Thursday, September 13, 2012

Ketupat Sotong Mama...

Hari ini bersemangat nak berkongsi pelbagai cerita di rumah kecil saya ini.  Semalam, semangat sedikit menurun dengan dua berita kematian yang diterima.  Pertama, perginya seorang rakan penulis yang walaupun tidak dikenali secara dekat tapi pernah mengikuti kursus bersama.  Kedua, perginya seorang anak istimewa (rakan sekolah Along dan tinggal hanya selang beberapa rumah dari rumah kami) pada usia mencecah 40 tahun.  Betapa anak syurga ini menjalani hidup yang penuh warna warni sebagai insan istimewa selama 40 tahun!  Bersih dan tenang wajahnya  mengadap Ilahi dan pastinya dia sedang berbahagia di sana...Al Fatihah

Mungkin ada yang mempertikaikan rumah kecil ini bercampur aduk, caca marba dengan pelbagai cerita.  Jawab saya senang sahaja.  Suka hati sayalah.  Blog saya, saya boleh tulis apa sahaja yang saya suka dan apa juga cerita yang boleh saya kongsi dengan orang lain.  Mungkin ada sedikit sebanyak dari coretan-coretan ini boleh dijadikan panduan, teladan atau rujukan.  Sekurang-kurangnya ada sedikit sumbangan yang diberikan walaupun bukan dalam bentuk wang ringgit.  Blog ini juga menjadi medan kesinambungan bidang penulisan saya yang sudah lama terbengkalai..

Tengok tajuk entri pasal makanan, tapi saya merapu yang lain ya...

Saya suka memasak mencuba pelbagai resepi.  Walaupun ada juga yang tidak menjadi, tapi saya puas hati dapat mencuba dan keluar dari kotak pemikiran harian yang seolah-olah sudah menjadi rutin.  Tidak semestinya jika kita bukan orang Jawa, kita tidak boleh mencuba masakan Jawa atau jika kita bukan orang Kelantan, makanan orang Kelantan yang sedap-sedap itu kita tolak ke tepi.  Mengambil iktibar seorang rakan, jika berpeluang menikmati masakan Jawa seperti soto atau sambal goreng, dia akan menikmatinya sesungguh hati kerana tidak berpeluang merasa makanan itu di rumah sendiri.  Ini adalah kerana isterinya berasal dari Pantai Timur dan hanya menghidangkan masakan dari sana sahaja.  Saya tidak mahu perkara terjadi kepada suami dan anak-anak.  Suami yang sedari kecil sudah biasa disuap dengan masakan ibunya, pasti sesekali teringin menikmati masakan begitu.  Suami juga tidak kisah dihidangkan dengan masakan dari ceruk mana sekalipun.  Akan dinikmati dengan berselera sekali.  Alhamdulillah...

Sudah jauh saya melencong dan berleter...

Berbalik kepada cerita ketupat sotong, saya sering menyediakan juadah ini jika kebetulan suami membeli sotong yang besar dan cantik.  Sewaktu belum berkahwin atau ketika bulan puasa, bonda selalu menyediakan hidangan ini.  Memang sedap.  Berebut kami adik beradik menikmatinya dan itu menjadikan ia bertambah sedap lagi.



Kebetulan beberapa hari lepas, kami  masih bertungkus lumus menghabiskan puasa enam bulan syawal.  Ada beberapa ekor sotong yang segar dan cantik dibeli suami  Beras pulut juga ada,  Terus terlintas untuk menyediakan ketupat sotong.  Tidak susah mana pun. Ini adalah versi saya sendiri yang telah saya olah dari resepi asal.  Saya kongsikan resepinya :

Bahan-bahan :

Sotong segar (saiz besar atau sederhana)- bersihkan perut dan asingkan kepala.
Beras pulut secukupnya - rendam 1-2 jam
Gula kabung atau gula melaka (atau nesan) secukup manis
Santan pekat dan santan cair secukupnya
Daun pandan
Sedikit halba JIKA SUKA
Secubit garam
Pencungkil gigi

Cara-caranya :

Masukkan beras pulut ke dalam perut sotong yang telah dibersihkan.  Masukkan separuh sahaja.  Jika ada telur sotong, biarkan di dalam.  Lebih enak rasanya.  Masukkan kepala sotong semula dan cucuk dengan lidi untuk mengelakkan kepala dari tercabut dan pulut terkeluar.

Susun daun pandan di dasar periuk.  Susun sotong dan pecah-pecahkan gula kabung.  Masukkan santan cair, garam dan halba.  Masak atas api kecil.  Masak sehingga pulut masak seperti kita masak nasi (bergantung kepada kuantiti sotong, lebih kurang 30-50 minit).  Bila sudah hampir kering dan masak, tuangkan santan pekat. Biarkan seketika dan tutup api.  Sewaktu masak, kacau sekali sekala supaya tidak hangit.  Jika ada pulut rendam yang berlebihan, masukkan sekali dengan sotong (Tabur di antara sotong).  Tidaklah membazir. 

Hidangan ini enak dinikamati bila-bila masa tapi amat terkenal ketika bulan puasa.  Nak beli, susah nak dapat yang betul-betul memenuhi piawaian tekak.  Jadi buat sendiri lebih mudah bukan...

 
Bau harum pandan dan gula kabung memang membangkitkan selera
 


Siap untuk dihidang.  Pulut berlebihan saya masukkan sekali.  Jadi kelihatan seperti disalut pulut pula




1 comment: