Pagi ini , kala membelek laman muka buku, air mata saya mengalir gembira. Sebak hati tidak terkata apabila membaca status-status kegembiraan seorang ibu yang kali pertama melihat anak syurganya senyum manis, bila melihat anak syurganya melangkah sendiri tanpa pimpinan tangan seorang ibu (biarpun masih menggunkan alat sokongan) dan bila anak syurganya dapat membaca biarpun masih pelat...Alhamdulillah...Allahhuakbar...Dapat saya bayangkan hati dan perasaan mereka kerana saya juga pernah melaluinya.
Dikurniakan anak istimewa merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Biarpun kami tidak melalui hidup ini seperti orang lain, tapi dalam erti kata sebenarnya kami yang dikurniakan anak istimewa ini lebih jauh ke depan dalam segala segi. Kami perlu lakukan segalanya lebih dari biasa berbanding dengan kalian yang lain. Hebat bukan! Jika anak tipikal lain, dalam usia setahun sudah boleh melangkah, tapi anak syurga kami masih terbaring, duduk atau hanya mengensot untuk bergerak. Kami akan lakukan apa sahaja untuk memastikan anak itu juga dapat melangkah seperti anak-anak yang lain. Pergi ke mana sahaja, berusaha apa sahaja samada secara moden atau tradisional untuk memastikan impian itu tercapai. Kala orang lain, enak enak bersantai di rumah pada hari minggu, kami ke hulu ke hilir mengusung anak syurga itu melakukan terapi atau rawatan. Tidak itu dikatakan hebat?
Air mata pagi ini mengingatkan saya kali pertama melihat Along melangkah sendiri. Langkah pertama tanpa bantuan tangan kami hanya ketika menjelang usia tujuh tahun! Ketika anak lain seusia dengannya sudah berlari laju, melangkah dengan semangat ke sekolah. Tapi langkah itu sudah cukup membuatkan kami suami isteri menangis gembira. Saat yang amat dinantikan setelah sekian lama berusaha tanpa kenal erti putus asa. Saat itu masih segar basah dalam ingatan saya hingga saat ini. Betapa ianya cukup berharga sekali. Mungkin tidak bagi orang lain, tapi bagi kami yang dianugerahkan anak istimewa ini, ianya amat besar sekali...amat berharga sekali.
Walaupun Along sudah boleh berjalan dari usia tujuh tahun, namun langkahnya masih belum tegap. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya itu sudah meringankan tugas kami. Masih banyak yang Along ketinggalan. Semuanya perlu dibantu. Tapi kami tidak akan berputus asa. Biarpun kini sudah berusia 19 tahun, dia umpama bayi kepada kami. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kami tidak akan pernah sunyi dengan adanya Along dalam hidup kami.
Mendapat satu-satu kemahiran baru, biarpun teramat kecil di mata orang lain merupakan satu perkara 'besar' bagi kami. Itu juga merupakan satu kayu pengukur setakat mana usaha yang kami selama ini. Sekurang-kurangnya usaha kami membuahkan hasil biarpun kecil sekali. Sudah gembira dan amat berpuas hati dan melonjakkan lagi semangat untuk terus berusaha.
Kasih sayang tiada bersyarat... |
Senyuman dari hati yang tulus suci... |
Along dan dua orang saudara yang senasib... |
Satu perkara yang amat saya rindui dan harapkan sehingga kini ialah Along memanggil saya 'mama'...Pelik bukan? Ya, betul. Hanya sekali dalam usianya 19 tahun ini dia memanggil saya 'mama'. Mungkin dalam 16 tahun lalu...Sekali itu sahaja, tetapi sebutan itu amat jelas dan saya ingat sampai sekarang. Sekali itu sahaja dan tidak pernah diulang lagi hingga kini. Biarpun sesekali dia memanggil saya dengan panggilan 'cikgu', saya inginkan dia memanggil saya 'mama' seperti adik-adik yang lain. Begitu juga dengan panggilan 'babah'. Hanya sekali dua sahaja yang keluar dari mulutnya. Selebihnya dia akan memanggil kami dengan panggilan 'cikgu'. Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya dia tahu mamanya juga adalah seorang 'guru' walaupun bukan secara rasmi. Guru kepada dirinya dan adik-adik.
Terlalu banyak yang ingin saya ceritakan tentang Along sepanjang usianya kini. Biarpun kecil dan remeh, tidak mengapa. Tidak menjadi kudis bagi saya jika dikata 'macam tu pun nak heboh', 'besar sangat ke perkara tu'...Ya besar dan bermakna bagi kami biarpun setakat debu di tangan kalian...
Along, jika kau mampu membaca luahan hati mama ini, ketahuilah olehmu anak, mama amat rindukan panggilan 'mama' dari mulut Along...dan air mata ini makin deras mengalir...
kpah..ngalir air mata ...teruskan perjuangan kita sbg ibu bapa. sya tahu akak juga kuat..akak SIFU saya n supermom yg lain
ReplyDeleteluahan hati seorang ibu, lin...kala membaca berita gembira ibu senasib yang lain...moga Allah terus beri kekuatan itu kepada kita semua...
ReplyDeleteKak Pah...mu bikin kusebak....waaaa.....
ReplyDelete