Ketika sedang meneman Iman Thuraya menikmati sarapan pagi, hati saya tersentuh melihat wajah anak kecil yang mulus ini. Betapa anak ini amat bertuah dapat melalui zaman kanak-kanak yang indah. Dibesarkan dalam linkungan keluarga yang bahagia. Walaupun hidup sederhana, tapi gembira menikmati alam kanak-kanaknya. Berbeza sekali dengan kehidupan saya sewaktu kecil. Kadang-kadang, kisah zaman silam saya tiba-tiba bermain difikiran. Betapa saya tidak mahu mengenangnya, tetapi sesekali kenangan itu datang menyapa menjadikan saya lantas berfikir. Ya Allah, terima kasih kerana menjadikan aku insanMu yang amat bertuah kerana melalui semua pengalaman itu. Dari situlah aku menjadi siapa aku sekarang ini. Sesungguhnya, setiap satu yang Engkau jadikan itu punya hikmahnya tersendiri. Cuma cepat atau lambat. Terima kasih Ya Allah.
Zaman kanak-kanak dan remaja saya penuh warna warni dan saya rasakan amat unik sekali. Tidak semua orang melalui apa yang saya lalui. Bukan bertujuan membuka aib sendiri atau sesiapa, sekadar dikongsikan untuk dijadikan renungan, panduan dan teladan mana yang baik. Yang tidak baik diambil jadikan sempadan dan pengajaran. Kadang-kadang, sisi hitam kehidupan itulah yang menjadikan kita lebih menghargai kehidupan dan orang di sekeliling kita. Tidak semua yang hitam itu buruk atau tidak indah. Pandanglah dengan mata hati, InsyaAllah, ianya akan bertukar menjadi warna indah seperti yang kita kehendaki sendiri, tidak kira putih, biru, merah atau kelabu sekalipun.
Melalui beberapa fasa kehidupan yang berbeza, saya ketika itu menjadi sedikit 'keliru'. Tapi, sebagai kanak-kanak dalam lingkungan umur 7 tahun, apa yang saya kisahkan sangat. Janji dapat makan, minum, bermain. Apa yang berlaku disekeliling tidak dapat difahami sepenuhnya. Begitu juga apa kesannya kepada masa depan saya. Tidak terlintas langsung dibenak fikiran ini. Yang dikenang hanya yang manis dan indah sahaja. Teringat lagi kali pertama tidur di hotel mewah di Kuala Lumpur ketika kami sekeluarga meneman ayah yang mengikuti persidangan berkaitan peneroka FELDA. Saya dan adik lelaki (ketika itu baru dua beradik) umpama orang 'jakun' (maaf jika perkataan ini tidak sesuai sekarang, tapi inilah perkataan yang terkenal ketika itu), melompat-lompat di atas tilam empuk hotel, berlari riang keliling bilik. Di rumah kami, mana ada tilam setebal dan seempuk itu. Kami juga sempat merasa menaiki kereta kabel Bukit Nenas ketika itu. Seronok sekali.
Teringat juga bagaimana saya pernah dikejar mak gara-gara menyuapkan nasi goreng kepada adik lelaki yang ketika itu baru berusia beberapa bulan. Kami umpama bermain kejar-kejar. Nakalnya saya ketika itu. Mak memang agak garang dan saya hanya berani pulang ke rumah selepas ayah pulang ke rumah. Parut di paha juga mengingatkan saya kepada kisah sewaktu di sekolah tadika. Pulang dari Kuala Lumpur, ayah membelikan saya sehelai gaun yang sangat cantik. Katanya untuk dipakai di hari raya. Saya pula memberontak hendak memakai gaun itu terus untuk ditunjuk kepada kawan-kawan di tadika. Bagilah apa alasan sekalipun, saya tidak peduli. Akhirnya rotan halus hinggap di paha saya sehingga meninggalkan bekas. Apa lagi, saya meraung sakan kesakitan tapi puas hati sebab akhirnya saya 'menang'. Dengan jurai air mata, gaun tersarung ke tubuh dan saya melangkah dengan penuh gaya masuk ke kelas sambil diperhatikan guru dan rakan-rakan. Sehingga kini, setiap kali terlihat parut itu, saya akan senyum sediri.
Warna indah zaman kanak-kanak bertukar ketika saya berusia lapan tahun. Putus kasih dengan ibu kandung akibat perpisahan ayah dan mak menjadikan saya seumpama hilang arah seketika. Ketika itu kami tiga beradik memilih atau memang telah ditetapkan untuk tinggal bersama ayah. Mak membawa diri bekerja di bandar berhampiran. Banyak cerita dukanya yang tidak kami ketahui sehingga kini. Adik bongsu dijaga oleh nenek di Perlis, dan ayah berkahwin lagi tidak lama selepas itu. Saya begitu seronok kerana mendapat ibu baru dan tinggal dalam lingkungan keluarga yang lebih besar. Lebih ramai kawan untuk bermain, juga seronok kerana mendapat adik-adik baru. Kehidupan diteruskan seperti biasa. Ahli keluarga bertambah dari tahun ke tahun.
Apa yang saya tahu, mak tidak pernah melupakan kami. Asal ada kelapangan, dia pasti menjenguk kami biarpun sekejap. Sanggup turun naik bas untuk menjenguk kami. Ayah pula tidak pernah menghalang. Cuti sekolah adalah waktu yang amat saya nantikan. Ketika itulah saya berpeluang mengikut mak pulang ke rumahnya. Antara lokasi yang masih saya ingat ialah Mentakab (Pahang), Bandar Pusat Jengka (Pahang), Subang Jaya dan Sg Way, Selangor. Mak melakukan pelbagai kerja untuk menyara hidup dan tidak lupa memberi kami duit belanja. Tiba hari raya, pasti ada pakaian baru untuk kami yang dijahit sendiri oleh mak. Namun ada juga ketikanya saya tidak dibenarkan mengikut mak pulang. Setiap kali hendak mengikut mak pulang, saya perlu meminta kebenaran dari ayah dahulu. Jika jawapannya 'ya', saya pasti melonjak kegembiraan kerana boleh 'terlepas' sebentar dari rumah. Jika jawapannya 'tidak', samada muka masam mencuka atau air mata akan jatuh laju. Biasanya hanya saya dan adik perempuan bongsu yang sering mengikut mak. Adik lelaki agak 'liat' kerana dia memang anak ayah.
Pernah juga ketika mak tinggal dan bekerja kilang di Bandar Pusat (lebih kurang 20 minit perjalanan menaiki bas), saya 'curi-curi' pergi berjumpa mak kerana terlalu rindu. Ditemani Kak Anida (kini telah arwah, Al Fatihah), kami menyorok-nyorok menunggu bas kerana takut kelihatan oleh ayah. Keluar masuk, keluar masuk dari 'tempat persembunyian' melihat jika bas datang mengundang ketawa kami berdua. Tindakan yang cukup berani. Kalau ternampak oleh ayah, pasti saya diheret pulang. Bas akhirnya tiba dan saya hanya naik sendirian kerana Kak Nida tidak jadi mengikut. Dalam berani, ada takutnya. Saya sampai juga ke tempat mak dan dari niat asal hendak menjenguk mak, saya tinggal beberapa hari di 'hostel' mak. Saya yakin, ayah pasti tahu di mana saya berada kerana pesanan sudah ditinggalkan melalui Kak Nida. Saya juga tahu, apa akibatnya bila saya pulang kelak. Tapi Alhamdulillah, ayah cuma berleter panjang. Rasanya kejadian ini ketika saya berusia lingkungan tiga belas tahun. Sudah agak berani.
Kisah rindu seorang anak ini membuatkan saya teringat kisah ketika masih di sekolah rendah, mungkin dalam usia sepuluh tahun. Kisah yang agak pedih dan terpahat kemas dalam lipatan hati saya. Mana mungkin saya melupakannya biarpun sudah lama berlalu. Mungkin akan mengundang rasa tidak senang, biarlah. Ketahuilah, saya tidak pernah menyimpan sebarang perasaan dendam atau marah. Mak telah berjanji untuk datang mengambil saya pada hujung minggu itu. Walaupun sekadar sehari dua dapat bersama mak, saya tidak kisah. Janji dapat bersama. Ayah seawal pagi lagi sudah keluar berniaga dengan mak (ibu tiri juga saya panggil mak) dan hanya akan pulang menjelang tengahari. Saya bertanggung jawab menjaga adik-adik. Sepanjang pagi itu jugalah saya duduk menunggu di hadapan rumah menunggu mak, tak pedulikan adik-adik, tak pedulikan makan minum. Ayah dan mak pulang tengahari itu dengan renungan tajam. Tidak saya pedulikan. Saya tetap menunggu di situ. Saya tahu mak telah sampai dan ada di rumah sahabat baiknya (rumah yang sering menjadi tempat pertemuan kami). Ayah keluar lagi selepas Zohor dan saya mula mengemas sehelai dua pakaian dan kembali menunggu di tempat tadi. Mak (tiri) di dalam rumah tidak memperdulikan tindakan saya. Sehingga menjelang Asar, kelibat mak masih tak kelihatan. Saya menjadi resah dan tidak larat lagi hendak menjawab setiap pertanyaan mereka yang lalu lalang di hadapan saya. Akhirnya mak tiba dengan sebuah teksi. Ketika itulah berlaku insiden yang memang tidak saya jangka. Tiba-tiba, insan ini (bukan mak tiri), meluru datang dan melemparkan semua pakaian saya ke arah mak yang menunggu di tepi jalan. Mungkin dia sudah dari pagi memerhatikan kelaku saya dan hilang sabar dengan tindakan saya itu. Pelbagai ayat yang keluar tapi tidak saya ambil peduli kerana raungan saya lebih kuat lagi. 'Drama' itu disaksikan oleh ramai orang kampung yang kebetulan berada di situ. Mak yang mungkin tak mahu keadaan menjadi lebih buruk, berlalu pergi menaiki teksi dengan linangan air mata dan saya meratapinya dengan raungan yang tak sudah. Seorang jiran yang bersimpati mengutip kain baju saya dan berusaha memujuk. Ayah yang mungkin telah dikhabarkan kejadian itu, bergegas pulang dan tidak terkata apa. Dibiarkan saya duduk termenung di pondok menunggu melayan perasaan. Menjelang Maghrib, ayah memanggil masuk dan saya dimandikan ayah dengan air yang mungkin telah 'dijampi'. Selesai mandi, terus hilang perasaan sedih dan saya dapat bergelak ketawa dengan adik-adik seperti biasa. Ya Allah, saya tidak pernah menyangka perkara seperti itu akan berlaku dalam hidup saya dan meninggalkan kesan yang bukan sedikit.
Saya melalui zaman sekolah rendah dan menengah dengan seribu satu kisah lagi. Alhamdulillah, saya berjaya juga melanjutkan pelajaran ke universiti walaupun dua lagi adik kandung kandas di tengah jalan. Ini membuktikan, walaupun 'perit' dan 'sakit' melaluinya, saya tetap bangkit berjuang dan betul seperti kata pepatah 'selepas hujan pasti ada pelangi'.
Kehidupan dilalui dengan penuh cerita dan kisah. Suka, duka, tawa, tangis menjadi rencah kehidupan kami sekeluarga. Ayah cukup bijak dan berhemah menyatukan kehidupan kami adik beradik. Tiga kelompok berbeza (adik beradik kandung, adik beradik sebapa dan anak-anak mak) disatukan di bawah satu bumbung menjalani kehidupan bersama. Adat hidup adik beradik, sesekali bergaduh kemudian kembali bermain bersama. Ayah melayan sama rata. Itulah yang menyatukan kami sehingga kini walaupun ayah telah hampir dua puluh tahun tahun meninggalkan kami. Didikan dan pesanan yang ditinggalkan menjadi panduan. Kami masih berkumpul sebagai satu keluarga.
Banyak lagi kisah dan cerita yang saya lalui tapi biarlah ianya menjadi sejarah dalam hidup saya. Mungkin sesekali akan saya ceritakan pada anak-anak dan cucu (InsyaAllah jika panjang umur) sebagai teladan untuk mereka lebih menghargai hidup ini. Hidup kita telah dijanjikan dan diatur oleh Allah dengan seindah-indah dan sebaik-baiknya. Walaupun kadang-kadang amat perit melaluinya, tetapi selepas keperitan itu Allah telah menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Terserah kepada kita bagaimana untuk melihat kembali sejarah kehidupan itu. Pandang lah ia sebagai satu yang positif dan pasti kita akan lebih kuat untuk melangkah ke hadapan.
Saya tidak pernah menyesal atau meratap dengan kehidupan yang telah dianugerahkan Allah ini. Terlalu banyak nikmat yang telah diberikan dan dugaan-dugaan itulah yang menjadikan hidup kita lebih bermakna. Saya selalu ingin melakukan yang terbaik untuk keluarga dan mereka disekeliling saya, walaupun kadang-kadang kehadiran saya seolah dipandang sepi oleh. Tidak mahu apa yang saya lalui itu ditempuh pula oleh anak-anak. Sesekali hati kecil ini tersentuh juga mengenangkan kisah-kisah itu.
"Ya Allah kau lindungilah kami dan satukan hati kami semua dengan ikatan kasih sayang keranaMu, Ya Allah. Jauhkan kami dari bisikan syaitan yang ingin memecah belahkan kasih sayang ini. Hidupkan kami dengan iman dan matikanlah kami dengan iman"
Allahu Akbar!
ReplyDelete