Dengan Nama Allah
yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Tidak tahu dari
mana hendak dimulakan kisah ini. Setiap
kali menatap wajah Along, saya pasti akan terkenang kan Yusuf, anak syurga yang
akan saya kisahkan nanti. Betapa Along
sangat bertuah dilahirkan di tanah leluhur ini.
Tidak dapat dibayangkan jika saya dan Along berada di tempat Yusuf dan
ibunya. Benarlah janji Allah, dugaan dan
cubaan ke atas hambaNya sekadar yang mampu diterima. Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang tidak memberikan hambaNya sesuatu tanpa sebab. Pasti ada hikmah disebalik setiap sesuatu
kejadianNya. Terserah bagaimana cara
kita melihat, menerima dan mentafsirnya.
Alhamdulillah, saya
diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke Jakarta, Indonesia pada 30 Jan hingga
3 Feb 2015. Kembara di bumi Allah yang
amat saya nantikan. Perjalanan kali ini
membawa satu misi untuk anak-anak syurga kami.
Ada sedikit rasa gusar mengembara ke negara orang tanpa suami atau ahli
keluarga yang lain. Kami ke Jakarta
hanya bertiga. Saya, Kak Azlina yang
saya panggil Kak Nina dan Alia, anak gadis Kak Nina yang berusia 24 tahun. Alhamdulillah, Allah memudah dan melancarkan
perjalanan kami. Bermula dari KLIA sehingga lah mendarat ke Lapangan
Terbang Seokarno Hatta, Jakarta. Melihat
kepada persekitaran bandaraya Jakarta, tidak terasa berada di bumi asing. Satu rumpun bangsa, satu agama menjadikan
kita tidak terasa asing di sini. Cuma
lenggok bahasa yang sedikit berlainan tetapi masih mudah difahami. Cuma yang menjadi sedikit janggal ialah
matawangnya yang menjadikan kami jutawan untuk beberapa hari. Terkial-kial mengira setiap kali hendak
membuat pembayaran.
“Dua ratus tiga puluh ribu,
ibu.”...erk...yang mana satu note yang hendak dihulurkan. Jurujual hanya tersenyum memerhati saya yang
meneliti setiap keping note yang ada.
Masuk hari ketiga, sudah agak cekap dengan note tetapi masih
terkial-kial membuat pengiraan untuk menukar ke nilai Ringgit Malaysia. Kebiasaannya Alia yang menjadi calculator
kami.
Kembali kepada
kisah Yusuf. Ibu Yusuf adalah kenalan fb
saya. Baru beberapa bulan berkenalan di
alam maya tetapi tidak pernah bertegur sapa.
Tetapi saya sering mengikuti perkembangannya melalui perkongsian
sesekalinya di laman muka buku. Lansung
tidak mendapat gambaran bagaimana keadaan sebenar kehidupan mereka. Saya hanya mengetahui yang ibu Yusuf adalah
pengidap kanser payudara pada hari kedua di sana melalui posnya yang terbaru. Sebelum itu saya telah menghubungi beliau
menyatakan hasrat untuk berkunjung dan menziarahi mereka terutamanya
Yusuf. Dengan bantuan seorang rakan,
kami menggunakan khidmat supir atau pemandu (bukan teksi) untuk ke rumah Yusuf
dengan bayaran 600 ribu rupiah. Lumayan
bukan? Kami tiada pilihan dan tidak
berani menggunakan teksi mengenangkan tidak tahu bagaimana keadaan tempat
mereka. Adakah mudah untuk mendapatkan teksi untuk pulang ke hotel nanti. Tambahan pula, kami berkunjung di sebelah
petang dan seperti semua sedia maklum keadaan trafik di Jakarta sentiasa macet
(sesak). Sampai ke rumah Yusuf selepas
Maghrib setelah hampir 2 jam perjalanan menempuh macet yang tidak pernah reda.
Yusuf, anak syurga di seberang |
“Silakan ibu. Maaf rumahnya kecil sahaja. Bawa kasutnya masuk ke dalam. Tidak
mengapa.”
Ibu Yusuf sangat
ramah dan lembut sekali tutur katanya.
Lenggok bahasa pertuturan mereka amat lembut sekali dan saya memang
ralit mendengar mereka berbicara.
Disambut oleh seorang anak lelaki yang berumur 13 tahun, seorang anak
perempuan berumur 7 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun dan Yusuf,
anak syurga mereka yang berumur 9 tahun, terbaring di atas tilam nipis di
penjuru ruang tamu. Rumah kecil mereka sangat ringkas tetapi bersih. Di ruang tamu hanya ada hamparan lusuh, kipas
dan televisyen. Kali pertama melihat Yusuf saya terus jatuh cinta. Sungguh indah, bersih sekali wajahnya anak
syurga ini. Sesuai dengan namanya,
seperti Nabi Yusuf yang sangat cantik sekali paras rupanya. Saya menahan kolam mata. Terus teringatkan Along yang ditinggalkan
jauh beribu batu di tanah air. Terasa
ingin terbang pulang memeluk Along ketika itu.
Sekali pandang kami
sudah dapat meneka, anak-anak dipakaikan dengan pakaian baru untuk menerima
kunjungan kami. Mereka kelihatan sangat
gembira menerima kehadiran tetamu jauh yang langsung tidak dikenali ini. Huluran buah tangan disambut gembira dan
sekali lagi saya tidak mampu memandang kegembiraan anak-anak ini. Tin biskut terus dibuka. Mereka menikmati biskut dengan penuh perasaan dan
gembira. Sekeping biskut dihulurkan kepada ibu untuk disuapkan kepada Yusuf. Allahhuakbar...sedaya upaya saya menahan
kolam mata yang sarat bertakung ini.
Teringat akan anak-anak di rumah yang sering ‘jual mahal’ dengan biskut
begini. Kak Nina dan Alia melayan Salma
dan Abu Bakar menikmati biskut yang dibawa.
Manakala saya lebih tertumpu kepada Yusuf yang tidak jemu mata
memandang. Anak ini mengalami Cerebral
Palsy akibat sawan dan kekejangan selama 14 jam ketika berumur hampir setahun.
Ibu Yusuf ramah bercerita dan berkongsi kisah dan kami sedaya upaya berusaha
menghadam lumat setiap kisah hidupnya.
Kekangan kewangan
membataskan usaha mereka untuk membawa Yusuf menjalani rawatan dan
pemulihan. Tetapi ibunya tidak berdiam
diri, membuat terapi sendiri di rumah.
Tulang bahu dan buku lali sudah terkeluar. Yusuf tidak mampu duduk
sendiri dan lehernya juga masih belum kuat.
Hanya terbaring sepanjang masa. Saya mengusap kulit mulus Yusuf dan
terasa tulangnya tanpa isi. Saya tidak
pasti bagaimana polisi kerajaan Indonesia berkenaan dengan rawatan dan
pemulihan anak-anak istimewa seperti Yusuf.
Tetapi dari cerita mereka, memang amat sukar selain kos yang sangat
tinggi. Tiada pusat-pusat terapi dan
latihan percuma untuk anak-anak ini.
Jika ada pun, yang berbayar dan pastinya mereka tidak mampu untuk
menghantar Yusuf ke sana.
Ibu Yusuf yang
merupakan pengidah kanser payudara tahap 4, tidak mampu menjalani rawatan di
hospital. Tambahan pula tiada siapa yang
boleh diharapkan untuk menjaga Yusuf dan adik beradik yang lain jika dia
menjalani rawatan di hospital. Dia hanya
menjalani rawatan alternatif. Tetapi
semangatnya sangat tinggi, berjuang melawan kesakitan akibat kanser demi anak-anak. Ayah Yusuf juga seorang yang peramah dan
sangat lembut tutur katanya. Mereka
sudah hampir setahun tidak mempunyai pendapatan tetap akibat ditipu dalam
perniagaan. Yusuf bergantung penuh kepada ibunya. Anak ini sangat baik dan tidak pernah
menyusahkan ibubapanya. Faham jika
ibunya sedang sakit dan tidak mampu menguruskannya. Menurut cerita ibunya, pernah Yusuf tidak
terurus selama dua hari kerana dia tidak mampu bangun akibat kesakitan yang
amat sangat ketika kansernya pecah. Ya
Allah...tidak mampu dan tidak mahu saya bayangkan keadaan mereka ketika itu.
“Maaf ya ibu. Saya tidak memuliakan tetamu. Tiada makanan mahu dihidang.” Sekali lagi saya terasa seperti ditampar. Sejujurnya, saya sudah membayangkan dalam perjalanan tadi
apakah hidangan istimewa yang akan dihidangkan kepada kami. Tambahan pula saya memang suka merasa makanan
baru. Saya terus terasa kenyang
mendengar kata-kata ibu Yusuf. Ketika
tiba, kami sudah dihidangkan dengan air kopi luwak yang dibancuh oleh anak
bujang mereka. Memang enak sekali
rasanya. Kak Nina yang tidak sukakan
kopi boleh menghabiskan segelas kopi yang dihidangkan. Manakala saya berkira-kira untuk menghabiskan
walaupun hati sangat meronya-ronta untuk untuk menikmatinya hingga ke titisan
terakhir. Saya membayangkan mata yang
akan cerah sehingga ke pagi penangan kopi ini.
Kak Nina, Alia dan
saya hanya mampu berpandangan sesama sendiri mendengar ayat ibu Yusuf. Berkali-kali dia memohon maaf kepada kami. Tidak mampu berkata apa-apa lagi. Sekembalinya ke tanah air barulah saya
mengetahui cerita sebenar. Ibu Yusuf
menceritakan sebenarnya saat itu anak-anak tiada susu dan makanan. Allah mengirimkan sedikit makanan dan susu melalui
kami. Air mata saya tumpah
membacanya. Sedikit kesal kerana tidak
membawa makanan lebih banyak ketika itu.
Hampir dua jam kami
berada di rumah Yusuf. Ketika melangkah
keluar dari situ saya seperti mendapat satu semangat dan persepsi baru. Wajah Along terbayang-bayang di depan mata. Kami diiringi hingga ke pintu kereta.
“Ibu, mahu naik mobil...ibu,
mahu naik mobil...” Itu sahaja ayat yang keluar dari mulut Abu Bakar, anak
kecil yang berusia tiga tahun itu. Kalau
Saya yang memandu kenderaan itu, mahu saja saya bawa pusing-pusing sebentar
untuk memenuhi hasrat anak kecil itu.
Tapi apakan daya kami. Apakah ini
realiti sebenar kehidupan di sini?
Allahhuakbar...
Sepanjang
perjalanan pulang kisah hidup beberapa jam tadi dimainkan semula dalam
fikiran. Betapa akal saya tidak
terjangkau mengenangkan kisah hidup itu.
Saya tidak pernah lagi berhadapan dengan kisah yang sebegitu sepanjang
umur hidup ini di negara sendiri.
Terbayang-bayang susuk tubuh dan wajah tulus Yusuf yang terbaring di
atas tilam nipis itu. Nasibnya sudah
tersurat begitu. Terbayang pula
anak-anak syurga yang dikenali di tanah air sendiri. Betapa bertuahnya kalian berbanding
Yusuf. Teringat-ingat juga keluhan,
rintihan, rungutan dan kecaman ibubapa anak-anak syurga di tanah air. Jika kita yang bertukar tempat dengan Yusuf
dan ibunya, tidak pasti lagi kita akan sekuat dan setabah itu. Sedangkan segala kemudahan tersedia di depan
mata juga masih merungut itu dan ini.
Segalanya serba payah dan susah.
Sedangkan masih mampu memandu kereta walaupun sekecil Perodua Kancil.
Ya Allah, betapa
kami ini manusia yang tamak. Mahukan
segala hak kami, tetapi terlupa akan hak orang lain yang juga memerlukan. Ampunkan kami Ya Allah...Ampunkan kami...
Perjalanan 5 hari 4
malam ini merupakan kembara yang penuh bermakna, penuh dengan kisah dan
cerita. Akan saya coretkan nanti kisah
dua darjat anak syurga di sini. Ini
adalah catatan perjalanan peribadi saya sendiri. Tidak terniat untuk menyentuh atau
menyinggung mana-mana pihak sekali pun.
Jika ada yang tercuit jiwanya untuk membantu walaupun hanya sepotong ucapan
doa untuk mereka, syukur Alhamdulillah.
Jika ada yang tersentuh hatinya, saya memohon ampun dan maaf...
Ibu Donna (bertudung putih), ibu Yusuf yang sangat kuat dan tabah |
Bersama ayah, ibu dan dua orang adik Yusuf, Salma dan Abu Bakar |
No comments:
Post a Comment