Thursday, June 23, 2011

HATI SEORANG IBU – INDAHNYA KURNIAANMU (MAJALAH MIDI BIL 102 , 1 DIS 2010)

Tika hati sedang sebal dengan suami, tangan membelek-belek majalah MIDI yang baru ku kenali beberapa bulan lalu. Hanya sekadar untuk melepaskan rasa, beberapa ayat dalam ruangan Santapan Rohani secara tiba-tiba mengetuk pintu hati ini. Lantas aku beristigfar, memohon keampunan Ilahi atas sifat diri yang tidak tahu bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan selama ini. Aku telah lengkap segalanya, menjadi seorang anak, isteri dan ibu kepada tiga orang cahaya mata. Pastinya Allah akan menguji setiap insan dan ujian itu berbeza-beza. Lantas aku teringatkan ayat "Allah menurunkan ujian kepada hambanya sesuai dengan kemampuan kita menerimanya dan maknanya Allah sangat sayangkan kita" yang sering menjadi penyejuk hatiku dikala merenung cabaran yang terbentang di hadapan mata. Cabaran yang dibentangkan oleh Allah di hadapan kami sertai dengan nikmat yang bukan kepalang banyaknya.
Tatkala melihat anak-anak gadis remaja seawal usia 13 tahun, berpeleseran di pusat membeli belah atau beramai-ramai berjalan ke sekolah menuntut ilmu, hati ku pastinya terusik. Lantas teringatkan anak gadis istimewaku di rumah. Walaupun sudah berusia 16 tahun, dunianya hanyalah rumah dan pusat latihan insan istimewa yang dihadirinya saban hari. Selalu aku berangan-angan dan bertanya pada suami, "kalau Along tu normal, agaknya dia belajar di sekolah mana ya sekarang? Jenuhlah kita berulang-alik setiap minggu 'menziarahi' anak-anak di asrama." Pastinya hanya dijawab dengan jelingan oleh suamiku.
Mengimbas kembali kenangan jerih perih membesarkan Along, aku pasrah. Telah banyak yang kami lalui dan pastinya masih banyak lagi cabaran yang menanti di hadapan. Semakin membesar, semakin susah mengendalikannya. Kesabaran bukan hanya perlu di tahap 100%, tetapi mungkin 500%. Dia juga sudah mempunyai hati dan perasaan, tidak suka dipandang dan menjadi bahan perbicaraan. Dunia kami semakin terbatas. Hendak ke mana-mana perlu memikirkan keselesaan dan kemudahan untuk Along. Tempat yang sesak bukan lagi menjadi destinasi. Hatta hendak ke taman-taman rekreasi pun perlu memilih yang betul-betul sesuai, apatah lagi hendak bersantai-santai di restoran makanan segera. Kadang-kadang kasihan melihatkan adik-adiknya yang mahu duduk bersantai-santai di restoran makanan segera, menikmati makanan sambil melayari internet percuma dan berbual-bual kosong dengan kami. Kalaupun berkesempatan, pastinya dalam keadaan tergesa-gesa takut 'angin' Alongnya tiba-tiba berubah. Kadang-kadang, sambil menikmati makanan pun, Along boleh mengamuk dengan tiba-tiba jika tidak kena gayanya.
Aku amat bersyukur kerana dikurniakan suami yang amat memahami dan banyak membantu juga anak-anak lain yang dapat menerima Along seadanya. Walaupun kadang-kadang kami bergaduh kerana Along, aku menerimanya dengan hati terbuka kerana perlu akur, suamiku lebih rapat dengan Along dan Along juga lebih selesa bermanja dengan ayahnya berbanding mama yang lebih garang. Kehamilanku yang ketiga selepas hampir dua belas tahun tidak mengandung menyebabkan aku tidak terdaya menguruskan Along. Suamilah yang menguruskannya dalam segala segi baik makan minum, mandi, berpakaian dan sebagainya sehinggalah sekarang. Sering aku mengingatkan suami, ingatlah Along sebagai darah dagingnya sendiri. Yang pastinya suamiku amat menyayangi Along sehinggakan setiap kali Along diserang sawan, suamiku akan menangis melihat kesakitan yang ditanggungnya. Sesungguhnya Along amat bertuah mendapat seorang ayah yang begitu baik dan penyanyang, meminggirkan kepentingan diri hanya untuk anak istimewanya.
Pernah aku berangan, yang pastinya tidak akan menjadi kenyataan, jikalau masa itu boleh diputar kembali, satu sahaja yang aku ingin lakukan-melahirkan semula Along supaya dia dapat menjadi seperti insan normal yang lain. Angan-angan seorang ibu yang terlalu ingin melihat anaknya seperti insan lain, tertawa riang, bermain, berlari dan bergaduh dengan adik-adik, mengadu dan bercerita dengan ayah ibunya seperti keluarga lain. Jika dikenang-kenangkan angan-angan itu pasti mengundang senyum dan kadang-kadang mengugurkan air mataku. Apa yang tidak kami lakukan dalam usaha untuk memulihkan Along, baik secara moden atau tradisional. Berulang alik ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan menjadi rutin hidup kami. Jika anak lain, untuk memeriksa kesihatan gigi, hanya perlu ke klinik gigi, lakukan pemeriksaan dan segalanya selesai. Tidak bagi Along. Untuk melakukan pemeriksaan gigi sahaja, perlu dimasukkan ke wad, dibius dan barulah pemeriksaan dan rawatan boleh dilakukan. Istimewanya anakku ini. Segalanya istimewa.
Ibubapa mana yang tidak marahkan anak. Anak-anakku yang normal juga biasa aku marahi jika tingkah mereka tidak kena. Tapi Along, jika dimarahi, apalah yang difahami. Aku juga punya tahap kesabaran sebagai seorang manusia. Pernah aku marah dan pukul Along bagaikan orang hilang akal bila dia melakukan perkara yang membuatkan darahku mencanak ke kepala. Tapi apa gunanya. Dia tidak mengerti mana yang betul, mana yang salah, mana yang boleh, mana yang tidak. Setiap kali lepas marah atau memukulnya, aku pasti akan menyesal sendiri. Tangis yang aku telan sendiri, menyesali perlakuan burukku itu.
Saban malam, yang sering bermain difikiranku sebelum memejamkan mata ialah, bagaimana jika kami tiada lagi di dunia ini. Siapa yang akan menjaga Along. Sanggupkan adik-adiknya atau saudara mara kami mengambil alih tugas kami membesarkan Along atau di pusat kebajikan manakah Along akan ditempatkan selepas kami tiada nanti. Umur itu ketentuan Ilahi. Aku sering membayangkan yang buruk dan pastinya air mata akan mengalir mengenangkan semua itu. Pernah aku memanjatkan doa pada Ilahi, jika ingin mengambil nyawa kami, ambillah nyawa Along terlebih dahulu atau ambillah nyawa kami semua bersama, kerana sebagai ibu aku tidak sanggup melihat anak-anakku terutamnya Along menderita selepas kami tiada. Suamiku sering menegurku tentang perkara itu. Betul katanya, Allah itu maha mengetahui. Dia adalah perancang yang terbaik dan pastinya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah berusaha selagi kudrat kami ada dan memohon agar Allah sentiasa memberikan kami kekuatan untuk menempuh apa jua yang mendatang. Apa jua yang diberikanNya adalah yang terbaik untuk kami dan kami terimanya dengan redha. Walaupun Along umpama 'racun' dalam hidup kami tapi dia jugalah penawarnya dan pastinya setelah Allah mengurniakan Along, Dia juga mengurniakan anak-anak lain yang baik, cerdik dan cantik seperti Alongnya kepada kami. Lengkap hidupku dengan permata hatiku yang amat aku sayangi dan moga Allah mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepadaku untuk masa-masa mendatang.


3 comments:

  1. as salam,

    menitis air mata akak membaca kisah awak. akak boleh bayangkan bagaimana susahnya awak hendak mendidik anak istimewa ini. Namun Akak tersangat yakin , awak juga adalah insan teristimewa yang Allah pilih untuk merasai dugaan ini.dan akak juga yakin awak boleh menerimanya dengan hati terbuka. Semoga Allah memberi kekuatan kepada awak dan memberkati kehidupan awak sekeluarga...
    amin.....

    ReplyDelete
  2. Kak Tina~terima kasih atas doa akak. Inilah warna warni perjalanan hidup kami. Allah telah mengamanahkan anak syurga ini kepada kami dan kami redha dengan segala ketentuanNya. Biarpun perit dan pedih untuk menerima ketentuan ini awalnya, tapi kini kami amat yakin yang Allah menduga umatNya sesuai dengan kemampuan kita menerimanya...

    ReplyDelete
  3. Semoga Allah terus mberikanmu kekuatan dan kelapangan..Aamin!

    ReplyDelete