Monday, July 18, 2011

Catatan Perjalanan 3 - Masih di Perlis

Pernah tengok 'makhluk-makhluk' ini


dari atas ke bawah - belangkas yang telah di rebus (siap untuk diratah isi dan telurnya yang amat sedap), kerang bulu, kepah, mentarang dan belangkas padi

Menyusur laut Kuala Sungai Baru selepas perut kenyang dengan laksa Kuala Perlis, pasembur dan cucur ketam, saya terjumpa dengan gerai kecil menjual hasil laut yang baru ditangkap. Mentarang memang biasa saya makan (di Tanjung Karang), tetapi kepah, kerang bulu (yang sebesar duit syiling lima puluh sen) dan belangkas tidak pernah saya jumpai secara 'live' begini. Teruja dengan belangkas yang masih hidup dan Kak Lan berjaya memujuk pemiliknya untuk menjual belangkas padi yang amat payah dijumpai itu kepada kami. Katanya ekor belangkas padi yang licin dan bulat (berbeza dari belangkas biasa yang ekornya berduri dan bersegi) boleh dijadikan tangkal untuk mengelakkan anak kecil dari 'diganggu' (kepercayaan yang tidak boleh saya terima). Namun untuk menjaga hatinya, saya terima juga sekadar untuk merasa telur belangkas yang amat enak itu. Belangkas juga tidak boleh dipegang dibahagian kepalanya kerana dipercayai telur belangkas akan cair begitu saja.

untuk makan telur belangkas juga ada caranya. kantung najisnya perlu dibuang dahulu untuk mengelakkan mabuk. Sampai sahaja di rumah Cik Embun, adik tiri arwah ayah, kami sekali lagi terjumpa seorang budak lelaki yang baru sahaja naik dari pantai membawa seekor belangkas. Terus saya membelinya dan Cik Embun menawarkan diri merebus dan mengajar cara memakannya.


Inilah rupa telur belangkas yang tak boleh saya ganmbarkan keenakkannya sehinggakan saya pening lalat kerana terlebih makan...

Keindahan perkampungan nelayan arwah datuk yang sudah lama tidak saya kunjungi menggamit pelbagai memori. Sewaktu kecil dahulu, jika pulang ke kampung bersama arwah ayah, kami akan berkunjung ke rumah Tok Wan (yang kami panggil 'chak') dan dijamu dengan pelbagai jenis makanan laut yang segar dari perahu nelayan. Hanya direbus dan dicicah air asam, tapi cukup enak sekali. Manakan dapat diulang kenangan indah itu sekarang...

2 comments:

  1. salam perkenalan kak saripah. boleh panggil saya fiza, saya kagum dgn akak. saya juga punya anak istimewa, SD....saya follow akak. terima kasih kak, sudi follow saya.

    ReplyDelete
  2. Fiza~moga medan ini menjadi tempat perkongsian pengalaman dan pengetahuan kita sebagai ibu-ibu istimewa. terima ksih juga kerana sudi menjenguk kembali blog akak.

    ReplyDelete