Thursday, March 8, 2012

Kisah si penjual roti...



Kisah ini tidak pernah lekang dari ingatan.  Entah bila ia bermula dan mengapa tidak dapat dipastikan.  Yang pasti, pada suatu hari terdengar bunyi hon motosikal sayup-sayup, sekejap kemudian, bunyi itu berhenti kemudian kedengaran kembali.  Melagukan satu irama yang amat indah.  Motosikal itu lalu perlahan di hadapan rumah, rupa-rupanya bunyi hon si penjual roti.  Penuh sarat motosikal yang ditunggang dengan tong besi bercat hijau mungkin penuh berisi roti.  Disekeliling tong pula tergantung plastik-plastik kecil juga berisi roti. Di raga hadapan pula terdapat satu bekas besar mungkin berisi kaya buatan sendiri.  Saya hanya memerhati dan si penjual roti menoleh dan melemparkan senyuman.  Saya terpana...

Suatu hari, sekolah mengadakan mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru.  Seperti biasa ramai ibubapa hadir walaupun masing-masing sibuk dengan tugas seharian sebagai peneroka rancangan FELDA.  Saya yang ketika itu bertugas sebagai pengawas sekolah, turut sama terlibat secara tidak langsung.  Dari jauh terpandang motosikal si penjual roti diparkir di bawah sepohon pokok yang rendang.  Seperti biasa tong besi hijau tetap berada di tempatnya dan bungkusan roti tetap bergayut di sekeliling tong.  Tiada siapa berani mengusiknya.  Hati saya tersentuh.  Gigihnya si penjual roti ini.  Dalam kesibukan mencari rezeki, tugas sebagai Pengerusi PIBG tetap tidak dilupakan.  Dalam comot pakaian berjualan, beliau tetap menghadirkan diri.  Biarpun roti buatannya masih belum banyak yang laku kerana perlu memenuhi tugas ini.  Kelihatan beberapa pelajar berkeliling sekitar motosikal dan membelek-belek bungkusan roti di luar. Mungkin berminat tapi tiada penjual.

Saya sering merasa roti yang dijual dan satu roti kegemaran saya ialah roti planta.  Rotinya sebesar piring cawan kopi dan berkelopak-kelopak.  Dicelah-celah kelopak itu disapu dengan planta dan ditabur dengan gula lalu dibakar.  Cukup enak sekali, mengalahkan mana-mana roti yang pernah saya rasa.  Tiada tandingannya sehingga saat ini walaupun dengan roti yang saya buat sendiri.  Keenakannya boleh saya rasai sehingga kini.  Saya juga pernah 'melawat' tempat penghasilan roti si penjual roti.  Kecil sahaja, umpama sebuah bangsal yang diperbuat dari batu, lengkap dengan kebuk tempat pembakar roti yang menggunakan arang sepenuhnya untuk membakar roti yang dihasilkan.  Proses menguli roti juga dilakukan secara manual menggunakan tangan.  Bayangkan berapa banyak tenaga yang diperlukan untuk menguli roti-roti yang akan dijual.

Jualan roti semakin mendapat perhatian dari sehari ke sehari.  Permintaan makin meningkat.  Namun kudrat dan kemampuan tidak dapat memenuhinya.  Saya tidak pasti dan tidak ingat bagaimana akhirnya pembuatan dan jualan roti terhenti begitu sahaja.  Sehingga kini saya masih teringat-ingat akan keenakan kaya buatan sendiri dan roti planta si penjual roti.  Bangsal batu tempat mereka menghasilkan roti satu ketika dulu kekal di tapaknya bertahun-tahun sehinggalah ia musnah satu persatu.  Tiada siapa yang peduli.  Saya yang sesekali pulang ke kempung akan melalui kawasan tersebut dan mengimbau kenangan-kenangan si penjual roti.  Akhirnya yang tinggal hanyalah kebuk pembakar dan akhirnya kebuk itu juga musnah kerana kawasan itu kini dijadikan tapak pekan sari.

Ya, si penjual roti itu adalah arwah ayahanda saya sendiri.  Allah mengurniakan beliau pelbagai kelebihan dan bakat.  Menjadi pemimpin, usahawan dan bapa yang amat cekal dan tabah.  Parut panjang yang membelah bahagian dadanya dari hadapan ke belakang sewaktu berkhidmat dengan tentera melayu satu ketika dulu menjadi petanda beliau seorang yang amat berani.  Parut di kepalanya akibat pembedahan membuang ketumbuhan dan darah beku di kepala satu ketika dulu membuktikan beliau sanggup menghadapi apa juga cubaan dan dugaan Allah swt.  Beliau menjadi pemimpin keluarga dan masyarakat.  Beliau juga yang menjaga stesen generator yang membekalkan eletrik untuk penduduk Jengka 2 dari jam 7 malam sehingga 12 tengah malam (atau sehingga pagi jika ada kenduri kendara).  Tangannya berselaput minyak hitam, tubuhnya bermandikan keringat ketika generator eletrik yang sudah uzur itu rosak.  Dibaikinya dengan tangan sendiri, berjam-jam bekerja demi memastikan penduduk setempat tidak bergelap.  Beliau jugalah yang memulakan usaha untuk menghidupkan koperasi penduduk dan membangunankan stesen minyak petronas (ketika itu saya menuntut di UPM dan sayalah yang menjadi pembuat kertas kerjanya).  Tidak tersenarai apa yang telah dilakukannya...

Betapa si penjual roti @ si penjual ikan @ tukang cuci kereta @ si peternak lembu dan kambing dan bermacam lagi gelaran itu amat saya rindui.  Semangat juangnya yang amat tinggi dan tidak pernah mengenal erti putus asa perlu saya ambil dan tanam kukuh, sekukuh-kukuhnya di dalam diri ini.  Saya yang ada ketikanya tewas dengan cubaan yang rasanya baru sedikit berbanding dengan apa yang telah dilalui arwah ayahanda, merasa malu bila mengenangkan itu semua.  Darahnya mengalir dalam tubuh ini, tapi kekuatan dan semangatnya tidak ikut serta.  Betapa saya juga perlu kuat, sekuat dirinya ketika dikhabarkan mempunyai ketumbuhan dan pendarahan di dalam kepala atau saat dirinya memuntahkan ketulan darah hidup sewaktu mengimamkan kami solat maghrib (yang kami sangkakan ayah sudah tiada lagi waktu itu)...beliau terus berjuang untuk hidup walaupun menderita menanggung kesakitan berpanjangan yang tiada hentinya hingga ke saat nafas terakhir...

Saya juga mahu kuat dan tabah sekuat dan setabah si penjual roti itu... 


* Al Fatihah untuk arwah ayahanda.  Kami amat merinduimu...

No comments:

Post a Comment