yang ingin menuntut ilmu di sini tetapi disebabkan sekatan kewangan, ibu bapa mereka terpaksa membantutkan hasrat tersebut.

“Diharapkan akan ada pihak-pihak tertentu yang sudi mengembalikan sinar harapan buat mereka agar dapat belajar secara percuma kelak,” ujar Sariah jujur.

Ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka yang mengalami disleksia ke pusat PDM bolehlah melayari www.dyslexiamalaysia.org.my dan menghubungi mana-mana pusat PDM yang berhampiran untuk keterangan lanjut.

Wednesday, July 20, 2011

Impianku selamanya...

"Along, periksa dah tak lama lagi.  Along dah sedia ke?"  Mama bertanya sambil memerhati Along yang sedang mencuci pinggan, cermat dan teliti sekali.
"InsyaAllah mama.  Rasanya dah sedia.  sekarang cuma tinggal latih tubi ."  Along tersenyum penuh yakin.
"Agaknya nanti Along nak jadi apa?"  Soalan yang sering diulang Mama kepada anak-anaknya.  Tujuannya supaya mereka sentiasa yakin akan diri sendiri, yakin dengan pilihan yang bakal dibuat.
"Mama tak pernah jemu bertanya soalan itu ya."
"Impian Along seperti impian mama juga.  InsyaAllah Along akan berusaha sedaya upaya mencapai apa yang Along dan mama cita-citakan selama ini.  Selebihnya Along serah pada Allah  SWT."  Indah sungguh kata-kata itu.   Sejuk sungguh hati Mama mendengarnya.
"Mama sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak mama.  Moga kalian akan menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat."  itulah doa tulus seorang ibu.
"Nanti Along dah masuk universiti, tinggallah mama, babah dan adik saja di rumah.  Sunyilah kami.  Tak ada orang lagi yang boleh tolong mama didapur, temankan mama berbual macam ini."  keluh mama.
"Eh! Adik kan ada.  Babah pun ada.  Babah pun rajin macam mama, kan?"  Along memujuk mama.
"Manakan sama Along dan adik.  Mama harap, walau di mana Along belajar nanti, ingat asal usul kita, agama yang menjadi tunjang hidup, budaya yang menjadi jati diri kita."  Terkesan nada tegas dalam nasihat mama.
"InsyaAllah.  Dengan didikan yang mama dan babah berikan selama ini.  Mama doakan Along ya."  Along memeluk Mama erat, penuh kasih sayang.
Mama merenung anak gadisnya yang sentiasa menjadi penyejuk hati, penawar tika lara.  Teman berbual  yang sentiasa peka.  Tanpa perlu dipaksa atau disuruh, sentiasa menawarkan diri membantu apa yang perlu.  Along amat sayangkan adik-adiknya dan mereka bertiga umpama isi dan kuku yang tidak dapat dipisahkan.
"Along sayang mama." 
"Mama...mama...mama..."  mama dikejutkan dari lena.  Terpinga-pinga melihat sekeliling.
 
***kalaulah ini menjadi realiti, akulah ibu yang paling bertuah dan bahagia...***

Tuesday, July 19, 2011

Ku Merindui Mu...





Jika aku mampu terbang kembali ke sana....
Ku amat merindui Mu...

Monday, July 18, 2011

Catatan Perjalanan 3 - Masih di Perlis

Pernah tengok 'makhluk-makhluk' ini


dari atas ke bawah - belangkas yang telah di rebus (siap untuk diratah isi dan telurnya yang amat sedap), kerang bulu, kepah, mentarang dan belangkas padi

Menyusur laut Kuala Sungai Baru selepas perut kenyang dengan laksa Kuala Perlis, pasembur dan cucur ketam, saya terjumpa dengan gerai kecil menjual hasil laut yang baru ditangkap. Mentarang memang biasa saya makan (di Tanjung Karang), tetapi kepah, kerang bulu (yang sebesar duit syiling lima puluh sen) dan belangkas tidak pernah saya jumpai secara 'live' begini. Teruja dengan belangkas yang masih hidup dan Kak Lan berjaya memujuk pemiliknya untuk menjual belangkas padi yang amat payah dijumpai itu kepada kami. Katanya ekor belangkas padi yang licin dan bulat (berbeza dari belangkas biasa yang ekornya berduri dan bersegi) boleh dijadikan tangkal untuk mengelakkan anak kecil dari 'diganggu' (kepercayaan yang tidak boleh saya terima). Namun untuk menjaga hatinya, saya terima juga sekadar untuk merasa telur belangkas yang amat enak itu. Belangkas juga tidak boleh dipegang dibahagian kepalanya kerana dipercayai telur belangkas akan cair begitu saja.

untuk makan telur belangkas juga ada caranya. kantung najisnya perlu dibuang dahulu untuk mengelakkan mabuk. Sampai sahaja di rumah Cik Embun, adik tiri arwah ayah, kami sekali lagi terjumpa seorang budak lelaki yang baru sahaja naik dari pantai membawa seekor belangkas. Terus saya membelinya dan Cik Embun menawarkan diri merebus dan mengajar cara memakannya.


Inilah rupa telur belangkas yang tak boleh saya ganmbarkan keenakkannya sehinggakan saya pening lalat kerana terlebih makan...

Keindahan perkampungan nelayan arwah datuk yang sudah lama tidak saya kunjungi menggamit pelbagai memori. Sewaktu kecil dahulu, jika pulang ke kampung bersama arwah ayah, kami akan berkunjung ke rumah Tok Wan (yang kami panggil 'chak') dan dijamu dengan pelbagai jenis makanan laut yang segar dari perahu nelayan. Hanya direbus dan dicicah air asam, tapi cukup enak sekali. Manakan dapat diulang kenangan indah itu sekarang...

Tak nak balik ke?

*catatan selingan sebelum menyambung catatan kembara...

"Tak nak balik sini ke?"
"Bila nak balik Kuala Kubu?"
"Wah! Dah seronok duduk atas bukit, tak ingat dah nak balik sini ya."

Itulah antara persoalan-persoalan yang sering ditanya setiap kali pulang ke Kuala Kubu Bharu (KKB). KKB dan kehidupan saya tidak dapat dipisahkan. Sehingga kini, walaupun sudah hampir enam tahun secara rasminya kami meninggalkan KKB, namun saya tetap rindukan suasananya. Di situlah saya memulakan kehidupan berkeluarga, melahir dan membesarkan dua orang anak, memulakan alam pekerjaan (setahun sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih dan hampir dua belas tahun sebagai Pengurus Syarikat), memulakan perniagaan dan pelbagai lagi corat coret kehidupan yang ditempuhi di sana. Sehingga kini juga saya masih lagi pulang ke sana untuk berjumpa adik beradik dan anak saudara juga rakan taulan yang masih rapat hingga kini.

Walaupun terkadang ada juga saya memikirkan untuk turun, menetap semula ke sana (tambahan pula sudah mempunyai rumah di sana), ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Di Cameron Highlans, bagi kami yang sudah menetap di sini, tiada apa yang indahnya kecuali suasana dan suhu yang nyaman selesa dan pemandangan indah. Selebihnya sudah menjadi rutin dan kadang kala amat membosankan. Untuk mendapatkan keperluan yang lebih sedikit atau pulang ke kampung, perlu menempuh perjalanan turun naik yang berliku dan memenatkan. Saya yang sudah terbiasa memandu turun dan naik sendirian juga kini tidak lagi 'berminat' untuk melakukannya. Semuanya sudah menjadi satu yang kadang kala membebankan. Tapi walau apapun, semua itu perlu ditempuhi. Tiada cara lain untuk turun ke Ipoh mejenguk Aiman atau pulang ke kampung Jengka, Tanjung Karang, Gombak atau untuk turun ke KKB sekalipun.

Jika begitu, mengapa masih setia di sini? Jawapan saya hanya satu- di mana suami saya, di situlah saya dan yang paling utama ialah tempat latihan untuk Ammira@Along. Itulah hikmahnya kami berpindah ke sini. Kami bertemu dengan pusat latihan untuk insan-insan istimewa yang baik hanya hampir selepas dua tahun berpindah ke sini. Sehari selepas mengetahuinya, saya dan suami terus memindahkan Along ke pusat latihan tersebut dari PDK (Pusat Pemulihan dalam Komuniti) yang dihadirinya saban hari. Kami menerima pelbagai cemuhan dan sindiran kerana membenarkan anak kami dididik oleh guru berbangsa India beragama Kristian...dan kini Along juga tinggal di sana untuk 4 malam seminggu. Suami saya yang juga bertugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan menjaga hal ehwal PDK juga menyokong 100% tindakan itu kerana sebabnya tersendiri. Kini Along sudah ada banyak perubahan dan kemahiran asas yang kami akui kami sendiri tidak mampu mengajarnya. semakin Along membesar semakin besar jugalah cabarannya kepada kami. Hanya kami dan mereka yang megalaminya sahaja yang memahami apa jua tindakan yang kami lakukan...

Kini saya akui dan memahami mengapa kawan baik saya yang mempunyai anak down sindrom menghantar anaknya untuk mengikuti latihan sambil kerja di tempat lain sedangkan dia juga seorang guru yang berpengalaman. Ramai yang mempertikai tindakannya termasuk saya, tapi kini saya amat memahaminya. Orang luar hanya boleh bercakap apa yang mereka suka, tetapi sukar memahami apa yang kami lalui sebenarnya...

Itulah antara sebab utama mengapa kami tidak lagi mahu pulang ke Kuala Kubu Bharu (buat masa ini)...

Saturday, July 16, 2011

Catatan Perjalanan 2 - Perlis


Seawal pagi kami bersiap untuk memulakan misi hari kedua. Banyak rumah saudara mara akan diziarahi dalam masa yang singkat ini. Banyak agenda telah dirancang dan moga dipermudahkan perjalanan ini. setelah menikmati sarapan pagi nasi lemak yang enak (nasi lemak bungkus daun pisang yang kecil dan masih murah), kami menuju ke rumah sepupu (anak saudara bonda). Kebetulan ketika ini ialah musim durian di Perlis. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, saya yang memang 'hantu' durian tidak melepaskan peluang menikmatinya. Suami sepupu yang kami panggil Kak Lan adalah peniaga durian. Pastinya durian terbaik yang dihidangkan kepada kami. Lama benar tidak menikmati durian seenak ini. sayangnya tidak banyak yang dapat dimakan lantaran perut yang masih kenyang dengan nasi lemak tadi. Jamuan durian akan bersambung malam ini, kerana kami akan bermalam di rumahnya.

Masalah utama jika pulang ke kampung (saya pasti semua orang mengalaminya) ialah 'tidak muat perut' untuk menikmati juadah yang dihidangkan. setiap rumah yang dikunjungi pastinya akan menghidangkan juadah yang mesti dinikmati walaupun sedikit. Rasa sebu perut dengan air kopi o yang menjadi minuman utama orang utara. Buah rambutan dan durian yang sedang bermusim juga menjadi hidangan utama. Juadah baru yang saya pelajari-cucur durian. Sangat enak dimakan dengan air kopi o.

Tempat yang wajib saya kunjungi jika pulang ke Perlis ialah Kuala Perlis untuk menikmati laksanya yang popular. Hanya satu kedai yang saya tuju iaitu restoran Nelayan yang terletak berhampiran Pejabat Kastam Kuala Perlis. Sesat juga mencarinya. Kecur liur teringatkan laksanya yang memang enak. walaupun perut sudah hampir penuh, tetapi yang ini tidak dapat saya tolak...


Menikmati laksa, pasembur dan cucur ketam memang membuatkan saya begitu puas kerana sudah lama tidak menikmati makanan begitu. Sudah lama 'mengidam'. Perlu banyak bergerak selepas ini kerana banyak lagi yang akan dinikmati...catatan akan bersambung lagi...

Friday, July 15, 2011

Catatan Perjalanan 1 - Kuala Lumpur-Ipoh-Perlis

Kali ini saya mencatat sejarah perjalanan tersendiri. Tidak pernah dan tidak suka 'makan angin' sendiri tanpa suami dan anak-anak, kali ini saya memecah tradisi sendiri. Hasrat Bonda Gombak untuk pulang sendirian ke Perlis menziarahi saudara mara sambil makan angin, pada awalnya saya pandang dingin. Tetapi mengenangkan sudah berapa tahun tidak pulang ke kampung kelahiran menziarahi hanya dua orang ibu saudara yang masih tinggal di Perlis, saya menyatakan hasrat untuk turut serta. Memandangkan suami baru sahaja mengambil cuti panjang dan cuti tahunan juga sudah tinggal baki beberapa hari sahaja, saya hanya pulang sendiri bertemankan Iman, bonda dan seorang teman rapatnya. Mengenangkan perjalanan jauh yang bakal ditempuhi dan hanya memandu sendirian, saya hanya membayangkan keseronokan untuk 'makan angin' berbanding mengenangkan betapa sakitnya belakang saya yang sedia sakit sebab memandu sendirian.

Seawal pagi, kami menyiapkan bekalan untuk berkelah di sekolah Aiman yang akan disinggahi dalam perjalanan nanti. Seronok juga dapat berkelah beramai-ramai di wakaf yang disediakan. Juadah ringkas-ayam goreng berempah, sambal petai goreng ikan bilis, sambal telur, terung tumis dan ulam-ulaman kami nikmati dengan penuh selera. Along dan babahnya akan meneruskan perjalanan pulang ke Cameron Highlands, sementara kami akan teruskan perjalanan ke utara tanah air. Risau juga mengenangkan perjalanan yang bakal ditempuhi kelak, kerana sebelum ini saya biasanya hanya menjadi penumpang di sebelah. Tidak pernah ambil tahu jalan apa yang perlu diambil. Walaupun rumah saudara mara sendiri, jalan tidak pernah diingati, tambahan pula pulang ke kampung pun jarang sekali.

Tiada yang menarik sepanjang perjalanan. Kami sampai ke kampung pertama, Simpang Empat, Perlis menjelang Maghrib. Malangnya ibu saudara belum pulang dari kenduri kahwin cucunya di Rawang menyebabkan kami menuju ke rumah ibu saudara kedua di Sg Batu Pahat (biasanya orang kenal melalui Taman Ular). Mereka telah sedia menanti kami setelah dimaklumkan oleh sepupu yang saya dalam perjalanan pulang ke kampung. sedih melihat ibu saudara yang sudah tidak dapat melihat lagi kerana masalah katarak dan tekanan darah tinggi. Banyak perkara yang kami bualkan, diimbau kembali menyentuh hati kecil ini. Pelbagai perasaan berbaur. Menikmati makan malam yang walaupun ringkas amat menyelerakan. Cuma saya rindukan air tangan Mak Lang yang terkenal dengan asam pedas dan gulai ikan termenungnya. Saya nyatakan hasrat itu dan hanya air mata yang berlinang di pipi sambil menyatakan dia sudah tidak mampu memenuhinya lantaran mata yang sudah tidak dapat melihat dan kudrat yang semakin lemah. Alangkah ruginya saya kerana tidak sempat menuntut ilmu masakan itu. Masih terasa-rasa keenakan asam pedas Mak Lang yang pasti akan saya nikmati jika pulang ke kampung bersama arwah ayah dulu. Mak Lang ialah kakak kepada arwah ayah. Hanya Mak Lang, Mak Ngah dan Pak Andak yang masih hidup dari enam orang adik beradik arwah ayah (ayah merupakan anak bongsu). Misi saya kali ini juga adalah untuk menjejak adik tiri dan anak saudara yang dipelihara oleh arwah ayah. Sudah lama tidak bertemu mereka.

Iman Thuraya yang sudah kepenatan seharian dalam perjalanan dan badan yang keletihan memandu sendirian, memaksa untuk direhatkan. Namun tidur tetap tidak lena...Esok banyak lagi egenda menanti...

* kerana terlalu seronok berjumpa Lang, terlupa untuk mengambil gambar kenang-kenangan dengannya...