Monday, July 18, 2011

Tak nak balik ke?

*catatan selingan sebelum menyambung catatan kembara...

"Tak nak balik sini ke?"
"Bila nak balik Kuala Kubu?"
"Wah! Dah seronok duduk atas bukit, tak ingat dah nak balik sini ya."

Itulah antara persoalan-persoalan yang sering ditanya setiap kali pulang ke Kuala Kubu Bharu (KKB). KKB dan kehidupan saya tidak dapat dipisahkan. Sehingga kini, walaupun sudah hampir enam tahun secara rasminya kami meninggalkan KKB, namun saya tetap rindukan suasananya. Di situlah saya memulakan kehidupan berkeluarga, melahir dan membesarkan dua orang anak, memulakan alam pekerjaan (setahun sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih dan hampir dua belas tahun sebagai Pengurus Syarikat), memulakan perniagaan dan pelbagai lagi corat coret kehidupan yang ditempuhi di sana. Sehingga kini juga saya masih lagi pulang ke sana untuk berjumpa adik beradik dan anak saudara juga rakan taulan yang masih rapat hingga kini.

Walaupun terkadang ada juga saya memikirkan untuk turun, menetap semula ke sana (tambahan pula sudah mempunyai rumah di sana), ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Di Cameron Highlans, bagi kami yang sudah menetap di sini, tiada apa yang indahnya kecuali suasana dan suhu yang nyaman selesa dan pemandangan indah. Selebihnya sudah menjadi rutin dan kadang kala amat membosankan. Untuk mendapatkan keperluan yang lebih sedikit atau pulang ke kampung, perlu menempuh perjalanan turun naik yang berliku dan memenatkan. Saya yang sudah terbiasa memandu turun dan naik sendirian juga kini tidak lagi 'berminat' untuk melakukannya. Semuanya sudah menjadi satu yang kadang kala membebankan. Tapi walau apapun, semua itu perlu ditempuhi. Tiada cara lain untuk turun ke Ipoh mejenguk Aiman atau pulang ke kampung Jengka, Tanjung Karang, Gombak atau untuk turun ke KKB sekalipun.

Jika begitu, mengapa masih setia di sini? Jawapan saya hanya satu- di mana suami saya, di situlah saya dan yang paling utama ialah tempat latihan untuk Ammira@Along. Itulah hikmahnya kami berpindah ke sini. Kami bertemu dengan pusat latihan untuk insan-insan istimewa yang baik hanya hampir selepas dua tahun berpindah ke sini. Sehari selepas mengetahuinya, saya dan suami terus memindahkan Along ke pusat latihan tersebut dari PDK (Pusat Pemulihan dalam Komuniti) yang dihadirinya saban hari. Kami menerima pelbagai cemuhan dan sindiran kerana membenarkan anak kami dididik oleh guru berbangsa India beragama Kristian...dan kini Along juga tinggal di sana untuk 4 malam seminggu. Suami saya yang juga bertugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan menjaga hal ehwal PDK juga menyokong 100% tindakan itu kerana sebabnya tersendiri. Kini Along sudah ada banyak perubahan dan kemahiran asas yang kami akui kami sendiri tidak mampu mengajarnya. semakin Along membesar semakin besar jugalah cabarannya kepada kami. Hanya kami dan mereka yang megalaminya sahaja yang memahami apa jua tindakan yang kami lakukan...

Kini saya akui dan memahami mengapa kawan baik saya yang mempunyai anak down sindrom menghantar anaknya untuk mengikuti latihan sambil kerja di tempat lain sedangkan dia juga seorang guru yang berpengalaman. Ramai yang mempertikai tindakannya termasuk saya, tapi kini saya amat memahaminya. Orang luar hanya boleh bercakap apa yang mereka suka, tetapi sukar memahami apa yang kami lalui sebenarnya...

Itulah antara sebab utama mengapa kami tidak lagi mahu pulang ke Kuala Kubu Bharu (buat masa ini)...

No comments:

Post a Comment