Saturday, July 16, 2011

Catatan Perjalanan 2 - Perlis


Seawal pagi kami bersiap untuk memulakan misi hari kedua. Banyak rumah saudara mara akan diziarahi dalam masa yang singkat ini. Banyak agenda telah dirancang dan moga dipermudahkan perjalanan ini. setelah menikmati sarapan pagi nasi lemak yang enak (nasi lemak bungkus daun pisang yang kecil dan masih murah), kami menuju ke rumah sepupu (anak saudara bonda). Kebetulan ketika ini ialah musim durian di Perlis. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, saya yang memang 'hantu' durian tidak melepaskan peluang menikmatinya. Suami sepupu yang kami panggil Kak Lan adalah peniaga durian. Pastinya durian terbaik yang dihidangkan kepada kami. Lama benar tidak menikmati durian seenak ini. sayangnya tidak banyak yang dapat dimakan lantaran perut yang masih kenyang dengan nasi lemak tadi. Jamuan durian akan bersambung malam ini, kerana kami akan bermalam di rumahnya.

Masalah utama jika pulang ke kampung (saya pasti semua orang mengalaminya) ialah 'tidak muat perut' untuk menikmati juadah yang dihidangkan. setiap rumah yang dikunjungi pastinya akan menghidangkan juadah yang mesti dinikmati walaupun sedikit. Rasa sebu perut dengan air kopi o yang menjadi minuman utama orang utara. Buah rambutan dan durian yang sedang bermusim juga menjadi hidangan utama. Juadah baru yang saya pelajari-cucur durian. Sangat enak dimakan dengan air kopi o.

Tempat yang wajib saya kunjungi jika pulang ke Perlis ialah Kuala Perlis untuk menikmati laksanya yang popular. Hanya satu kedai yang saya tuju iaitu restoran Nelayan yang terletak berhampiran Pejabat Kastam Kuala Perlis. Sesat juga mencarinya. Kecur liur teringatkan laksanya yang memang enak. walaupun perut sudah hampir penuh, tetapi yang ini tidak dapat saya tolak...


Menikmati laksa, pasembur dan cucur ketam memang membuatkan saya begitu puas kerana sudah lama tidak menikmati makanan begitu. Sudah lama 'mengidam'. Perlu banyak bergerak selepas ini kerana banyak lagi yang akan dinikmati...catatan akan bersambung lagi...

No comments:

Post a Comment