"Ya ALLAH, janganlah KAU bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana telah KAU bebankan kepada orang sebelum kami.
Ya ALLAH, janganlah KAU pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya.
Ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami. Maka tolonglah kami..."
Al Baqarah : 286
Tidak pernah terlintas langsung difikiran ini akan dikurniakan dengan anugerah anak istimewa ini. Tidak tahu langsung dia akan menjadi insan istimewa selepas dilahirkan 18 tahun lalu. Semuanya tidak, tidak dan tidak...Kami hanya mengetahui hakikat sebenar keadaan Along selepas 6 bulan dia dilahirkan. Satu persatu kata-kata Prof Ong Lai Choo, Pakar Neurologi Pediatrik, HKL (ketika itu) masih kekal terpahat. Jelas sejelas-jelasnya. Bertahun-tahun kami suami isteri mengambil masa untuk menghadam lumat kata-kata itu. Ya, bertahun-tahun bukan masa yang singkat. Pelbagai cabaran dan dugaan kami lalui, tempuhi dan hadapi. Macam tidak percaya kami yang ketika itu berusia seawal 24 tahun berjaya mengharungi semua rintangan itu tanpa kami sedari sedang melaluinya.
Cabaran utama bagi kami ialah bagaimana berhadapan dan menangani emosi kami sendiri. Bagaimana untuk menerima, redha dan bersyukur dengan anugerah itu. Bukan perkara yang mudah sebenarnya untuk redha. Selalu terlintas di hati "mengapa aku?", "Apa salah aku sehingga diduga begini."...Astagfirullahhal'azim...Kami masih cetek ilmu agama ketika itu, masih mempertikaikan pemberian Allah. Ya Allah, ampunilah kami...Hari demi hari kami belajar menerima, berdepan dengan realiti sebenarnya. Melakukan segala yang terbaik untuk anak istimewa kami dengan harapan menggunung tinggi agar satu hari nanti dia akan pulih sepenuhnya. Ibubapa mana yang tidak mahu melihat anaknya membesar sihat, cergas dan cerdas mental dan fizikal. Kami juga tidak terkecuali walaupun pernah diberi 'amaran' oleh doktor.
Setiap hari yang kami lalui adalah proses pembelajaran bagi kami sebagai ibubapa. Setiap hari ada sahaja perkara baru yang kami pelajari hinggalah kehari ini. Berdepan dengan ahli keluarga dan masyarakat sekitar juga merupakan satu cabaran. Bukan semua boleh menerima atau memahami anak istimewa ini. Kejian, tohmahan, simpati maupun pujian yang diterima saban masa menjadikan kami manusia yang 'lali' bahkan kadang-kadang sehingga tahap 'hati kering' berdepan dengan mereka.
Pada peringkat awal, penafian memang tidak dapat dielakkan. Susah sungguh hendak menerima kenyataan. Pernah saya menangis dan menjeruk rasa berhari-hari lamanya kerana seorang insan memanggil anak saya dengan panggilan 'BUDAK CACAT'. Bisa sungguh perkataan itu. Rasa mahu dicili-cili mulut orang yang mengucapnya. Suka hati panggil anak aku cacat...Itu adalah antara perkataan-perkataan taboo bagi ibubapa kepada anak istimewa. Pantang sungguh mendengar perkataan itu. Kalaulah boleh dipadam terus dari direktori perkataan Bahasa Melayu, mahu saja saya memadamnya agar tiada siapa lagi boleh menggunakan perkataan itu. Begitu sekali...
Namun, hari demi hari kami belajar menerimanya. Perkataan itu tiada salahnya. Yang salah ialah penutur dan orang yang menerimanya. Memang hakikatnya CACAT tetap CACAT. Cuma sekarang perkataan itu diperindahkan sedikit dengan menukarnya kepada 'anak istimewa' atau Orang Kelainan Upaya (OKU). Namun maknanya tetap sama, tiada bezanya. Cuma panggilan atau gelarannya sedikit 'manis'. Mungkin ada yang akan marahkan saya dengan kenyataan ini. Tapi itulah hakikatnya. Kita akan dapat menerimanya seiring dengan masa. Tidak perlu terasa hati, marah atau mengamuk jika ada orang panggil anak kita dengan gelaran CACAT. Biarlah orang nak gelarkan macam manapun, yang penting kita terima dan sayang anak kita seikhlasnya. Allah Maha Mengetahui akan segalanya. Bagi saya sekarang, tidak menjadi kudis lagi jika orang mengatakan anak saya CACAT. Kami telah berjaya melaluinya dan akan terus kuat melaluinya selagi Allah sudi meminjamkan anak syurgaNya itu kepada kami. Kalian juga pasti boleh...
Banyak lagi ingin saya coretkan mengenai anak syurga ini, tapi saya simpan dahulu sekarang. Akan saya kongsikan bila saya rasa ingin berkongsi. Catatan-catatan berkenaan anak syurga saya ini umpama menggaru parut luka lama yang tidak pernah sembuh...Luka memang tidak pernah sembuh, tapi sakitnya sudah tidak terasa lagi...
![]() |
Biarlah apa orang lain nak kata, Along tetap permata hati mama dan babah... |
![]() |
Permata hati, intan payung mama dan babah yang tiada galang gantinya... Along Nadia Ammira Nadzli, Angah Aiman Hazziq Nadzli dan Adik Iman Thuraya Nadzli |
![]() |
Along dan Nani. Mereka sebaya dan senasib... |
![]() |
Biarpun digelar CACAT, Along tak kisah kan...Along dah pasti tempatnya di syurga nanti, orang yang mengata tu? |