Friday, November 8, 2013

Surat Terbuka Untuk Tuan Safuan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Tuan Safuan yang dihormati,

Saya tidak tahu dari mana mahu mulakan ayat untuk surat ini.  Sedari semalam selepas membaca komen tuan secara tidak sengaja di kotak email, saya tertanya-tanya di mana salahnya catatan tersebut sehingga begitu sekali ayat yang keluar dari tuan. Berkali-kali saya membaca kembali catatan itu.  Sejak detik itu juga air mata saya tidak kering bila mengenang kembali ayat-ayat yang tuan catatkan (klise kan ayat ini.  Sikit-sikit menangis, sikit-sikit menangis...).  Saya juga membaca segala komen di blog dan di laman muka buku.  Untuk pengetahuna tuan, catatan tuan telah dimuat turun dan dikongsi secara meluas di laman muka buku.  Ianya mengundang pelbagai reaksi dari kalangan pembaca yang rata-ratanya senasib dengan saya.  Tuan sedar atau tidak, catatan itu telah menghiris hati kami.  Tuan bertanggung jawab atas setiap titik air mata dan hati yang terguris atas catatan tuan itu.

Saya amat berharap sekali tuan kembali menjenguk rumah kecil saya dan membaca segala komen dan luahan rasa yang tercatat di situ.  Nilai dengan mata hati dan akal fikiran tuan.  Selami apa yang kami rasa.  Kaji, selidik, belajar dan bertanyalah jika tidak faham.  Itu adalah ciri-ciri orang yang budiman, hamba Allah yang prihatin dengan hidupan lain di sekelilingnya...Saya tahu syurga neraka, dosa pahala hak mutlak Allah swt.  Saya juga sedar siapa diri saya.

Tuan Safuan yang budiman,

Cuba tuan renung sebentar wajah ini.  Renung dengan mata hati dan akal tuan.




Iman dan Danish yang senasib dengan Along

Cuba renung mata anak-anak ini.  Dua orang saudara Along yang kini bergelar anak yatim selepas kematian bapa mereka

Along juga sayangkan kucing.  Kucing juga cukup sayang dan baik dengan Along wahai Tuan Safuan

Senyum ikhlas Along untuk mereka yang sering memandang jelek padanya


Nampak normal bukan?  Dari ayat tuan, saya kira tuan belum berkahwin, belum mempunyai anak.  Jadi perasaan keibuan atau kebapaan itu belum muncul sepenuhnya dalam diri tuan.  Maafkan saya jika tekaan itu salah.  Tuan renung mata anak ini...renung sedalam-dalamnya sebagaimana yang sering saya lakukan saban hari.  Ya, itulah anak istimewa kami yang saya panggil ANAK SYURGA yang mengundang marah tuan.  Mungkin tuan tidak berkesempatan berkenalan dengannya.  Kenal dulu dirinya dari entri-entri saya dalam label ANAK ISTIMEWAKU.  Setelah kenal, baru tuan nilai kembali komen tuan itu. Apa tuan akan rasa jika tuan berada di tempat kami.

Serba sedikit sejarah anak istimewa saya ini untuk makluman tuan dan mereka di luar sana yang berfikiran seperti tuan.  Namanya NADIA AMMIRA NADZLI BINTI MOHAMAD KHOLID.  Kami memanggilnya dengan panggilan Along.  Along kini, disaat tuan membaca entri ini telah berusia 19 TAHUN!  Along telah didiagnos oleh doktor sejak berusia 6 bulan mengalami kecacatan akal dan fizikal atau dalam bahasa perubatannya CAREBRAL PALSY WITH DOUBLE HEMIPLEGIA (tanya google kalau nak tahu lebih lanjut) atau dalam bahasa mudahnya yang Tuan Safuan panggil CACAT.   Apa yang anak dara seusia 19 tahun boleh lakukan?  Tuan mungkin mempunyai adik perempuan atau saudara mara yang seusia dengan Along.  Apa rutin seharian mereka?  Di mana mereka sekarang?  Saya berikan jawapannya jika tuan tidak tahu untuk menjawabnya.

Pasti secara lumrahnya anak seusia Along tak kira lelaki atau perempuan pada ketika ini sudah berada di universiti menyambung pengajian dalam bidang pilihan masing-masing sebagaimana saya, tuan dan ramai yang lain pada ketika usia ini.  Atau paling tidak, jika sudah tidak minat belajar, sudah bekerja mencari pendapatan sendiri, membantu keluarga menyara hidup atau mungkin ada juga yang pada usia ini sedang bahagia berpeleseran sana sini menikmati zaman muda mereka.  Segalanya mereka lakukan sendiri, uruskan sendiri.  Makan, minum, mandi, urusan-urusan seharian, ke sana-sini semuanya sendiri.  Bergaya dengan pelbagai fesyen dan gadget terkini.  Ada yang sudah memandu kereta sendiri.  Atau apa sahaja yang dilakukan selayaknya oleh anak seusia Along.

Bagaimana pula dengan Along dan juga ramai lagi anak-anak yang senasib dengannya?  TUAN BACA BETUL-BETUL APA YANG SAYA CATATKAN INI YA (baca dengan nada tegas, luahan perasaan saya sebagai ibunya dan ramai lagi ibu-ibu seperti saya dan saya tiada kompromi dalam hal-hal yang berkaitan dengan anak istimewa saya ini).

Sebelum itu saya cerita sedikit jenis-jenis kecacatan untuk Tuan Safuan lebih faham.  Dalam bahasa yang paling mudah (bukan teknikal seperti bahasa perubatan).  Kecacatan boleh dikategorikan kepada beberapa kategori :

1.  Kecacatan fizikal - membataskan keupayaan bergerak.  Tetapi fungsi akal seperti insan normal yang lain.  Mungkin memerlukan bantuan minima dalam urusan hidup seharian.  Boleh menjalani hidup seharian seperti tuan dan insan tipikal yang lain.

2.  Kecacatan pancaindera - pekak, bisu, buta

3.  Kecacatan mental atau akal - ketidakupayaan akal untuk berfungsi secara normal.  Tidak boleh menilai baik buruk, bahaya atau tidak sesuatu perkara.  Mungkin keadaan fizikal seperti insan tipikal lain, tetapi tidak berupaya mengurskan hidup seharian mereka. (sekarang, orang kurang siuman juga dimasukkan dalam kategori ini).  Mereka tidak tertakluk kepada hukum hakam agama atau undang-undang dunia kerana ketidakupayaan akal mereka.

4.  Kecacatan akal dan fizikal - kombinasi antara kedua-dua jenis kecacatan di atas.  Ini adalah kategori Along untuk pengetahuan Tuan Safuan yang budiman.

Jika dulu saya sering menyalahkan doktor yang menyambut kelahirannya kerana kecuaian doktor tersebutlah, Along jadi begini.  Tapi dari hari ke hari saya belajar menerima takdir yang telah Allah swt tuliskan untuk saya dan suami.  Kini kami redha dengan seikhlas-ikhlasnya akan tulisan takdir itu.

Apa yang Along boleh lakukan sekarang sehingga tuan dengan sewenang-wenangnya menghina saya, menghina ibu bapa anak-anak istimewa dan menghina anak-anak istimewa kami sehingga membandingkan anak kami dengan binatang!

Sebelum itu, saya ingin bertanya, pernahkan tuan terserempak atau terjumpa dengan anak-anak yang sering meleleh air liur, tidak mampu berjalan walaupun sudah besar, masih makan minum bersuap atau ada yang makan minum melalui tiub?  Banyak lagilah ciri-ciri anak istimewa yang mahu saya terangkan.  Nanti jelak pula tuan nak baca.  Along dalam usia 19 tahun belum boleh bercakap, tidak mampu mengurus diri sendiri, belum boleh berjalan dengan tegap dan segalanya perlu dibantu.  Pernahkan tuan berjumpa anak seusia ini seperti Along, segalanya perlu dibantu?

Dalam usia Along ini, hatta untuk mandi juga perlukan bantuan.  Bayangkan dalam keadaan fizikal seperti anak dara seusia dengannya, dimandikan oleh ayah yang penyabar dan penyayang, dicucikan kencing beraknya, dipakaikan baju seluar dan masih memakai lampin pakai buang!  Agak-agak tuan sebagai seorang lelaki boleh tak buat perkara macam itu?  Pelik, hairan?  Banyak lagi cerita yang saya akan dedahkan.

Along juga seperti anak dara lain yang mempunyai rutin bulanan.  Ketika uzur atau haid, ayahnya tidak pernah kekok untuk menguruskan Along.  Mencuci bersih semuanya.  Macam mana?  Tuan sanggup lakukan?

Tuan pernah jumpa anak seusia Along yang sentiasa meleleh air liurnya.  Bayangkan, untuk mengawal air liur sendiri pun tidak mampu, apatah lagi untuk menjalani kehidupan seperti anak lain seusianya.  Anak seperti ini yang tuan nafikan keistimewaannya!  Saya bukan ahli agama seperti Tuan Safuan yang budiman.  Tetapi dari logik akal saya, anak-anak seperti ini suci bersih kerana ketidakmampuan akal merekal.  Apa balasannya bagi manusia yang suci bersih seperti ini?  Tuan jawab sendiri.

Tuan pernahkah lihat anak-anak yang mempunyai tiub dihidung?  Makan minum menggunakan tiub itu.  Pada akal tuan yang bijaksana, kalau anak ini berkemapuan berfikir seperti tuan, mahukan mereka menyiksa diri disumbat hidung dengan tiub, disalur makan minum melalui tiub terus ke perut dalam keadaan serba tidak selesa? 

Apa pula yang kami sebagai ibubapa kepada anak-anak istimewa ini lalui?  Terlalu panjang untuk saya coretkan.  Tapi demi tuan dan mereka yang berfikiran seperti tuan, saya kuatkan hati menulisnya.  Tuan fikir, adakah kami mahukan semua ini?  Adakah anak-anak kami mahukan semua ini?  Anak-anak tidak boleh memilih siapa ibu dan bapa mereka.  Begitu juga ibu bapa tidak boleh memilih anak bagaimana yang mereka inginkan.  Ibu bapa mana yang tidak mahukan anak yang serba sempurna akal dan fizikal.  Sejak tertanamnya benih anak di rahim ibu, doa tidak pernah putus agar diberikan anak yang sihat tubuh badan, sempurna akalnya.  Tuan juga akan melakukan perkara yang sama kelak.  Tapi, setelah dikurniakan anak yang seperti Along, adakah kami merintih pilu, menangis menjerit menafikan kurniaan Allah, menyalahkan takdir diberikan anbak seperti itu atau kerana rasakan itu adalah balasan Allah atas kesalahan lampau?

Ya, peringkat awal pasti semua yang menerima anugerah istimewa ini akan melalui peringkat penafian.  Tapi kami redha, terima segalanya dengan hati terbuka.   Tidak pernah menyalahkan Allah atau sesiapa sahaja dengan kurniaan ini.  Anak-anak ini banyak mengajar kami memandang hidup ini dari sudut yang berbeza.  Kami berusaha melakukan sehabis mungkin untuk memastikan anak-anak kami dapat melalui hidup seperti anak tipikal yang lain.  Memenuhi temujanji doktor saban masa, menjalani pelbagai jenis terapi, berusaha secara tradisional atau islam.  Apa yang kami tidak buat?  Kami korbankan wang ringgit, masa dan tenaga untuk memastikan kelangsungan hidup anak ini.  Kadang-kadang sehingga keperluan anak lain terabai.  Boleh tuan bayangkan hidup bagiamana yang kami lalui?  Tika tuan atau mereka yang tidak senasib seperti kami enak-enak bermalasan di hujung minggu, kami berkejar ke sana ke mari berusaha dengan pelbagai jenis terapi.  Berumah tangga di hospital bukan perkara asing bagi kami.  Semua ini menjadikan kami manusia yang lebih menghargai hidup dan mereka disekeliling kami.  Juga menjadikan kami manusia yang lebih sabar.

Anak-anak istimewa kami memang seorang pejuang.  Pejuang untuk meneruskan hidup mereka.  Kami sebagai ibubapa sentiasa bersama menyokong dan berusaha sehabis mungkin untuk mereka.  Ketika orang lain termasuklah ahli keluarga sendiri memandang jijik dan jelek kepada anak kami, kami tidak peduli.  Saat orang lain (termasuk tuan) dengan bangganya melaung dan menggunakan pertkataan BUDAK CACAT terhadap anak istimewa kami, juga tidak menjadi kudis lagi bagi kami.  Peduli apa dengan segala kata nista dan pandangan jelik orang lain.  Kami bahagia dengan dunia kami dan mungkin juga kerana itu juga ramai yang mencemburi kami.  Belum lagi dikira limpahan rezeki yang Allah kurniakan pada anak ini yang mana kami sebagai ibu bapa turut menerima tempiasnya.

Untuk pengetahuan tuan juga, Allah itu Maha mengetahui, Maha Penyayang.  Tidak akan diberikan satu-satu dugaan itu kepada hambanya sesuai dengan kemampuan kita menanggungnya.  Bermakna, kami ibubapa yang dianugerahkan anak istimewa ini memang super kuat.  Boleh menerima dan melalui semua dugaan ini.  Saya pasti jika tuan berada di tempat kami, tuan juga akan menjadi seperti kami.

Tuan Safuan yang arif,

Bagaimana sekarang?  Tuan sudah terbuka sedikit minda tentang Along dan anak syurga kami?  Tidak layakkah kami sebagai ibubapa mendoakan anak-anak kami untuk menjadi ahli syurga?  Untuk makluman tuan, tiap butir kata ibu bapa kepada anak-anaknya adalah satu doa. Saya bukan ahli agama untuk mengulas dan menunaikan permintaan tuan untuk mengemukakan nas dan hadis.  Tapi saya tidak jahil dan saya akan cuba penuhi permintaan itu.  Ada juga komen di entri tersebut yang telah mengemukakan hadis yang berkaitan.  Silalah baca.

Sudah panjang lebar saya mencoret.  Klise bagi tuan mungkin.  Tapi saya tidak peduli.  Untuk makluman tuan, tidak setitik pun air mata saya tumpah ketika membuat catatan ini, berbanding semasa saya membuat catatan-catan lain berkenaan anak istimewa ini.  Terima kasih kerana menjadikan saya dan ibu bapa lain lebih kuat kerana penghinaan tuan itu.  Jika tuan melihat komen-komen lain semuanya bersangka baik dan mendokan tuan diberi taufik dan hidayah Ilahi.   Allahhuakbar...

Cukup setakat ini dulu...akan saya sambung lagi kemudian. Mohon maaf jika ada keterlanjuran kata.

p/s  Tolong email kepada saya alamat Tuan Safuan.  Saya ingin menghadiahkan tuan senaskah novel catatan saya sendiri berkenaan perjalanan hidup kami dengan anak istimewa ini.  Saya juga dengan seikhlas hati ingin menjemput tuan menyertai kami dalam program hari keluarga tahunan yang akan kami adakan pada bulan Disember nanti.  Di situ tuan boleh berkenalan dengan Along, anak-anak istimewa yang pelbagai kategori dan ibu bapa kepada anak istimewa ini.  Saya memberi jaminan peribadi kepada tuan, tuan tidak akan diikat, dicili atau sebagainya waktu itu.  Jangan bimbang.   

 Oh Ya, saya juga pencinta kucing.  Tapi saya pelik kenapa tuan hanya lihat sahaja dengan mata kepala sendiri BUDAK CACAT yang tuan nyatakan itu menyiksa kucing sehingga begitu sekali.  Langsung tidak bertindak, tidak menghalang perbuatan itu  Tuan juga tidak melihat atau bertanya tahap kemampuan akal anak itu, adakah dia tahu perbuatan itu salah sehingga tuan kata BUDAK CACAT itu tidak layak masuk syurga!

Kalau Tuan Safuan membaca entri ini, TOLONG TINGGALKAN JEJAK TUAN SEBAGAI LELAKI YANG BUDIMAN DAN BERANI ATAS SETIAP PERBUATAN ATAU PERKATAAN TUAN...


Monday, October 21, 2013

Kerabu Timun Tok...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Sudah lama saya menyimpan resepi dan post ini.  Setiap kali hendak buat post berkenaan resepi ini, masalah utamanya ialah gambar.  Saya tergolong dalam kategori insan 'rabun gajet dan teknologi'.  RABUN ya, bukan BUTA...Rabun yang masih boleh dibantu dengan 'bantuan-bantuan' kanta luar.  Dalam keadaan rabun pun saya masih boleh buat sendiri biarpun teraba-raba.  Kebiasaannya suami atau Aiman yang akan menjadi penyelamat.  Tapi biasalah, nak minta bantuan 'pakar', kena betul masanya. Jawapan biasa yang diterima "mama buatlah sendiri. Senang je"...Jawabnya simpan semula, tunggulah saya dapat ilham baru nanti...

Dah lari topik pula ya.  Kerabu timun yang saya namakan Kerabu Timun Tok mengingatkan saya kepada Arwah tok (mak arwah ayah) yang telah hampir dua puluh tiga tahun meninggal dunia (Al Fatihah untuk kedua-duanya).  Tok memang pakar memasak.  Apa sahaja yang kita sebut, pasti menjadi (masakan melayu pastinya).  Paling saya rindukan ialah gulai ikan temenung (orang sekarang panggil kari ikan) dan asam pedasnya.  Tiada tandingan sehingga kini.  Saya yang pernah 'berkursus' dengannya juga tidak dapat menghasilkan gulai seenak itu.  Rempahnya dicampur dan digiling sendiri, bukan rempah segera macam kita sekarang.  Itulah rahsianya.

Sewaktu kecil, arwah tok selalu tinggal di rumah kami.  Memandangkan arwah ayah adalah anak bongsunya, arwah tok selalu mengunjungi kami di Pahang.  Memang amat bahagia kalau tok berada di rumah.  Sebulan dua sepanjang masa tok berada di rumah kami, memang masa untuk menikmati makanan enak air tangan tok.  Masa itu juga, saya mengambil peluang belajar memasak darinya dan arwah tok memang tidak kedekut tetapi sangat 'cengei' (loghat utara yang bermaksud garang).  Kerana 'kecengeiannya' itulah saya pandai memasak sekarang.  Tetapi boleh dikatakan bakat memasak arwah tok memang tumpah juga kepada saya (pujian untuk diri sendiri ...hihihi..)

Panjang pulak mukadimah dan latar belakang kerabu timun ni ya.  Hidangan ini sangat enak dan senang sekali untuk menyediakkannya.  Tetapi ini adalah kerabu cara 'orang tua', cara kampung.  Bagi sesetengah orang, akan kata 'memang enak, tetapi kurang sihat'.  Kenapa?  Kita tengok bahan-bahannya:

Sebiji timun (jangan terlalu tua)
Sebiji tomato
Cili besar dan cili api secukupnya (nak pedas lebihkan cili api)
Bawang besar secukupnya- potong dadu
Seulas bawang putih
Ikan bilis secukupnya - dibersihkan, goreng garing dan tumbuk kasar
sedikit belacan
garam secukup rasa
Santan pekat secukupnya
2-3 sudu besar kerisik 

** seperti biasa, saya tidak gunakan sukatan khusus.  Terpulang lah pada selera masing-masing.

Macam mana nak buat :

~ Timun di potong halus memanjang (senang cerita, guna penyagat kasar tu)
~ Cili besar, cili api, belacan, garam dan seulas bawang putih ditumbuk halus (buat  macam sambal belacan)
~Tomato dan bawang besar dipotong dadu
~ Kemudian campurkan semua bahan di atas dalam satu bekas. Kalau suka boleh tambah sedikit gula.
~ Masukkan santan pekat secukupnya.  Sekadar basah bahan-bahan di atas.  Tambahkan kerisik dan gaul rata.
~ Akhir sekali, taburkan ikan bilis goreng tadi dan gaul rata

Tengok bahan-bahannya, memang 'mewah' kan?  Kalau yang terlalu berkira pasal kalori dan segala macam perkara tu, tak payah lah guna resepi ini atau ubah lah mengikut selera sendiri. 

Kalau saya rindukan arwah tok, selain dari sedekahkan Al fatihah, saya akan masak hidangan-hidangan yang mengingatkan saya kepadanya.  Kenangan itu kekal abadi dalam ingatan, selain dari mengalir dalam urat nadi saya...




Monday, September 30, 2013

Kenali kami...

Jom lihat realiti kehidupan kami...

http://www.youtube.com/watch?v=hkiAwYRJw0I







Erti Senyuman Itu...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Pagi ini , kala membelek laman muka buku, air mata saya mengalir gembira.  Sebak hati tidak terkata apabila membaca status-status kegembiraan seorang ibu yang kali pertama melihat anak syurganya senyum manis, bila melihat anak syurganya melangkah sendiri tanpa pimpinan tangan seorang ibu (biarpun masih menggunkan alat sokongan) dan bila anak syurganya dapat membaca biarpun masih pelat...Alhamdulillah...Allahhuakbar...Dapat saya bayangkan hati dan perasaan mereka kerana saya juga pernah melaluinya.

Dikurniakan anak istimewa merupakan satu anugerah yang tidak ternilai.  Biarpun kami tidak melalui hidup ini seperti orang lain, tapi dalam erti kata sebenarnya kami yang dikurniakan anak istimewa ini lebih jauh ke depan dalam segala segi.  Kami perlu lakukan segalanya lebih dari biasa berbanding dengan kalian yang lain.  Hebat bukan!  Jika anak tipikal lain, dalam usia setahun sudah boleh melangkah, tapi anak syurga kami masih terbaring, duduk atau hanya mengensot untuk bergerak.  Kami akan lakukan apa sahaja untuk memastikan anak itu juga dapat melangkah seperti anak-anak yang lain.  Pergi ke mana sahaja, berusaha apa sahaja samada secara moden atau tradisional untuk memastikan impian itu tercapai.  Kala orang lain, enak enak bersantai di rumah pada hari minggu, kami ke hulu  ke hilir mengusung anak syurga itu melakukan terapi atau rawatan.  Tidak itu dikatakan hebat?

Air mata pagi ini mengingatkan saya kali pertama melihat Along melangkah sendiri.  Langkah pertama tanpa bantuan tangan kami hanya ketika menjelang usia tujuh tahun!  Ketika anak lain seusia dengannya sudah berlari laju, melangkah dengan semangat ke sekolah.  Tapi langkah itu sudah cukup membuatkan kami suami isteri menangis gembira.  Saat yang amat dinantikan setelah sekian lama berusaha tanpa kenal erti putus asa.  Saat itu masih segar basah dalam ingatan saya hingga saat ini.  Betapa ianya cukup berharga sekali.  Mungkin tidak bagi orang lain, tapi bagi kami yang dianugerahkan anak istimewa ini, ianya amat besar sekali...amat berharga sekali.


Walaupun Along sudah boleh berjalan dari usia tujuh tahun, namun langkahnya masih belum tegap.  Alhamdulillah, sekurang-kurangnya itu sudah meringankan tugas kami.   Masih banyak yang Along ketinggalan. Semuanya perlu dibantu.  Tapi kami tidak akan berputus asa.  Biarpun kini sudah berusia 19 tahun, dia umpama bayi kepada kami.  Tidak mengapa.  Sekurang-kurangnya kami tidak akan pernah sunyi dengan adanya Along dalam hidup kami.

Mendapat satu-satu kemahiran baru, biarpun teramat kecil di mata orang lain merupakan satu perkara 'besar' bagi kami.  Itu juga merupakan satu kayu pengukur setakat mana usaha yang kami selama ini.  Sekurang-kurangnya usaha kami membuahkan hasil biarpun kecil sekali.  Sudah gembira dan amat berpuas hati dan melonjakkan lagi semangat untuk terus berusaha.


Kasih sayang tiada bersyarat...

Senyuman dari hati yang tulus suci...

Along dan dua orang saudara yang senasib...


Satu perkara yang amat saya rindui dan harapkan sehingga kini ialah Along memanggil saya 'mama'...Pelik bukan?  Ya, betul.  Hanya sekali dalam usianya 19 tahun ini dia memanggil saya 'mama'.  Mungkin dalam 16 tahun lalu...Sekali itu sahaja, tetapi sebutan itu amat jelas dan saya ingat sampai sekarang.  Sekali itu sahaja dan tidak pernah diulang lagi hingga kini.  Biarpun sesekali dia memanggil saya dengan panggilan 'cikgu', saya inginkan dia memanggil saya 'mama' seperti adik-adik yang lain.  Begitu juga dengan panggilan 'babah'.  Hanya sekali dua sahaja yang keluar dari mulutnya.  Selebihnya dia akan memanggil kami dengan panggilan 'cikgu'.  Tak mengapalah.  Sekurang-kurangnya dia tahu mamanya juga adalah seorang 'guru' walaupun bukan secara rasmi.  Guru kepada dirinya dan adik-adik.

Terlalu banyak yang ingin saya ceritakan tentang Along sepanjang usianya kini.  Biarpun kecil dan remeh, tidak mengapa.  Tidak menjadi kudis bagi saya jika dikata 'macam tu pun nak heboh', 'besar sangat ke perkara tu'...Ya besar dan bermakna bagi kami biarpun setakat debu di tangan kalian...

Along, jika kau mampu membaca luahan hati mama ini, ketahuilah olehmu anak, mama amat rindukan panggilan 'mama' dari mulut Along...dan air mata ini makin deras mengalir...

Thursday, September 26, 2013

Cerita Along lagi...Along dan tantrum (bahagian 1)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Along dan tantrum memang tidak dapat dipisahkan.  Apakah 'tantrum'?

"Tantrum ialah satu letusan perasaan marah yang tidak terkawal, menangis, menjerit, menendang, memukul dan kadang-kadang sehingga mencederakan diri sendiri"  atau dengan kata mudahnya "mengamuk"

Kebiasaannya perlakuan ini adalah di kalangan kanak-kanak berusia 1-3 tahun apabila mereka mula meluahkan perasaan untuk menarik perhatian ibu bapa atau mereka di sekeliling.  Tetapi bagi anak-anak Carebral Palsy atau Autisme, tantrum adalah salah satu dari ciri-ciri mereka.  Along mempunyai ciri-ciri Autisme walaupun dalam kategori Carebral Palsy.

Kadang-kadang perkara yang teramat kecil juga boleh menimbulkan kemarahannya.  Tak semena-mena, tiba-tiba menjerit marah, menarik, memukul atau mencubit siapa yang hampir.  Pada peringkat awal dia menunjukkan tantrum, kami tidak begitu peka sangat.  Tapi lama-kelamaan, semakin dia membesar, semakin jelas dia cuba untuk meluahkan perasaannya.  Masalah komunikasi juga menjadi antara punca kemarahan. Dia tidak berupaya meluahkan apa yang dia mahu atau rasa dan kadang-kadang kami juga tidak mampu memahami apa sebenarnya yang ingin disampaikan.  Mungkin baginya, cara itu lah yang dapat meluahkan apa yang diingini.

Sejak anak-anak bayi lagi, kami tidak pernah menggunakan 'bahasa bayi' atau pelat untuk berkomunikasi dengan mereka.  Semuanya menggunakan bahasa lengkap sebagai salah satu latihan komunikasi.  Begitu juga dengan Along.  Kami berkomunikasi dengannya seperti kami berkomunikasi dengan anak-anak yang lain. idak menggunakan bahasa pelat atau bahasa isyarat.  Tetapi dia masih juga tidak mampu untuk menuturkan patah-patah perkataan biarpun sudah banyak yang difahami apa yang kita perkatakan.

Along akan faham jika kita berikan arahan ringkas. Mandi, makan, pergi jalan, pakai kasut dan sebagainya. Tetapi dia akan bertindak balas dengan perlakuan bukan dengan perkataan.  Tak mengapalah.  Mungkin suatu hari nanti dia akan bercakap juga. Insyaallah.

Semakin Along membesar, tantrumnya semakin tidak terkawal.  Jika kecil, masih boleh dipujuk, didukung atau dipeluk.  Tetapi sekarang dengan saiz badan yang sudah menyamai saiz badan saya, kami angkat tangan setiap kali dia mengamuk.  Kebiasaannya jika dia sudah menunjukkan tanda-tanda akan mengamuk, saya akan mendiam dan menjauhkan diri.  Biarkan dia sendiri melepaskan perasaan.  Jangan dilayan.  Lama kelamaan dia akan diam sendiri.  Tapi kadang-kadang saya juga akan 'tantrum' sama bahkan lebih lagi dari Along... hilang juga sabarnya bila sudah melampau sangat.

Jika dalam perjalanan berkereta, kebiasaanya Along akan diletakkan di tempat duduk baris ketiga (belakang sekali) sendirian.  Dia lebih selesa begitu.  Kami amat berhati-hati sekali dengan bunyi geseran plastik jika di dalam kereta kerana bunyi itulah yang paling 'dibenci' Along.  Tak pasal-pasal saya yang duduk di depan akan sakit bila tiba-tiba tangan Along yang terkenal dengan kuatnya itu, menarik atau mencubit saya di hadapan.  Begitu juga kalau hendak memberi apa-apa makanan padanya dalam perjalanan.  Perlu dilakukan dengan penuh berhemah.  Buka plastik perlahan-lahan, suakan dahulu dengan senyum dan pujukan.  Kalau dia menyandar tiada respon, letakkan sahaja di tepi kerusi.  Pandai-pandai lah dia ambil sendiri nanti.  Tapi kalau dipaksa juga, jawabnya satu kereta akan bertabur dengan makanan yang dilemparkannya.  Adik-adik sering menjadi mangsa Along di dalam kereta.  Tapi apa hendak dikata, terima sajalah.  Mujurlah Aiman dan Iman amat memahami.  Paling habis, jika sudah sakit sangat, menangis sajalah.  

Perjalanan jauh memang menjadi satu yang agak 'menyukarkan' kami.  Masalah utama ialah tandas.  Dia tidak mahu tandas lain selain dari tandas rumahnya!  Yang paling serasi dengannya ialah bilik air dan tandas rumah Nenek Gombak kerana nenek telah mengubahsuai tandas rumahnya mengikut keperluan Along dengan warna yang hampir sama dengan bilik air di rumah.  Pernah dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kuala Kubu Bharu, Along muntah dalam perjalanan.  Tak kan hendak dibiar dia berlumuran muntah sepanjang jalan.  Kami yang lain pun boleh termuntah dek bau muntah Along.  Mahu tak mahu, terpaksalah berhenti di rnr Tapah untuk membersihkannya.  Seperti yang dijangka, sampai sahaja di depan pintu tandas, terus dia duduk lalu baring dengan sepak terajang dan jeritan yang menarik perhatian orang ramai.  terpaksalah saya memanggil babahnya yang juga terpaksa turut masuk ke dalam tandak OKU wanita.  Peduli lah dengan mata yang memandang dan mulut yang mengata.  Sepanjang proses membersihkan itu juga, riuh rendah tandas dengan jeritan dan tangisan Along dan kami juga sakit dada dan merah muka menahan sabar.

Kami sudah jarang membawa Along berjalan-jalan ke tempat sesak seperti pusat membeli belah.  Kalau sesekali ingin menikmati makanan segera, carilah restoran yang bukan di dalam pusat membeli belah. Kesesakan juga boleh menjadi penyebab tantrumnya.  Dia sudah besar, tidak suka diperhatikan.  Dia juga punya perasaan kalau orang sekeliling memerhati dan mengata sesuatu.  Kadang-kadang jika berselisih dengan orang asing, dia ingin menegur.  Tetapi dengan menggunakan tangan.  Menarik baju atau beg orang. Mereka yang faham mungkin tidak kisah, tetapi  yang tidak faham akan memandang dengan satu perasaan yang boleh mengguris hati kita.

Mendapatkan rawatan di hospital atau klinik juga kadang-kadang menjadi satu fobia untuk kami.  Setiap kali temujanji, doktor mahukan ukuran tinggi dan timbangan berat.  Memang tidak pernah berjaya diperolehi. Terlihat saja alat penimbang, dia akan terus duduk di lantai mengeraskan diri atau terus baring.  Sudah baik sangat kalau dia tidak mengamuk.  Bayangkan anak dara berusia belasan tahun begitu terbaring-baring menunjuk perasaan di klinik pakar kanak-kanak!

Jika doktor menghulurkan borang untuk proses mengambil darah atau suntikan, saya akan merenung suami, suami akan merenung saya.  Sudah dapat membayangkan apa yang terjadi.  Sudah terdengar-dengar jeritan dan amukan walaupun sebulan lagi proses itu akan dilakukan.  Kebiasaannya kami tidak akan turut serta dalam bilik rawatan.  Tetapi kadang-kadang jururawat juga angkat tangan bila tidak berjaya memujuk Along untuk diambil darah atau disuntik.  Habis bertabur barang dalam bilik rawatan dikerjakan Along.  Beberapa orang yang gagah perkasa diperlukan bagi memegang Along sebelum dibalut dengan cadar hospital beberapa lapis.  Bayangkan betapa azabnya proses mengambil darah.  Saya juga kadang-kadang menangis melihatnya. Tapi apakan daya saya.  Sebab itu kami menolak apabila ditawarkan untuk melakukan suntikan botox (untuk masalah air liur Along yang sukar dikawal) untuk kali keempat.  Cukup seksa melihat dan melalui proses-proses sebelum suntikan dilakukan.

Akan saya sambung lagi cerita tantrum atau amukan Along...


Kalau anginnya elok, bolehlah adik nak bermanja-manja...kalau tidak, jangan harap...


Mengamuk tak nak kena suntik...habis terbang semua kasut.  Menangis, menjerit sampai satu HUKM boleh dengar...




Beg tangan mama yang baru beberapa bulan dibeli dan digunakan putus ditarik Along...Boleh bayangkan betapa kuatnya tenaga Along masa mengamuk?


Kononnya babah akan tolong dia, selamat dari kena ambil darah...

Along memang amat istimewa.  Istimewa segala-galanya...

Wednesday, September 25, 2013

Tukar Nama...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Blog kecil saya ini, dimulakan ketika kami sekeluarga menetap di tanah tinggi Cameron Highlands.  Bersempena dengan itulah terciptanya nama Pena di Perbukitan ini.  Tapi kini, sudah berpindah ke tanah rendah...perlukah ditukar pula nama rumah ini?  Hemmm...tak payahlah...biarlah nama itu menjadi identiti dan kenangan.  Kenangan bahawa kami pernah berada di sana, bersama mencuba nasib, mencari rezeki di tempat orang.  Dan kenangan paling berharga ialah apabila dikurniakan anak ketiga kami Iman Thuraya Nadzli.  Rezeki yang langsung tidak diduga setelah kami hampir berputus asa untuk mendapat anak lagi.

Kami memulakan kehidupan berkeluarga di Kuala Kubu Bharu hampir 20 tahun lalu.  Berpindah rumah dari Rasa-Kuala Kubu Bharu-Rasa-Kuala Kubu Bharu beberapa kali sebelum akhirnya berpindah keluar dari daerah ini ke tanah tinggi.  Memang teruja dapat tinggal di tempat sejuk, kawasan pelancongan.  Tetapi lama kelamaan perasaan teruja dan seronok bertukar menjadi satu perasaan lain yang susah hendak digambarkan. Seronok yang tinggal hanya dengan suhu sejuk dan tidur lena sahaja.  Tapi selebihnya seolah menjadi satu tekanan.  Tambahan pula dengan persekitaran dan masyarakat yang agak 'tertutup'.

pemandangan dari rumah



Setiap kali hendak turun atau naik (memang kami turun naik hampir setiap minggu), mulalah terbayang liku-liku jalan yang menjemukan itu. Memang 'bercinta' sungguh...Tapi mahu atau tidak, terpaksa ditempuh juga. Tujuh tahun lebih kami menempuh itu semua.  Bermacam pengalaman, cabaran dan peristiwa suka dan duka yang kami tempuhi.  Semua itu menjadi sesuatu yang amat bernilai dalam hidup saya dan keluarga.

Sesungguhnya kita merancang untuk kehidupan ini, tetapi perancangan Allah telah termaktub dan terbaik untuk kita.  Segala hikmahnya tersingkap satu persatu...

Oleh itu saya mengambil keputusan untuk mengekalkan nama rumah kecil ini...Pena Di Perbukitan...Kuala Kubu juga masih dikelilingi oleh perbukitan indah...masih sesuai dan relavan sekali nama itu...




Monday, September 23, 2013

Nasi Beriani Mama

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Seperti biasa, jika Aiman Hazziq pulang bercuti dari asrama, sedaya upaya saya akan berusaha menyediakan menu yang istimewa untuk kami sekeluarga.   Bukan bermakna jika dia tiada, menunya tidak istimewa.  Tetapi sesekali semua berkumpul akan ada yang lebih istimewa lagi.  Sejak Aiman tinggal di asrama empat tahun lalu, setiap kali waktu makan seolah-seolah terasa tidak lengkap keluarga ini.  Pasti akan terkenangkan dia setiap kali menyuap makanan ke mulut.  Hati seorang ibu...

Nasi beriani antara menu kegemaran keluarga kecil kami.  Jika sebelum 'pandai' menyediakan menu ini, Restoran Syed, Shah Alam pasti menjadi tumpuan untuk menikmati nasi beriani istimewanya.  Hanya nasi beriani restoran ini yang betul-betul kena dengan tekak saya yang sememangnya amat cerewet bab makanan. Tempat-tempat lain sekadar bolehlah...

Memasak juga seperti kemahiran lain yang perlu dipelajari dan dikuasai.  Bukan semua orang dikurniakan kebolehan memasak semulajadi.  Campak apa saja, pasti menjadi.  Saya juga tidak terkecuali.  Peringkat awal dahulu, sering juga hasil masakan tidak seperti yang diharapkan.  Tetapi saya tidak putus asa. Terus mencuba dan memcuba lagi sehingga kini agak menguasainya.  Sudah boleh memasak tanpa merujuk kepada resepi atau pakcik google.  Kita juga perlu kreatif dalam menyediakan sesuatu hidangan.  Jangan terlalu rigid mengikut resepi.  Ubah suai mana yang boleh mengikut citarasa sendiri.  Jangan takut mencuba sesuatu yang baru.

Eh, terpanjang pulak berleternya.  Saya kongsikan resepinya di sini.  Seperti biasa resepi ini saya gubah sendiri dari beberapa resepi yang saya perolehi samada dari buku atau pakcik google.  Saya memasak  mengikut naluri sendiri dan pastinya naluri setiap orang tidak sama.  Jadi, kepada yang ingin mengambil resepi ini, dipersilakan.  Cubalah dengan kreativiti sendiri pula dan jangan salahkan resepi kalau tak jadi ya...











Bahan-Bahan untuk Nasi  (untuk 6-7 orang makan)

5 cawan beras basmathi (basuh, rendam 10-15 minit dan toskan)
Bawang besar, bawang putih - hiris halus
Halia - hiris halus
Rempah tumis tiga sekawan (buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis)
3-4 sudu besar rempah beriani (saya guna rempah beriani Faiza)
Dadih asli (satu bekas nestle)
2-3 batang serai
3-4 helai daun pandan
Satu tin susu sejat
air secukupnya (biasanya 1 cawan beras = 1.5 cawan air)
Daun ketumbar, daun pudina
4-5 biji cili hijau
2-3 biji tomato (belah 2)
Badam, kismis secukupnya
Garam secukupnya
Kalau nak masam lagi boleh masukkan sedkit tomato puri
Minyak masak dan margerin secukupnya (boleh juga gunakan minyak sapi)

***Ayam - potong biasa, buang kulit dan bersihkan (8-10 ketul).  Boleh diganti dengan daging
*** kalau hendakkan kelainan, boleh masukkan telur ayam rebus

*****tiada sukatan bahan yang khusus.  Boleh gunakan bahan sesedap dan secukup rasa

Cara memasak :

1.  Tumis serai, daun pandan dan rempah tiga sekawan.  Masuk kan bawang-bawang dan halia yang telah dihiris.  Tumis sehingga layu dan wangi

2.  Masukkan rempah beriani yang telah dibancuh dengan sedikit air.  Tumis sehingga pecah minyak

3.  Masukkan dadih.  kacau sebentar dan masukkan ayam.  Tambah garam secukupnya.  Biar ayam setengah masak dan keluarkan ayam tadi.  Ketepikan dahulu

4.  Masukkan beras dan susu segar.  Gaul rata dan biar satu hingga dua minit.

5.  Sediakan periuk nasi eletrik. Masukkan beras yang telah digaul rata sedikit.  Lapiskan dengan beberapa ketul ayam.  letak sedikit daun ketumbar, tomato dan cili hijau.  Lapiskan lagi dengan beras.  Antara lapisan boleh ditabur dengan badam dan kismis.  Ulang hingga habis beras. (kalau masukkan telur rebus juga, masukkan semasa ini berselang-selang)

6.  Kemudian masukkan air secukupnya mengikut sukatan beras.

7.  Masakkan.  Jangan dibuka sepanjang proses memasak.  Biarkan dahulu seketika selepas nasi telah masa sebelum membuka tutup periuk.  Ini adalah bagi memastikan nasi benar-benar masak.

Nasi beriani enak dimakan dengan acar mentah.  Memandangkan nasi ini telah diletakkan ayam di dalamnya,  boleh dimakan dengan kuah dalca sayur bercampur tulang ayam.  

Acar Timun Mentah :

Timun, lobak merah, nenas, sengkuang - dipotong (Kalau rajin, sagat je)
Tomato - dipotong dadu
Cili api, cili merah - dipotong kecil
Bawang besar - dipotong dadu
garam, gula, cuka secukupnya.

** Gaul rata semua bahan dan perapkan sebentar

Untuk resepi dalca sayur, akan saya ceritakan kemudian...

Sekali lagi, gunakan kretiviti anda sendiri untuk menjadikan resepi ini seperti yang anda ingini...selamat mencuba...