Thursday, September 29, 2011

Berilah kami kekuatan...

Sudah hampir empat hari saya berada di sekitar Kuala Kubu Bharu, Kuala Lumpur dan Gombak. Bermakna sudah empat hari juga saya merindui 'syurga kecil' kami di atas perbukitan sana. Empat hari juga saya berulang alik ke Unit Radiologi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur menghantar, meneman dan menziarahi bonda yang akhirnya bersetuju untuk menjalani rawatan kimoterapi untuk kali kedua. Rawatan kali ini lebih intensif dengan 3 pusingan untuk tempoh hampir empat bulan. Bermakna, untuk tempoh empat bulan ini juga kami sekeluarga akan menjadi pengunjung setia HKL.

Sudah puas memujuk, 'menakutkan' sehingga peringkat 'mengugut', bonda menolak untuk menjalani rawatan kimoterapi lagi. Sakit dan tidak sanggup melaluinya lagi, katanya. Memang benar, kita yang memandang, hanya sekadar mampu memandang, tidak dapat merasai apa yang sedang dilaluinya. Segala racun ubatan kimoterapi yang melalui urat darah meninggalkan kesan yang bukan sedikit. Muntah, loya, pening, tidak bermaya, ulser mulut yang kronik, langsung tidak berselera makan adalah sesuatu yang amat menyeksakan bagi mereka yang menjalani rawatan ini. Mujur bonda tidak mengalami keguguran rambut. Dan memang diakui, bonda amat kuat melaluinya. Jika kita berada di tempatnya juga, akan berfikir berulang kali untuk melalui lagi 'penderaan mental dan fizikal' itu.

Bonda akhirnya mengalah bila imbasan x-ray menunjukkan sel-sel pembunuh itu sudah merebak ke seluruh paru-parunya. Rupa-rupanya itulah sebab yang meneyebabkan bonda batuk tidak berhenti walaupun sudah menelan pelbagai jenis ubat batuk. Ianya hanya mengambil masa tidak sampai 6 bulan dari imbasan x-ray pertama yang menunjukkan sel-sel itu hanya berada di bahagian bawah paru-paru pada waktu itu. Walaupun doktor sudah berterus terang menyatakan rawatan kimoterapi kali ini bukan untuk menyembuhkan, tetapi hanya memperlahankan keaktifan sel-sel kanser itu dan peratus kejayaan hanya 20-30% sahaja, bonda dengan rela hati bersetuju kerana tidak mahu hidup bergantung dengan tangki oksigen bila paru-paru sudah tidak boleh berfungsi. Alhamdulillah, walaupun baru pusingan pertama (malahan ada lagi tiga hari untuk melengkapkannya), bonda sudah merasai kesan rawatan. Batuk sudah berkurangan dan dapat tidur dengan lebih lena di malam hari tanpa gangguan batuk.

Berada di ruang menunggu dan wad unit rawatan onkologi ini, menyaksikan pelbagai rupa dan gelagat pesakit. Betapa wajah-wajah ini menyedarkan saya bahawa penyakit tidak mengira umur, bangsa dan pangkat. Seorang anak lelaki yang berumur 7 tahun begitu riang bermain dengan dua orang adiknya walaupun kepala sudah tidak mempunyai sehelai rambut pun kesan dari rawatan kimoterapi untuk kanser darah yang dihidapinya. Tiada riak sakit atau risau menghitung sisa-sisa umur di wajah anak ini. Di wad tingkat dua juga, tidak terlihat satu wajah pun yang bersedih atau meratapi nasib diserang penyakit pembunuh itu. Begitu tabah mengharungi rawatan yang menyakitkan samada kimoterapi atau radioterapi. Masing-masing masih boleh berborak riang, bertukar cerita walaupun tangan tercucuk jarum dan botol ubat tergantung, setia dibawa kemana sahaja. Jururawat dan doktor juga begitu komited menjalankan tugas mereka dan mesra melayan pesakit (tidak lagi terjumpa senario jururawat garang seperti 'zaman jururawat veteran' sebelum ini). Setiap kali waktu melawat, kami umpama berkelah di wad, dengan pelbagai makanan yang dihidang untuk membuka selera bonda dan pelbagai lawak jenaka untuk menghiburkan bonda yang sedang bertarung dengan kesakitan. Kami juga perlu kuat dan tidak boleh menunjukkan kesedihan di hadapan bonda walaupun kadang kala saya tidak mampu menahan gelora rasa melihat kerutan sakit di wajah bonda.

Ya Allah Kau berilah kekuatan kepada bonda dan kepada kami untuk mengharungi semua ini dan Kau sembuhkanlah bonda kami dari penyakit ini Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...

No comments:

Post a Comment